Tuesday 25 December 2012

Logo Haram @ Logo Halal ?

Nak cerita satu kisah ni. Kisah yang jadi dalam hidup saya sendiri lepas habis SPM. Dulu, sebelum SPM lagi memang dah plan nak kerja di kedai kek. Alhamdulillah. Allah izinkan. Banyak cabaran yang berlaku sepanjang saya kerja di sana. Masa tu, kedai ni baru lagi bukak. Hanya saya saja seorang pekerja di situ. Saya teringin nak tanya pada bos, kenapa tak ambil pekerja lagi? Lama-kelamaan saya tahu sendiri bila saya tahu situasi kedai.

Masa kerja di kedai kek itu, saya kasihan tengok bos saya yang terpaksa tanggung beban untuk masalah logo halal. Beliau dah cuba buat permohonan kepada JAKIM untuk dapatkan cop halal untuk setiap produk yang dikeluarkan kedai kek kami. Pegawai yang terima surat permohonan itu pula dah berjanji akan datang ke kedai. Berbulan-bulan kami tunggu pegawai tu datang tapi tak datang juga. Bos saya pula dah berkali-kali hubungi pegawai tu. Tapi tak dapat respon.

Dalam tempoh itu, ramai orang terutama orang Islam tidak percaya produk kami halal selagi logo halal tak terlekat dekat produk dan pintu kedai kami padahal semua bahan yang kami gunakan adalah daripada sumber yang halal. Walaupun kami dah buat promotion sehabis baik, pelanggan semakin berkurang dari hari ke hari sampailah kedai itu akhirnya terpaksa ditutup sebab kekurangan modal untuk backup balik harga barang-barang di kedai.

Masa itu, dalam hati saya tertanya, apakah logo halal ini benar-benar membantu umat Islam sebenarnya?

Lepas saya berhenti kerja dan sambung pengajian di IPT, saya ada baca tulisan seorang agamawan dalam bukunya mengenai isu logo halal yang sekaligus menetapkan pendirian saya. Nak tengok dekat sini pun boleh."Mengapakah Dunia Dipenuhi Yang Haram?"

Lihat dalam al-Quran, firman Allah yang maksudnya:

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? (Surah Luqman: ayat 20). Juga firmanNya: (maksudnya) Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi”. (Surah al-Baqarah: ayat 29).

Juga firmanNya: (maksudnya) Dan Dia memudahkan untuk (kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya; Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang berfikir. (Surah al-Jathiah: ayat 13).

Maka daerah halal dalam Islam teramat-amat luas, sementara daerah haram pula terlalu sempit dan sedikit.

Negara Islam sepatutnya dipenuhi dengan barang-barang yang halal. Dan untuk memperoleh barang yang halal, jalannya patut dipermudahkan, bukan dipersulitkan dengan peraturan-peraturan yang payah lagi memayahkan.

Lagi-lagi bila ada lagi peraturan yang mengkhususkan logo halal, sepatutnya macam ni, bukan macam ni. Walaupun logo tu nampak seakan-akan sama, tapi kita disuruh untuk meneliti dengan lebih jelas perbezaan antara kedua logo yang dapat mengesahkan mana satu yang halal dan mana satu yang tidak.

Saya setuju dengan pendapat yang kata lebih baik letak logo haram berbanding letak logo halal sebab negara kita sepatutnya dipenuhi dengan yang halal berbanding yang haram. Yang haram patutnya lebih sikit daripada yang halal. Bila yang haram sikit, ia lebih memudahkan kerja manusia.

Maka, ruang halal begitu luas. Jika ada yang merungut kerana Islam asyik mengharamkan itu dan ini, maka sama ada dunia telah dicemari atau kita sengaja menyempitkan pemikiran dan diri.




No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...