Sunday 24 August 2014

Dua



Hari-hari keluarga Haslina berlalu dengan baik. Nabil juga semakin hari semakin membesar seiringnya pantas masa berlalu. Umur 2 tahun dia sudah semakin petah berkata-kata. Namun, Haslina dan Khairuddin bijak menangani pertuturan Nabil di awal usia. Apabila Nabil kerap menyebut perkataan dengan pelatnya, Haslina atau Khairuddin akan memberi perhatian terhadap masalah tersebut. Dia cuba membiasakan Nabil bertutur dengan bahasa yang betul supaya lancar bahasanya dalam pertuturan apabila dewasa kelak. Begitulah sekecil-kecil masalah diberi perhatian oleh mereka berdua.

Hasrat mereka untuk melihat Nabil membesar menjadi seorang pejuang begitu tinggi sekali. Kaedah didikan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi dijadikan sebagai blue print. Mereka tidak mahu hangat-hangat tahi ayam bila mendidik anak. Meskipun Haslina sibuk dengan tugasnya sebagai akauntan di Bank RHB dan Khairuddin pula sibuk dengan urusan bisnesnya, mereka tetap cuba memberi kasih sayang terbaik buat anak mereka. Waktu selepas bekerja tidak disia-siakan walaupun berbaki sedikit lagi masa sebelum tidur. Masa yang berbaki seboleh-bolehnya diisikan dengan bermain bersama anak mereka dan bercerita kisah-kisah yang memberi inspirasi. 

Jualan kereta Khairuddin di syarikatnya semakin berkembang juga. Tapi Khairuddin sangat bijak membahagikan masa. Peluang cuti di hujung minggu pasti direbutnya dengan membawa keluarganya berjalan-jalan ke pantai, taman rekreasi dan tempat pelancongan yang indah dan boleh memberi pelajaran.

Masuk umur 4 tahun, Nabil semakin bijak meneroka. Dia juga sudah mula pandai membaca buku. Walaupun hidup dalam arus moden, Nabil lebih dibiasakan untuk berinteraksi dengan alam dan melakukan kerja-kerja yang melibatkan fizikal. Jarang sekali Khairuddin atau Haslina memberi smart phone atau tab mereka kepada Nabil. Kalau pun Nabil meminati satu-satu permainan di dalam gajet, mereka akan mengalih perhatian Nabil untuk melakukan aktiviti fizikal seperti melukis dan membuat kerja-kerja seni. 

Masa terus berlalu. Perkembangan keluarga ini begitu baik sekali sehinggalah berlaku suatu kejadian yang tidak pernah disangka oleh sesiapa pun. 



No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...