Tuesday 17 December 2013

Runtuhnya Highland Towers


Keruntuhan Highland Towers yang telah berlaku pada 11 Disember 1993 merupakan sejarah terburuk tragedi bangunan runtuh setelah Malaysia mencapai kemerdekaan. Seramai 48 orang telah terkorban dalam tragedi yang berlaku berhampiran dengan Bukit Antarabangsa yang turut mengalami tragedi yang lebih kurang sama 15 tahun selepas itu iaitu pada tahun 2008. Keruntuhan melibatkan satu blok bangunan daripada tiga blok bangunan Highland Towers, Taman Hillview, Ulu Kelang, Selangor di mana ketiga-tiganya mempunyai 12 tingkat setiap satunya.



            Susulan tragedi ini, ramailah pihak yang menuding jari antara satu sama lain tidak kurang juga yang mengemukakan bermacam-macam ideologi tentang bagaimana keruntuhan itu boleh berlaku. Situasi salah menyalahkan ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan pihak pemaju Highland Towers bahkan penduduk yang mendiami bangunan ‘malang’ itu turut disalahkan kerana tidak mematuhi notis yang dikeluarkan sebelum kejadian.

Pandangan dari udara keruntuhan Highland Towers pada 1993

            Ia sudah berlaku 20 tahun lepas namun tragedi ini masih meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia bukan sahaja kerana munculnya filem genre seram ‘Highland Towers’ di pawagam tetapi beberapa pihak terutama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat turut mengingati peristiwa ini pada 11 Disember 2013 lalu yang menandakan genaplah 20 tahun kejadian ini berlaku. Kronologi peristiwa keruntuhan ini tidak lepas daripada menunjukkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pihak pemaju sejak bermulanya Highland Towers ini dibina sekitar tahun 1975 dan 1978.

            Selepas tiga tahun kejadian ini berlaku, Bekas Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Henry Lee Inn Seong, memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri Highland Towers yang runtuh itu, Wong Tin Sang,  tidak mempunyai kelayakan bagi merangka pelan bangunan setinggi 12 tingkat. Beliau menyatakan bahawa pelukis pelan itu hanya mempunyai kelayakan untuk merangka pelan bangunan tidak melebihi 300 meter persegi atau 3,000 kaki persegi atau tidak melebihi dua tingkat. Pembinaan Highland Towers ini juga telah mencabuli Akta Pemuliharaan Tanah dan Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana melebihi kecerunan 18 darjah di kawasan lereng bukit yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar.



            Keruntuhan pangsapuri ini turut dikatakan berpunca daripada kerja-kerja pembinaan rumah yang terletak di belakang bangunan Highland Towers. Kawasan pembinaan itu adalah di Bukit Antarabangsa di mana kerja-kerja pembinaan dimulakan sejak tahun 1991 dan telah mengakibatkan struktur tanah menjadi longgar disebabkan penebangan pokok. Ketiadaan akar tunjang yang selama ini menampung dan menerima taburan hujan yang lebat dan bertindak sebagai pemangkin kepada tanah menyebabkan air mudah menyerap masuk ke dalam rongga-rongga tanah. Apabila tidak ada tanaman tutup bumi, air meresap ke dalam tanah dan menjadi pelincir kepada gelongsoran tanah dan bangunan di atasnya dan punca terbesar kejadian ini berlaku juga adalah disebabkan hujan yang turun 10 hari berturut-turut ketika musim tengkujuh yang berlaku pada hujung tahun ketika itu.

            Prinsip kekuatan sesebuah bangunan adalah bergantung pada ricihan atau shear sama ada pada struktur bangunan ataupun struktur tanah dan bukannya atas tekanan yang dikenakan terhadap bangunan. Keruntuhan Highland Towers adalah contoh terbaik bagi membuktikan prinsip ini di mana punca keruntuhannya adalah disebabkan ricihan yang lemah pada struktur tanah. Selain itu, perlu diingat bahawa musuh utama bagi sesebuah binaan adalah kandungan air yang berada di bawah tanah kerana air yang bercampur tanah boleh menolak asas binaan lalu menyebabkan ia jatuh serta merta. Kerana itu, pemantauan berkala amat perlu dilakukan bagi memastikan struktur tanah sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

            Tanda-tanda retakan dan air mengalir daripada tembok penahan di belakang apartment tersebut telah diperhatikan beberapa hari sebelum kejadian dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah mengeluarkan notis berpindah kepada penghuni Blok 2 dan Blok 3, namun mereka sendiri memohon perintah Mahkamah Shah Alam untuk mengenepikan notis tersebut walaupun telah terlihat tanda-tanda ketara seperti rekahan jalanraya di sekitar blok tersebut akibat gelinciran yang berlaku. Aliran air yang banyak di dalam tanah kerana hujan 10 hari berturut-turut menyebabkan tanah di bawah bangunan bertukar menjadi lumpur sekaligus mengakibatkan struktur tanahnya menjadi lemah. Akhirnya, lumpur yang terhasil menolak tembok penahan di belakang Blok 1 hingga ia pecah lalu menolak juga dasar bangunan blok tersebut hingga ia tumbang. Berat lumpur ketika itu dikatakan bersamaan dengan berat 200 kapal terbang Boeing 747. Perunding jurutera geoteknikal, Prof Noel Edward Simons juga menyalahkan rekabentuk tembok penahan tersebut yang tidak sempurna.

            Pakar geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ibrahim Komoo menyatakan tanah di kawasan Highland Tower bukanlah terdiri dari batu yang kuat tetapi terdiri dari tanah yang bercampur pasir. Ini termasuklah kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa, Taman Tun Abdul Razak, Taman Hillview dan Bukit Indah. Gaya hidup mewah penduduk di kawasan itu yang sukakan kediaman di lereng bukit menyebabkan mereka tidak sedar atau ada juga yang buat-buat tidak tahu akan korupsi yang berlaku dalam kalangan pihak pemaju. Akibat permintaan tinggi oleh penduduk elit ini, pihak pemaju sebagai golongan kapitalis mengambil kesempatan dan cuma mementingkan keuntungan besar yang boleh diperoleh hasil dari pembinaan perumahan di lereng-lereng bukit.

            Kerajaan negeri Selangor pada ketika itu pula sedar akan hal ini tetapi tidak berupaya membatalkan kontrak pembangunan yang telah diberikan kepada pihak pemaju kerana ia membabitkan implikasi undang-undang. Pemaju yang kerugian dari segi kos tanah, kos arkitek dan bahan binaan pasti akan menyaman pihak berkuasa jika pembatalan kontrak itu dilaksanakan. Mereka juga melobi ahli politik agar menekan pegawai daerah, pegawai pejabat tanah dan sebagainya sehingga mereka lupa bahana yang bakal menimpa antara 10 ke 20 tahun lagi.

            Selepas kejadian ini berlaku, penghuni Blok 2 dan Blok 3 yang dahulunya telah menentang amaran awal dan notis yang diberikan oleh majlis perbandaran dengan angkuhnya memfailkan saman terhadap 10 pihak berdasarkan bukti gambar yang diambil oleh salah seorang penduduk di situ, Bruce Aaron Mitchell. Walaubagaimanapun, akhirnya mahkamah memutuskan majlis perbandaran dilindungi daripada tindakan undang-undang disebabkan pematuhan ke atas Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Bagi pihak yang lain pula, kes mereka diselesaikan di luar mahkamah apabila AmFinance (pemilik AmBank dan pemilik hartanah) bersetuju membayar RM52 juta kepada plaintif.

Gambar yang sempat diambil oleh penduduk ketika keruntuhan berlaku

            Blok 2 dan Blok 3 diisytiharkan ditutup oleh pihak berkuasa berikutan kemungkinan tinggi kedua-dua blok itu untuk runtuh pada bila-bila masa. Namun sehingga tahun 2013 ini, kedua-dua blok bangunan ini tetap berdiri utuh tanpa ada penghuni tetap. Hal ini menunjukkan bahawa pakar geoteknik tetap tidak dapat meramalkan dengan tepat akan lokasi dan masa sesuatu tanah runtuh akan berlaku.

Walaubagaimanapun, blok-blok ini tetap dikunjungi oleh pelaku maksiat dan menjadi sarang penjenayah disebabkan keadaannya sekarang yang telah ditumbuhi semak samun. Highland Towers kini sudah tidak gah dengan segala kemewahan sepertimana 20 tahun yang lalu bahkan ia telah menjadi bangunan tinggal yang buruk dan usang.

Highland Towers kini
            Sesungguhnya kejadian ini telah menjadi sejarah gelap dalam kerangka bidang geoteknik, arkitek dan kejuruteraan secara amnya. Disebabkan ketamakan dan keangkuhan manusia, bangunan yang dahulunya berdiri megah ini tidak dapat bertahan lama dan tumbang menyembah bumi akhirnya. Semoga penulisan ini dapat menjelaskan nilai-nilai yang sepatutnya diambil berat oleh individu-individu yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan sekaligus memberi iktibar terhadap semua pihak dalam mengawal ego dan sifat bermegah-megahan yang melampau kerana kehidupan ini sukar untuk diramalkan manusia melainkan Tuhan sahajalah yang tahu akan nasib yang bakal menimpa sesuatu kaum.

...

Sebagai generasi yang lahir pada tahun 1993, tragedi keruntuhan Highland Towers pada tahun tersebut tidak mungkin melekat pada kotak ingatan melainkan jika saya sendiri berada di tempat kejadian atau ada antara keluarga saya terlibat dengan kemalangan tersebut. Oleh itu, tulisan ini mungkin agak ketinggalan zaman bagi pak cik dan mak cik yang terlebih dahulu merasai bahang isu ini 20 tahun yang lalu.

Tulisan ini sebenarnya adalah tugasan yang diberikan oleh pensyarah saya, Cik Nurol Huda bagi subjek Pengurusan Pembinaan. Saya kira mana-mana tugasan berbentuk tulisan tidak sepatutnya dibazirkan dengan hanya menganggapnya sebagai assignment lalu diperap dalam laci pensyarah.

Peristiwa runtuhnya Highland Towers adalah sejarah yang paling menggerunkan dunia geoteknik, arkitek dan kejuruteraan di Malaysia kerana ia mencatatkan angka kematian yang paling ramai. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada kejadian ini.

Senarai kejadian tanah runtuh dan bilangan mangsa sehingga tahun 2011

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...