Tuesday 1 May 2012

Cinta Buku

Pada awal tahun yang lalu, kita dihebahkan dengan pengeluaran dan pengagihan baucar buku 1 Malaysia bernilai RM200 kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang sedang menuntut di semua IPTA dan IPTS di seluruh negara. Pelajar yang berada di matrikulasi dan tingkatan enam juga tidak terkecuali. 

Bagi yang bijak mengambil peluang, baucar tersebut digunakan untuk membeli buku-buku teks dan buku-buku rujukan berdasarkan mata pelajaran yang diambil. Ada pula yang menggunakannya untuk membeli buku-buku ilmiah yang lain. Selain itu, terdapat juga sesetengah daripada mereka membeli alat tulis bagi membantu proses pembelajaran mereka. 

Walaubagaimanapun, ada pula sesetengah pelajar menebus beberapa item di kedai buku yang tidak dapat ditebus dengan menggunakan baucar atas sebab item tersebut sama sekali tidak membantu proses pembelajaran. Bila tidak dapat ditebus, mulalah ada yang merungut. Itu baru isu tidak dapat tebus. Bagaimana pula pelajar yang menjual baucar tersebut kepada orang lain? 

Mungkin ada sesetengahnya memberi alasan bahawa RM200 itu terlalu banyak. Harga buku-buku teks dan buku-buku rujukan mereka tidak sampai ke tahap itu, akan tetapi, adakah konteks ilmu itu terbatas hanya pada pembelajaran di universiti sahaja? 

Jika kita perhatikan, masyarakat kita kini hampir semuanya celik huruf. Amat sukar untuk ditemukan seorang pemuda yang tidak tahu membaca di zaman ini. Seharusnya kita bersyukur dengan fenomena yang positif ini.

Sayangnya, budaya membaca umat Islam masih di tahap yang sangat rendah. Mereka lebih suka menghabiskan masa dengan tv dan permainan daripada menelaah buku. Budaya ini tentu sahaja tidak selari dengan tokoh-tokoh Islam kita terdahulu.

Muhammad bin Hasan Al-Syaibani adalah seorang ulama fiqah yang juga pakar dalam hadis. Beliau mempelajari fiqah dari Imam Abu Hanifah, dan ilmu hadis dari pelbagai ulama antaranya dari Imam Malik bin Anas. Beliau menetap di Madinah selama tiga tahun untuk mendengar sendiri kitab Al-Muwatta dari Imam Malik.

Diceritakan bahawa Muhammad bin Hassan selalu menghabiskan malamnya dengan menelaah buku. Beliau meletakkan buku-buku di sebelahnya. Apabila bosan dengan suatu buku, beliau akan beralih kepada buku yang lain. 

Di Baghdad, Khalifah Harun al-Rasyid mengangkatnya menjadi hakim di kota Raqqah. Namun tidak lama setelah itu, beliau melepaskan jawatan ini agar dapat menyebarkan ilmu sepenuh masa. Beliau sangat cerdas, sehingga Imam Syafie berkata:

“Belum pernah aku berdebat dengan orang gemuk yang lebih cerdas daripadanya.”

Demikian diriwayatkan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam kitab beliau yang sangat menarik, iaitu Qimat al-Zaman ‘Indal-‘Ulama. 

Kita boleh sahaja mengikuti cara yang dilakukan oleh Muhammad bin Hasan. Tidak semestinya kita perlu menghabiskan satu buku pada satu-satu masa. Jika sudah bosan, beralihlah pada buku yang lain pula. 

Rasulullah ketika menerima wahyu yang yang pertama, diturunkan saranan daripada Allah SWT agar membaca dan mengenal. Apabila ada usaha ke arah itu, maka Allah SWT akan memberikan kepada kita ilmu dan kefahaman. Semuanya termaktub dalam surah al-Alaq ayat 1 sehingga 5. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bacalah (wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”


Begitulah Allah menerangkan kepada hamba-hambanya supaya menceduk ilmu daripada tabiat membaca. Ilmu itu luas. Ambillah yang baik agar kita dapat menggunakan yang baik dan menyampaikan juga yang baik sebagai bekalan buat kita di akhirat kelak. Insya Allah.


Jom kita membaca! 


'Reader is leader'! 





No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...