Saturday 22 November 2014

Travelog: DBP dan NICE

“Aduh, jalan sesak!” monologku sendirian. Perlawanan Akhir Piala Malaysia menyaksikan JDT bertemu dengan Pahang akan berlaku malam nanti. Jalan menuju ke Kuala Lumpur melalui susur masuk ke Bukit Jalil begitu sesak dipenuhi kebanyakan penyokong perlawanan kemuncak tersebut. Jam baru menunjukkan sekitar 3.00 petang tetapi penyokong-penyokong sudah mula berpusu-pusu masuk ke Stadium Bukit Jalil walaupun perlawanannya diadakan pada sebelah malam.

Menyesal pula tidak menggunakan KTM pada awalnya atau alternatif lain menggunakan lebuhraya di Cheras. Dah terperangkap dalam kesesakan sebegini sememangnya tak mampu nak buat apa-apa. Kadang saya redha. Adakalanya timbul kehairanan atas kegilaan bola ini. Dari kecil, pengetahuan saya tentang bola amat terbatas sekali. Saya tidak tahu apa-apa tentang bola justeru tidak pernah berminat akannya. Kalau orang katakan strategi bola itu bagus, saya fikir strategi perlawanan chess itu lebih menarik. Entahlah. Otak jenis muzium mungkin selalu berfikir begini.

Kira-kira 45 minit kemudian, barulah kami terlepas daripada kesesakan itu. Hati saya masih belum tenang kerana destinasi pertama kami adalah di Dewan Bahasa dan Pustaka yang terletak berhampiran dengan Stadium Merdeka. Pentas Stadium Merdeka hari ini pula menyaksikan kedatangan ahli Running Man, rancangan variasi paling popular di Korea dan mungkin juga di Asia. Hatiku berdebar-debar. Bimbang akan menyusahkan ayah lagi jika terperangkap dalam kesesakan.

Walaupun saya juga salah seorang peminat Running Man, tetapi saya sendiri tidak sanggup mengeluarkan belanja beratus ringgit semata-mata untuk bertemu dengan artis kesayangan, melihat mereka secara dekat serta mengambil gambar ‘selfie’ dengan mereka sebagai kenang-kenangan. Bagi saya, cukuplah dengan hanya mengagumi rancangan mereka ini yang telah menarik ramai orang dari luar negara untuk mencintai negara mereka. Ekonomi Korea Selatan secara tidak langsung bertambah baik terutama dari segi pelancongan dan hiburan. Strategi hebat inilah yang patut kita contohi disamping keunikan rancangan variasi ini yang begitu natural dengan tidak menggunakan sebarang skrip seperti kebanyakan rancangan yang lain.

Dewan Bahasa dan Pustaka

Kami selamat tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka tanpa menghadapi masalah kesesakan lalu lintas. Fokusku beralih kepada pencarian buku bertajuk “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” oleh Za’ba. Keinginanku untuk mendapatkan buku ini adalah untuk melawan teori yang dipegang sebelum ini. Teori yang kebelakangan ini saya rasakan terlindung disebaliknya kepura-puraan yang tidak pasti.

Malangnya hasratku terbantut sekali lagi. Kedai buku DBP tutup pada hari Sabtu. Sebelum ini sudah cuba beli secara online. Tapi sistem jual beli online di website Dawama seolah terhenti dan tidak boleh digunakan. Rupanya syarikat Dawama sudah ditutup dan diambil alih syarikat DBP sendiri. Maka berlakulah juga perubahan dalam sistem jual beli ini. Pernah juga saya terbaca tentang konflik Dawama ini yang telah gagal untuk memasarkan buku-buku mereka dan telah mengakibatkan kerugian yang besar. Harapnya konflik pengedar buku ini tidak begitu kerap terjadi. Khuatir keadaan sebegini akan melambatkan lagi proses penyampaian ilmu kepada masyarakat yang secara puratanya masih lemah dalam pengkajian ilmu.

Moga hasrat saya untuk mendapatkan buku karangan Za’ba itu terkabul di lain hari.

Potret pendeta Za'ba,


National Invention Conference and Exhibition (NICE)

Cuma sedikit yang dapat saya kongsikan berkenaan pameran ini kerana kelihatannya ia kurang meriah mungkin kerana pamerannya tidak begitu gah. Lagi pula, banyak program lain diadakan pada tarikh yang sama.

Niat saya ke sini pula tidak lain hanya untuk mencari bahan-bahan yang boleh membantu projek kajian saya dalam bidang kejuruteraan awam itu. Walaupun apa yang saya temui tidaklah begitu membantu projek kajian tersebut, sekurang-kurangnya pameran ini sedikit sebanyak dapat membuka mata saya kepada teknologi yang lahir dari bumi Malaysia ini. Bermula dari pameran peringkat sekolah menengah hinggalah ke peringkat profesional yang melibatkan syarikat-syarikat tempatan, kesemua pameran ini telah menunjukkan daya usaha mereka tersendiri dalam mewujudkan inovasi yang mampu memberi kebaikan terhadap pembangunan negara.

Cukuplah kita mengambil contoh negara Korea Selatan yang telah membangun dengan pesatnya biarpun beberapa dekad yang lalu, taraf kemiskinan mereka sama sahaja seperti negara Afrika yang masih mengalami masalah kebuluran. Begitu juga negara Jepun yang telah menggegarkan dunia dengan  kehebatan teknologi yang mereka ada.

Beberapa hari lalu, saya tertarik dengan komen seorang yang bernama Sami Seddiki di Facebook sewaktu menonton klip video kereta api laju di Jepun.

“Some countries like Japan chose economic development, technology and inventions, other countries chose to create wars in order to gain territories all over the world, wasting a lot of resources to spill blood, that's why they will be left behind in many areas.”

Sistem ini bukan tidak boleh diubah dengan perbincangan dari sudut politik. Adakalanya, setiap daripada kita harus berperanan teguh dalam bidang yang diceburi. Jika setiap orang memainkan peranannya dalam bidang masing-masing, sudah pasti negara akan seimbang dari pelbagai aspek.

Tidaklah nanti daripada orang biasa hingga ke orang politik asyik melahirkan keluhan yang berpanjangan. Sedangkan banyak aspek lain tidak diseimbangkan. Walaubagaimanapun, kesedaran politik dan mengetahui isu-isu semasa juga perlu ada supaya kita tidak beraksi bebal, dangkal dan sentiasa ‘sado’ dalam gelanggang sendiri. 

Moga kesedaran ini menjadi kesedaran kita bersama. Khuatir jika sejarah kita 50 tahun akan datang ditulis hanya dengan catatan pergaduhan tetapi sedikit pula mencatatkan kemajuan yang membanggakan.

Baiknya budi si mata sepet

Nampaknya saya telah tersilap tengok jadual. Disangkakan pameran itu akan tamat pada waktu malam rupanya tamat pada jam 5 petang. Usai solat di Surau Ar-Rahman dalam bangunan PWTC itu, kami bergegas ke parking kereta dan nampaknya kereta telah pun berbaris panjang menuju ke pintu keluar. “Aduh, bazir masa lagi!” Saya mengomel sendirian. Bertubi-tubi kekesalan saya bila melihat stesen LRT yang betul-betul berada beberapa meter dari bangunan PWTC. Apa boleh buat? Kalau nak menyesal, perlu menyesal pada perancangan segera dan mengejut ini.

Dalam kesabaran menanti giiliran tiba di pintu keluar, tiba-tiba saya terasa seperti ada orang menutup penutup corong minyak kereta. Bila lihat ke belakang, ada seorang lelaki muda berbangsa Cina tersenyum sambil mengangkat tangan. Syukur. Masih ada lagi manusia yang prihatin sepertinya. Walaupun dia seorang berbangsa Cina dan bukan beragama Islam.

Secara realitinya, tidak ada seorang manusia pun boleh dijadikan mangsa kepada kejahatan bangsa yang diwar-warkan orang lain yang tidak pasti juga akan kesahihannya. Jika pandangan itu pandangan yang sebaliknya, maka penilaian kita terhadap manusia jauh menyimpang daripada prinsip keadilan yang dipegang oleh semua agama. Seperti yang berlaku dalam masyarakat, masih ramai yang tidak berpuas hati terhadap bangsa yang berlainan. Ada sahaja cerita buruk yang mahu dikongsikan bagi menyuntik rasis dalam urat nadi masyarakat. Walhal sejak awal lagi kita telah bergantung antara satu sama lain. Biarpun sejarah ketika zaman British menyaksikan wujudnya pembahagian tempat antara kaum, namun itu sebenarnya bukanlah penghalang untuk kita bersatu di zaman ini. Lagi pula, pembahagian itu sepatutnya sudah lama lenyap ditelan dekad yang berlalu pergi.

Kalau kita hanya mengatakan Malaysia ini asalnya tanah orang Melayu mengikut pandangan sejarah, mana pula keadilan kita untuk mengakui hakikat sejarah awal bahawa candi tertua milik orang beragama hindu terletak di Lembah Bujang? Celah mana lagi mahu kita sorok bahawa Puteri Hang Li Po itu berkahwin dengan keturunan raja Melayu sendiri?

Tepuk dada, tanya hati.

Sama ada kita mahu terus hidup dengan membanggakan kaum sendiri.

Kaum lain seolah seronok untuk dicaci.

Adapun yang perlu kita hayati;

Perbezaan warna kulit tidak pernah menjadi asbab kepada hukum alam untuk kita saling membenci.

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...