Friday 18 May 2012

Pandangan Beberapa Ulama Tentang Purdah


Berikut dibentangkan pandangan-pandangan dan hujah-hujah daripada beberapa ulama mengenai masalah syariat berkenaan menutup wajah. Selepas saudara saudari membaca dan mendalaminya, terpulang sahaja kepada saudara saudari untuk berpegang pada ijtihad yang diyakini kerana agama itu luas dan anjal.

Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani menerangkan pendapatnya melalui bukunya yang bertajuk Jilbab al-Marah al-Muslimah fi al-Kitab wa al-Sunnah. Berikut merupakan pandangan dan hujahnya:

Banyak dari masyayikh (para syeikh) dewasa ini yang berpendapat bahawa wajah wanita itu merupakan aurat yang tidak boleh dibuka, bahkan haram dibuka. Penjelasan di muka kiranya sudah cukup untuk membantah pendapat ini. Sebaliknya ada kelompok lain yang berpendapat bahawa menutup wajah itu merupakan perbuatan bidaah dan tanatthu' (berlebihan, melampaui batas) dalam beragama. Kepada saudara-saudara kami yang berpendapat seperti itu kami sampaikan penjelasan seperti berikut:

Hendaklah diketahui bahawa masalah menutup wajah dan dua telapak tangan itu memang ada dasarnya dalam As-Sunnah. Hal itu pernah dikenal dan dipraktikkan di zaman Nabi seperti yang pernah ditunjukkan sendiri oleh Nabi melalui sabda beliau yang bermaksud:

"Janganlah wanita yang berihram itu mengenakan niqab dan juga jangan memakai qaffaz (sarung tangan)."


(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (IV : 42), An-Nasa'i (II : 9 - 10), Al-Baihaqi (V : 46-47) dan Ahmad (no. 6003) dari Ibnu Umar secara marfu'.

     Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Tafsir Surat An-Nur mengatakan,

"Ini menunjukkan bahawa niqab mahupun qaffaz itu keduanya dikenal di kalangan wanita yang tidak sedang berihram. Ini berarti mereka itu menutup wajah dan kedua tangan mereka."

Nas-nas yang menyebutkan bahawa isteri-isteri Nabi itu mengenakan hijab (niqab) pada wajah mereka, cukup banyak. Di antara dalil-dalil mahupun atsar (yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w.) yang menguatkan apa yang dikatakan di atas adalah seperti berikut:

1. Dari 'Aisyah r.a., ia berkata: 

"Saudah pernah keluar rumah untuk suatu keperluan setelah ia menutupkan hijab (tabir). Ia adalah seorang wanita yang gemuk yang tidak boleh menyembunyikan diri dari orang yang sudah pernah mengenalnya. Maka Umar pun melihatnya seraya berkata, 'Wahai Saudah! Demi Allah mengapa kamu tidak menyembunyikan diri dari kami? Lihatlah bagaimana kamu keluar!' Aisyah menceritakan lagi, "Saudah pun kembali pulang sedangkan Rasulullah berada di rumahku sedang makan malam, dan tangan beliau masih memegang al-'arq (tulang yang masih tersisa sedikit daging padanya). Saudah menemui Nabi lalu berkata, 'Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku keluar (rumah) untuk suatu keperluan, lalu Umar mengatakan kepadaku begini dan begini!'" 'Aisyah berkata, "Lalu Allah Taala menurunkan wahyu kepada beliau, sedangkan al-'arq masih berada di tangan beliau dan tidak beliau letakkan, lalu beliau bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah diizinkan bagi kalian untuk keluar demi keperluan kalian." 

2. Dari Aisyah r.a. juga, ia berkata: 


"...Tatkala aku sedang duduk di tempat istirehatku, aku tiba-tiba mengantuk dan akhirnya tertidur. Ternyata Shafwan bin Al-Mu'atthal As-Silmi Adz-Dzakwani datang dari belakang pasukan. Ia tiba lewat petang. Ia pun menginap di tempat penginapanku. Aku lihat orang tidur dalam kegelapan malam. Ia lalu datang kepadaku dan ia pun mengenalku tatkala ia melihatku. Ia pernah melihatku sebelum aku berhijab. Lalu aku bangun meminta agar ia kembali tatkala ia telah mengenaliku. Kemudian aku pun menghimari (dalam riwayat lain: menutupi) wajahku darinya dengan jilbabku....."

3. Dari Anas bin Malik tentang kisah Perang Khaibar dan pilihan Nabi terhadap Shafiyah untuk diri baginda sendiri, bahawa Anas berkata: 

"Lalu Rasulullah s.a.w. keluar dari Khaibar tanpa memperlihatkan cinta kasih (kemesraan) kepada Shafiyah. Namun, tatkala unta baginda yang hendak ditunggangi untuk keluar sudah dekat, maka baginda menaruh kakinya agar Shafiyah meletakkan telapak kakinya di atas paha beliau, namun Shafiyah tidak mahu. Lalu Shafiyah hanya meletakkan lututnya di atas paha Nabi dan Nabi pun menutupinya lalu membawa Shafiyah di belakang serta meletakkan selendang baginda di atas punggung dan wajah Shafiyah. Kemudian baginda mengikat selendang itu dari bawah kaki Shafiyah lalu membawanya. Nabi mendudukkan Shafiyah sejajar dengan kedudukan isteri-isteri beliau yang lain."

4. Dari 'Aisyah r.a., ia berkata:

"Adalah para penunggang melewati kami sedangkan kami bersama Rasulullah s.a.w., sedang berihram. Maka jika mereka lewat di samping kami, maka salah satu di antara kami melabuhkan jilbabnya dari kepalanya agar menutupi wajahnya. Dan tatkala mereka telah berlalu, kami pun membukanya kembali."

5. Dari Asma' binti Abu Bakar, ia berkata: 

"Kami menutupi wajah-wajah kami dari kaum lelaki, dan kami sebelum itu menyisir rambut dalam ihram."

6. Dari Shafiyah binti Syaibah, ia berkata: 


"Aku pernah melihat Aisyah melakukan tawaf di Kaabah dengan mengenakan niqab."

7. Dari Abdullah bin Umar, ia berkata: 


"Tatkala Nabi s.a.w. memperhatikan Shafiyah, beliau melihat Aisyah mengenakan niqab di tengah-tengah kerumunan manusia, lalu Nabi pun tahu bahawa itu benar-benar Aisyah."

8. Dari Ibrahim bin Abdurrahman bin Auf: 


"Bahawa Umar bin Al-Khattab mengizinkan kepada para isteri Nabi s.a.w. untuk menunaikan haji yang terakhir kalinya. Bersama mereka Umar mengutus Utsman bin Affan dan Abdurrahman bin Auf. Ibrahim berkata:

Utsman ketika itu berseru:

"Hati-hatilah, jangan sampai ada seorang pun yang mendekati mereka (para isteri Nabi) dan jangan sampai seorang pun memandangi mereka."

Para isteri Nabi itu berada dalam sekedup di atas unta. Tatkala mereka turun (singgah) maka mereka ditempatkan oleh Utsman di bahagian depan lembah, sedangkan Utsman sendiri bersama Abdurrahman bin Auf berada di bahagian belakang lembah itu, dan tiada seorangpun yang naik ke lembah tempat mereka itu tinggal."

Hadis-hadis ini menunjukkan secara jelas bahawa menutupi wajah (memakai niqab) itu memang sudah dikenali di zaman Nabi s.a.w.. Para isteri baginda pun mengenakannya. Selepas itu, kaum wanita yang utama sepeninggal mereka pun mencontohi mereka. Dua contoh di antaranya adalah seperti berikut:

1. Dari Ashim Al-Ahwal, ia berkata:

"Kami mengunjungi Hafshah binti Sirin, sedangkan ia menjadikan jilbabnya untuk berniqab, lalu aku katakan kepadanya: Semoga Allah merahmatimu! Allah s.w.t. telah berfirman:

"Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan."

-Ia adalah jilbab-, Ashim berkata, lalu ia mengatakan kepada kami, "Apalagi sesudah itu?" Kami menjawab:


"...dan berlaku iffah (menjaga kesucian diri) itu lebih baik bagi mereka."
(Surah An-Nur: 60)

Ia kemudian berkata: "Itu adalah penetapan hijab!"

2. Dari Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Musa Al-Qadhi, ia berkata:

"Aku pernah menghadiri majlis Musa bin Ishaq Al-Qadhi (hakim) di kota Rai tahun 286 H. Lalu seorang wanita mengadukan persoalan di mana walinya menuntut bahawa suaminya masih mempunyai hutang mahar sebanyak lima ratus dinar, namun ia tidak mengakui. Maka sang qadhi (hakim) pun bertanya, 'Mana saksi-saksimu?' Ia menjawab, 'Aku telah mendatangkan saksi-saksinya.' Maka sebahagian dari saksi-saksi yang ada itu diminta untuk melihat wanita tersebut agar ia dapat memberikan persaksiannya. Saksi itu pun berdiri lalu berkata kepada wanita itu, 'Bangunlah!' Melihat hal itu suaminya langsung berkata, 'Apa yang kalian lakukan?!' Salah seorang dari mereka yang mewakili temannya menjawab, 'Saksi-saksi itu akan melihat isterimu dalam keadaan terbuka wajahnya, agar mereka dapat mengenalnya dengan jelas.' Lantas suami wanita itu pun akhirnya berkata, 'Saya bersaksi (mengaku) kepada hakim bahawa aku memang memiliki hutang mahar seperti yang dituntutkan itu. Namun jangan sampai isteriku dipaksa membuka wajahnya!' Lalu sang isteri itupun lantas menimpali, 'Aku pun bersaksi kepada hakim bahawa aku telah menghibahkan mahar ini kepadanya dan aku bebaskan ia di dunia dan akhirat.' Selepas itu, hakim berkata, 'Ini termasuk bentuk akhlak yang mulia'."

Berdasarkan apa yang telah dikemukakan di depan, dapatlah dipetik kesimpulan bahawa masalah menutup wajah bagi wanita dengan niqab yang juga kita kenal sekarang ini yang dikenakan oleh kaum wanita yang terjaga adalah masyru' (disyariatkan) dan terpuji, meskipun hal itu tidak wajib baginya. Namun yang mengenakannya bererti ia telah melakukan kebaikan dan yang tidak pun tidak berdosa.

Dari penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa yang menjadi syarat pakaian wanita itu jika keluar rumah adalah hendaklah pakaian tersebut menutupi seluruh tubuhnya kecuali wajah dan kedua telapak tangannya.

Dalam menilai sesuatu permasalahan, kita juga haruslah mempertimbangkan keadaan semasa yang dilalui oleh ummah kini selain tidak mengikuti pengaruh mazhab secara keras sebaliknya mengambil hujah secara terbuka. Berikut pula adalah pandangan dan hujah daripada Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA):

Persoalan memakai purdah atau yang disebut sebagai niqab bagi wanita adalah persoalan khilafiyyah yang diiktiraf. Maksudnya para `ulama berbeza pendapat mengenainya atas kaedah dan hujah yang diiktiraf untuk kedua-dua pihak. Ada di kalangan ulama yang mewajibkannya dengan menganggap wajah wanita adalah `aurat. Jumhur fuqaha’ (majoriti ulama fiqh) pula menganggap wajah wanita bukannya `aurat. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-majmu’ , katanya: “Sesungguhnya `aurat wanita yang merdeka itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Inilah pendapat al-Imam al-Syafi`i, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah, al-Imam al-`Auza`i, al-Imam Abu Thaur dan lain-lain. Demikian juga dalam satu riwayat daripada pendapat al-Imam Ahmad”

Di zaman ini, di kalangan ulama yang kuat menegaskan wajah wanita adalah `aurat antaranya al-Syeikh Ibn Baz r.h.dalam fatwa-fatwanya yang banyak, juga Dr. Sa`id Ramadhan al-Buthi dalam buku kecilnya “إلى كل فتاة تؤمن بالله” dan sebelum itu `Abu al-`Ala al-Maududi r.h dalam bukunya al-Hijab. Sementara yang menyatakan wajah wanita bukan `aurat adalah majoriti ulama semasa, antaranya Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya “النقاب للمرأة المسلمة، بين القول ببدعيته، والقول بوجوبه” Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. dalam “جلباب المرأة السلمة في الكتاب والسنة (seperti di atas) dan selepas itu sebagai jawapan dan tambahan kepada kitab tersebut beliau menulis الرد المفحم. Demikian juga Muhammad al-Ghazali dalam banyak tempat dalam buku-bukunya.

Alasan-alasan yang dibawa oleh jumhur ulama yang menyatakan wajah wanita muslimah bukannya `aurat adalah jelas dan nyata. Antaranya:

a) Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31

وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.

Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara:

Pertama: Jumhur menafsirkan maksud: ِإلاّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا (maksudnya: kecuali yang zahir daripadanya) ialah wajah dan tapak tangan. Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. Sesiapa yang inginkan pendetilan mereka boleh melihat kitab-kitab tafsir, hadith dan fiqh ketika para `ulama menghuraikan ayat ini. Al-Syeikh al-Albani r.h. mendetilkan penbincangan ayat tersebut dalam kitabnya الرد المفحم membukti bahawa muka dan tapak tangan bukannya aurat bagi wanita muslimah dan beliau menyenaraikan riwayat para sahabah yang memegang pendapat ini.

Kedua: ayat di atas menyatakan:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

(maksudnya) “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.

Allah hanya memerintahkan agar ditutup جيوب iaitu jamak kepada جيب ataupun kita terjemahkan sebagai bahagian dada yang terdedah disebabkan belahan leher baju. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Ayat ini tidak langsung menyebut agar mereka menutup wajah mereka. Kalaulah wajah itu adalah `aurat, maka sudah pasti ayat ini akan turut memerintahkan agar mereka menutupnya juga.

Oleh itu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi menyebut dalam al-Muhalla: “Ayat adalah dalil bahawa diharuskan membuka wajah, tidak mungkin sama sekali difahami selain dari itu”

b) Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 52

لا يَحِلُّ لَكَ النِّسَاءُ مِنْ بَعْدُ وَلا أَنْ تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَاجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ

(maksudnya) “Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baru sekalipun kecantikan mereka mengkagumkanmu, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu”.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi s.a.w.. Daripada ayat ini jelas bahawa para muslimat ketika zaman baginda s.a.w. tidak menutup wajah mereka, jika tidak bagaimana mungkin kecantikan mereka boleh menarik perhatian baginda. Ini tidak mungkin melainkan wajah mereka terbuka dan dapat dilihat.

c) Di dalam sebuah hadith daripada Abu Kabsyah alAnmari, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا فِي أَصْحَابِهِ فَدَخَلَ ثُمَّ خَرَجَ وَقَدِ اغْتَسَلَ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ كَانَ شَيْءٌ قَالَ أَجَلْ مَرَّتْ بِي فُلانَةُ فَوَقَعَ فِي قَلْبِي شَهْوَةُ النِّسَاءِ فَأَتَيْتُ بَعْضَ أَزْوَاجِي فَأَصَبْتُهَا فَكَذَلِكَ فَافْعَلُوا فَإِنَّهُ مِنْ أَمَاثِلِ أَعْمَالِكُمْ إِتْيَانُ الْحَلالِ

(Suatu ketika Rasulullah s.a.w. duduk bersama sahabat-sahabat baginda. Tiba-tiba baginda masuk (ke dalam rumah baginda), kemudian keluar dalam keadaan baginda sudah mandi. Kami pun bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah berlaku sesuatu?”. Jawab baginda: “Ya! Telah melintasi di hadapanku fulanah (perempuan tertentu yang dikenali), maka timbul dalam hatiku syahwat terhadap wanita, lantas aku pun mendatangi salah seorang dari isteriku dan menyetubuhinya. Demikianlah yang mesti kamu lakukan, kerana antara amalan kamu yang baik ialah mendatangi yang halal” (Riwayat Ahmad dan al-Tabarani di dalam الأوسط . Kata al-Albani dalam سلسلة الأحاديث الصحيحة sanad hadith ini hasan, bahkan lebih tinggi dari hasan إن شاء الله) .

Walaupun rawi hadith tidak menyebut nama wanita berkenaan, tetapi perkataan fulanah dalam bahasa arab bermaksud wanita tertentu yang dikenali. Ini menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengenalinya. Sebagai Rasul yang bersifat dengan keinsanan maka timbulnya perasaan dalam hati baginda seperti mana ianya timbul dalam jiwa seorang insan lelaki yang normal. Maka untuk melepasi perasaan tersebut baginda mendatangi seorang daripada isteri-isteri baginda, iaitu Zainab seperti yang dinyatakan dalam riwayat yang lain. Juga hadith ini adalah tunjuk ajar Nabi s.a.w. secara praktikal kepada para sahabah.

Dalam riwayat-riwayat yang lain disebut:

فَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَأَعْجَبَتْهُ فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ فَإِنَّ ذَاكَ يَرُدُّ مِمَّا فِي نَفْسِهِ

“Apabila seseorang kamu melihat seseorang wanita yang mengkagumkannya, maka datangi isterinya, kerana itu dalam menyelesaikan apa yang ada dirinya” (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Baihaqi, Ahmad, lafaz hadith di atas ialah lafaz al-Imam Ahmad).

Jika kita teliti hadith ini, kita akan bertanya, “bagaimana mungkin kecantikan wanita zaman tersebut boleh menarik perhatian lelaki jika mereka semua menutup wajah atau berpurdah?. Ini menunjukkan mereka tidak menutup wajah mereka.

d) Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain:

عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِي اللَّه عَنْهممَا قَالَ كَانَ الْفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ فَجَعَلَ الْفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْرِفُ وَجْهَ الْفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الْآخَرِ

Daripada Ibn `Abbas r.a., katanya Al-Fadhal (bin `Abbas) pernah menjadi radif Rasulullah s.a.w. (menaiki unta yang sama di belakang Rasulullah). Datang seorang wanita dari khasy`am. Lalu al-Fadhal memandangnya dan dia pun memandang al-Fadhal. Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.

Dalam riwayat al-Nasai dinyatakan:

فَأَخَذَ الْفَضْلُ بْنُ عَبَّاسٍ يَلْتَفِتُ إِلَيْهَا وَكَانَتِ امْرَأَةً حَسْنَاءَ وَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْفَضْلَ فَحَوَّلَ وَجْهَهُ مِنَ الشِّقِّ الْآخَرِ

Lantas al-Fadhal bin `Abbas memandangnya. Dia adalah seorang perempuan yang cantik Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.

Riwayat-riwayat ini menunjukkan wanita pada zaman Nabi s.a.w tidak menutup wajah mereka. Sementara Nabi s.a.w pula hanya memusingkan wajah al-Fadhal tanpa menyuruh wanita berkenaan menutup wajah. Sekalipun dia sangat cantik. Ini menunjukkan pendapat yang menyatakan wanita yang berwajah cantik wajib menutup muka juga adalah tidak kukuh. Jika dibaca kesuluruhan hadith kita kan tahu, peristiwa itu berlaku pada haji wada’. Sedangkan ayat hijab dalam al-Quran turun sebelum itu lagi, iaitu pada tahun 5 hijrah. Maka dakwaan yang menyatakan perintah menutup wajah datang selepas itu, adalah tidak tepat.

Inilah sebahagian daripada dalil-dalil yang banyak yang dikemukakan oleh jumhur `ulama bagi membuktikan wajah wanita bukan `aurat. Berpegang kepada pendapat jumhur dalam ini adalah lebih jelas dari segi nas atau dalilnya, juga lebih memudah seseorang muslimah di dalam alam semasa yang ada. Islam itu mudah dan praktikal seperti yang ternyata pada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

Pendapatnya di dalam buku yang lain:

Ketaksuban mazhab telah mengongkong wanita Arab di sesetengah negara seperti Arab Saudi dan beberapa negara Teluk dalam masalah ini. Bagi sesetengah ulama yang taksub dalam masalah ini, membuka purdah seolah-olah kesalahan yang amat berat. Ini membebankan wanita dalam perkara yang syarak memberikan keluasan untuknya.

Apatah lagi pada zaman yang imej Islam difitnah dengan berbagai tuduhan khianat kononnya Islam menindas wanita. Pendapat majoriti, di samping kukuh dari segi dalil, lebih memudahkan wanita berurusan dalam hidup mereka. Juga boleh menangkis perasaan fobia sesetengah pihak terhadap Islam.

Wallahu a'lam bisawwab

dan Allah jua yang lebih mengetahui



Rujukan:

1) Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Jilbab Wanita Muslimah Menurut Qur'an dan Sunnah. 109-118
2) Hukum Memakai Purdah?   http://drmaza.com/himpunan_fatwa/?p=35
3) Dr Mohd Asri Zainul Abidin (2007), Fanatik Mazhab: Kesan Kepada Pemikiran Umat, Shah Alam,    Karya Bestari. 29


Monday 7 May 2012

Sabar dan Yakinlah!


"Bagi kamu, kehidupan ini best tak?" 

"Akhi..akhi.. Apa yang membuatkan akhi berkata begitu?"

"Kerana bagi aku kehidupan ini payah..." 

"Percayalah akhi, semua orang punyai masalah..cuma kita sebagai manusia harus bersabar dalam menguruskannya.."

"Tapi aku tak kuat untuk menguruskannya.."

"Yakinlah akhi! Akhi pasti boleh kerana Allah memberikan ujian, sesuai dengan kesanggupan hamba-hamba-Nya.."

Dia tertunduk. Air mata yang bertakung di kelopak matanya mulai melimpah seiring dengan hatinya yang syahdu mengenangkan nasib dirinya yang sudah tidak punyai apa-apa. Dia sudah muflis. Isteri dan anak-anaknya dibawa lari teman lelaki isterinya yang datang entah dari mana. Semuanya hilang dalam sekelip mata. 

Pada saat ini, baru dia sedar akan pengabaian tanggungjawabnya sebagai suami kepada isterinya dan bapa kepada anak-anaknya. Dia terlalu sibuk mengejar harta sehingga dia lupa untuk mengejar kasih sayang mereka. 


Seringkali kesedaran timbul pada diri seseorang, sebagai petanda hidayah akan tiba menghampirinya. Itulah yang disebut dengan panggilan batin dan kesedaran fitrah kerana penciptaan manusia berasal dari dua alam yang berlawanan iaitu alam roh dan alam tanah. Ia saling menarik, saling menekan.

Ketika posisi sifat tanah melemah dan menyerah, terasa alam roh akan menguasai dirinya dan dengan itu timbullah kesedaran. Kadang-kadang kesedaran itu timbul setelah seharian badannya mengejar dunia. Sekarang badannya direhatkan, fikirannya  dibiarkan lepas terbang, nun jauh di alam lain. Di sanalah dia baru berfikir akan kehidupan yang berbeza dengan kehidupan dunia ini, setelah penat memuaskan keinginan tubuhnya, ke mana lagi dirinya akan dibawa? Terfikir pula kezaliman dan kejahatan yang dilakukannya. Bila dia akan mendapatkan hukumannya? Atau kebaikan yang pernah dilakukannya. Bila dia akan memperoleh sanjungannya? Dari sebanyak itu dia berfikir, akhirnya dia akan tersungkur juga ke dalam lembah fitrah yang sangat dalam. Itulah petanda hidayah telah mula hadir di dalam hidupnya. Orang yang telah ditarik ubun-ubunnya oleh zat Yang Maha Kuasa, dia akan sentuh hidayah tersebut, dia akan sapa dan bertanya tentang keinginannya.

Akan tetapi, sangat disayangkan! Banyak pula orang yang tidak boleh mengolah perubahan dirinya menjadi sebenar-benar hidayah. Dia tidak boleh mempertahankan hidayah tersebut, seakan-akan begitu lemah untuk mempertahankan dan memeliharanya.

Pada saat ini, sabar dan yakinlah yang boleh menyelamatkannya. Sabar dengan ujian yang menimpa dan yakin dengan apa yang diperbuat.

Perintah Allah untuk bersabar, sebagaimana firman Allah,

"Bersabarlah, tidaklah sabarmu itu melainkan hanya dengan Allah." 

(Surah An-Nahl: 127)

Seorang muslim dituntut untuk yakin tentang semua yang dikhabarkan oleh Allah dari semua perintah dan larangan-Nya. Yakin yang lahir dari ilmu dan pemahaman yang benar tentang agama, inilah yang mengantarkan seorang muslim untuk tetap istiqamah di atas agama Allah, sekalipun semua penduduk bumi menyelisihinya.

Allah berfirman,

"Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Rabb mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung."

(Surah Al-Baqarah: 4-5)

Kita dipilih Allah bukannya bersahaja...
ruang ini, tempat ini...
hanya untuk mereka
yang dikirakan-Nya mampu dan layak...
hikmah itu pasti...

Sabar dan yakinlah!
Healing-Sami Yusuf (lyrics)
 

Rujukan-  Armen Halim Naro (2009). Untukmu Yang Berjiwa Hanif. Bogor. Pustaka Darul Ilmi. 109-138.

Thursday 3 May 2012

Benarkah Surah Yasin Jantung Al-Quran?



Benarkah Surah Yaasiin adalah Qolbul Qur'an (hati/jantung al-Qur'an)? Dalil berkenaan dengannya adalah:

Hadis Pertama:


حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ وَسُفْيَانُ بْنُ وَكِيعٍ قَالَا حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الرُّؤَاسِيُّ عَنْ الْحَسَنِ بْنِ صَالِحٍ عَنْ هَارُونَ أَبِي مُحَمَّدٍ عَنْ مُقَاتِلِ بْنِ حَيَّانَ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ قَالَ


قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ

Maksud: Telah mengkhabarkan kepada kami, Qutaibah dan Sufyan B. Waqiq. Daripada Humaid B. 'Abdurrahman ar-Ru'asi, daripada Hasan B. Soleh, daripada Harun Abi Muhammad, daripada Muqatil B. Hayyan, daripada Qotadah, dari Anas (bahawasanya):

Berkata Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam:

Sesungguhnya setiap sesuatu itu memiliki hati dan hati bagi al-Qur'an itu adalah surah Yaasiin. Sesiapa yang membacanya, maka Allah akan memberikan pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca al-Qur'an sepuluh kali.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadhoil al-Qur'an. Ad-Darimi, Sunan ad-Darimi, 10/311, no. 3479. Bab Fadhoil Yaasiin.

Berkenaan Hadis Ini:

1 - Berkata Imam at-Tirmidzi, hadis ini gharib (asing/tidak dikenali). Pada sanadnya terdapat Harun Abi Muhammad beliau seorang yang majhul (tidak dikenali/diketahui). Juga diriwayatkan oleh ad-Darimi, dan pada sanadnya dhoif. (Rujuk: Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadhoil al-Qur'an)

2 – Didhoifkan (dilemahkan) oleh Syaikh al-Albani di dalam Misykah al-Mashobih, 1/486, no. 2147. Kitab Fadhoil al-Qur'an. Dinyatakan maudhu' (palsu), di dalam Dhoif at-Targhib wa at-Tarhib, 1/222, no. 885. Juga di dalam Dhoif Sunan at-Tirmidzi, 6/387, no. 2887 dan Silsilah al-Ahadis adh-Dhoifah wal Maudhu'ah, 1/246, no. 169.

3 – Harun Abi Muhammad turut dinyatakan sebagai majhul (tidak dikenali) oleh Imam adz-Dzahabi, Mizanul I'tidal, 4/288, no. 9178.

4 – Perawi bernama Muqatil B. Hayyan pula didhoifkan oleh Ibnu Ma'in. Manakala Imam Ahmad menyatakan bahawa beliau tidak mempedulikan Muqatil B. Hayyan. (Rujuk: Imam adz-Dzahabi, Mizanul I'tidal, 4/172, no. 8739)

Hadis Kedua:

حَدَّثَنَا عَارِمٌ، حَدَّثَنَا مُعْتَمِرٌ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ رَجُلٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ….:وَيس قَلْبُ الْقُرْآنِ لَا يَقْرَؤُهَا رَجُلٌ يُرِيدُ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَالدَّارَ الْآخِرَةَ إِلَّا غُفِرَ لَهُ وَاقْرَءُوهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ

Maksud: Diriwayatkan (dikhabarkan) daripada ‘Arim, dari Mu’tamir, dari ayahnya, dari seseorang, dari ayahnya, dari Ma’qil B. Yasaar: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:....

....Surah Yaasiin adalah jantung (hati) al-Qur’an, tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharapkan keredhaan Allah dan negeri akhirat (Syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah surah Yaasiin itu kepada orang yang akan mati di antara kamu.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Musnad Ahmad, 41/250, no. 19415. an-Nasaa’i, ‘Amalul Yaum wal Lailah, 1/581, no. 1075.

Berkenaan Hadis Ini:

Di dalam hadis ini terdapat tiga orang yang majhul (tidak dikenali nama dan keadaannya). Hadis ini didhoifkan oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth di dalam penelitiannya ke atas Musnad Ahmad, 33/417, no. 20300. Dinyatakan mungkar oleh Syaikh al-Albani. Menurut al-Haitsami, padanya terdapat rawi yang tidak diketahui. Dan menurut ad-Daruquthni, isnadnya dhoif tidak diketahui matannya dan tidak diketahui satu hadis pun yang sahih dalam bab ini. (Rujuk: Silsilah al-Ahadis adh-Dhoifah wal Maudhu’ah, 41/250, no. 6843).

Kesimpulan:

Setelah kita melihat dan mengetahui bahawa dalil (hadis) yang menyatakan bahawa hati al-Qur'an adalah Yaasin itu lemah (dhoif) atau sebahagian dari ulama pula menyatakannya sebagai maudhu' (palsu), maka dengan itu:

Hadis ini tidak boleh diterima pakai dan tidak boleh dijadikan sebagai hujjah.

Syaikh 'Abdul Muhsin al-'Abbad menyatakan bahawa, tiada suatu hadis pun yang sahih berkenaan Yaasiin sebagai jantung (atau hati) al-Qur'an. (Rujuk: 'Abdul Muhsin al-'Abbad, Syarah Sunan Abi Daud, 16/435). Begitu juga sebagaimana yang dinukilkan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah di dalam Silsilah al-Ahadis adh-Dhoifah wal Maudhu’ah, 12/784, no. 5861.

credit to: http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2009/10/164-hadis-yasin-adalah-jantunghati-al.html


Tuesday 1 May 2012

Cinta Buku

Pada awal tahun yang lalu, kita dihebahkan dengan pengeluaran dan pengagihan baucar buku 1 Malaysia bernilai RM200 kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang sedang menuntut di semua IPTA dan IPTS di seluruh negara. Pelajar yang berada di matrikulasi dan tingkatan enam juga tidak terkecuali. 

Bagi yang bijak mengambil peluang, baucar tersebut digunakan untuk membeli buku-buku teks dan buku-buku rujukan berdasarkan mata pelajaran yang diambil. Ada pula yang menggunakannya untuk membeli buku-buku ilmiah yang lain. Selain itu, terdapat juga sesetengah daripada mereka membeli alat tulis bagi membantu proses pembelajaran mereka. 

Walaubagaimanapun, ada pula sesetengah pelajar menebus beberapa item di kedai buku yang tidak dapat ditebus dengan menggunakan baucar atas sebab item tersebut sama sekali tidak membantu proses pembelajaran. Bila tidak dapat ditebus, mulalah ada yang merungut. Itu baru isu tidak dapat tebus. Bagaimana pula pelajar yang menjual baucar tersebut kepada orang lain? 

Mungkin ada sesetengahnya memberi alasan bahawa RM200 itu terlalu banyak. Harga buku-buku teks dan buku-buku rujukan mereka tidak sampai ke tahap itu, akan tetapi, adakah konteks ilmu itu terbatas hanya pada pembelajaran di universiti sahaja? 

Jika kita perhatikan, masyarakat kita kini hampir semuanya celik huruf. Amat sukar untuk ditemukan seorang pemuda yang tidak tahu membaca di zaman ini. Seharusnya kita bersyukur dengan fenomena yang positif ini.

Sayangnya, budaya membaca umat Islam masih di tahap yang sangat rendah. Mereka lebih suka menghabiskan masa dengan tv dan permainan daripada menelaah buku. Budaya ini tentu sahaja tidak selari dengan tokoh-tokoh Islam kita terdahulu.

Muhammad bin Hasan Al-Syaibani adalah seorang ulama fiqah yang juga pakar dalam hadis. Beliau mempelajari fiqah dari Imam Abu Hanifah, dan ilmu hadis dari pelbagai ulama antaranya dari Imam Malik bin Anas. Beliau menetap di Madinah selama tiga tahun untuk mendengar sendiri kitab Al-Muwatta dari Imam Malik.

Diceritakan bahawa Muhammad bin Hassan selalu menghabiskan malamnya dengan menelaah buku. Beliau meletakkan buku-buku di sebelahnya. Apabila bosan dengan suatu buku, beliau akan beralih kepada buku yang lain. 

Di Baghdad, Khalifah Harun al-Rasyid mengangkatnya menjadi hakim di kota Raqqah. Namun tidak lama setelah itu, beliau melepaskan jawatan ini agar dapat menyebarkan ilmu sepenuh masa. Beliau sangat cerdas, sehingga Imam Syafie berkata:

“Belum pernah aku berdebat dengan orang gemuk yang lebih cerdas daripadanya.”

Demikian diriwayatkan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam kitab beliau yang sangat menarik, iaitu Qimat al-Zaman ‘Indal-‘Ulama. 

Kita boleh sahaja mengikuti cara yang dilakukan oleh Muhammad bin Hasan. Tidak semestinya kita perlu menghabiskan satu buku pada satu-satu masa. Jika sudah bosan, beralihlah pada buku yang lain pula. 

Rasulullah ketika menerima wahyu yang yang pertama, diturunkan saranan daripada Allah SWT agar membaca dan mengenal. Apabila ada usaha ke arah itu, maka Allah SWT akan memberikan kepada kita ilmu dan kefahaman. Semuanya termaktub dalam surah al-Alaq ayat 1 sehingga 5. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bacalah (wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”


Begitulah Allah menerangkan kepada hamba-hambanya supaya menceduk ilmu daripada tabiat membaca. Ilmu itu luas. Ambillah yang baik agar kita dapat menggunakan yang baik dan menyampaikan juga yang baik sebagai bekalan buat kita di akhirat kelak. Insya Allah.


Jom kita membaca! 


'Reader is leader'! 





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...