Monday 9 December 2013

Sapere Aude ! (I)

Bagi Anida bebas itu kata yang mudah diucapkan
namun sulit untuk dipraktikkan
Maka setiap ia terbangun di pagi hari,
ia selalu bertanya
Apa itu bebas?
Mungkin kebebasan itu seperti udara yang dihirupnya
dan matahari yang menerpanya setiap pagi
Membuatnya merasa seperti manusia
Atau kebebasan itu ertinya cinta?
Sayangnya senja selalu datang lebih awal di hari-hari Anida
dan hingga Anida menutup matanya kembali,
dia belum menemukan pertanyaan yang memulai harinya pagi tadi - Apa itu bebas?

Suatu puisi yang cukup indah di dalam filem “Perempuan Berkalung Sorban” berkenaan kebebasan.

           Filem ini telah mengangkat martabat wanita sebagai golongan yang perlu dilindungi haknya dan bukan dinafikan hak mereka dimana penafian tersebut cuma berpandukan penilaian hadith secara literal dan tidak merangkumi aspek kehidupan semasa.

Membicarakan hal berkenaan hak gender sememangnya boleh membuat hati merasa resah lebih-lebih lagi bila ia cuma menyebelahi satu-satu gender dan tidak menyebelahi satu gender lain yang mewakili pihak diri sendiri. Saya merasakan hal ini saat membaca karya Allan dan Barbara Pease di dalam buku mereka bertajuk “Why Men Don’t Listen and Women Can’t Read Maps” di mana pada awalan kandungan buku ini disumbat dengan begitu banyak sekali fakta yang memenangi pihak wanita. Di bahagian tengahnya, barulah disebutkan fakta-fakta yang menyebelahi kaum lelaki. Terdetik di fikiran saya ketika membaca buku ini, apakah lelaki akan meneruskan pembacaan mereka setelah bahagian awalnya banyak memenangi perempuan sebaliknya lelaki disisihkan?

Justeru dalam perkara ini kita perlu melihatnya dalam kerangka yang adil bagi berusaha mengadili semua pihak sebaiknya menurut hak yang masing-masing patut menerimanya dan kita perlu menjauhkan penilaian kita daripada sikap ego dan emosi.

Kebebasan Berfikir

Realiti di sekolah-sekolah dan universiti-universiti sekarang, kita tidak lagi diajar untuk berfikir menggunakan kefahaman sendiri sebaliknya dipaksa secara halus untuk mengikut rentak yang telah ditetapkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Soalan-soalan daripada tenaga pengajar seperti “Adakah kamu faham apa yang saya terangkan?” kebanyakannya tidak berubah bentuknya sejak dahulu lagi dan tidak pula digantikan dengan soalan-soalan yang membuat pelajar untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat mereka sendiri seperti “Apa pendapat kamu tentang topik ini?”, “Bagaimana kamu menilai topik ini mengikut pandangan kamu sendiri?”dan “Adakah lagi apa-apa maklumat yang ingin kamu tambah ke dalam topik ini?”.

Immanuel Kant, antara salah seorang filasuf besar baik di Timur mahupun di Barat telah memberi contoh yang baik dalam hal ini di mana dia mahu pelajarnya memberikan tumpuan dalam kelasnya lalu berkata, “Kamu tidak akan belajar falsafah dari saya, saya mengajar bagaimana untuk berfalsafah, saya tidak akan mengajar kamu fikirkan, saya mengajar kamu berfikir.”

Kita sekarang berada di zaman industri yang tidak lari daripada sistem kapitalis yang memaksa manusia untuk ‘mengikut’ supaya penghasilan menepati apa yang dikehendaki oleh pihak pemerintah dan sekali-kali bukan apa yang dikehendaki oleh kita sendiri. Lalu kita sudah semakin terbiasa dengan sistem begini hingga kita tidak menyedari kaki kita tidak lagi berpijak pada bumi nyata sebaliknya berpijak dalam sistem yang mengepung manusia.

Kerana itu, apa yang perlu kita lakukan adalah keluar daripada kepungan ini atas kesedaran diri sendiri dan bagi mengeluarkan diri dari sistem begini, apa yang kita perlukan adalah KEBERANIAN. Keberanian untuk mengeluarkan pendapat secara jelas. Keberanian dalam menerima pendapat yang dirasakan benar tanpa ditutupi hal-hal remeh yang membutakan. Juga keberanian untuk membuat penilaian secara adil.  

Kebanyakan mahasiswa sekarang belajar tidak lebih dari sekadar ingin mendapatkan pekerjaan. Setelah mendapat pekerjaan, maka hidupnya jadi bahagia kerana sudah ada wang. Lalu terjadilah seperti apa yang kita lihat sekarang di mana di sektor-sektor pekerjaan, pekerjanya sering menyulitkan urusan kerja. Di jabatan-jabatan perkhidmatan, kita seringkali merungut kerana tidak dilayan secara adil dan mesra. Tidak kira sama ada majikan mahupun pekerja yang paling bawah, semuanya sama. Hanya memikirkan habuan lalu tidak menjiwai pekerjaan yang dilakukan. Semua ini bermula daripada sistem pendidikan kita yang tidak memanusiakan manusia.


Bersambung…


No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...