Wednesday 31 July 2013

Ukhuwah Islamiah




Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik r.a., pembantu Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

 لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak beriman (secara sempurna) seseorang kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”

(Riwayat al-Bukhari no.13, Muslim no.45 dan Ahmad no. 18076)

Para ulama berkata bahawa “tidak beriman” yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah “iman tidak sempurna”, bukan tidak beriman langsung. Maknanya seseorang itu tidak sempurna imannya apabila tidak mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.

Abu Amr bin Shalah berkata:

“Perbuatan seperti itu terkadang dianggap sukar untuk dilaksanakan seseorang. Sebenarnya tidak demikian, kerana apa yang dimaksudkan ialah iman seseorang tidak sempurna sehingga dia mencintai kebaikan untuk saudaranya sesama Muslim seperti mencintai kebaikan untuk dirinya sendiri.” [1]

Apa Sebenarnya Ukhuwah?

Ukhuwah adalah suatu proses mencipta dan memelihara ikatan antara manusia yang berada dalam sesuatu kelompok yang tertentu. Sejarah banyak membuktikan bahawa kejayaan sesuatu kaum itu banyak bergantung kepada kaum itu sendiri. Cara mereka berinteraksi serta berkomunikasi antara satu sama lain mempengaruhi hasil dan maslahat yang diberikan.

   Ukhuwah yang kuat selalunya terbina dalam kalangan organisasi-organisasi berpengaruh. Tidak hairanlah jika organisasi-organisasi seperti ini mempunyai pengikut yang setia walaupun organisasi mereka menghadapi banyak cabaran kerana awal-awal lagi mereka telah meletakkan ukhuwah sebagai batu asas.

Kenapa Manusia Perlu Berukhuwah?

Suatu keutamaan yang mesti kita berikan perhatian adalah kewajipan yang berkaitan dengan hak orang ramai yang sewajarnya kita dahulukan berbanding dengan kewajipan yang berkaitan dengan hak individu. Sesungguhnya seseorang individu tidak akan dapat mempertahankan dirinya tanpa orang ramai, dan dia juga tidak dapat hidup bersendirian; kerana sesungguhnya manusia adalah makhluk yang memiliki kecenderungan untuk berkumpulan; seperti yang dikatakan oleh para ilmuwan Muslim terdahulu. Manusia adalah makhluk sosial sebagaimana dikatakan ilmuwan moden. Seseorang akan mempunyai nilai yang kecil sekiranya dia bersendirian, dan akan menjadi besar nilainya seandainya dia bersama-sama dalam kumpulan orang ramai. Bahkan dia dianggap tiada ketika dia bersendirian, dan barulah ia dianggap ada ketika dia bersama-sama dengan kumpulannya.

   Atas dasar itu, kewajipan yang berkaitan dengan hak orang ramai atau umat sewajarnya lebih diutamakan daripada kewajipan yang berkaitan dengan hak individu.[2]

Manusia dan Ukhuwah

Sering meniti di bibir-bibir pemimpin sesebuah jemaah Islam perkataan ukhuwah apabila fikiran meminta berbicara mengenainya bila jemaah dilihat tidak bersatu atau sekadar mengisi ruang-ruang kosong di dalam sesebuah pertemuan. Namun, sejauh mana perkataan ukhuwah itu wujud pada diri? Apakah ukhuwah ini dirasakan terlalu berat dan payah hingga ahli-ahli jemaah beralih kepada jemaah lain yang dirasakan lebih sesuai dan kena pada diri mereka?

Oleh itu, bila berbicara tentang konsep ukhuwah, saya lebih gemar untuk memperincikan konsep ukhuwah itu satu-satu. Perkataan ukhuwah itu terlalu general dan kurang dari segi contoh dan idea yang boleh dibawakan.

Apa yang cuba saya maksudkan di sini ialah ukhuwah itu di bawahnya terdapat pelbagai ciri-ciri yang boleh diangkat seperti cara percakapan dan tindak balas terhadap sesuatu perkara. Bila adanya pertemuan, secara automatiknya telah berlaku ukhuwah dan apa yang perlu dipelihara selepas itu adalah dari segi bagaimana cara kita berkomunikasi, memberi dan menerima sesuatu pandangan, kemahiran mendengar dan adab-adab yang perlu dijaga sepanjang pertemuan diadakan. Perkara-perkara ini seharusnya diangkat berbanding kita hanya membicarakan ukhuwah itu secara zahir sahaja.

Ukhuwah juga selalu dikaitkan dengan kemanisan hubungan antara sahabat tetapi apakah kita tahu, sepanjang ukhuwah itu apa yang telah kita lakukan? Adakah ia sekadar kita berbual kosong, makan dan minum lalu ia terhenti begitu sahaja?

Manisnya ukhuwah itu adalah apabila terlihatnya situasi ‘give and take’. Ada yang memberi dan ada yang menerima dan proses ini berulang alik sesama ahli. Apa yang boleh diberikan adalah harapan, kata-kata semangat dan apa jua bentuk perkongsian yang mampu mengisi kekosongan jiwa setiap daripada ahli. Dengan itu, objektif ukhuwah lebih mudah tercapai.

Ukhuwah dan Jemaah

Dalam beberapa keadaan, kita tidak boleh memaksa seseorang untuk bersama kita kerana setiap manusia dilahirkan berbeza dari segi pemikiran. Bahkan golongan sahabat dan ulama juga banyak berlaku khilaf lalu membawa diri masing-masing ke kelompok yang disenanginya. Ini semua disebabkan oleh perbezaan pemikiran. 

Kita mungkin berniat baik untuk menarik seseorang ke dalam jemaah kita kerana merasakan jemaah kita mampu mengubah individu menjadi lebih baik hasil islah, dakwah dan tarbiah yang jemaah kita laksanakan. Namun, tujuan utama kita bukanlah untuk menarik mana-mana individu ke dalam jemaah tetapi adalah untuk menarik mereka kepada Allah, rasul-Nya dan juga Islam. Apabila roh sudah terpisah daripada jasad, bukanlah jemaah yang dapat menyelamatkan kita tetapi agamalah yang bakal menentukan perjalanan kita selepas itu. 

Banyaknya jemaah di dunia ini adakalanya membuat kita keliru. Memilih sebuah jemaah yang baik, ia perlukan prinsip utama untuk dicapai iaitu untuk mendapat petunjuk al-Quran dan sunnah. Jika kita terus berpegang kepada prinsip ini, jemaah bukanlah sesuatu yang begitu penting untuk difanatikkan.


Rujukan

  [1] Zahazan Mohamed, Muhammad Zakaria, “Hadis 13: Ukhwah Islamiah” dalam Hadis 40 Imam Nawawi, m/s 67- 68, Telaga Biru Sdn. Bhd.
  [2] Yusuf al-Qaradhawi, “Keutamaan terhadap Hak Orang Ramai berbanding dengan Hak Individu” dalam Fiqh Keutamaan, m/s 206-207, Blue-T Publication Sdn. Bhd.




Friday 26 July 2013

Menjadi Politikus

Perjalanan hidup ini membuat diri sentiasa berubah-ubah mengikut apa yang dilalui. Jalan yang dilalui sekarang ini mungkin akan beralih arah. Daripada dunia kejuruteraan, mungkin kepada dunia politik atau mungkin sahaja psikologi. Pilihan saya setakat ini cenderung memilih sains politik berbanding psikologi. Namun, itu semua hanya perancangan. Tidak salah bagi seorang manusia untuk merancang tetapi Allah jualah sebaik-baik perancang.

Kenapa suka politik?

Saya suka percakapan yang berlandaskan fakta dan hujah yang kukuh. Di zaman sekolah dahulu, saya gemar bercakap di khalayak walaupun saya rasa sedikit takut. Namun bagi saya rasa gemuruh itu normal kerana setiap apa yang kita perkatakan perlu ada rasa gemuruh supaya kita lebih berhati-hati. Rakan-rakan sekolah saya ramai menganggap yang saya ingin jadi peguam suatu hari nanti. Saya selalu menafikan kenyataan mereka kerana saya memang tak mahu jadi peguam. Apa yang saya tahu pada waktu itu, peguam banyak makan rasuah dan kerjaya mereka selalu berada di tahap yang tidak selamat kerana melibatkan antara pihak yang benar dan salah. Risikonya bukan sahaja dihadapi di dunia, malah di akhirat juga akan turut dipersoalkan. Itulah yang selalu orang tua-tua cakap kepada saya. Tapi kalau semua tak mahu jadi peguam, siapa yang mahu jadi? Bila umur meningkat, barulah saya sedar yang semua pekerjaan bahkan apa sahaja yang kita lakukan bakal dipersoalkan di akhirat nanti.

Saya juga pernah menghadapi jatuh bangun dalam bercakap kepada khalayak. Semua itu banyak mematangkan saya dan tipulah kalau saya kata pengalaman pahit yang pernah saya lalui itu langsung tidak memberi kesan kepada saya. Kadang-kadang saya rasa sangat bersyukur bila melalui pengalaman-pengalaman itu kerana ia berjaya menyuntik semangat untuk saya terus berani mencuba perkara baru yang lebih baik.

Masa berlalu dengan pantas dan saya bertemu dengan orang-orang yang pernah saya harapkan. Mengenal pelbagai aliran dan manhaj daripada mereka. Menimbang tara pelbagai fakta. Dituduh wahabi kerana berlainan pemikiran. Pernah suatu ketika saya rasa terlalu serabut dengan semua ini. Tetapi bila adanya sahabat-sahabat seperti mereka yang memberi solusi dan semangat, saya rasa tenang dan yakin untuk melakukan langkah seterusnya.



Melalui pembacaan, pemahaman dan keterbukaan pemikiran saya lebih mudah untuk menimbal semula dan berlapang dada sekiranya fakta yang saya kemukakan itu salah. Saya juga tidak ragu untuk mengkritik idea yang saya rasakan salah. Orang-orang yang rapat dengan saya mesti tahu bahawa ada sesetengah keadaan saya dilihat keras kepala dan tidak mudah mendengar penjelasan yang tidak berasas. Bagi saya, yang salah tetap salah dan yang benar itu tetap benar. Tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, yang salah itu perlu dijelaskan dan yang benar itu perlu diberitahu. Jika dilihat riwayat hidup Nabi, tiada perkara yang mengubah pendirian Nabi untuk berdakwah dan mengeluarkan kebenaran dicelah-celah jahiliyah yang sememangnya sudah sebati dalam diri masyarakat pada waktu itu. Tiada apa juga yang menghalang perbuatan Nabi Ibrahim menentang bapanya sendiri dalam memberitahu perihal kebenaran termasuk perbezaan usia. Cuma, dalam sesetengah situasi ia perlu juga merujuk kaedah agar apa yang disampaikan kena pada caranya.

Berbalik kepada politik, saya suka terhadap idea-idea segar dan bernas dalam politik kerana idea-idea seperti ini banyak berjalan seiringan dengan arus perubahan zaman berbanding idea lama yang biasanya terhasil daripada pemikiran yang lama. Saya juga tidak suka akan politik kepartian orang-orang yang terlalu ekstremis dan taksub dengan partinya sendiri. Saya melihat, cara politik seperti inilah yang memburukkan politik dan membuat sesetengah anak muda kini benci dan jijik terhadap politik. Namun, saya tidak menafikan kecenderungan seseorang terhadap kumpulan yang selesa diikutinya dan saya juga percaya setiap orang yang masuk ke dalam sesuatu parti politik mempunyai tujuan dan agenda tersendiri.

Wanita dan Politik

Wanita yang lantang bersuara dalam masalah dan kerangka politik masih kurang. Pendek kata, wanita sekarang walaupun ramai yang berkerjaya, tetapi masih kurang dari segi berfikir perkara-perkara berat dan mencetuskan idea-idea baharu tetapi selalu mengutamakan perkara-perkara yang selalu dibincangkan. Bukan tidak boleh kita berbual berkenaan bab-bab yang kelihatan kita sangat cerdik berfikir mengenainya. Tetapi, wanita juga perlu cerdik dari segi berfikir tentang hal-hal kenegaraan kerana adakalanya kaum wanita itu selalu sahaja ditindas akibat ketidakfahaman terhadap hak yang perlu diperjuangkan. Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan akan suatu peristiwa yang pernah berlaku di Algeria pada tahun 1989, sebahagian pelajar perempuan universiti yang kuat pegangan agama mereka datang mengadu kepadanya, mengenai sebahagian perempuan sekular seramai hampir 500 orang, yang telah melakukan demonstrasi di jalan ibu kota, yang mana antara tuntutan mereka adalah apa yang berkaitan dengan undang-undang kekeluargaan. Antaranya, menghalang talak, poligami, menuntut persamaan antara lelaki dan perempuan di dalam harta pusaka, membenarkan perempuan muslimah berkahwin dengan lelaki bukan muslim dan sebagainya. Inilah antara contoh ketidakfahaman yang berlaku akibat terlalu mengikut emosi kewanitaan, bukannya berlandaskan fakta yang benar.

Antara politik dan psikologi

Saya minat kedua-duanya; politik dan psikologi. Bagi saya, kedua-dua perkara ini jika digabungkan akan menghasilkan pemikiran yang baik. Jika psikologi dimasukkan dalam politik, tidak akan berlaku sindir menyindir, bahasa kesat dan kekecewaan pada diri yang tidak dapat mempengaruhi orang lain untuk menerima idea dan pendapatnya. Pemikiran akan menjadi lebih terbuka dan tajam apabila seseorang menyediakan dirinya untuk melihat dengan baik akan fakta yang diperkatakan walaupun dalam penyampaian yang pelbagai mengikut ragam manusia.

Tukar kos lepas lepas tamat diploma

Beberapa semester lagi, saya akan menamatkan diploma. Saya sangat berharap dapat menukar kos yang saya benar-benar minat. Jika berhasil mendapat tawaran, dunia kejuruteraan akan saya tinggalkan. Saya juga berharap untuk mempunyai masa hadapan yang lebih cerah apabila bertukar kos nanti.

Namun, itu semua hanyalah perancangan.

Tiadalah kudrat seorang hamba ini yang mampu melawan ketentuan-Nya.

Wallahua'lam.

Kembali Menulis!


Sekian lamanya! Akhirnya! Saya kembali menulis di blog. Aduh, tangan ini sebenarnya dah lama gatal nak menulis cuma masa dan kerja menghalang jari jemari ini untuk menaip dan meluahkannya di keyboard laptop. Memang sejak masuk sem, jadual tidak menentu. Kalau tidak sibuk dengan pelajaran, sibuk berbulatan gembira. IKRAM? Jenguk sekali sekala. Jawatan dah pun dilepaskan.
 
Kadang-kadang dalam masa-masa yang sibuk itulah keluar idea dengan banyaknya. Tak sempat nak tulis panjang-panjang, tulis dalam bentuk poin pun jadilah. Asalkan idea tak hilang dan otak sentiasa menjalankan fungsinya. Ya. Kalau mahu jadi penulis, menulislah. Kalau tak menulis, tetapi cuma banyak fikir sahaja, itu bukan dikira penulis. 

Ada masa, saya langsung tak terfikir untuk menulis. Hanya minat untuk baca status di FB, baca apa yang patut dan saya rasa itu sudah cukup. Ada masa, saya kembali tersedar yang kita tidak sepatutnya terlalu berharap kepada hasil orang lain. Kita patut menghasilkan bahan kita sendiri. Seperti moto ustaz Hasrizal, “Erti hidup pada memberi,”. Kalaulah majoriti manusia mengharapkan hasil daripada manoriti manusia yang ada, tidak akan majulah manusia itu kerana terlalu rigid dan tidak pelbagai. Manusia tidak begitu kerana kita sememangnya diciptakan berbeza-beza. Dalam melatih diri untuk menulis, saya cuba sedaya upaya mengurangkan tabiat ‘share’ di FB sebaliknya melatih tabiat ‘post’ kecuali apabila perkara yang ingin saya ‘share’ itu saya rasakan begitu penting dan ada manfaatnya untuk sahabat-sahabat di FB.

Sewaktu bersekolah dulu, ibu saya yang banyak melatih saya dari segi penulisan karangan. Saya suka saat-saat apabila sudah selesai menulis sesebuah karangan, ibu saya akan baca semula apa yang saya tulis dan perbetulkan apa yang salah. Bila tidak tahu akan maksud sesuatu perkataan, saya akan langsung bertanya kepada ibu dan biasanya beliau dapat menjawabnya. Di sekolah pula, kebanyakan guru-guru bahasa Melayu dan bahasa Inggeris saya agak ‘strict’ dari segi bahasa. Pantang ada kesalahan sedikit sahaja, terus ditegur dan diperbetulkan. Begitulah norma kehidupan yang membentuk minat saya untuk menulis.

Bagi saya, menulis ini banyak cabarannya. Seorang penulis akan menghadapi risiko untuk tulisannya dikritik. Bila apa yang ditulis tersalah atau ada yang tidak puas hati dengan fakta yang dikemukakan, ia boleh sahaja di ‘printscreen’kan , terus post di wall FB dan dijadikan bahan ketawa. Tulisan juga tiada suara. Selalu sahaja orang tersalah erti akan apa yang mahu dikatakan.

Untuk menulis, saya merasakan bahawa seorang penulis itu perlu mempunyai identiti sendiri. Seboleh-bolehnya mereka perlu mengelak daripada menggunakan lenggok bahasa daripada penulis lain kecuali dari segi penulisan ilmiah yang menggunakan sumber rujukan. Seperti juga dalam nyanyian. Kebanyakan penyanyi baru yang meniru suara penyanyi yang sudah popular tidak mudah menarik hati peminat lalu kerjayanya itu terhenti di tengah jalan. 

Apapun, menulis adalah suatu aktiviti berbentuk bebas. Kita bebas menulis apa sahaja yang kita mahu. Saya pula selalu menulis berdasarkan apa yang pernah terlintas dalam fikiran dan saya perasan kelemahan saya adalah pada kegagalan menyusun idea dengan baik. Daripada awal sehingga akhir, saya tidak pernah menggunakan sebarang teknik susunan idea. Jadi, idea saya dalam penulisan selalu bercampur aduk. Apa sahaja yang saya fikir, itulah yang saya tulis. 

Nasib dalam penulisan pula tidak menentu. Ada yang bernasib baik seperti Rebecca Bloomwood dalam Confession Of Shopaholic yang karyanya dianggap genius walaupun apa yang ditulis itu bertentangan dengan dirinya sendiri. Jika sesuatu karya itu dihantar kepada sesebuah syarikat penerbitan, belum tentu karya itu akan diterima tetapi bila karya itu dibawa kepada syarikat lain, ia mungkin diterima lalu berjaya dibukukan. Karya J.K. Rowling, Harry Potter and the Philosopher’s Stone telah ditolak sebanyak 14 kali sebelum dibukukan lalu menjadi bestseller bertahun-tahun lamanya.

Namun, bidang penulisan bukanlah suatu bidang yang sukar untuk diceburi. Ada asas menulis karangan di sekolah juga sudah cukup untuk mengembangkan potensi seseorang untuk menjadi penulis. Semua pekerjaan yang manusia lakukan juga memerlukan penulisan untuk membukukan segala fakta, teknik dan aplikasi. Jika seseorang mengejek anda kerana menulis, bermakna dia juga telah mengejek tulisan-tulisan yang sudah dibaca sejak dari kanak-kanak lagi. Tiada tulisan, mustahil seseorang akan menamatkan alam persekolahannya, memasuki alam universiti seterusnya meneruskan kehidupan di alam pekerjaan. Tiada tulisan, bermakna tiada bidang juga yang akan terhasil. 

Menulis itu biarlah untuk kebaikan ummah. Menulis harus ada isi dan fakta. Sambil menulis, sambil itu juga kita perlu banyak membaca. Bila tidak membaca, selalu sahaja kita lihat tulisan itu kosong dari segi isi dan makna. Sebab itu ada orang menulis sambil dibuai perasaan dek terpengaruh dengan novel-novel jiwang yang sebenarnya banyak membuang masa dan membunuh daya fikir. Dari segi kosa kata, saya tidak nafikan novel-novel seperti itu banyak membantu. Cuma bila terlalu melayan perasaan, kita mudah dikawal emosi dan selalu mengetepikan fungsi akal yang membantu kita untuk berfikir rasional dalam situasi-situasi getir. 

Walau apa yang kita lakukan, ia perlu bermula dengan tujuan dan berakhir dengan harapan. Begitu juga dengan penulisan. Sebelum menulis, kita perlu tanya pada diri sendiri, “Apa tujuanku menulis perkara ini?”. “Apakah ia akan memberi manfaat kepada orang lain?” Jika jawapannya lebih membawa keburukan, fikirkan dan lakukanlah perkara lain yang lebih baik dan lebih berbaloi. Jika jawapannya lebih kepada kebaikan, ayuh, teruskanlah! 

Saya juga masih merangkak dalam bidang ini. Mohon doa sahabat-sahabat agar diri ini terus istiqamah. 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...