Friday 3 January 2014

Krisis Seni Bina Malaysia: Suatu Pengenalan

Menjelang tahun baru 2014, krisis kenaikan harga barang menjadi suatu fenomena terhadap rakyat Malaysia terutama rakyat yang berpendapatan rendah. Mereka yang berada di bandar, mempunyai kemudahan mengakses internet menunjukkan protes di laman sosial tidak kurang juga membuat suasana di Dataran Merdeka menjadi kecoh lalu konsert ambang merdeka yang diadakan terpaksa dibatalkan. Begitulah yang terjadi di bandar. Lain pula halnya di luar bandar terutama yang tinggal di pedalaman di mana penduduk tidak tahu apa-apa kerana masih belum mendapat kemudahan akses internet dan untuk memiliki sebuah komputer juga masih belum mampu.

Di tengah-tengah kekecohan kenaikan harga barang yang berlaku, saya tertarik untuk mengkaji serba sedikit akan beberapa punca atas permasalahan yang timbul. Bebanan hutang negara menjadi tanda tanya kepada rakyat akan apakah pemborosan yang telah dilakukan sehingga golongan yang berpendapatan RM 3000 dan ke bawah juga sudah layak untuk menerima bantuan zakat. Tidak guna jika kita terus protes, berdemonstrasi dan inginkan hasil yang cepat sekiranya punca-punca atas kejadian ini tidak disiasat daripada manakah ianya bermula. Sistem pendidikan kita yang masih terumbang ambing tidak dipedulikan lalu ibu bapa terutamanya menyerahkannya kepada guru-guru di sekolah sahaja sedangkan bermula daripada sistem pendidikan berkualitilah generasi yang dihasilkan akan turut menjadi berkualiti.

Di dalam pendidikan, banyak cabang bidang yang boleh dikaji supaya kita dapat menilai keadaan  sosial semasa yang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Begitulah juga yang terjadi dalam bidang seni bina di Malaysia. Kita masih mengalami krisis tafsiran modenisme. Apa yang berlaku di kebanyakan Negara Dunia Ketiga ialah pembangunan fizikal mendahului pemahaman dan penerapan falsafah asal pergerakan terbabit. Kita tidak meneliti dengan jelas apakah kesan sesebuah binaan terhadap gaya hidup masyarakat tetapi atas sikap materialistik dan inginkan sesuatu itu dipandang pada sudut gaya rupa sahaja, kita mengenepikan nilai-nilai kemanusiaan yang sepatutnya lebih didahulukan.

Walaupun bidang seni bina dan profesion arkitek telah bertapak lebih setengah abad di negara ini, namun wacana intelektual amat ketandusan sekali. Ini mengakibatkan banyak reka bentuk bangunan seperti perumahan moden, sekolah, pejabat, dan bangunan masih lagi menggunakan penyelesaian yang tidak relevan. Masjid dan seni bina Islam pula masih lagi mengagung-agungkan seni bina Timur Tengah tanpa mengetahui bahawa terdapat hasil reka bentuk atau ide-ide yang lebih baik jika wacana seni bina segar mempersoalkan penyelesaian sedia ada.

Reka bentuk masjid yang menonjolkan penggunaan elemen kubah, menara, ukiran geometri atau tulisan ayat-ayat suci al-Quran  pada jubin bukan sahaja tidak mencerminkan identiti seni bina nasional malahan ianya telah mewujudkan pembaziran dari sudut kewangan kerana kebanyakan bahan binaan tersebut diimport dari luar negara. Dari sudut sejarah pula, masjid-masjid awal di Nusantara termasuk juga di Malaysia tidak mempunyai kubah serta menara yang besar tetapi masih berhasil memainkan peranannya dalam mengembangkan syiar Islam di rantau ini.

Dalam keadaan ekonomi negara yang masih belum kukuh, antara agenda paling penting adalah untuk melatih rakyat negara ini supaya berjimat cermat dan mesej tersebut boleh disampaikan melalui seni bina. Ketika negara baru mencapai kemerdekaan, mesej tersebut kelihatan berjaya ditonjolkan melalui reka bentuk bangunan yang menggunakan bahan murah seperti Masjid Negara, tetapi pada masa yang sama masih berjaya menonjolkan unsur-unsur identiti seni bina nasional. 

Sebenarnya banyak lagi isu seni bina yang boleh dikupas selain seni bina masjid. Rekaan seni bina mempengaruhi emosi dan perasaan manusia. Contohnya, kelemahan seni bina ruang dalaman rumah pangsa kini terdedah dengan risiko keselamatan yang tinggi. Kebanyakan rumah pangsa tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan yang khusus buat kanak-kanak. Suasana rumah pangsa yang membosankan juga menyebabkan golongan remaja terpaksa keluar daripada kawasan perumahan bagi mencari keseronakan lain di tempat-tempat hiburan. Walaupun kebanyakan rumah pangsa disediakan taman permainan kanak-kanak, remaja masih dipinggirkan keperluan mereka. Penubuhan pusat komuniti yang mempunyai pelbagai kemudahan dalam sesebuah kawasan perumahan adalah salah satu langkah penyelesaian di mana mereka dapat melakukan pelbagai aktiviti sukan, mengakses internet dan berjumpa dengan masyarakat sekeliling.

Pembinaan kawasan perumahan juga sepatutnya lebih mesra dengan jiwa manusia. Hal ini membezakan negara kita dengan negara-negara maju yang lain di mana di negara mereka, budaya penggunaan basikal yang lebih mesra alam bebas diamalkan kerana susun atur dan keadaan jalan raya yang baik membolehkan penduduk menggunakan kenderaan tanpa motor seperti basikal untuk ke tempat-tempat yang dekat. Keadaan jalan raya yang tidak dipenuhi ciri-ciri keselamatan serta ketiadaan laluan khas basikal menghalang budaya penggunaan basikal di negara kita. Selain itu, ketiadaan tempat meletak basikal di tempat-tempat tertentu juga membataskan penggunaan basikal itu sendiri.

Masjid negara, seni bina terawal yang mengetengahkan ciri-ciri identiti seni bina nasional di Malaysia

Masalah penyebaran idea seni bina melalui penerbitan dikatakan antara punca wujudnya krisis seni bina. Antara isu yang diketengahkan ialah isi kandungan penulisan yang menyempitkan lagi istilah seni bina kepada perancangan membentuk dan membina bangunan sahaja. Sekiranya itu berlaku, sudah tentu perbincangan isu seni bina sukar menembusi pemikiran masyarakat kerana dianggap sebagai isu elit. Walhal penyebaran idea seni bina perlu diwujudkan unsur kemasyarakatan di dalamnya agar tidak menghilangkan nilai-nilai kemanusiaan yang sepatutnya dipelihara.

Isu seni bina bukanlah isu yang khusus terhadap para pelajar seni bina di pusat pengajian tinggi tetapi juga kepada pelajar dalam bidang berkaitan seperti seni halus, sejarah, kejuruteraan awam, dan antropologi. Isu ini juga boleh difahami oleh orang awam kerana isu seni bina adalah isu rakyat dan komuniti. Pembacaan khusus tentang modenisme, pasca modenisme, seni bina Islam, seni bina komuniti, identiti nasional dan sebagainya dapat memberi tafsiran baru terhadap pandangan serta kritikan seni bina khususnya di dalam negara ini.


Rujukan

Kamarul. (2009). Krisis Wacana Identiti Seni Bina Malaysia. Penerbit UKM.

Tajuddin. (2011). Krisis Pemikiran Seni Bina Malaysia. Penerbit UTM Press.

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...