Tuesday 12 June 2012

Kawal Diri, Kamulah Si Gagah Itu!


‘Jantan Kita’. Ya, inilah persepsi kita. Bahawa yang jantan itu ialah pada yang ‘pantang dicabar’. Pada ‘harimau yang tidur jangan diganggu’. Itulah ukuran kejantanan kita.

   Hebat Nabi s.a.w. bukan begitu. Sirahnya nyata berbeza.

   Ketika seorang lelaki datang kepada Baginda s.a.w. meminta izin untuk menjadi Muslim yang berzina, apakah anda kira Rasulullah s.a.w. tidak terguris dengan permintaan kurang ajar begitu?

   Semasa seorang Badwi datang ke masjid, menjadi tetamu biadab yang kencing di dinding rumah Allah itu, apakah anda kira Rasulullah tiada sifat marah?

   Tidak mampu marah adalah bacul, pasif ala si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan! Biarkan! Pasif!

   Baginda s.a.w. tidak marah bukan kerana tidak mampu marah. Baginda itu seorang yang amat ekspresif. Khutbahnya pernah memerahkan mata kerana begitu memaksudkan apa yang dikata.

   Baginda s.a.w. itu gagah…gagah tulen iaitu pada keupayaan diri mengawal marah.

   Sahabat melenting dan mahu membelasah si Badwi itu, namun Baginda menegah.

   “Biar dia habiskan urusannya!” kata Baginda tenang.

   Lantas Baginda s.a.w. meminta air dan Baginda sendiri membersihkannya.
   Itulah jiwa kuat yang tulen.

   Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!

   Kita mengukur jantan diri dan hebat berjuang kalau kita pandai mengamuk. Tetapi Baginda s.a.w. mengajar bahawa yang gagah itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah.

Renungkan pesanan Nabi s.a.w.:

“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi, yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah.”

(Riwayat Muttafaq ‘alaih)



Marah itu perlu, sesekali ia memang perlu. Tapi kalau sentiasa marah dan penuh bangkangan, hingga setiap patah kata hanya mengungkapkan kemarahan dan ketidaksetujuan…ia tidak tepat dengan contoh Baginda Junjungan.

   Rasulullah s.a.w. pernah marah, tetapi marahnya diredakan dengan bermesyuarat dengan Sahabat, mencari yang terbaik pada tindakan. Sebab MARAH itu EMOSI. Apabila kita EMOSIONAL, kita TIDAK RASIONAL. Bertindak secara tidak rasional itulah yang sering mengundang sesalan.

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang seorang fasiq kepadamu membawa satu berita, siasatlah terlebih dahulu. Agar jangan nanti kamu bertindak ke atas suatu kaum dengan kejahilan. Lantas semua itu akan mengheret kamu kepada penyesalan atas apa yang kamu lakukan.”

(Al-Hujurat 49:6)

   Bagaimana mahu menyiasat? Bagaimana mahu bertindak dengan tepat? Andai terlalu mudah melenting dan sentiasa membalas berita dengan tindakan tanpa usul periksa.

   Apa yang dituntut bukan hanya menyatakan ketidaksetujuan dan penentangan, tetapi harus berusaha mengubahnya. Sirah mengajar kita bahawa jarang benar perubahan dapat dilakukan jika kita hanya tahu marah dan menuding salah.



   Lihat sahaja kerenah orang Makkah dalam Perjanjian Hudaibiyah. Siapa yang tidak marah dengan permintaan mereka? Sewenang-wenangnya kelihatan seperti Win-Lose situation.

   “Kalau orang Makkah lari ke Madinah, dia mesti dipulangkan ke Makkah semula. Jika orang Madinah datang ke Makkah, dia tidak perlu dipulangkan ke Madinah…” Orang Makkah dengan sombong meminta. Panas telinga.

   “Mana boleh tulis ‘Rasulullah’. Kalau tertulis ‘Rasulullah’ maknanya kami mengiktiraf kamu dan kenalah kami ikut kamu. Tulis ‘Muhammad bin Abdullah’, sudah!” Ego orang Makkah di depan Baginda Rasulullah s.a.w..

   Rasulullah s.a.w. ada segala sebab untuk bersikap defensif. Gelaran  ‘Rasulullah’ bukan anugerah sultan atau mana-mana raja Arab. Ia kurniaan Allah s.a.w.. Tiada sebab untuk tidak bertegas mempertahankannya.

   Letakkan diri kita di kasut Sahabat yang hadir ke perjanjian itu…mahunya tidak marah?

   Namun, bijaksana dan gagahnya Rasulullah s.a.w. mengawal diri daripada marah, tersinggung dan rasa dihina, membolehkan Baginda memandang jauh, penuh rasional dan akhirnya mampu memisahkan antara kepentingan substance dan form. Perjanjian Hudabiyah berjaya menawarkan apa yang paling penting bagi sebuah dakwah dan perjuangan, iaitu genjatan senjata! Bersetuju menjaga keamanan. Inilah yang diperlukan oleh dakwah. Keamanan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Baginda untuk berdakwah, bukan hanya di sekitar Makkah dan Madinah, malah utusan sampai ke seluruh empayar dan maharaja yang ada. Dakwah jadi efektif hasil keamanan. Keamanan dicapai hasil kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. yang mengutamakan substance berbanding form.

Pernah sekali, seorang anak muda datang kepada Baginda s.a.w. bertanyakan tentang kebarangkalian yang ada untuk dirinya dibenarkan berzina.

   Zina itu bukanlah sesuatu yang terlalu sulit untuk difahami akan keburukannya. Segala sebab itu ada untuk pertanyaan itu dibalas dengan kemarahan oleh Baginda s.a.w.. malah riwayat di atas menceritakan, bagaimana orang ramai yang ada ketika itu menyerbu anak muda berkenaan, memarahinya dengan ungkapan “Mah, mah!” iaitu suatu sebutan kemarahan yang keras terhadap kelancangan mulut seorang anak muda yang meminta izin berzina daripada Nabi s.a.w.. Namun, Baginda itu orangnya penuh hikmah. Berhikmah dalam erti memberikan reaksi yang tepat dengan keperluan. Diajarnya anak muda itu dengan apa yang disebut hari ini sebagai The Golden Rules iaitu “treat others as you would like to be treated” yakni “layanlah orang lain sebagaimana kamu mahu orang lain melayan kamu”.

   Pemuda itu dibawa mendekati Baginda s.a.w.

“Wahai pemuda,” sapa Nabi s.a.w. lemah lembut, “apakah kamu suka kalau perbuatan zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah yang menjadikan aku sebagai tebusanmu, saya tidak ingin itu terjadi,” jawabnya.

Begitu juga kebanyakan manusia, tidak menyukai atau menginginkan perbuatan zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Nabi s.a.w..

“Apakah kamu senang zina itu dilakukan terhapadap ana-anak perempuanmu kelak?” tanya Baginda selanjutnya.

“Sama sekali aku tidak menginginkan hal itu terjadi, ya Rasulullah. Demi Allah, bermimpi pun saya tidak ingin.”

“Begitu pula kebanyakan manusia, mereka tidak senang kalau sampai perbuatan zina itu terjadi pada anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik-beradik perempuanmu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah saya tidak senang.”

“Begitu juga dengan orang lain, sama dengan kamu, tidak senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik-beradik perempuan mereka. Apakah kamu kamu ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudaramu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah tidak.”

“Kebanyakan manusia juga tidak ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudara mereka.”

   Nabi s.a.w. kemudian meletakkan tangan Baginda pada tubuh pemuda itu dan mendoakannya: “Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini.”

   Kalaulah anak muda yang bermulut lancang itu dibalas dengan lempang atas nama dakwah, apakah kebaikan yang terhasil daripadanya?

   Mengawal diri, menahan diri dalam kemarahan, dan menterjemahkan tindak balas dalam bentuk dakwah yang lebih empati, khasiatnya sungguh besar dalam mengubah kemungkaran kepada peluang makruf.

   Hal inilah yang perlu kita teladani. Suatu kejayaan besar, terbit daripada kejayaan menguruskan perkara yang amat asas iaitu keupayaan mengawal diri, proaktif dan tidak cepat melatah. Pendakwah perlu bersungguh-sungguh menghayati mesej ini. Masyarakat sudah tahu dengan jelas apa yang kita tidak suka. Tetapi mereka belum nampak apa yang kita ada dan sejauh mana kita upaya. Bahasa dakwah kita harus banyak yang bersifat menerang dan berdamping. Memujuk bukan mengutuk. Bahasa rahmah dan bukan amarah.

   Jantan dan gagah di sisi Islam itu lebih halus dan berkuasa daripada yang disangka!

   Kawal diri, kamulah si gagah itu!



(Dipetik dari ‘Transformasi Ramadan’ karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. www.saifulislam.com)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...