Saturday 28 April 2012

Jangan Marah yee~~


Sebelum ini, mungkin ada di antara para pembaca yang sering diperlihat atau diperdengarkan dengan kalimah 'La Tahzan' yang membawa maksud jangan bersedih. Kalimah La Tahzan lebih dikenali umum melalui sebuah buku yang juga bertajuk La Tahzan karya Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni.

Di kesempatan ini, bukanlah kalimah La Tahzan yang ingin saya ketengahkan tetapi saya ingin sekali mengetengahkan kalimah La Taghdhob yang membawa maksud 'Jangan Marah'. Walaupun perbahasan mengenai tajuk 'Jangan Marah' turut terdapat dalam buku La Tahzan yang telah disebutkan, saya tertarik untuk memanjangkan perbahasan mengenai tajuk ini kerana sifat ini adalah pencetus kepada sifat-sifat lain seperti hasad dengki, iri hati dan sebagainya yang boleh menimbulkan perpecahan dalam umat kini. Sebagaimana sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: Berilah wasiat kepadaku. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Jangan marah." Beliau mengulanginya beberapa kali dan bersabda:"Jangan marah."

(Riwayat Ahmad no. 8729, al-Bukhari no. 5765 dan al-Tirmizi no. 2020)

Jika kita mendengar perkataan marah, ia membawa suatu nilai yang negatif berdasarkan ciri yang terdapat pada perkataan tersebut. Apabila seseorang itu marah, orang yang berada di sekelilingnya akan merasakan ketidaktenteraman hati dan perasaan akibat suasana berkecamuk yang ditimbulkan oleh perasaan marah tersebut. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang bijak mengawal emosi dan sentiasa tenang, kebiasaannya mereka tidak begitu terkesan terhadap perasaan marah yang dibawa oleh insan lain.

Marah. Mengapa marah? Di dalam Islam, marah yang terpuji hanyalah marah yang bertujuan untuk mencari keredhaan Allah SWT, membela agama Allah dan membela kehormatan seseorang Muslim yang dihina atau direndah-rendahkan manakala marah selain yang disebutkan seperti marah kerana ujian yang ditimpakan Allah, marah disebabkan perkara yang remeh temeh dan marah kerana tidak dapat menerima kebenaran adalah marah yang dicela dan mengundang kemurkaan Allah SWT.
Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.ha., beliau berkata:

“Rasulullah SAW tidak pernah memukul seorang pun, termasuk isteri atau khadamnya, kecuali dalam berjihad fi sabilillah. Tidak pernah baginda disakiti, lalu menyimpan dendam kepada orang yang menyakitinya, kecuali jika ada aturan Allah yang dilanggar, maka baginda akan marah kerana Allah.”
                 
                                                                                                                      (Riwayat Muslim no. 2328)

Setiap penyakit yang diciptakan Allah pasti ada ubatnya. Apa pula ubat bagi penyakit marah? Jauhilah akhlak yang tercela seperti bangga diri, menghina orang lain, banyak bercanda, suka perdebatan dan sebagainya. 

Tukarlah sifat bangga diri kepada rendah diri kerana kita hanyalah hamba di muka bumi ini. Tukarlah sikap suka menghina orang lain kepada suka memaafkan dan berlemah lembut dengan orang lain kerana semua manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan diri masing-masing. Tukarlah sifat suka bercanda kepada sifat suka mencari kebenaran kerana pabila suka bercanda, gurauan yang terhasil tidak semua dapat menerimanya. Tukarlah juga sifat suka perdebatan kepada sifat suka mengkaji kerana bila kita sering berdebat, fakta yang disampaikan lebih kepada emosi dan bukannya ke arah kebenaran.

Didiklah diri dengan akhlak mulia seperti sabar, lemah lembut, tidak tergesa-gesa dalam segala hal dan sebagainya. Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a., beliau berkata Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Asyajj’ Abdul Qais yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada dirimu ada dua perkara yang Allah cintai, iaitu kecerdasan dan sikap tidak tergesa-gesa.”

(Riwayat Muslim no.17)

Jika kita tersedar ketika sedang marah berhentilah berbicara kerana kita boleh mengawal emosi dan nafsu sekiranya berdiam diri. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang yang hebat itu bukanlah orang yang dapat membantingkan diri dengan kuat. Orang yang hebat adalah orang yang mampu mengendalikan nafsunya ketika marah.”

(Riwayat al-Bukhari no. 6114 dan Muslim no.2609)

Selain itu, ubahlah posisi tubuh daripada berdiri kepada duduk atau daripada duduk kepada berbaring. Berwuduklah sekiranya perasaan marah masih ada. Insya Allah, anda akan lebih tenang.
Berdoalah kepada Allah agar sentiasa diberikan ketenangan jiwa dan perasaan. Semoga Allah sentiasa melindungi kita daripada perbuatan terkutuk syaitan dan memimpin kita menuju ke jalan yang diredhainya. Amin.

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...