Monday 1 April 2013

HALAQAH: PERUBAHAN YANG PERLU


HALAQAH itu tujuannya mentarbiah

HALAQAH itu seharusnya membuat laluan semakin mudah.



Jika ditanya lagi apa itu halaqah? Bila dialihkan maksud daripada Arab ke Melayu, halaqah bermaksud satu pertemuan yang berbentuk perbincangan. Itu definisinya. Tetapi yang perlu kita tahu dan fahami dengan sebenar-benarnya adalah tujuan dan manfaat yang boleh kita perolehi daripada sesuatu halaqah itu.

Di asrama dahulu, sudah menjadi kebiasaan kami di setiap hari Isnin akan adanya halaqah kecil-kecilan dibuat oleh abang-abang dan kakak-kakak naqib naqibah di setiap dorm. Ia menjadi suatu perkara yang menarik bagi sesetengah pelajar kerana halaqah ini ada 'ganjaran' tersendiri.

Dari segi kenakalan berfikir pelajar sekolah, prep malam secara automatiknya akan dipendekkan masa kerana halaqah yang dibuat selepas waktu maghrib itu mengambil sebahagian waktu prep tersebut. Bukan itu sahaja 'kepuasan' yang diperoleh dalam halaqah dorm ini. Kami juga berpeluang bertanya pelbagai soalan, bercerita pengalaman dan berkongsi masalah bersama ahli-ahli dorm yang lain yang kami anggap sudah seperti keluarga sendiri.

Ada juga yang mengambil kesempatan mengadakan sesi 'rumble' kepada rakan kami yang hari jadinya kebetulan jatuh pada hari Isnin. Kami meraikannya dengan penuh kemeriahan. Penuh dengan 'budaya asrama' yang mengeratkan ukhuwah antara kami. Ia suatu pengalaman yang menarik. Walau nampak agak kebudak-budakan tetapi tetap memberi manfaat tersendiri.

Di peringkat universiti pula, halaqah menjadi sangat diperlukan terutama kepada pelajar-pelajar yang menuntut di luar negara. Suasana yang mencabar di luar negara lebih-lebih lagi yang tinggal di negara majoriti masyarakat belum Islam menyebabkan halaqah seolah-oleh menjadi penyelamat buat mereka di negara orang. Kalau tidak pun dengan halaqah, sekiranya masih ada orang soleh dalam kalangan mereka, sekurang-kurangnya masih ada tempat rujukan dan pemberi nasihat.

Begitu juga di universiti tempatan. Tidak semestinya cabaran di luar negara yang dilihat lebih mencabar menyebabkan kita menutup mata dengan sistem halaqah di universiti dalam negara. Sistem halaqah yang sedia ada perlu diubah demi mengelakkan penyakit 'jemu' yang menjangkiti mahasiswa mahasiswi ini.

Mendidik, bukan menghukum. Menyayangi, bukan mengongkong.

Baru beberapa bulan yang lepas seorang sahabat menceritakan kepada saya tentang grup halaqah yang disertainya.

"Berat hati saya nak ke halaqah tu..."

"Kenapa?"

"Kesal dengan sikap naqibah saya. Disediakan borang peraturan yang mesti kami baca dan ikut dalam halaqah tu..."

Dalam hati, terdetik bagaimana boleh wujudnya sistem seperti itu. Sahabat saya terpaksa mematikan dan memberikan handphonenya kepada naqibahnya atas alasan akan mengganggu sesi halaqah. Dia juga terpaksa menahan sindiran-sindiran halus yang dikenakan kepada dirinya yang dia akui sendiri 'belum mencapai piawaian menutup aurat'.

Ini menyakitkan.

Proses pengislahan itu sepatutnya dilebihkan kepada ganjaran dan didikan. Bukannya dimulakan dengan menghukum. Rasulullah sendiri memulakan pembawaan Islam kepada seruan mentauhidkan Allah. Akhlak Baginda yang berlemah lembut dan mudah memaafkan membuatkan ramai tertarik dengan agama ini.

Ada pula sahabat saya terlalu 'disayangi' oleh kakak naqibahnya. Kerana ingin dikekalkan dalam jemaah, sahabat saya selalu 'dipantau'. Terasa dirinya dikongkong. Seharusnya,  agama ini diterima dengan rela hati. Kerelaan itu membuat hati seseorang menjadi ikhlas. Daripada keikhlasan itu, perihal melaksanakan urusan lain akan menjadi mudah.

Halaqah itu perlukan perubahan

Peredaran daripada suatu zaman ke zaman yang lain menyaksikan perubahan itu perlu. Daripada sistem lama, ia perlu diubah kepada yang baru. Jika tidak, kita akan tetap berada di situ bahkan boleh mengundur jauh ke belakang tanpa kita sedari. Bayangkan, suatu syarikat masa kini menggunakan telefon yang dicipta oleh Alexander Graham Bell yang mengambil masa beberapa hari untuk menyampaikan maklumat, syarikat itu akan mengalami kesukaran dari segi sistemnya.

Begitu juga dengan sistem halaqah. Ia perlu dikaji dengan lebih mendalam supaya kualitinya mampu menampung keperluan yang diperlukan umat ini. Pandangan perubahan ini berdasarkan pengalaman saya dalam menyertai dan mengetuai beberapa sesi halaqah daripada peringkat sekolah ke peringkat universiti. Terimalah ia sebagai pandangan daripada pengalaman saya yang baru belajar ini.

1) Buat strategi pemilihan tajuk mengikut kesesuaian daripada peringkat permulaan sehingga ke penghujung halaqah.

2) Lakukan di tempat yang menarik dan sesuai seperti kawasan perkelahan, taman rekreasi atau gazebo di kawasan kediaman. Kelas juga boleh menjadi tempat yang menarik jika 'slide show' diperlukan.

3) Halaqah menjadi lebih santai sekiranya perkataan-perkataan tertentu digantikan. Contohnya seperti perkataan 'halaqah' digantikan dengan 'bulatan gembira'. Ada masanya, perkataan islamik membuat orang segan untuk menghadiri halaqah melihatkan ilmu yang ada pada diri masih kurang daripada orang lain.

4) Pelbagaikan tajuk halaqah. Tidak semestinya dalam halaqah kita membincangkan persoalan agama sahaja. Tajuk-tajuk lain juga boleh dibincangkan seperti isu semasa, kesihatan dan ilmu berkaitan bidang yang dipelajari. Negara memerlukan generasi berintelek yang mampu melontarkan pandangan dan idea dari pelbagai sudut.

5) Halaqah perlukan profesionalisma. Sebagai contoh, dalam halaqah sendiri perlu adanya carta organisasi. Perlu adanya ketua dalam menetapkan keputusan.

6) Adakan slot postmoterm untuk pembentang bagi mengenalpasti dan menyelesaikan masalah yang ada pada pembentang bagi penambahbaikan untuk masa hadapan.

7) Sediakan ruang untuk sesi soal jawab selepas pembentangan.

8) Buka ruang kepada semua yang berminat. Tidak terhad memilih kepada orang-orang yang tertentu. Kalau pun perlu, perjumpaan harus diadakan secara tertutup dan tidak menyinggung mana-mana pihak.

9) Lakukan sesi merapatkan ukhuwah seperti bertukar-tukar hadiah, menyambut hari jadi dan sebagainya.

10) Jika hendak yang lebih baik, kertas kerja disediakan supaya ahli halaqah boleh merujuk tajuk yang dibentang. Kertas kerja juga perlu ditulis secara ilmiah. Lengkap dengan maklumat dan kaedah penulisan yang diperlukan.

11) Kaedah publisiti halaqah juga boleh dilakukan dengan kreatif. Sebagai contoh, setiap halaqah boleh menubuhkan 'group' di facebook dan apa-apa maklumat berkaitan halaqah seperti poster halaqah, kertas kerja dan artikel-artikel berkaitan tajuk yang akan dibentangkan di post dalam group tersebut.

12) Tabung halaqah juga boleh disediakan. Sumbangan yang diberi melalui tabung tersebut boleh digunakan untuk memantapkan lagi halaqah yang akan diadakan pada masa hadapan.

13) Adakan ikon-ikon dalam halaqah yang mempunyai skil tersendiri seperti vlogger, blogger dan photographer. Skil-skil itu perlu diasah agar halaqah dapat pergi lebih jauh.

Perjalanan halaqah ini mempunyai cabarannya yang tersendiri. Halaqah mampu membuat seseorang menitiskan air mata. Sama ada kerana hatinya tersentuh dengan isi halaqah atau jiwanya terusik disebabkan perjuangan yang dilakukan demi memperjuangkan halaqah itu.

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...