Saturday 16 November 2013

Mahasiswa, Gerakan dan Keilmuan (II)

Jika dilihat episod gerakan mahasiswa pada lingkungan 60-an dan 70-an, tidaklah ia menunjukkan mahasiswa bergerak bersama pemimpin mahasiswa yang sememangnya bersifat radikal itu ramai dan berada dalam kelompok majoriti. Itu adalah fitrah dan lumrah kelompok manusia pada setiap zaman. Bukan semua orang bersifat kritikal dalam menentang kerana tahap kesedaran bagi setiap orang berbeza akibat pengalaman yang dilalui juga berbeza.

Dalam era tersebut, sebenarnya gerakan radikal tidak terlalu didominasi oleh setiap anggota mahasiswa tetapi yang terlibat adalah sebahagiannya sahaja. Walaubagaimanapun, kita tidaklah menyokong tindakan orang-orang yang mengambil sikap AKUTIDAKPEDULISME terhadap isu-isu yang berlaku.

Pelaksanaan AUKU

     Pada tahun 1971, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 telah diluluskan oleh parlimen dan ia mendapat tentangan daripada banyak pihak termasuk PBMUM kerana AUKU telah menjejaskan kegiatan mahasiswa yang bersifat ‘advokasi’ namun masih membenarkan program-program lain yang berbentuk ‘aktiviti’ dan ‘bakti’. Selepas AUKU dilaksanakan, timbul rasa tergugat dan budaya takut (culture of fear) ahli-ahli serta pemimpin gerakan mahasiswa yang sebelum ini bersifat radikal. Mahasiswa gentar untuk berpolitik menyebabkan gerakan mahasiswa menjadi semakin lesu. 

     Namun, ada juga pihak yang menafikan kenyataan seperti ini dan mereka melihat gerakan mahasiswa kekal aktif selepas AUKU diperkenalkan tetapi sudut pandang mereka hanyalah tertumpu pada program berbentuk ‘aktiviti’ dan ‘bakti’ sahaja tanpa melihat kepada program berbentuk ‘advokasi’.

     Di celah-celah kekecewaan itu, terdapat juga mahasiswa yang masih berani menggesa kerajaan supaya meminda semula AUKU namun tidak berjaya. 

Menurut Dato’ Saifuddin Abdullah, dalam perbahasan mengenai AUKU, umumnya terdapat tiga pandangan yang utama:

Pandangan yang pertama ialah yang menerima bulat-bulat AUKU 1975. Pandangan yang kedua ialah yang menolak bulat-bulat AUKU. Kedua-dua pandangan ini adakalanya mencerminkan pendirian politik yang dianuti oleh pemegang pandangan tersebut. Adakalanya pula, pandangan pertama mempunyai hujah-hujah yang bernas tetapi sukar dibentangkan kepada khalayak. Manakala, adakalanya pandangan kedua terbit daripada kurang membuat penelitian terhadap AUKU itu sendiri.

Dalam hal ini, wujud pandangan ketiga, iaitu yang sederhana. Pandangan ini menerima kewajaran mewujudkan AUKU 1971, tetapi meminta agar beberapa Seksyen, sama ada pada AUKU 1971 atau pada Pindaan 1975 itu dipinda supaya mahasiswa dapat kembali kebebasan mereka.

Untuk ketiga-tiga pandangan tersebut, saya lebih cenderung untuk memilih pandangan ketiga kerana tidak semua perkara dalam AUKU boleh ditolak kerana terdapat juga kebenaran di celah-celahnya di samping kebatilan yang sememangnya harus ditangani malahan boleh dimusnahkan terus.


Faktor Kelesuan Gerakan Mahasiswa Selain AUKU

Meninjau kembali era mahasiswa 60-an dan 70-an, mahasiswa masih kecil bilangannya dan masyarakat sangat memandang tinggi pendapat golongan terpelajar ketika itu. Namun setelah munculnya banyak universiti bermula dengan Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1975 diikuti dengan pertumbuhan IPTS yang semakin meningkat bilangannya dari tahun ke tahun, golongan kecil tadi sudah semakin membesar bilangannya dan masyarakat sudah semakin terbiasa dengan golongan terpelajar menyebabkan suara mereka sudah tidak lagi diambil serius.

     Sementara itu, kelahiran badan-badan masyarakat sivil (CSO) juga turut menyebabkan gerakan mahasiswa semakin tenggelam kerana badan-badan ini giat mencampuri urusan politik negara. Pemimpin-pemimpin parti politik yang sebelum ini merupakan pendokong gerakan mahasiswa mengakibatkan bukan lagi gerakan mahasiswa yang mempengaruhi parti politik, tetapi sebaliknya parti politik yang mempengaruhi gerakan mahasiswa.
  
     Lalu, timbul kebimbangan terhadap kualiti pemimpin negara pada masa akan datang. Apakah mahasiswa mampu menerajui negara ini dengan baik hanya berbekalkan aktiviti di sekitar kampus sahaja? Bolehkah mahasiswa mengeluarkan hujah-hujah yang relevan tentang isu-isu semasa yang berbangkit sama ada yang melibatkan isu-isu di dalam mahupun luar negara?

     Beberapa hari yang lalu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, mempersoalkan prestasi ahli Parlimen muda di Parlimen yang dikatakan kurang stamina dan kelihatan lesu ketika berbahas.
  
     Menurut Agus, setelah enam bulan pilihan raya umum berlalu hanya beberapa ahli Parlimen muda yang kelihatan aktif di Parlimen. 

"Dari barisan pembangkang saya melihat yang aktif di Parlimen adalah dari DAP dan PKR, itupun beberapa sahaja yang betul-betul aktif.

"...dari Pas, saya melihat ahli Parlimen mudanya sepi. Jika meragui kenyataan saya ini, pergilah ke Parlimen, sunyi!" katanya yang ditulis dalam laman sosial Facebook miliknya.

Beliau mengambil contoh, semasa perbahasan  laporan audit, suara dari ahli Parlimen muda Pas tidak ada yang dapat dibanggakan. Tetapi dari PKR mujur ada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, 33, yang lantang bersuara.

"Sementara dari DAP, saya lihat ramai yang menyerlah, antaranya Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari."

"Tetapi apa yang saya puas hati ialah dengan YB Khairy Jamaluddin, 37, sebagai menteri Kabinet," katanya.


Apakah ini kesan yang timbul akibat terkuburnya program ‘advokasi’ yang pernah dicetuskan oleh mahasiswa suatu ketika dahulu? Jika ya dan keadaan ini berterusan, apakah nasib yang bakal menimpa negara ini pada masa akan datang sekiranya pemimpin semakin kelu untuk berkata-kata dalam mempertahankan hak-hak yang sewajarnya dipertahankan?
  
     Kita tidak perlu melihat situasi ini hanya dalam parlimen sahaja tetapi bayangkan sekiranya sektor-sektor lain selain parlimen, pemimpin mudanya sangat pasif dan tiada keberanian serta kesungguhan untuk mengeluarkan idea-idea baharu. Paling gerun, muncul pula pemimpin-pemimpin yang cuma pandai membuat provokasi contohnya seperti membuat bising di parlimen, menimbulkan kekecohan serta bertindak secara tidak profesional di dalam dewan parlimen sedangkan sidang parlimen adalah medium untuk pemimpin mengeluarkan hujah-hujah yang bernas. 

Dan kita tidak mahu orang-orang yang seperti katak melalak untuk memimpin negara ini.

  
Harapan Gerakan Islam
  
Semasa era kejatuhan gerakan mahasiswa, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berusaha sedaya upaya memulihkan gerakan pelajar Islam yang telah dilumpuhkan AUKU. PMIUM mengubah bentuk perjuangannya yang agresif kepada usaha pemantapan peribadi yang selaras dengan trend kebangkitan Islam pada ketika itu. Pendekatan dakwah telah memberi nafas baru kepada gerakan mahasiswa.
  
     Gerakan Islam sedikit sebanyak telah menyelamatkan gerakan mahasiswa di mana atas landasan Islam, mahasiswa dapat menyuarakan rasa tidak puas hati, memberi tenaga, berbakti kepada masyarakat serta mencari ketenangan daripada kehidupan kampus dan kota. Apapun, gerakan Islam masih belum diketahui sangat pada masa itu menyebabkan mereka mudah untuk bangkit. Kerajaan pula tidak melihat gerakan Islam sebagai suatu ancaman kerana mereka tidak membawa ideologi yang memperjuangkan isu-isu sosio-ekonomi.
  
      Persoalannya, sejauh manakah impak perjuangan gerakan Islam terhadap masyarakat? Walaupun aktiviti usrah serta program-program keagamaan yang lain rancak dijalankan, namun gerakan Islam masih tidak terlepas untuk dikritik sama ada daripada golongan intelektual mahupun orang-orang kebanyakan. 

     Kritikan adalah suatu perkara yang normal dan harus diterima oleh semua pihak kerana manusia sememangnya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Di ruangan ini bukanlah bermaksud saya ‘menghentam’ gerakan Islam kerana saya juga pernah berada di dalamnya sewaktu zaman sekolah dan universiti. Kerana itu, saya mengetahui serba sedikit apakah kelebihan dan kekurangan gerakan Islam itu sendiri. Saya kira, mana-mana gerakan pun tidak seharusnya merasa terlalu selesa dengan kedudukan dan taraf penghormatan yang diberikan oleh masyarakat tanpa kebimbangan terhadap kesalahan yang dilakukan secara tidak sedar tetapi amat diteliti oleh sesetengah pihak. Oleh kerana kritikan terhadap gerakan Islam biasanya ditujukan pada sudut keilmuan, saya tertarik untuk berkongsi di ruangan ini kerana ia selari dengan topik yang saya bawa untuk sama-sama kita bermuhasabah dan memperbaiki apa yang patut terhadap gerakan yang menjadi harapan masyarakat ini. 

     Sebahagian golongan intelektual telah mengkritik gerakan Islam atas ideologi yang mereka bawa di mana ideologi mereka banyak berpandukan ideologi dari gerakan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Imam Hassan Al-Banna di Mesir. Apa yang menjadi buah mulut golongan yang mengkritik adalah sistem yang dibawa ke dalam usrah dan beberapa aktiviti di dalam gerakan Islam. Silibus Fathi Yakan dan rujukan terhadap kitab-kita tertentu seperti Maza Ya’ni yang agak ketinggalan dalam ruang semasa menyebabkan ianya dikritik hebat kerana seolah-olah mengehadkan perkembangan ilmu yang sepatutnya lebih meluas. Bahan bacaan yang cuma tertumpu pada kitab-kitab tertentu menyebabkan ahli-ahli gerakan Islam terikat pada lingkungan sudut keilmuan kitab-kitab tersebut sahaja.
  
     Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, ulama dari gerakan Ikhwanul Muslimin pernah memberi sedikit teguran terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir. Tegurannya berbunyi:
  
“Kerana itulah aku melihat adanya kekurangan dalam jemaah Ikhwan iaitu kurangnya matlamat keilmuan di kalangan anggotanya.”
  
Di ruangan yang lain, beliau menulis:

“Mereka terus mendorongku berdakwah, namun sayangnya mereka kurang memikirkan bagaimana mereka dapat melatih dan mendidik para pendakwah untuk membuat persiapan dan memilih bahan bacaan yang sesuai untuk pertemuan atau ceramahnya di tempat-tempat itu.”

Realiti ini berlaku di Mesir dan ia turut terpalit pada gerakan-gerakan Islam di Malaysia yang menyanjungi gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir. Keadaan ini terjadi mungkin kerana mereka terlalu mengagungkan mursyid dan pengasas gerakan Ikhwan, Ustaz Hasan Al-Banna semasa hayatnya sehinggakan sewaktu Ustaz Al-Banna sibuk dengan tugas dakwah yang lain, mereka dapat diungkapkan seperti:
  
‘hilanglah uncang-uncang mereka, lenyaplah barang-barang mereka dan sedikitlah barang dagangan yang mereka dapat jual di pasar.’
  
     Ustaz Al-Banna telah dapat mengagak bahawa keadaan seperti ini akan terjadi lalu beliau telah menerbitkan majalah Asy-Syihab yang mengandungi bahan-bahan penulisan bersifat ilmiah dan membina pemikiran. Tetapi, majalah sahaja tidak cukup. Ia perlu ditambah dengan pertemuan berbentuk forum yang membentuk cara berfikir dan ia perlu diadakan dengan mendahulukan prinsip ilmu sebelum beramal. Sebagaimana yang diajar dalam al-Quran dan Sunnah, Allah berfirman:
  
“Bacalah dengan nama Tuhanmu…”

     Selain itu, gerakan Islam haruslah keluar daripada prinsip as-sam’u wa tha’ah (dengar dan taat) yang terbit daripada pengajaran kisah yang kurang sesuai dikaitkan dengan sudut keilmuan iaitu sebagaimana kata-kata nabi Ismail kepada bapanya, nabi Ibrahim:
  
“Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan oleh Allah kepadamu.”

     Prinsip as-sam’u wa tha’ah ini perlu dikeluarkan dari ruang keilmuan dan kita perlu membuang jauh-jauh rasa takut bila lahirnya pemikiran baru yang mendorong untuk banyak bertanya – Untuk apa? Kenapa? Dan tidak lagi mengatakan: Ya kami dengar dan kami taat.
  
     Kesemua elemen yang menyekat kebebasan berfikir perlu dihapuskan tetapi mestilah dipandu supaya tidak lari daripada landasan al-Quran dan Sunnah.
  
     Selain itu, terdapat juga beberapa teguran daripada sarjana Barat yang perlu diambil kira seperti teguran daripada Prof. J.L Esposito. Beliau mengatakan:
  
“…theoretical or ideological statements are often not accompanied by specific models for change. Islamic movements tends to be more specific about what they are against than what they are for. While all may speak of an Islamic order or state, of implementation of the Sharia, of a society grounded more firmly on Islamic values, the details are often vague. This has been true for older movement such as Egypt’s Muslim Brotherhood as well as for more recent groups.”
  
     Di saat ini, kita seharusnya meneliti teguran ini dengan hati yang murni sambil mengetepikan emosi yang menyekat kebenaran untuk muncul.
  
     Gerakan Islam adalah suatu gerakan yang serius. Wujudnya gerakan pelajar Islam bukanlah sekadar ‘young man opposing without cause’, tetapi penuh rasa sedar sebagai golongan independent and persuasive force, membina gelombang kebangkitan semula ummah (re-emergence). Inilah yang kita harapkan daripada gerakan Islam.




Gerakan Mahasiswa Bersama Keilmuan
  
Dr. Ali Syariati telah mendefinisikan tamadun sebagai seluruh himpunan mental dan spiritual umat manusia. Ini bermakna, tamadun yang baik bukanlah yang hanya baik dari salah satu aspeknya (mental dan spiritual) sahaja bahkan ia harus merangkumi kedua-duanya sekali.
  
Malek Ben Nabi pula menjelaskan definisi tamadun seperti berikut:
  
“Tamadun ialah satu bentuk kehidupan manusia yang dapat mempergunakan unsur-unsur alam material dengan sebaik-baiknya untuk memudahkan hidupnya di dunia ini dengan mengambil nilai-nilai kerohanian sebagai dasar perjuangan. Sebarang usaha pembinaan tamadun yang tidak berteraskan kerohanian pasti tidak akan berjaya atau tidak akan bertahan lama.”
  
     Penggunaan kata tamadun sesuai untuk disepadankan dengan ideologi yang dibawa oleh mahasiswa dalam sesebuah gerakan. Berdasarkan kedua-dua definisi tadi, jelaslah bahawa gerakan mahasiswa perlu bergerak bersama keilmuan disamping menjadikan nilai kerohanian sebagai dasar perjuangan.

     Namun begitu, kita perlu menerima hakikat bahawa cabaran untuk membawa pengaruh keilmuan sangatlah besar pada zaman ini. Keadaan teknologi yang berkembang maju bersama hiburan membuat manusia hilang arah untuk melakukan suruhan Allah dalam surah Al-Alaq. Fokus manusia pada zaman ini lebih tertumpu pada soal kehidupan yang adakalanya sangat remeh-temeh dan mereka juga adakalanya bergaduh berkenaan soal remeh temeh juga umpamanya soal kecantikan diri dan gosip hiburan.
  
      Kemudian, timbul pula bibit-bibit kelalaian manusia zaman ini bila laman-laman sosial mula mendominasi pemikiran sosial yang berbentuk hiburan dan ‘jaga tepi kain orang’ di alam maya. Tidaklah salah seseorang itu untuk mengambil kira serba sedikit soal-soal begitu tetapi bila ianya terlalu dijadikan bahan utama dalam kehidupan, kita semakin meremehkan fungsi akal yang sepatutnya digunakan untuk berfikir hal-hal realiti yang sepatutnya.  
  
     Berbalik pada persoalan bagaimana untuk mewujudkan budaya ilmu di dalam masyarakat terutamanya dalam kelompok mahasiswa itu sendiri. Sebelum itu, saya suka untuk memetik kata-kata ustaz Hasrizal di dalam laman sesawangnya saifulislam.com:

“...manusia tidak bertindak berasaskan apa yang dia tahu. Sebaliknya manusia bertindak berasaskan apa yang dia MAHU. Tahu sahaja belum cukup. Tahu mesti mendatangkan MAHU. Dan apabila kita bercakap tentang mahu, ia bukan lagi soal akal. Ia bukan lagi soal rasional dan logik. Ia soal hati, soal perasaan. Mahu itu perbuatan emosi. Dan emosi perlu dilentur dan dibentuk dengan cara hati, bukan cara akal.”
  
Maka apakah dengan cara kita yang hanya menyuruh orang-orang membaca buku dapat menyuntik sedar mereka terhadap keilmuan? 

     Sebenarnya menurut beberapa kajian yang telah dilakukan, kita dapat merumuskan bahawa pembacaan yang dilakukan oleh seseorang tidak berlaku dengan pemikiran yang kosong - tanpa tujuan, jangkaan dan pengetahuan serta pengalaman lalu tentang apa yang hendak dibaca. Lazimnya, seseorang murid itu akan membawa tujuan, jangkaan dan pengetahuan lalu kepada apa yang dibacanya. Justeru itu, dalam perlakuan membaca, kebolehan untuk mengaitkan dan mengintegrasikan segala aspek tersebut adalah penting bagi menghasilkan sebuah pembacaan dengan kefahaman.
  
    Jadi, pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh seseorang sebenarnya amat mempengaruhi cara mereka berfikir. Mahasiswa hari ini begitu diselubungi perasaan takut bila berbicara soal politik. Bagi mereka, politik terlalu kompleks dan mereka juga biasanya dikelilingi oleh perasaan gerun terhadap pihak atasan.
  
     Baiklah. Kita sama sekali tidak memaksa orang untuk berpolitik. Mustahil semua orang perlu digalakkan untuk berpolitik kemudian disumbatkan beramai-ramai ke dalam dewan parlimen. Ini fahaman yang salah terhadap politik. Sebenarnya, kita tidak perlu menyebelahi sesiapa atau mana-mana kelompok walaupun manusia itu ada kecenderungannya yang tersendiri. Namun kita amat menggalakkan supaya wujud budaya penilaian dan penelitian yang baik terhadap sesuatu perkara ataupun isu berbangkit yang melibatkan rakyat.
  
     Menceburkan diri dalam politik kepartian bukanlah satu-satunya cara untuk mewujudkan karisma kepimpinan sebaliknya, apa yang penting ialah kesudian untuk mempelajari sejarah lalu dan mendalami ilmu bagi menghasilkan idea-idea baru. Itulah yang diperlukan oleh seorang pemimpin sebenarnya. Sifat keinginan untuk memimpin seharusnya mendorong seseorang untuk meluaskan lagi rangka pengetahuannya ke tahap yang lebih mencabar. Tetapi apa pula jenis ilmu yang patut diselami?

      Kita tidak boleh menghalang kecenderungan seseorang untuk memilih bidang-bidang yang mereka minati. Semua orang mempunyai hak untuk bebas dalam berfikir dan mengkaji selagi syariat tidak menghalangnya. Oleh itu, pecahkanlah keraguan dalam hati untuk menceburkan diri dalam bidang-bidang berfaedah yang diminati. Apapun, belia hari ini seharusnya mendahulukan perkara yang paling utama berbanding yang utama. Mereka perlu mendahulukan hak-hak berkaitan komuniti berbanding hak individu sepertimana Dr. Yusuf Al-Qaradhawi jelaskan di dalam kitabnya yang bertajuk Fiqh Keutamaan.
  
     Kemudian, mereka perlu meluaskan ilmu ke tahap yang tinggi supaya benda-benda yang remeh temeh dapat dijauhkan sekaligus dapat menaikkan lagi taraf sosial sesebuah masyarakat.

Cuba kita lihat pula tajuk-tajuk drama berikut:

Sebenarnya saya isteri dia
Playboy itu suamiku
Love you Mr Arrogant
Demi dia
Cinta itu milikku
Setia hujung nyawa
Sedetik cinta
  
     Drama-drama Melayu yang sedikit sebanyak melalaikan. Bukanlah salah jika hendak menontonnya tetapi elakkanlah ia daripada menjejaskan cara kita bertindak dan berfikir.
  
Nikah Itu Cinta
Kahwin Muda: Oh Indahnya!
Mengurat Vs Dingurat
Ada Apa Dengan Cinta?

Nampak sama tetapi tidak serupa. Namun itu bukanlah persoalannya. Apa yang hendak ditekankan di sini ialah kita terlalu sibuk membicarakan soal cinta hingga tajuk-tajuk ini telah terlebih dos dan mendominasi sebahagian besar pemikiran masyarakat menyebabkan masyarakat kita menjadi malas untuk melibatkan diri dengan isu-isu yang memerlukan untuk berfikir perkara-perkara berat. Ilmu agama cuma diteliti pada rangka luarnya dan jarang sekali diajak untuk meneroka ke ruang dalamnya menyebabkan ramai yang menjadi keliru dengan tafsiran-tafsiran agama yang dibawa oleh para ulama. 

     Selain itu, budaya games juga menyerang sebahagian besar aktiviti masyarakat pada hari ini. Remaja terutamanya disibukkan dengan games yang cuma mencatatkan kemenangan pada skrin semata. Seperti hal tadi, bukanlah salah jika hendak bermain games tetapi kita harus menyeimbangkan dengan kegiatan keilmuan dan kita tidak boleh ditipu oleh permainan ini yang hanya menjanjikan kemenangan bersifat sementara.


Kesimpulan

Oleh itu, apakah mahasiswa boleh melibatkan diri dengan politik? Jika ia dilihat sebagai proses pendidikan dan pendedahan kepemimpinan yang bersifat experiencial learning dalam dunia sebenar, maka apa salahnya jika mahasiswa berpolitik di dalam kampus? Tentu pendekatan ini lebih berkesan daripada membaca dan berteori semata-mata.

     Jika mahasiswa melakukan kesalahan, maka sepatutnya mahasiswa perlu diperbetulkan, bukannya dihukum. Apabila tidak boleh diperbetulkan, maka barulah dihukum. Tetapi, hukuman mestilah dibuat dan dilihat sebagai dibuat dengan adil, bukannya secara terlalu keras seperti peruntukan AUKU 1975.
  
     Namun, realiti hari ini menghalang semua itu sama sekali. Justeru, bagi memujuk jiwa merdeka yang gundah disebabkan keterikatan ini, mahasiswa perlu keluar mencari kebebasan sendiri. Kebebasan tersebut adalah membebaskan diri dari kebebalan. Kerana itu ilmu sangat penting diperoleh daripada pembacaan dan pengalaman supaya kita dapat membuat penilaian dengan baik. Hal ini juga mestilah disusuli dengan sifat adil dalam menimbang tara maklumat agar kita tidak terlalu dipengaruhi semangat kelompok ataupun parti yang adakalanya lebih mengutamakan emosi dalam membuat sesuatu keputusan.

      Orang muda sememangnya terkenal dengan idea-idea yang baharu tetapi jika orang muda malas membaca, mereka hanya mampu untuk mengulangi idea-idea lapuk dan lama. Oleh itu, usah segan ilmu. Mari baca dan ramas buku.
  
Kita berada di sini bukan sebagai boneka yang mudah diperbodohkan kerana kita adalah golongan terpelajar.

Dan negara ini, masa hadapannya ditentukan oleh kita – MAHASISWA.




Rujukan


(2013, November 12). Retrieved November 14, 2013, from Sinar harian:

(2013, November 11). Retrieved November 14, 2013, from saifulislam.com:

Saifuddin Abdullah. (2009). Kalau Saya Mahasiswa. E-Book.

Yusuf Al-Qaradhawi. Aku dan Al-Ikhwan Al-Muslimin . Mutiara Ilmu Selekta.

Riduan. (2007). Potret Perjuangan Mahasiswa dalam Cerminan Dekad. Jundi Resources.

Kamarudin. (1996). Penguasaan Kemahiran Membaca: Kaedah dan Teknik Membaca. Kumpulan Budiman.

Mustaffa. (1991). Gerakan Pelajar-Mahasiswa: Misi dan Visi. Budaya Ilmu.

Badlihisham. Dinamisme Gerakan Islam dan Cabaran Semasa. Karisma Publications.

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...