Saturday 26 October 2013

Pemberian Baucar Buku 1 Malaysia dan Situasi yang Berlaku

Saya pernah menulis artikel yang lebih kurang sama seperti artikel ini 8 bulan yang lalu. Tujuannya sedikit berbeza. Memandangkan hari ini baru dibentangkan isi-isi bajet tersebut, saya berfikir lagi mengenai hal ini kerana melihat sedikit ketidakwajaran pemberian baucar buku ini kepada pelajar itu sendiri.


Mungkin ramai yang sibuk memperkatakan tentang isu GST, gula, bantuan yang diterima dan lain-lain tetapi memandangkan isu ini isu yang berlegar di sekeliling saya sendiri, saya rasa ia patut diutarakan bilamana saya melihat situasinya tidak berubah.

Setakat ini tiada lagi dijumpai mana-mana kajian daripada pihak tertentu tentang bagaimana respon penggunaan baucar buku 1 Malaysia oleh para pelajar dalam tempoh dua tahun pelaksanaannya semenjak dari tahun 2012. Tetapi menurut pengamatan saya sebagai seorang pelajar sendiri, pelajar masih tidak jelas tentang penggunaan baucar buku ini menyebabkan ramai yang cuma memanfaatkannya untuk mendapatkan novel dan alat tulis.

Penggunaannya untuk membeli buku teks pula agak sedikit kerana sistem di universiti sekarang menggunakan modul-modul yang boleh dicetak dan dibeli langsung daripada pensyarah. Penggunaan buku teks dilihat semakin kurang kerana sistem di universiti kebanyakannya mahu mengejar pointer lalu apa yang diajar di kelas seharusnya sama dengan apa yang akan keluar semasa peperiksaan. Maka keluarlah modul-modul daripada pensyarah itu sendiri bagi mempercepatkan lagi proses pembelajaran. Kalaupun pensyarah menyuruh untuk membeli buku teks, buku teks tersebut amat jarang sekali digunakan.


Kemudian, waktu pemberian baucar juga adakalanya tidak tepat pada masanya kerana diberi pada waktu pertengahan semester. Jika hendak membuat persiapan bagi semester hadapan sekalipun, pelajar masih tidak tahu akan tindakan fakulti yang langsung menukar-nukar silibus menyebabkan penggunaan jenis buku teks juga berubah.

Tidak kurang juga ada pelajar yang seperti kera mendapat bunga bila mana mereka menjual dan melelong baucar yang diberikan kerana tidak tahu hendak berbuat apa dengan baucar tersebut memandangkan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa masih di tahap yang rendah. 


Tahun 2013, pelajar dibenarkan untuk menggunakan baucar buku untuk mendapatkan external. Maka, bolehkah lagi baucar buku dinamakan “BAUCAR BUKU” bila ia melibatkan barang-barang yang bukan buku? Tambah-tambah lagi, harga external sahaja sudah mencecah ratusan ringgit.

Lalu saya juga tertanya-tanya, wajarkah pemberian baucar ini dilaksanakan? 


Mungkin pemberian ini dapat menolong pelajar kurang berkemampuan yang tidak mempunyai duit untuk membeli buku tetapi sebagaimana yang saya jelaskan, pemberiannya adakala tidak tepat pada masanya. Sebagai contoh, saya akan masuk semester pada hujung bulan November ini dan saya akan sibuk mempersiapkan keperluan pembelajaran saya sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan. 


Dalam masa itu juga, ada pensyarah yang bising bila pelajarnya masih belum mendapatkan buku. Lalu pelajar menjawab mereka belum mendapat baucar buku kerana belum masuk tahun 2014. Sudahnya, pembelajaran menjadi lambat kerana menunggu baucar tersebut walhal sebelum pemberian baucar, pelajar yang berkemampuan boleh sahaja pergi membelinya di kedai buku tetapi oleh kerana mahu memanfaatkannya, mereka menunggu baucar tersebut. Ia menjadi suatu penyakit pula pada pelajar yang berkemampuan.



Bagaimana  jika syarat diperketat?


Jika mahu memperketatkan syarat, seperti cuma menghadkan penggunaan baucar buku itu kepada buku-buku ilmiah sahaja dan barang-barang selain itu tidak dibenarkan, maka saya menjangkakan akan berlakulah lagi tindakan-tindakan pelajar menjual baucar tersebut. Saya selalu mengalami situasi ini bila tempoh penggunaan baucar buku itu semakin hampir ke penghujungnya. 


Ramai pelajar melelong baucar mereka tetapi memandangkan sesama mereka juga tidak ada yang suka membaca, maka baucar itu sekadar disimpan dan ada juga yang membuangnya ke dalam tong sampah. Pelajar yang minat membaca pula berkeinginan untuk mendapatkan baucar itu tetapi memandangkan mereka tidak punya wang, mereka terpaksa membatalkan hasrat tersebut. 


Tanggapan Pelajar


Antara punca yang timbul daripada permasalahan ini adalah tanggapan pelajar itu sendiri. Mereka cuma berfikir tentang keperluan dan bukannya peluang. Bilamana mereka berfikir tentang keperluan, mereka akan cuma menganggap apabila keperluan mereka semuanya sudah cukup, maka mereka tidak lagi memerlukan bantuan. Bilamana mereka berfikir tentang peluang, mereka akan cuba sehabis mungkin memanfaatkan baucar buku tersebut.


Tanggapan berfikir tentang keperluan itulah yang seharusnya diperbetulkan. Pelajar sebenarnya tidak diterangkan dan diajar sejelas-jelasnya untuk mendalami ilmu. Pemikiran pengikut sangat sebati dalam diri pelajar menyebabkan mereka selalu berfikir perkara-perkara kecil sahaja. 


Jadi, apakah pemimpin itu tidak boleh menasihati dan menyeru para pelajar untuk memanfaatkan baucar ini ke arah buku-buku ilmiah disamping buku-buku pelajaran? Atau apakah perkara itu dirasakan tidak begitu penting untuk diberitahu selain memberi baucar itu tanpa melihat respon yang ditunjukkan?


Setelah itu, terserlahlah untuk membuat keputusan. Saya berkongsi mengenai apa yang saya rasakan sebagai seorang pelajar jurusan kejuruteraan. Mungkin akan ada pendapat lain daripada pelajar jurusan lain atau pemimpin sendiri mengenai pemberian baucar ini. 


Bagi saya, pemberian ini haruslah disertai dengan maksud dan tujuannya. Jika tidak, pemberian tinggal pemberian manakala penerimaan boleh jadi penerimaan tidak kurang juga boleh bertukar menjadi penolakan.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...