Friday 18 May 2012

Pandangan Beberapa Ulama Tentang Purdah


Berikut dibentangkan pandangan-pandangan dan hujah-hujah daripada beberapa ulama mengenai masalah syariat berkenaan menutup wajah. Selepas saudara saudari membaca dan mendalaminya, terpulang sahaja kepada saudara saudari untuk berpegang pada ijtihad yang diyakini kerana agama itu luas dan anjal.

Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani menerangkan pendapatnya melalui bukunya yang bertajuk Jilbab al-Marah al-Muslimah fi al-Kitab wa al-Sunnah. Berikut merupakan pandangan dan hujahnya:

Banyak dari masyayikh (para syeikh) dewasa ini yang berpendapat bahawa wajah wanita itu merupakan aurat yang tidak boleh dibuka, bahkan haram dibuka. Penjelasan di muka kiranya sudah cukup untuk membantah pendapat ini. Sebaliknya ada kelompok lain yang berpendapat bahawa menutup wajah itu merupakan perbuatan bidaah dan tanatthu' (berlebihan, melampaui batas) dalam beragama. Kepada saudara-saudara kami yang berpendapat seperti itu kami sampaikan penjelasan seperti berikut:

Hendaklah diketahui bahawa masalah menutup wajah dan dua telapak tangan itu memang ada dasarnya dalam As-Sunnah. Hal itu pernah dikenal dan dipraktikkan di zaman Nabi seperti yang pernah ditunjukkan sendiri oleh Nabi melalui sabda beliau yang bermaksud:

"Janganlah wanita yang berihram itu mengenakan niqab dan juga jangan memakai qaffaz (sarung tangan)."


(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (IV : 42), An-Nasa'i (II : 9 - 10), Al-Baihaqi (V : 46-47) dan Ahmad (no. 6003) dari Ibnu Umar secara marfu'.

     Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Tafsir Surat An-Nur mengatakan,

"Ini menunjukkan bahawa niqab mahupun qaffaz itu keduanya dikenal di kalangan wanita yang tidak sedang berihram. Ini berarti mereka itu menutup wajah dan kedua tangan mereka."

Nas-nas yang menyebutkan bahawa isteri-isteri Nabi itu mengenakan hijab (niqab) pada wajah mereka, cukup banyak. Di antara dalil-dalil mahupun atsar (yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w.) yang menguatkan apa yang dikatakan di atas adalah seperti berikut:

1. Dari 'Aisyah r.a., ia berkata: 

"Saudah pernah keluar rumah untuk suatu keperluan setelah ia menutupkan hijab (tabir). Ia adalah seorang wanita yang gemuk yang tidak boleh menyembunyikan diri dari orang yang sudah pernah mengenalnya. Maka Umar pun melihatnya seraya berkata, 'Wahai Saudah! Demi Allah mengapa kamu tidak menyembunyikan diri dari kami? Lihatlah bagaimana kamu keluar!' Aisyah menceritakan lagi, "Saudah pun kembali pulang sedangkan Rasulullah berada di rumahku sedang makan malam, dan tangan beliau masih memegang al-'arq (tulang yang masih tersisa sedikit daging padanya). Saudah menemui Nabi lalu berkata, 'Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku keluar (rumah) untuk suatu keperluan, lalu Umar mengatakan kepadaku begini dan begini!'" 'Aisyah berkata, "Lalu Allah Taala menurunkan wahyu kepada beliau, sedangkan al-'arq masih berada di tangan beliau dan tidak beliau letakkan, lalu beliau bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah diizinkan bagi kalian untuk keluar demi keperluan kalian." 

2. Dari Aisyah r.a. juga, ia berkata: 


"...Tatkala aku sedang duduk di tempat istirehatku, aku tiba-tiba mengantuk dan akhirnya tertidur. Ternyata Shafwan bin Al-Mu'atthal As-Silmi Adz-Dzakwani datang dari belakang pasukan. Ia tiba lewat petang. Ia pun menginap di tempat penginapanku. Aku lihat orang tidur dalam kegelapan malam. Ia lalu datang kepadaku dan ia pun mengenalku tatkala ia melihatku. Ia pernah melihatku sebelum aku berhijab. Lalu aku bangun meminta agar ia kembali tatkala ia telah mengenaliku. Kemudian aku pun menghimari (dalam riwayat lain: menutupi) wajahku darinya dengan jilbabku....."

3. Dari Anas bin Malik tentang kisah Perang Khaibar dan pilihan Nabi terhadap Shafiyah untuk diri baginda sendiri, bahawa Anas berkata: 

"Lalu Rasulullah s.a.w. keluar dari Khaibar tanpa memperlihatkan cinta kasih (kemesraan) kepada Shafiyah. Namun, tatkala unta baginda yang hendak ditunggangi untuk keluar sudah dekat, maka baginda menaruh kakinya agar Shafiyah meletakkan telapak kakinya di atas paha beliau, namun Shafiyah tidak mahu. Lalu Shafiyah hanya meletakkan lututnya di atas paha Nabi dan Nabi pun menutupinya lalu membawa Shafiyah di belakang serta meletakkan selendang baginda di atas punggung dan wajah Shafiyah. Kemudian baginda mengikat selendang itu dari bawah kaki Shafiyah lalu membawanya. Nabi mendudukkan Shafiyah sejajar dengan kedudukan isteri-isteri beliau yang lain."

4. Dari 'Aisyah r.a., ia berkata:

"Adalah para penunggang melewati kami sedangkan kami bersama Rasulullah s.a.w., sedang berihram. Maka jika mereka lewat di samping kami, maka salah satu di antara kami melabuhkan jilbabnya dari kepalanya agar menutupi wajahnya. Dan tatkala mereka telah berlalu, kami pun membukanya kembali."

5. Dari Asma' binti Abu Bakar, ia berkata: 

"Kami menutupi wajah-wajah kami dari kaum lelaki, dan kami sebelum itu menyisir rambut dalam ihram."

6. Dari Shafiyah binti Syaibah, ia berkata: 


"Aku pernah melihat Aisyah melakukan tawaf di Kaabah dengan mengenakan niqab."

7. Dari Abdullah bin Umar, ia berkata: 


"Tatkala Nabi s.a.w. memperhatikan Shafiyah, beliau melihat Aisyah mengenakan niqab di tengah-tengah kerumunan manusia, lalu Nabi pun tahu bahawa itu benar-benar Aisyah."

8. Dari Ibrahim bin Abdurrahman bin Auf: 


"Bahawa Umar bin Al-Khattab mengizinkan kepada para isteri Nabi s.a.w. untuk menunaikan haji yang terakhir kalinya. Bersama mereka Umar mengutus Utsman bin Affan dan Abdurrahman bin Auf. Ibrahim berkata:

Utsman ketika itu berseru:

"Hati-hatilah, jangan sampai ada seorang pun yang mendekati mereka (para isteri Nabi) dan jangan sampai seorang pun memandangi mereka."

Para isteri Nabi itu berada dalam sekedup di atas unta. Tatkala mereka turun (singgah) maka mereka ditempatkan oleh Utsman di bahagian depan lembah, sedangkan Utsman sendiri bersama Abdurrahman bin Auf berada di bahagian belakang lembah itu, dan tiada seorangpun yang naik ke lembah tempat mereka itu tinggal."

Hadis-hadis ini menunjukkan secara jelas bahawa menutupi wajah (memakai niqab) itu memang sudah dikenali di zaman Nabi s.a.w.. Para isteri baginda pun mengenakannya. Selepas itu, kaum wanita yang utama sepeninggal mereka pun mencontohi mereka. Dua contoh di antaranya adalah seperti berikut:

1. Dari Ashim Al-Ahwal, ia berkata:

"Kami mengunjungi Hafshah binti Sirin, sedangkan ia menjadikan jilbabnya untuk berniqab, lalu aku katakan kepadanya: Semoga Allah merahmatimu! Allah s.w.t. telah berfirman:

"Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan."

-Ia adalah jilbab-, Ashim berkata, lalu ia mengatakan kepada kami, "Apalagi sesudah itu?" Kami menjawab:


"...dan berlaku iffah (menjaga kesucian diri) itu lebih baik bagi mereka."
(Surah An-Nur: 60)

Ia kemudian berkata: "Itu adalah penetapan hijab!"

2. Dari Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Musa Al-Qadhi, ia berkata:

"Aku pernah menghadiri majlis Musa bin Ishaq Al-Qadhi (hakim) di kota Rai tahun 286 H. Lalu seorang wanita mengadukan persoalan di mana walinya menuntut bahawa suaminya masih mempunyai hutang mahar sebanyak lima ratus dinar, namun ia tidak mengakui. Maka sang qadhi (hakim) pun bertanya, 'Mana saksi-saksimu?' Ia menjawab, 'Aku telah mendatangkan saksi-saksinya.' Maka sebahagian dari saksi-saksi yang ada itu diminta untuk melihat wanita tersebut agar ia dapat memberikan persaksiannya. Saksi itu pun berdiri lalu berkata kepada wanita itu, 'Bangunlah!' Melihat hal itu suaminya langsung berkata, 'Apa yang kalian lakukan?!' Salah seorang dari mereka yang mewakili temannya menjawab, 'Saksi-saksi itu akan melihat isterimu dalam keadaan terbuka wajahnya, agar mereka dapat mengenalnya dengan jelas.' Lantas suami wanita itu pun akhirnya berkata, 'Saya bersaksi (mengaku) kepada hakim bahawa aku memang memiliki hutang mahar seperti yang dituntutkan itu. Namun jangan sampai isteriku dipaksa membuka wajahnya!' Lalu sang isteri itupun lantas menimpali, 'Aku pun bersaksi kepada hakim bahawa aku telah menghibahkan mahar ini kepadanya dan aku bebaskan ia di dunia dan akhirat.' Selepas itu, hakim berkata, 'Ini termasuk bentuk akhlak yang mulia'."

Berdasarkan apa yang telah dikemukakan di depan, dapatlah dipetik kesimpulan bahawa masalah menutup wajah bagi wanita dengan niqab yang juga kita kenal sekarang ini yang dikenakan oleh kaum wanita yang terjaga adalah masyru' (disyariatkan) dan terpuji, meskipun hal itu tidak wajib baginya. Namun yang mengenakannya bererti ia telah melakukan kebaikan dan yang tidak pun tidak berdosa.

Dari penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa yang menjadi syarat pakaian wanita itu jika keluar rumah adalah hendaklah pakaian tersebut menutupi seluruh tubuhnya kecuali wajah dan kedua telapak tangannya.

Dalam menilai sesuatu permasalahan, kita juga haruslah mempertimbangkan keadaan semasa yang dilalui oleh ummah kini selain tidak mengikuti pengaruh mazhab secara keras sebaliknya mengambil hujah secara terbuka. Berikut pula adalah pandangan dan hujah daripada Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA):

Persoalan memakai purdah atau yang disebut sebagai niqab bagi wanita adalah persoalan khilafiyyah yang diiktiraf. Maksudnya para `ulama berbeza pendapat mengenainya atas kaedah dan hujah yang diiktiraf untuk kedua-dua pihak. Ada di kalangan ulama yang mewajibkannya dengan menganggap wajah wanita adalah `aurat. Jumhur fuqaha’ (majoriti ulama fiqh) pula menganggap wajah wanita bukannya `aurat. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-majmu’ , katanya: “Sesungguhnya `aurat wanita yang merdeka itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Inilah pendapat al-Imam al-Syafi`i, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah, al-Imam al-`Auza`i, al-Imam Abu Thaur dan lain-lain. Demikian juga dalam satu riwayat daripada pendapat al-Imam Ahmad”

Di zaman ini, di kalangan ulama yang kuat menegaskan wajah wanita adalah `aurat antaranya al-Syeikh Ibn Baz r.h.dalam fatwa-fatwanya yang banyak, juga Dr. Sa`id Ramadhan al-Buthi dalam buku kecilnya “إلى كل فتاة تؤمن بالله” dan sebelum itu `Abu al-`Ala al-Maududi r.h dalam bukunya al-Hijab. Sementara yang menyatakan wajah wanita bukan `aurat adalah majoriti ulama semasa, antaranya Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya “النقاب للمرأة المسلمة، بين القول ببدعيته، والقول بوجوبه” Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. dalam “جلباب المرأة السلمة في الكتاب والسنة (seperti di atas) dan selepas itu sebagai jawapan dan tambahan kepada kitab tersebut beliau menulis الرد المفحم. Demikian juga Muhammad al-Ghazali dalam banyak tempat dalam buku-bukunya.

Alasan-alasan yang dibawa oleh jumhur ulama yang menyatakan wajah wanita muslimah bukannya `aurat adalah jelas dan nyata. Antaranya:

a) Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31

وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.

Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara:

Pertama: Jumhur menafsirkan maksud: ِإلاّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا (maksudnya: kecuali yang zahir daripadanya) ialah wajah dan tapak tangan. Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. Sesiapa yang inginkan pendetilan mereka boleh melihat kitab-kitab tafsir, hadith dan fiqh ketika para `ulama menghuraikan ayat ini. Al-Syeikh al-Albani r.h. mendetilkan penbincangan ayat tersebut dalam kitabnya الرد المفحم membukti bahawa muka dan tapak tangan bukannya aurat bagi wanita muslimah dan beliau menyenaraikan riwayat para sahabah yang memegang pendapat ini.

Kedua: ayat di atas menyatakan:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

(maksudnya) “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.

Allah hanya memerintahkan agar ditutup جيوب iaitu jamak kepada جيب ataupun kita terjemahkan sebagai bahagian dada yang terdedah disebabkan belahan leher baju. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Ayat ini tidak langsung menyebut agar mereka menutup wajah mereka. Kalaulah wajah itu adalah `aurat, maka sudah pasti ayat ini akan turut memerintahkan agar mereka menutupnya juga.

Oleh itu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi menyebut dalam al-Muhalla: “Ayat adalah dalil bahawa diharuskan membuka wajah, tidak mungkin sama sekali difahami selain dari itu”

b) Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 52

لا يَحِلُّ لَكَ النِّسَاءُ مِنْ بَعْدُ وَلا أَنْ تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَاجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ

(maksudnya) “Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baru sekalipun kecantikan mereka mengkagumkanmu, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu”.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi s.a.w.. Daripada ayat ini jelas bahawa para muslimat ketika zaman baginda s.a.w. tidak menutup wajah mereka, jika tidak bagaimana mungkin kecantikan mereka boleh menarik perhatian baginda. Ini tidak mungkin melainkan wajah mereka terbuka dan dapat dilihat.

c) Di dalam sebuah hadith daripada Abu Kabsyah alAnmari, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا فِي أَصْحَابِهِ فَدَخَلَ ثُمَّ خَرَجَ وَقَدِ اغْتَسَلَ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ كَانَ شَيْءٌ قَالَ أَجَلْ مَرَّتْ بِي فُلانَةُ فَوَقَعَ فِي قَلْبِي شَهْوَةُ النِّسَاءِ فَأَتَيْتُ بَعْضَ أَزْوَاجِي فَأَصَبْتُهَا فَكَذَلِكَ فَافْعَلُوا فَإِنَّهُ مِنْ أَمَاثِلِ أَعْمَالِكُمْ إِتْيَانُ الْحَلالِ

(Suatu ketika Rasulullah s.a.w. duduk bersama sahabat-sahabat baginda. Tiba-tiba baginda masuk (ke dalam rumah baginda), kemudian keluar dalam keadaan baginda sudah mandi. Kami pun bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah berlaku sesuatu?”. Jawab baginda: “Ya! Telah melintasi di hadapanku fulanah (perempuan tertentu yang dikenali), maka timbul dalam hatiku syahwat terhadap wanita, lantas aku pun mendatangi salah seorang dari isteriku dan menyetubuhinya. Demikianlah yang mesti kamu lakukan, kerana antara amalan kamu yang baik ialah mendatangi yang halal” (Riwayat Ahmad dan al-Tabarani di dalam الأوسط . Kata al-Albani dalam سلسلة الأحاديث الصحيحة sanad hadith ini hasan, bahkan lebih tinggi dari hasan إن شاء الله) .

Walaupun rawi hadith tidak menyebut nama wanita berkenaan, tetapi perkataan fulanah dalam bahasa arab bermaksud wanita tertentu yang dikenali. Ini menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengenalinya. Sebagai Rasul yang bersifat dengan keinsanan maka timbulnya perasaan dalam hati baginda seperti mana ianya timbul dalam jiwa seorang insan lelaki yang normal. Maka untuk melepasi perasaan tersebut baginda mendatangi seorang daripada isteri-isteri baginda, iaitu Zainab seperti yang dinyatakan dalam riwayat yang lain. Juga hadith ini adalah tunjuk ajar Nabi s.a.w. secara praktikal kepada para sahabah.

Dalam riwayat-riwayat yang lain disebut:

فَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَأَعْجَبَتْهُ فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ فَإِنَّ ذَاكَ يَرُدُّ مِمَّا فِي نَفْسِهِ

“Apabila seseorang kamu melihat seseorang wanita yang mengkagumkannya, maka datangi isterinya, kerana itu dalam menyelesaikan apa yang ada dirinya” (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Baihaqi, Ahmad, lafaz hadith di atas ialah lafaz al-Imam Ahmad).

Jika kita teliti hadith ini, kita akan bertanya, “bagaimana mungkin kecantikan wanita zaman tersebut boleh menarik perhatian lelaki jika mereka semua menutup wajah atau berpurdah?. Ini menunjukkan mereka tidak menutup wajah mereka.

d) Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain:

عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِي اللَّه عَنْهممَا قَالَ كَانَ الْفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ فَجَعَلَ الْفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْرِفُ وَجْهَ الْفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الْآخَرِ

Daripada Ibn `Abbas r.a., katanya Al-Fadhal (bin `Abbas) pernah menjadi radif Rasulullah s.a.w. (menaiki unta yang sama di belakang Rasulullah). Datang seorang wanita dari khasy`am. Lalu al-Fadhal memandangnya dan dia pun memandang al-Fadhal. Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.

Dalam riwayat al-Nasai dinyatakan:

فَأَخَذَ الْفَضْلُ بْنُ عَبَّاسٍ يَلْتَفِتُ إِلَيْهَا وَكَانَتِ امْرَأَةً حَسْنَاءَ وَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْفَضْلَ فَحَوَّلَ وَجْهَهُ مِنَ الشِّقِّ الْآخَرِ

Lantas al-Fadhal bin `Abbas memandangnya. Dia adalah seorang perempuan yang cantik Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.

Riwayat-riwayat ini menunjukkan wanita pada zaman Nabi s.a.w tidak menutup wajah mereka. Sementara Nabi s.a.w pula hanya memusingkan wajah al-Fadhal tanpa menyuruh wanita berkenaan menutup wajah. Sekalipun dia sangat cantik. Ini menunjukkan pendapat yang menyatakan wanita yang berwajah cantik wajib menutup muka juga adalah tidak kukuh. Jika dibaca kesuluruhan hadith kita kan tahu, peristiwa itu berlaku pada haji wada’. Sedangkan ayat hijab dalam al-Quran turun sebelum itu lagi, iaitu pada tahun 5 hijrah. Maka dakwaan yang menyatakan perintah menutup wajah datang selepas itu, adalah tidak tepat.

Inilah sebahagian daripada dalil-dalil yang banyak yang dikemukakan oleh jumhur `ulama bagi membuktikan wajah wanita bukan `aurat. Berpegang kepada pendapat jumhur dalam ini adalah lebih jelas dari segi nas atau dalilnya, juga lebih memudah seseorang muslimah di dalam alam semasa yang ada. Islam itu mudah dan praktikal seperti yang ternyata pada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

Pendapatnya di dalam buku yang lain:

Ketaksuban mazhab telah mengongkong wanita Arab di sesetengah negara seperti Arab Saudi dan beberapa negara Teluk dalam masalah ini. Bagi sesetengah ulama yang taksub dalam masalah ini, membuka purdah seolah-olah kesalahan yang amat berat. Ini membebankan wanita dalam perkara yang syarak memberikan keluasan untuknya.

Apatah lagi pada zaman yang imej Islam difitnah dengan berbagai tuduhan khianat kononnya Islam menindas wanita. Pendapat majoriti, di samping kukuh dari segi dalil, lebih memudahkan wanita berurusan dalam hidup mereka. Juga boleh menangkis perasaan fobia sesetengah pihak terhadap Islam.

Wallahu a'lam bisawwab

dan Allah jua yang lebih mengetahui



Rujukan:

1) Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Jilbab Wanita Muslimah Menurut Qur'an dan Sunnah. 109-118
2) Hukum Memakai Purdah?   http://drmaza.com/himpunan_fatwa/?p=35
3) Dr Mohd Asri Zainul Abidin (2007), Fanatik Mazhab: Kesan Kepada Pemikiran Umat, Shah Alam,    Karya Bestari. 29


1 comment:

  1. entri yang sangat baik. berbalik pada keyakinan dan niat masing-masing :) wallahuaklam..

    ReplyDelete

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...