Sunday 24 August 2014

Satu



Dari kota raya, Haslina akan menaiki bas rapid berlabel U40 di Pudu. Hasratnya hari ini ingin sampai ke rumah sesegera mungkin kerana suaminya lambat pulang atas urusan pekerjaan. Dia sudah tentu perlu segera sampai kerana kerja rumah harus dibuatnya. Tidak macam selalu, suaminya selepas pulang akan terus melakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu, memasak dan melipat baju. Tinggal sahaja dia melakukan bakinya yang belum selesai. 
Tidak seperti dirinya, suami Haslina lebih dekat tempat kerjanya dari rumah berbanding dia yang terpaksa hari-hari berulang alik daripada kota raya ke rumahnya di Kajang dengan menaiki sama ada bas rapid ataupun LRT dan KTM. Lagi pula anaknya, Nabil yang baru berusia tiga bulan, ditinggalkan di rumah jirannya, Kak Imah. Walaupun ditinggalkan di rumah penjaga, Haslina malu jika anaknya ditinggalkan lama-lama kerana bimbang akan menyusahkan keluarga Kak Imah pula.

Sedang dia menunggu bas di hadapan Mydin Pudu, tiba-tiba dia mendapat panggilan telefon daripada Kak Imah,

“Ina, balik cepat! Anak kau tersedak susu! Ini kak sedang dalam perjalanan ke hospital Kajang! Khairuddin dah akak hubungi! Dia juga sedang bergegas ke hospital!”

Terkedu Haslina seketika. Dia tersentak!

“Ya Allah! Kak! Saya cuba bergegas juga ni! Saya serahkan pada akak! Buatlah yang terbaik untuk anak saya kak!” sekadar itu yang mampu diucapkannya.

“Haslina! Akak dah sampai di hospital ni!”

“Akak kalau apa-apa jadi cepat-cepat bagi tahu saya ya!” 

Panggilan telefon dimatikan. Serasa hatinya keadaan di sana begitu cemas sekali. Hati Haslina tidak keruan. Dilihatnya bas belum sampai-sampai lagi. Fikirannya ligat berfikir apakah yang akan jadi. Dia mula terbayang berita-berita di akhbar tentang anak yang mengalami kejadian sama. Tapi dia seboleh-bolehnya ingin menutup kesudahan yang buruk daripada fikirannya. Dalam hatinya tidak henti-henti bermunajat dan berdoa mohon anaknya diselamatkan. 

“Ya Allah! Kepada-Mu aku menyembah dan kepadamu aku meminta pertolongan. Berilah yang terbaik buat anakku. Ya Allah! Jaga dan ubatilah anakku. Engkaulah yang maha mengubati. Tidak ada yang dapat mengubati selain Engkau.” Tanpa sedar, air matanya mengalir di pipi. Selepas itu, bas pun berhenti di hadapannya. Dia mengucap syukur. Matanya yang merah kerana air mata disekanya berkali-kali. Dia cuba menguatkan diri. 

Dia menaip mesej untuk suaminya, Khairuddin di telefon bimbitnya, “Bang, Ina cuba dapatkan teksi dan akan sampai ke sana sesegera mungkin. Banyakkan berdoa bang…” Sampai di Cheras, Haslina turun dan menunggu teksi yang telah ditempahnya tadi. Tidak berapa minit kemudian, sampailah teksi dan dia menaikinya. Dalam situasi genting begini, dia kurang mempercayai bas. Baginya dengan trafik yang hari-hari sesak di Lembah Kelang, eloklah dia menaiki teksi untuk segera sampai. Itupun dia menyuruh pemandu teksi menggunakan jalan dalam supaya dapat mengelak kesesakan.

Hatinya berdebar-debar saat tiba di hospital. Ditujunya ke kaunter pertanyaan. Tidak sempat dia bertanya, dia terpandang akan susuk tubuh lelaki bersama perempuan yang sedang mendukung bayi. 

“Abang! Bagaimana semuanya?” Dia bertanya.
“Syukur semuanya selamat.” Khairuddin menjawab sambil melebarkan senyumannya.

“Ya Ina. Nasib baik laki kau ni tahu macam mana nak merawat bayi tersedak. Kalau dia tak suruh Kak Imah buat rawatan awal, tak tahulah apa jadi pada anak kau ni.” Kata Kak Imah. Dia menyerahkan Nabil kepada Haslina.

“Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.” Haslina mengucup-ngucup anaknya. Air matanya mengalir lagi. Terharu bercampur gembira sekali dia apabila dapat mendukung anaknya.

“Sungguh ilmu parenting benar-benar membantu. Yang penting tidak panik bila berlaku kejadian begini.” Khairuddin menjelaskan.

Tersipu-sipu Kak Imah bila membayangkan dirinya yang panik tadi. Khairuddin dan Haslina tersenyum. 

Malam itu, Haslina mencapai diarinya yang berwarna biru. Diambilnya pen di dalam bekas alat tulis di atas mejanya. Khairuddin sudah lena dibuai mimpi di dalam bilik tidur. Anaknya Nabil juga begitu. Tinggallah Haslina keseorangan di perpustakaan mini di rumah mereka itu menghabiskan sisa harinya bertemankan pena dan buku.


No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...