Tuesday 28 October 2014

Travelog: Masjid Negara dan Festival Zine

Cuaca petang itu kelihatan mendung. Kami yang berada dalam kereta hanya menanti apa yang berlaku. Selalunya perjalanan dari Kajang ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa kira-kira dua puluh minit dengan menaiki kereta. Itupun jika tidak ada kesesakan lalu lintas. Di bahagian kota Kuala Lumpur, langit sudah gelap. Saya kira Kuala Lumpur sudah pun dibasahi hujan lebat. 

Semasa kami menghampiri pusat bandaraya, hujan turun dengan lebatnya. Di ‘curb’ jalan, air menderas laju memasuki ruang saliran yang berada di bawah permukaan jalan. Titisan-titisan air yang jatuh daripada langit ditampung oleh laluan sungai dengan banyaknya. Teringat saya semasa melalui kawasan Kuala Lumpur cuti raya haji lalu, saya lihat beberapa kawasan di sekitar Puduraya telah sedikit banjir. Kalau keadaan cuaca seperti itu berlaku dalam tempoh lebih kurang dua jam, kemungkinan Kuala Lumpur untuk banjir agak tinggi.

Ayah terus memandu hingga melepasi tol terowong SMART. Setiap kali Kuala Lumpur hujan dan banjir, saya pasti teringat terowong SMART ini dan pelik akan fungsi terowong SMART ini yang tidak begitu disebarluaskan selepas ia dibina. Antara sebab dan fungsi penubuhan terowong SMART adalah untuk mengawal banjir di Kuala Lumpur selain mengurangkan kesesakan lalu lintas. Terowong akan ditutup buat sementara waktu ketika hujan lebat dan air hujan yang banyak akan disalirkan ke dalam terowong ini. Projek yang menelan kos berbillion ringgit itu masih tidak nampak fungsinya pada kebolehan mengawal banjir. 

Sewaktu banjir berlaku kalau tidak silap pada tahun lepas, saya mempersoalkan perkara ini sendirian dan tercari-cari laporan yang menyebut tentang terowong SMART tetapi ternyata tidak dikeluarkan oleh mana-mana pihak. Yang ada cuma laporan berkenaan musibah yang berlaku. Terowong entah ke mana, banjir entah ke mana. Kecewa dengan senario sebegitu.



Pelancong Asing di Masjid Negara

Ketika kami sampai di Masjid Negara, hujan masih turun tetapi tidak selebat seperti waktu kami di tengah jalan tadi. Selesai berwuduk, kami menaiki tangga untuk ke ruang solat yang terletak di bahagian atas masjid. Pandangan saya tertangkap seketika pada sekumpulan pelancong asing yang tercegat berdiri di hadapan tempat masuk masjid.



Kelihatan penjaga masjid itu cuba untuk memahamkan pelancong-pelancong itu bahawa masjid hanya akan dibuka kepada pelancong non-muslim pada pukul 5.30 petang dengan sebab orang muslim sedang bersolat Asar. Jam di dinding ketika itu baru pukul 4.43 petang. Kasihan saya melihat mereka terpaksa berdiri di situ demi menanti pukul 5.30 petang. Terdapat palang yang menghalang mereka untuk masuk ke dalam masjid dan saya sedih melihat palang itu begitu sedikit memberikan ruang kepada mereka untuk berteduh. Kaki mereka beralaskan lantai basah kerana titisan hujan yang melebat. Ada antara mereka yang berpayung. Entah di mana kemesraan kita menyambut tetamu non-muslim untuk mengenali ajaran Islam ini dengan lebih dekat. Agaknya sebelum masuk ke dalam masjid lagi persepsi mereka terhadap Islam sudah kelihatan kurang meyakinkan.


Seni bina yang patut dipuji



Masjid Negara mula dibina pada tahun 1963 dan dibuka pada tahun 1965. Bumbung birunya yang paling besar berbentuk seperti payung yang sedang kembang manakala bentuk di atas menaranya yang berwarna putih berbentuk seperti payung yang sedang menguncup. Memang tidak dinafikan, seni bina Masjid Negara adalah antara seni bina yang menarik kerana reka bentuknya banyak mengekalkan ciri-ciri reka bentuk tempatan dan bukannya timur tengah seperti kebiasaan yang kita dapat lihat pada kebanyakan masjid sekarang.

Terdapat beberapa arkitek yang telah mengkritik reka bentuk kebanyakan masjid di Malaysia yang gemar meniru reka bentuk timur tengah yang menggunakan kubah sebagai ciri bumbung paling utama. Sedangkan masjid-masjid di nusantara pada awalnya tidak menggunakan kubah sebagai elemen utama bagi sesebuah masjid.

Masjid Negara juga dapat dipuji dari aspek kesederhanaan reka bentuk bangunannya yang nampak tidak begitu mewah sesuai dengan keadaan negara yang baru mencapai kemerdekaan pada waktu itu. Ruang solatnya sudah cukup memuatkan hampir 15000 orang jemaah dalam satu masa. Biarpun mempunyai reka bentuk yang sederhana, Masjid Negara tetap mempunyai daya tarikan dan berhasil menarik pelancong dan pelawat daripada luar negara termasuklah lawatan daripada Presiden Amerika Syarikat sendiri, Barack Obama pada April 2014 yang lalu.


Dataran Underground

Langit yang menangis lebat sudah mula reda. Air-air yang menderas laju di tepi jalan pula mulai surut lalu mengalir ke saliran-saliran buatan manusia. Jarak antara Masjid Negara dan Dataran Merdeka tidaklah begitu jauh. Hanya beberapa minit dengan melalui beberapa buah bangunan seperti Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang lama, Pejabat Pos Besar Malaysia dan Balai Polis Bukit Aman.
Jalan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad ditutup kerana berlangsungnya festival UNESCO. Walaupun menetap di Kajang, Dataran Merdeka bukanlah tempat lepak atau tempat yang selalu saya lawati menyebabkan saya tercari-cari Dataran Underground yang dikatakan terletak di Dataran Merdeka itu sendiri. Ternyata, Dataran Underground letaknya betul-betul di bawah Dataran Merdeka.



Semasa memasuki Dataran Underground, gerak geri manusia-manusia di situ serba sedikit saya perhatikan. Entah inikah yang dikatakan gaya atau trend indie, saya juga tidak begitu pasti. Apapun, sebelum melangkah ke sini lagi saya sudah membayangkan dan bersedia dengan pemandangan seperti ini. Tidak kisahlah jika diulang kembali sejarah, zine itu sendiri berasal daripada kumpulan punk yang memperjuangkan muzik mereka.

Ketika sampai di situ, ada seorang wanita bersama beberapa ahli band lain sedang membuat persembahan di atas pentas. Saya kurang pasti apakah itu suatu persembahan Puisi Muzikal seperti yang pernah saya lihat daripada persembahan penulis puisi dan penyanyi bernama Fynn Jamal itu. Apa yang saya tahu, persembahan sebegitu tetap ada untuk program tersebut. Persembahan di atas pentas tidak begitu saya hiraukan kerana saya sendiri kurang berminat dengan cara penyampaian puisi dengan cara itu dan lebih gemar mendengarkan puisi gaya lama atau klasik yang pada saya lebih menyentuh perasaan.

Fokus saya terus kepada lambakan zine dan buku indie. Pergerakan amat terbatas kerana orang terlalu ramai. Bunyi kuat daripada pembesar suara dan alatan muzik sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi untuk membaca buku dan zine yang ada. Tanpa berlengah, saya hanya mencapai zine yang bagi saya cukup sederhana dan simple. Buku pula saya ambil yang betul-betul sudah menjadi target untuk dimiliki bertajuk ‘Alif Lam Lam Ha’.




Kritikan ke atas Buku Indie

Terdapat beberapa pihak serta individu telah mengkritik buku indie atas beberapa sebab seperti buku indie ini membawa fahaman liberal, dikatakan buku indie karya syok sendiri, tidak menjaga kesantunan bahasa serta menyanggahi adab dan budaya masyarakat timur.

Bagi saya sendiri, apa pun karya tidak berhak untuk di’ban’ lebih-lebih lagi maksudnya jelas untuk mengawal pembacaan masyarakat. Seni itu sendiri bersifat subjektif dan setiap pengkarya bebas untuk mengekspresikan pandangan mereka dalam apa bentuk sekalipun. Apapun, bukanlah semua kritikan perlu ditepis tetapi perlu ditapis untuk menambah baik karya yang sedia ada.

Berkenaan fahaman liberal yang dikatakan muncul dalam buku-buku indie, kita perlu fahami satu persatu isu yang dikeutarakan yang dikatakan liberal itu. Tiada panduan yang kukuh dan jelas untuk meletakkan apa-apa label sekiranya pandangan kita sendiri tidak berdasarkan kajian serta menimbang tara perbezaan-perbezaan yang berlaku. Makanya kita tidak seharusnya bertindak melabel mana-mana karya sewenang-wenangnya apatah lagi dengan label yang buruk jika kajian kita hanya mengambil kira satu pendapat atau satu pihak dan kita sendiri taksub dengan pendapat yang kita pegang itu. Label gelaran seperti liberal bukanlah sesuatu yang boleh dicampak sesuka hati tanpa hujah yang kukuh seperti dalam artikel ‘Alif Lam Lam Ha’ yang dikatakan mengambil mudah dalam mempertahankan kalimah Allah. Walhal ulama juga berbeza pendapat akan hal ini. Mana mungkin label liberal juga boleh dilemparkan pada ulama yang seakan turut bersamaan pendapatnya dengan artikel tersebut?

Kritikan yang mengatakan karya indie daripada kelompok alternatif ini adalah syok sendiri juga adalah suatu perkara yang perlu dibincangkan. Saya merasakan setiap karya walaupun dikatakan syok sendiri, tetap mempunyai nilai dan sedikit sebanyak memberi impak kepada pembaca. Saya sendiri bukanlah seorang peminat tegar karya indie tetapi saya tetap menghormati karya-karya yang ditulis oleh penulis yang mungkin sahaja tidak tidur malam demi menyiapkan karyanya.

Bukan semua buku indie boleh dihitamkan dengan pandangan yang buruk ke atas nama penerbit kerana ada buku indie yang memberi kesan mendalam kepada saya serta memberi input berguna dalam memahami hal-hal semasa dengan bahasa yang kekal santun tetapi menusuk seperti buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’, ‘Pedagogi Bahasa Tertindas’ dan ‘La Adri’. Kerana itu kita tidak boleh menghukum lenggok karya buku indie sekiranya kita cuma menilai sisi negatifnya sahaja.



Sesetengah pihak terutama generasi muda merasakan penulisan buku indie lebih santai dan dekat dengan jiwa mereka. Setakat beberapa buah buku indie yang saya miliki, saya gemar dengan gaya persembahannya yang santai tetapi penuh isi. Kulit hadapannya juga tidak kurang menarik (smart and simple) jika hendak dibandingkan dengan buku-buku daripada penerbit buku bukan indie lain selain kebanyakan bukunya bersaiz sederhana kecil dan ringan. Bukankah ini merupakan daya penarik kepada orang ramai untuk memupuk minat membaca yang kian terhakis?


Pokok pangkalnya, tidak kisahlah kita hendak memilih bahan bacaan yang mana-mana pun. Seorang pembaca yang berani tidak akan duduk dalam zon selesa dan tetap cliché kerana hal ini hanya akan menyekat pemikiran mereka untuk berfikir dengan fikiran yang lebih terbuka serta memandang dengan pandangan yang lebih luas. Jika hendak diharamkan buku-buku indie yang dikatakan liberal itu, mengapa awal-awal lagi tidak diharamkan buku-buku berbahasa Inggeris yang terang-terangan membawa pendekatan liberal? Nah. Di sini boleh dinilai betapa pembacaan itu tidak boleh dihadkan atas nama keaslian perjuangan. Penulisan tidak salah dalam mengawal pemikiran tetapi orang yang membaca itu patut disalahkan kerana malas berfikir ketika membaca.

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...