Thursday 1 January 2015

Episod 2014: Memori yang Berbekas

Dalam artikel ini akan saya ulas serba sedikit mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tahun 2014. Walaupun beberapa rancangan di televisyen telah melakukan imbasan tahun 2014, saya tetap mahu menulis dan menyatakan pandangan daripada perspektif sendiri. 

Bagi saya, tahun 2014 adalah tahun yang dipenuhi duka berbanding suka. Kerana 2014, kita telah melalui banyak peristiwa sedih dan perit untuk diterima tetapi tetap tidak boleh dinafikan janji Allah bahawa setiap yang terjadi itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Akan pergilah tahun 2014 ini dengan membawa kenangan dan cerita duka lara rakyat Malaysia dan akan tertinggalnya ibrah yang patut dipelajari dan diteladani setiap daripada kita.

Dramatiknya tahun 2014 merekodkan sejarah dalam kurun yang panjang dengan izin-Nya dan semoga peristiwa-peristiwa ini menjadi batu lonjakan buat kita mencari dan menggunapakai kebenaran ke arah kelangsungan hidup yang sempurna.

Peristiwa Pesawat

MH370

Tidak banyak yang boleh dikongsikan berkenaan peristiwa pesawat ini kerana saya sendiri bukanlah seorang yang pernah berkecimpung dalam bidang ini. Cumanya peristiwa kehilangan pesawat MH370 yang telah hilang sejak 9 bulan yang lalu masih menjadi persoalan, tanda tanya sekaligus masih berbekas dalam denyut nadi rakyat Malaysia.

9 bulan lalu, dunia digemparkan dengan kehilangan pesawat yang hingga kini masih belum ditemui. Media-media antarabangsa pada waktu itu turut membuat liputan meluas dan perkara ini telah mendapat simpati pelbagai pihak. Segala jentera berteknologi tinggi, tenaga serta masa telah dikerahkan sehabisnya serta turut dibantu oleh negara-negara luar.

Dalam kekalutan peristiwa ini, muncul pelbagai teori daripada ramai individu. Namun hingga kini, teori-teori itu hanya tinggal teori dan tidak ramai lagi yang ingin mengulas mengenainya. Isu kehilangan pesawat ini juga menyelitkan elemen-elemen politik yang menjadi bahan ejekan rakyat apabila wujud jalinan unik antara kerajaan Malaysia dan China melalui binatang comel bernama panda.

Apa yang diharapkan sekarang adalah pesawat yang terbang daripada Malaysia ke Beijing itu ditemui dan barulah teori-teori yang dicetuskan boleh digunapakai. Khabarnya, misi pencarian MH370 akan tamat pada bulan Mei 2015 dan kita hanya mampu menanti apa jua berita sambil tidak putus berdoa dan mengharapkan yang terbaik.

MH17

Ketika negara mulai reda dengan kekecohan kehilangan pesawat MH370, sekali lagi kita dikejutkan dengan peristiwa MH17 ditembak jatuh di Ukraine. Peristiwa ini lebih tragis kerana pesawat ini jelas mengorbankan kesemua penumpang yang berada di dalamnya. Sekali lagi, syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) terpaksa akur dan tunduk dengan ujian yang paling memberi kesan kepada mereka.

Kerana turut terkesan dengan peristiwa ini, aku telah menulis sebuah puisi.


Pilu sekali bila mengenangkan nasib pesawat ini yang masih belum terbela hingga kini. Tidak ada pihak yang tampil ke hadapan untuk bertanggungjawab ke atas kejadian ini. Perkembangan terbaru menyaksikan usaha untuk mencantumkan semula rangka pesawat yang musnah bagi dibuat kajian yang lebih teliti.

QZ8501

Kira-kira seminggu sejak negara dilanda musibah banjir, kita diuji lagi dengan hilangnya pesawat QZ8501, pesawat AirAsia Indonesia yang perjalanannya dari Indonesia ke Singapura. Pesawat ini ditemui dua hari kemudian di tengah lautan dengan keadaan yang menyayat hati. Syarikat AirAsia Malaysia yang mempunyai saham sebanyak 49 peratus dalam syarikat AirAsia Indonesia sememangnya amat terasa dengan kejadian ini dan dunia penerbangan sekali lagi gempar tetapi kali ini melibatkan syarikat penerbangan AirAsia pula.

Bencana

Awal tahun 2014 menyaksikan kemarau berpanjangan melanda negara. Empangan-empangan kering dan air terpaksa dicatu. Krisis air di Selangor telah membataskan kehidupan harian manusia yang sememangnya bergantung pada air. Ketika ini kita merintih dan meminta kepadaTuhan supaya diturunkan hujan dan air dikembalikan.

Di awal tahun itu, tiada siapa sangka episod tahun 2014 akan berakhir dengan tragedi bencana banjir besar yang pada mulanya melanda negeri-negeri Pantai Timur. Bencana ini kemudiannya melibatkan negeri-negeri Pantai Barat seperti Kedah, Perak, Selangor dan Johor tetapi tidaklah seteruk bencana di Pantai Timur terutama di Kelantan.

Kejadian ini turut mengingatkan kita pada peristiwa dahsyat 10 tahun lalu yang turut berlaku pada akhir tahun; 26 Disember 2004 iaitu tsunami yang telah membadai sebahagian persisiran pantai di Malaysia. Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama bermuhasabah atas kejadian ini. Sebagai seorang pelajar dalam bidang kejuruteraan awam, aku merasakan sesuatu perlu dilakukan demi membendung atau mengurangkan impak daripada bencana tersebut.

Buku-buku musnah akibat banjir
Saat kritikal ini bukanlah saat untuk kita mencari asbab Tuhan atau dengan kata lain mind reading Tuhan atas kenapa bencana ini berlaku. Tidak perlu bagi kita untuk bergaduh dan berkata negeri hang buat banyak maksiatlah. Ini akibat tak laksana hududlah dan macam-macam lagi pertuduhan melulu yang dilemparkan. Perkara ini tidak berkesudahan. Jika dahulu semasa Johor banjir teruk, sesetengahnya sibuk berkata orang-orang Johor sokong pemimpin tak betul. Sekarang ini pantai timur banjir teruk, sesetengahnya sibuk pula kata Kelantan lambat laksana hudud. Siapakah kita ini yang hendak meletakkan asbab kepada bencana ini? Dan masing-masing tegar mempertahankan negeri masing-masing. Tidak berkesudahan jadinya.

Saat ini, persoalan pasti yang patut kita fikir dan risaukan ialah bagaimana manusia melayan alam. Desas desus kuat mengatakan punca bah ini disebabkan berleluasanya pembalakan haram dan tidak terkawal.

Di Cameron Highlands November lalu, dikatakan penerokaan tanah secara haram yang berleluasa mengakibatkan tanah runtuh dan banjir. Di sinilah peranan kita, terutama yang terlibat dalam bidang-bidang berkaitan untuk mengenalpasti punca sebenar dan membuat kajian berdasarkan statistik yang dikumpulkan. Setelah itu, kita bentang kepada pemimpin kita yang turut lena selama ini supaya dapat menjalankan langkah seterusnya seperti langkah pencegahan banjir serta idea untuk memperbaiki sistem saliran sedia ada. Penyalahgunaan kuasa, sikap tidak bertanggungjawab dan rasuah perlu kita tentang habis-habisan. Bumi ini hanya akan sejahtera jika kita kembalikan semula haknya.

Usah kita bergaduh perkara yang tidak pasti lagi. Ketamakan itu yang patut kita risaukan dan muhasabah kembali.

Berita Palsu

Dalam kekecohan negara mengalami isu banjir, media sosial tidak kurang kepohnya. Bermacam-macam berita palsu disebarkan tanpa usul periksa dan sedikit sebanyak mencetuskan panik serta timbul sentimen politik. Hal-hal yang melibatkan sentimen politik ini juga saya kurang pasti kesahihannya tetapi jika benar ia terjadi, kita patut bertanya lagi. Tidak cukupkah musibah ini untuk menyatupadukan kita atau paling tidak, merehatkan seketika daripada konflik politik yang tidak berkesudahan?

Dalam hal penyebaran berita palsu, saya kira SKMM patut diberikan pujian kerana tampil melaksanakan tindakan ke atas individu yang menyebarkan berita palsu. 

Landskap Politik

Konflik di Selangor

Di samping mengalami musibah dan bencana, negara juga tidak lari daripada landskap politik yang memberi kejutan. Belum sampai seminggu selepas kejadian MH17 ditembak jatuh, pimpinan negeri Selangor bergolak dan menyaksikan MB Selangor pada waktu itu, Tan Sri Khalid dipaksa untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan dibuang daripada Parti Keadilan Rakyat. Keadaan ini sangat mengejutkan warga negeri Selangor kerana Tan Sri Khalid telah sekian lama memerintah negeri Selangor iaitu sejak tahun 2008 lagi.

Walaubagaimanapun, Tan Sri Khalid tetap berkeras tidak mahu melepaskan jawatannya sehinggalah sultan Selangor sendiri mengumumkan tiga nama yang bakal dipilih sebagai MB Selangor yang baharu. Kemelut politik ini berterusan dengan perancangan dan strategi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar dalam hasratnya untuk melaksanakan “Langkah Kajang”. Meskipun isterinya, Datin Seri Wan Azizah memenangi pilihanraya mengejut di Kajang dan turut tercalon sebagai MB Selangor, perkenan Sultan menentukan segalanya. Akhirnya, konflik diselesaikan dengan pelantikan YB Azmin Ali sebagai MB Selangor.

Pelbagai respon diberikan oleh rakyat Selangor berhubung hal ini. Ada yang mengatakan mereka sudah malas untuk terlibat dengan politik kerana pemimpin yang dilantik hasil undian sewaktu pilihanraya, dibuang begitu sahaja tanpa memberi penjelasan yang konkrit. Ada juga yang tidak berpuas hati dengan tindakan Sultan Selangor yang seolah-olah menggagalkan perancangan ‘Langkah Kajang’ yang dipercayai boleh mengukuhkan kuasa pembangkang dalam negara.

Namun, segalanya sudah ditentukan. Hari demi hari berlalu dan isu ini sepertinya sedikit sebanyak ditenggelamkan sedozen isu-isu lain yang melanda negara.

Keberagamaan dalam banjir

Dalam al-Quran, Surah Ar-Rum, ayat 41, Allah telah berfirman:

ظَهَرَ الفَسادُ فِى البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِى النّاسِ لِيُذيقَهُم بَعضَ الَّذى عَمِلوا لَعَلَّهُم يَرجِعونَ 

Maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Ayat ini telah ditafsirkan sebahagian ilmuan pada bahagian tangan manusia itu bermaksud, dosa, maksiat dan kesalahan manusia terhadap Allah. Namun, sebahagian ilmuan tersebut tidak memperincikan kesalahan itu supaya kita sendiri mengambil pengajaran dan bertindak atas daya usaha dari sudut saintifik dan bukan hanya semata-mata memohon kepada Allah untuk menerima taubat dan mengampunkan kesalahan yang dilakukan.

Tafsiran tangan manusia itu sendiri membawa maksud yang lebih menjelaskan iaitulah interaksi antara manusia dan alam serta bagaimana interaksi yang buruk boleh mengakibatkan bencana itu terjadi. Hal ini yang sepatutnya difikirkan oleh pimpinan ulama PAS di Kelantan dan bukan hanya mengajak manusia kepada Tuhan tetapi soal kebajikan dan keselamatan rakyat diabaikan.

Kerana itu, kita tidak dapat lari daripada kepentingan menguasai ilmu sains oleh ulama seperti yang telah digariskan sendiri oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya Tsaqafah Al-Daiyah. Di zaman seorang lagi ilmuwan Islam bernama Katip Celebi juga telah dibuktikan betapa seorang ulama itu harus mempunyai ilmu dalam bidang teknologi dan sains. Hal itu hampir mustahil untuk dilaksanakan di zaman ini di mana wujud pengasingan ilmu antara sains dan agama dalam institusi pendidikan. Hanya inisiatif kita sendiri yang boleh membawa kita keluar daripada kebebalan ini.

Hal yang sepatutnya disentuh, tidak harus ditutup dengan candu-candu agama yang merugikan. Pembalakan tidak terkawal dan permukaan bumi yang ditarah menjadi punca konkrit untuk dijadikan asbab kepada bencana ini. Kerana itu, Allah juga mengingatkan kita untuk berfikir tentang kejadian-kejadian alam yang sememangnya berkait rapat dengan kehidupan manusia.

Salah satu kawasan di Kelantan yang digondolkan
Penutup

Tahun 2014 menyaksikan babak-babak kehidupan yang sebelum ini mungkin tidak pernah terjangkau oleh akal kita yang terbatas. Pelbagai peristiwa menyayat hati telah merobek jiwa tidak kurang meninggalkan kesan yang berbekas di hati kita buat selamanya.

Mengenang peristiwa 10 tahun lalu ketika tsunami membadai beberapa tempat, ibrahnya mungkin boleh dilihat kepada apa yang berlaku selepas itu. Lihat sahaja betapa ramai manusia yang akur, tunduk dan sujud kepada-Nya termasuk lambakan artis yang berhijrah ke arah yang lebih baik. Majlis-majlis ilmu turut subur berbanding sebelumnya. Namun, perspektif sebegitu wajar juga untuk dilihat pada sisi lain.

Secara peribadinya, saya agak terkesan dengan peristiwa sepanjang tahun 2014. Tidak hanya sekadar musibah dan konflik yang melanda negara, pada saya sendiri pun terjadi banyak hal hinggakan suatu masa saya melabel diri sendiri sebagai seorang gagalis (seorang yang gagal dalam hidupnya). Akhirnya, pengalaman hidup sendiri mengajar saya bahawa betapa prasangka itu sebenarnya adalah sebuah falasi dalam hidup. Dan apabila terperangkap dalam falasi sebegitu,  kita akan lupa akan erti sebenar kehidupan. Seringkali saya bertanya pada diri sendiri, “Jika begitu mudah kita meletakkan diri kita sebagai seorang gagalis, maka apa gunanya kita diciptakan sebagai seorang manusia yang serba serbi sempurna? Tambahan, Islam juga meletakkan gelaran khalifah di bahu setiap umat Islam. Maka siapa lagi yang membuatkan kita lemah kalau bukan diri kita sendiri?”

Moga 2015 ini akan hadirnya warna warni persis hadirnya pelangi yang membelah langit selepas hujan.

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...