Friday 3 January 2014

Kepentingan Seni dan Sastera dalam Pendidikan

Seni dan sastera tidak boleh dinafikan keberadaannya dalam masyarakat kita. Tanpa seni dan sastera, akan berlaku kegagalan dalam mempengaruhi keinginan manusia terhadap sesuatu. Contohnya, dalam bidang promosi dan pengiklanan, seni untuk membuat poster amatlah penting untuk mempromosikan sesuatu. Pemilihan warna yang bersesuaian mempengaruhi pandangan orang terhadap apa yang dipromosikan.

Selalunya, warna-warna yang kelihatan 'elite' digunakan untuk menarik perhatian. Ini kerana didapati warna 'elite' lebih banyak pengaruhnya pada pandangan manusia berbanding warna yang kelihatan 'papa'. Warna 'elite' adalah warna-warna garang dan terang serta boleh menarik perhatian. Lihat sahaja warna-warna logo syarikat terkemuka seperti McDonalds dan KFC yang menggunakan warna merah. Warna 'papa' pula adalah warna-warna yang cair. Itu antara salah satu perkara yang dinilai dalam seni. Banyak lagi yang perlu diambilkira seperti pemilihan bentuk dan penerimaan sesuatu imej terhadap keperluan semasa. 
Seni menggambarkan identiti sesebuah masyarakat
Pokoknya, penglibatan seni terhadap sesuatu perkara adalah penting. Kebiasaannya, hanya orang seni yang faham bagaimana untuk menarik orang kepada seni mereka. Oleh itu, jika didapati penghasilan seni yang kita lakukan tidak mendapat sambutan dan perhatian, silalah dapatkan bantuan orang-orang seni untuk memperbaiki seni kita. Elakkan daripada menggunakan kefahaman seni sendiri walaupun sudah perasan ia tidak mendapat sambutan. Belajarlah daripada orang seni. Nescaya kita juga akan faham dengan seni.

Saya percaya seni akan terhasil daripada ketekunan dan ketelitian. Nampak ianya seperti keperluan yang sama untuk bidang-bidang yang lain juga tetapi apa yang cuba saya maksudkan di sini adalah ada orang tekun dan teliti bila melukis dan ada orang tekun dan teliti apabila mengira. Begitulah perbezaannya.

Kecantikan dan keindahan seni tak akan terhasil dengan usaha yang sambil lewa. Individu yang merasakan mereka tidak ada bakat dalam seni perlu menipiskan ego mereka. Terima hakikat bahawa seni yang dihasilkan tidak diterima. Jangan perlekehkan peranan orang seni disebabkan mereka mencebur diri dalam bidang seni yang seolah-olahnya tidak membawa kemajuan kepada negara berbanding bidang sains.

Kerana itu, bidang sains dan sastera kedua-duanya memberi kebaikan dalam kehidupan manusia. Memandang rendah bidang sastera menampakkan ketidakfahaman terhadap hakikat kehidupan yang sebenar. Walhal jika seseorang manusia itu hanya melibatkan dirinya ke dalam bidang sains dan teknologi sahaja, kemungkinan mereka akan menjadi manusia robot yang tidak faham erti kemanusiaan.
Realiti yang berlaku dalam sistem pendidikan sekarang, pelajar-pelajar lepasan PMR yang mendapat keputusan cemerlang digalakkan atau dipaksa oleh ibu bapa dan guru-guru mereka untuk mengambil bidang sains walaupun hakikatnya pelajar tersebut lebih cenderung minatnya ke arah sastera. Kelas sastera diletakkan sebagai kelas bawah dan jarang sekali diangkat menjadi kelas atas dalam sesebuah sekolah. Yang cerdik disuruh ambil bidang sains dengan alasan untuk menaikkan ranking sekolah. Jika kekal persepsi sebegini, sampai bila-bila tahap sastera dan seni tidak meningkat.

Sebab itu, jangan terlalu salahkan industri seni kita yang terkebelakang berbanding negara-negara lain. Orang-orang seni pula terpaksa menagih simpati orang untuk menonton filem mereka tetapi panggung wayang tetap kelihatan kosong. Padahal awal-awal lagi di peringkat sekolah, tidak pernah diberi galakan kepada pelajar cemerlang yang meminati seni dan sastera untuk masuk ke dalam bidang tersebut. Kita pun merungut bilalah industri filem kita mahu maju dan terus-terusan memaksa orang untuk menyokong industri seni tempatan.


Kita juga tak habis-habis merungut akan sikap artis-artis kita sekarang yang sangat sosial, banyak bergosip, tergedik-gedik, banyak buat maksiat, suka buat lawak bodoh dan sebagainya sedangkan kita tidak menanganinya sejak zaman persekolahan lagi. Industri seni kita juga dikatakan terlalu banyak membawa pengaruh negatif kepada generasi muda. Dan kita terus menyalahkan orang seni sedangkan kedudukan mereka diketepikan sejak zaman persekolahan. Orang-orang cerdik dan berakal sahaja yang diletakkan dalam bidang sains manakala orang-orang yang kurang cerdik diletakkan dalam bidang sastera. Kerana itu, jurang antara bidang sains dan sastera perlu dikecilkan supaya tidak berlaku pengasingan kelas sosial yang begitu ketara. Pendidikan adalah segala-galanya dalam merubah nasib sesebuah negara.

1 comment:

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...