Monday 9 December 2013

Sapere Aude! (II)



Masyarakat Facebook

Kita sekarang boleh diumpamakan seperti sebuah masyarakat yang mempunyai dua alam. Satu alam realiti di mana pada alam ini kita bebas untuk ke sekolah, universiti, pejabat, bersiar-siar dan sebagainya. Satu lagi alam adalah alam maya di mana hampir setiap orang di bandar memasuki alam ini. Di alam maya sekarang, facebook telah menjadi trend utama bagi masyarakat untuk menghuni di dalamnya.

Saya mempunyai tafsiran yang berbeza dengan Mark Zuckerberg tentang istilah ‘Home’ di dalam facebook. Sebagai contoh, ‘Home’ yang terletak di atas sekali skrin bukanlah rumah sebenar. Sebaliknya, rumah masyarakat facebook boleh dimasuki setelah nama yang terletak di sudut atas skrin ditekan. Kerana jika ‘Home’ dijadikan rumah kita, kita akan menjadi semakin sukar untuk mengenali semua orang. Maka di dalam rumah kita yang sebenar ada simpanan. Kita menyimpan berbagai simpanan dalam rumah kita seperti status, gambar, profil peribadi, nama-nama kawan kita dan notes (agak jarang orang gunakan sekarang).

Manakala perkataan ‘Home’ pula bagi saya adalah jalan-jalan di luar rumah kita. Di jalan-jalan itu kita sering berjumpa dengan kawan-kawan kita. Kawan-kawan yang kita jumpa itu pula membawa bermacam-macam jenis status. Ada status yang dikarang sendiri dan ada status yang diambil daripada orang lain lalu dibawa sekali. Pada saat kita berjalan-jalan, kita bebas membaca status sesiapa sahaja tanpa pemilik status itu sedari dan kita cuma akan disedari bila kita mengusik status itu dengan menekan butang ‘like’ atau kita komen status itu. Begitu juga sebaliknya keadaan yang terjadi pada status kita.

Kadang-kadang, orang komen status kita dengan baik. Tambah-tambah ‘baik’ lagi bila dia letakkan ‘smiley’. Ada waktu lain, orang komen status kita dengan tidak baik. Kita rasa seperti sudah diserang. ‘Tidak baik’ di sini mempunyai banyak maksud bergantung kepada tahap penerimaan kita. Kita punya pilihan sama ada komen semula dengan cara baik atau cara tidak baik juga. Jika kita tidak tahan pada tekanan si pengomen, kita boleh ‘unfriend’ atau ‘block’ terus supaya kita dapat berjalan-jalan dengan aman dan tenang atau kita tak perlu berjalan-jalan langsung. Itu serba sedikit kisah facebook alam maya yang mungkin cuma akan menjadi sejarah pada tahun 2113 nanti.

                                                                              ...
 
Katakan kita mempunyai satu akaun facebook. Akaun itu kita gunakan sebagai wadah untuk menyampaikan sesuatu ideologi atau orang-orang islamis selalu menyebutnya sebagai medan dakwah. Kemudian ideologi atau dakwah itu kita sebarkan sehingga kita mempunyai pengikut sendiri yang suka mengikuti post kita di facebook. Kemudian kita terus selesa menyampaikan ideologi yang sama hingga kita tidak sedar ideologi tersebut sedikit sebanyak dipengaruhi (secara tak langsung dikawal) oleh pemikiran pengikut kita. Selepas itu, tiba-tiba muncul seseorang menegur kesalahan ideologi yang kita bawakan. Pada masa itu, apakah yang selalunya akan kita lakukan? Tidak semena-mena ada orang menegur post kita? Lalu kita pun meletakkan si penegur itu bukan pengikut kita. Jika ada pengikut kita sendiri yang menegur kita maka kita buang nama mereka daripada senarai nama pengikut-pengikut kita. Betulkah begitu?

Kerana itu, kita perlu mengenal pasti dengan jelas apakah teguran itu berbentuk kritikan atau celaan kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang berbeza. Khuatir jika sebenarnya kita menafikan hak kebebasan berfikir dan bersuara yang sepatutnya perlu diraikan.

Saliran Banjir Pantai Timur

Musim tengkujuh yang berlaku pada setiap tahun memang tidak melepaskan negeri-negeri pantai timur daripada dilanda banjir. Jalan-jalan ditutup. Penduduk-penduduk dipindahkan ke kawasan perlindungan. Akaun-akaun bank serta pusat pengumpulan sumbangan mangsa banjir mula dilancarkan. Ini perkembangan positif terutama daripada badan-badan NGO yang giat mendapatkan sukarelawan dan juga bantuan. Namun di sisi pemerintahan, muncul pula dialog yang boleh jatuh syirik bilamana kuasa menggelapkan maksud dan niat memberi pertolongan.

Jika banjir ditafsirkan sebagai bencana semata-mata, saya fikir kita akan kurang menyediakan cara untuk menyelesaikan masalah banjir. Apa yang kita boleh fikir demi menyelesaikan masalah ini hanyalah dengan memberi bantuan. 

              Begitu sahajakah caranya kita menangani masalah banjir? Bagaimana dengan sistem saliran dan perparitan? Apakah ada usaha-usaha yang boleh kita lakukan demi mencegah banjir?

              Sedang pemimpin-pemimpin lebih sibuk membicarakan hal-hal yang tidak sepatutnya apabila mereka berkumpul. PAS tidak habis-habis dengan isu golongan ulama dan profesionalnya. UMNO pula membincangkan tentang pembanterasan Syiah. Mahasiswa jurusan kejuruteraan sivil pula masih bertanya soalan sama di akhir kelas pengajian pengurusan pembinaan tentang berapakah gaji yang bakal mereka perolehi apabila mereka bekerja nanti. Bila ditanya soalan-soalan berkait sosial, mereka seolah-olah ditusuk duri yang tajam. Kerana itu, jurutera kini masih belum keluar daripada kotak pemikiran yang cuma mahu membina bangunan gah serta jenis binaan yang hebat-hebat. Maka siapa lagi yang mahu memikirkan soal pembaikian sistem saliran dan perparitan? Sampai bilakah masalah banjir cuma diselesaikan dengan cara memberi bantuan?
 
Bersambung…

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...