Tuesday 29 October 2013

Jurang Keilmuan

Suatu masa dahulu orang Arab terkenal dengan kejaguhannya dalam pelbagai bidang ilmu. Kegiatan penterjemahan begitu giat dijalankan menyebabkan penguasaan mereka di dalam ilmu jadi berkembang dan meluas. Orang-orang Arab telah mempelajari bahasa Latin dan Spain dan telah menyalin kedua-duanya (dengan jalan penterjemahan) sehingga bila mereka rasa cukup mahir dengan apa yang mereka salinkan itu lahirlah keperibadian ilmiahnya yang mana kian hari kian subur dan tak lama kemudian jadilah ia sebagaimana yang telah disifatkan oleh Gustav Lobon:


"Mereka telah mencapai suatu kesimpulan bahawa eksperimen dan pemerhatian adalah lebih baik dari apa yang diperolehi dari buku-buku langsung mereka melepaskan diri dari menjadi murid kepada orang-orang Greek dan telah melakukan sendiri eksperimen-eksperimen dalam bidang-bidang ilmiah."

Lalu orang Arab lebih menguasai bidang keilmuan itu sendiri berbanding orang Greek dan itulah cahaya penerang bagi zaman kegemilangan Islam suatu ketika dulu.


Namun, sisi-sisi kegelapan itu mula muncul setelah berlakunya kehilangan satu persatu prinsip yang dibawa oleh seiap era pemerintahan Islam itu sendiri. Kemudian berlakulah penyisihan manusia dari agama juga penyisihan manusia dengan kajian amaliah dan ilmiah.


Agama diterima sebagai lafaz-lafaz atau ucapan-ucapan pusaka dan tradisi yang beku. Sesetengah puak pula melahirkan sikap yang terlalu taksub dengan pegangan beku itu menyebabkan pada sesetengah keadaan, berlakunya perbalahan sehingga mengakibatkan bunuh-membunuh sesama sendiri. Akhirnya, agama iu sendiri dipandang sebagai sesuatu yang kompleks disertai dengan pandangan tamak haloba pada sisi kerajaan Islam.


Keruntuhan empayar Islam menyaksikan kuasa-kuasa lain selain Islam itu sendiri bangkit dan membawa cebisan warisan yang ditinggalkan oleh kerajaan Islam ke dalam sistem yang mereka terajui sendiri. Bangkitlah mereka sebagai kerajaan-kerajaan agung seraya berlakulah pula penjajahan-penjajahan mereka ke atas negara-negara Islam.


Meninjau kembali kepada sejarah mungkin boleh membuat kita tersedar kembali atau mungkin juga boleh menyuntikkan sedikit sebanyak semangat terhadap mencetuskan semula kegemilangan yang pernah dicipta oleh nenek moyang kita dahulu.


Peranan Kita


Maka kita sekarang ini sebagai apa? Apakah kita ini sebagai generasi yang membiarkan sahaja sejarah kegemilangan itu berlalu dan terus hanyut pada masa ini dengan sistem terbaik yang dicipta oleh barat?


Keegoan dan ketaksuban telah menjatuhkan kita. Maka apakah pada saat ini sifat-sifat itu masih bersarang di dalam diri kita? Hanya mereka yang tersedar akan mampu menjawab pertanyaan ini.


Kita perlu membuka pandangan. Melihat pada seluas-luas dimensi. Sebab itu pemerhatian dan pengkajian amat diperlukan jika kita ingin duduk dan merasai kembali nikmat kegemilangan Islam suatu ketika dahulu. 

Pemikiran-pemikiran jumud dan beku haruslah dilenyapkan dari realiti. Kita ingin masyarakat Islam melatih sendiri cara berfikir mengikut cara masing-masing tanpa keterikatan dan penyekatan terhadap ilmu-ilmu.


Ilmu tidak akan berkembang sekiranya sikap egois itu masih ada. Egois itu sendiri membunuh keinginan unuk bergerak lebih jauh dan terkehadapan dalam mencetuskan idea-idea baharu. Urusan agama akan menjadi mudah kiranya agamawan itu sendiri tidak memaksa orang untuk mengambil pendapatnya dan menolak pendapat-pendapat lain.


Kepelbagaian pendapat akan membina suatu semangat baru pada masyarakat untuk menggali ilmu sedalam-dalamnya sehingga bertemu pada nikmat kebebasan yang terdapat pada Islam itu sendiri. Tidaklah yang tertindas akan selama-lamanya tertindas.


Orang agamawan sekarang ini dipandang tinggi oleh orang bawahan. Segala pendapat yang dikeluarkan dianggap betul dan tiada salahnya tanpa orang-orang bawahan sedar yang berbicara itu bukanlah manusia yang maksum.


Oleh itu, ada hikmahnya agama ini datang pada zaman ini dengan membawa bersama mazhab yang empat. Orang yang salah mengambil hikmahnya cuma akan terus bersikap taksub dengan mazhabnya manakala orang yang menemui hikmahnya akan meraikan perbezaan yang terdapat pada keempat-empat mazhab ini.


Memecahkan jurang ilmu akan membangkitkan semangat pengkajian dan penelitian ilmu. Bayangkan sekiranya kuliah-kuliah agama tidak hanya disertai oleh masyarakat awam tetapi disertai juga oleh agamawan-agamawan lain. Sekiranya ulama-ulama tidak cuma memasukkan penghujahan unsur-unsur agama dalam pengucapan mereka tetapi membawa juga penghujahan yang terbit daripada ideologi-ideologi lain tidak kira datangnya ia dari mana-mana tempat atau mana-mana individu sekalipun, pasti masyarakat awam dapat melihat Islam pada kerangka yang luas dan menyeluruh.


Bayangkan juga kiranya masyarakat ini menjadikan ilmu itu sebagai keperluan penting dalam hidup. Budaya membaca ada di mana-mana seperti yang berlaku di negara-negara maju. Wacana-wacana ilmiah dijalankan di merata-rata tempat tidak hanya di tempat-tempat tertentu yang bersifat eksklusif. Orang-orang miskin dan kaya mendapat sumber ilmu tidak putus-putus. Ilmu juga tidak dijual beli dengan harga yang mahal.


Budaya ilmu bukan sahaja patut diterapkan pada masyarakat awam tetapi pada agamawan itu sendiri agar golongan agamawan tidak selalu berpuas hati dengan apa yang telah mereka pelajari pada masa lalu. Perubahan demi perubahan perlu dilakukan demikian juga sikap-sikap egois dan taksub perlu dibuang demi mencapai kesatuan masyarakat Islam yang pernah memberi keuntungan pada kerajaan Islam suatu masa dahulu.




No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...