Sunday 29 April 2012

Filem Dakwah Indonesia Yang Ngetop!

Beberapa hari yang lepas, saya berpeluang untuk menonton beberapa filem dakwah daripada Indonesia iaitu Ketika Cinta Bertasbih, Sang Pencerah, Dalam Mihrab Cinta dan Hafalan Shalat Delisa. Filem Ayat-ayat Cinta juga sudah saya tonton beberapa tahun yang lepas. Subhanallah. Filem-filem ini sarat dengan mesej berguna yang mampu memberi kesedaran dan pedoman kepada penontonnya.

Meskipun saya orang Malaysia, bukanlah saya ingin membandingkan filem-filem Indonesia dengan filem-filem Malaysia, akan tetapi, setakat ini keinginan saya lebih kepada menonton filem-filem Indonesia kerana saya suka akan karya novel Habiburrahman El-Shirazy. Karya-karyanya telah diadaptasi ke tiga buah filem (setakat yang saya ketahui) iaitu Ketika Cinta Bertasbih, Ayat-ayat Cinta dan Dalam Mihrab Cinta. Saya ini bukanlah orang yang sering mengikuti industri filem tempatan mahupun luar negara. Cuma saya berpeluang untuk menyaksikan filem-filem Indonesia baru-baru ini.

Di antara ketiga-tiga filem yang disebutkan, saya merasakan filem Ketika Cinta Bertasbih paling memberi kesan di hati saya. Di samping berjaya menyampaikan definisi cinta secara jelas, filem ini juga membawa kita untuk mengenal kehidupan seorang mahasiswa Indonesia yang menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir. Mahasiswa tersebut, Khaerul Azzam, terpaksa menuntut ilmu di al-Azhar 9 tahun lamanya atas sebab terlalu sibuk dengan kerjaya sampingan yang harus dilakukan bagi menampung perbelanjaan ibu dan adik-adiknya yang berada di Indonesia. Selepas menamatkan pengajiannya di al-Azhar, Azzam pulang ke kampung halamannya dan berusaha mencari jodoh. Pencarian jodohnya seringkali menemui kegagalan akibat pelbagai faktor. Di hujung lelahan pencariannya, Azzam akhirnya berjaya menemukan jodoh yang diharap-harapkannya selama ini.


Saya merasakan bahawa filem ini paling menarik antara filem-filem yang lainnya. Saya kira faktor kejayaannya adalah disebabkan filem ini diarahkan oleh Habiburrahman, pengarang novel itu sendiri. Apa-apa mesej yang disampaikan seiring dengan apa yang ditulis di dalam novel asal.

Bagi permulaan filem Dalam Mihrab Cinta, saya kurang bersetuju dengan sikap yang dibawa oleh guru-guru dan pelajar-pelajar di pesantren yang menghukum watak utama filem ini iaitu Samsul. Saya kira peristiwa penghukuman Samsul terlalu kejam dan saya bimbang hal ini memberi gambaran negatif kepada bangsa lain, seolah-olah masyarakat Islam ini mempunyai sifat yang kejam. Walaubagaimanapun, syabas diucapkan kerana filem ini memberi impak yang baik dan menarik di bahagian pertengahan dan pengakhiran cerita. Filem ini menceritakan Samsul yang pada asalnya berperwatakan baik berubah menjadi seorang yang suka mencuri hasil daripada peristiwa hebat yang menimpa dirinya. Benarlah, hidayah itu milik Allah. Tiada siapa yang mampu merubah turun naiknya iman melainkan Allah. Kita sebagai manusia haruslah saling meminta kepada-Nya agar diperkukuhkan iman agar sentiasa berada di atas landasan yang benar. 



Filem Sang Pencerah menceritakan bagaimana seorang tokoh membawa pembaharuan dalam agama di kampung halamannya setelah dia menamatkan pengajiannya di Mekah. Tokoh tersebut, Kiyai Haji Ahmad Dahlan telah melakukan pelbagai usaha dalam membawa tajdid (pembaharuan) meskipun terpaksa menghadapi tentangan daripada penduduk kampungnya malahan kaum keluarganya sendiri. Beliau telah mengubah persepsi penjajah Belanda yang menjajah Indonesia ketika itu yang menganggap Islam adalah agama mistik. Akhirnya, beliau berjaya menubuhkan Gerakan Muhammadiyah yang memberi sinar baru terhadap masyarakat Islam di Indonesia. Filem ini merupakan kisah benar yang diadaptasi daripada kehidupan KH Ahmad Dahlan sendiri.



Bencana tsunami yang melanda Aceh kira-kira 8 tahun lalu telah digambarkan melalui filem Hafalan Shalat Delisa. Delisa merupakan seorang kanak-kanak yang tinggal di Lhok Nga, Aceh bersama ibu dan 3 orang kakaknya sementara bapanya mencari rezeki di tengah lautan. Delisa mempunyai suatu misi iaitu menghafal bacaan solatnya. Ibu dan kakak-kakaknya menaruh harapan kepadanya supaya dia berjaya mencapai misinya itu. Ketika Delisa ingin mengeluarkan hasil usahanya di ujian penentuan, terjadi bencana yang tidak disangka-sangka. Bencana yang menghanyutkan apa yang ada sehingga tidak ada apa yang tersisa. Tsunami yang melanda telah meragut beribu-ribu nyawa penduduk Lhok Nga termasuk ketiga-tiga kakak Delisa. Ibu Delisa pula tidak ditemui. Delisa diberi kesempatan oleh Rabb-nya untuk terus hidup. Dia diselamatkan oleh petugas misi kemanusiaan daripada luar negara. Meskipun dia kehilangan ramai orang yang disayanginya, Delisa meneruskan hidupnya dengan tabah di samping bapanya. Filem ini sarat dengan nilai kasih sayang dan ketabahan yang mampu menyedarkan kita agar tetap gagah melangkah di bumi Allah ini walau seberat manapun ujian yang menimpa.


Untuk makluman pembaca, filem Hafalan Shalat Delisa juga diadaptasi daripada novel yang bertajuk 'Hafalan Shalat Delisa' karya Tere Liye.

Akhir sekali, syabas dan tahniah kepada penghasil-penghasil filem dan novel yang berjaya menyampaikan mesej dakwah kepada para penonton. Saya lihat pendekatan dakwah melalui hasil perfileman adalah seiring dengan kehendak semasa dan penghasilan filem-filem ini merupakan antara saluran dakwah yang paling berkesan. Semoga usaha-usaha sebegini tetap diteruskan dan diperbanyakkan agar dapat membentuk generasi yang soleh dan tetap berada di atas landasan syariat. Amin.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat (berdakwah) yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam)..."

                                                                                                                          (Surah Ali 'Imran 3: 104)

p/s: Saya ingin sekali melihat karya novel Hilal Asyraf diadaptasi kepada filem. Bilakah agaknya penerbit-penerbit dan pengarah-pengarah industri perfileman Malaysia ingin mengangkat karya-karya Hilal Asyraf untuk dijadikan karya-karya perfileman pula? Hmmmm......

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...