Matanya celik.
Haslina merenung sekeliling. Benarlah dia berada di hospital sekarang.
Dilihatnya dalam bilik yang dia ditempati itu tiada sesiapa kecuali suaminya.
Suaminya yang sedang memberi senyuman kepadanya. Senyuman penawar.
Senyuman penguat. Haslina turut tersenyum jua. Tapi senyuman Haslina senyuman
duka. Wajahnya terpalit kesedihan. Jauh di dalam senyuman itu, cahaya
kebahagiaan yang sementara itu pun terbitlah.
Meski mata
mereka bertemu, mereka tidak mengucapkan sepatah kata. Masing-masing melemparkan
senyuman yang mempunyai cerita tersendiri. Lama dua insan ini terkaku.
Seolah-olah mengimbau kembali kenangan yang lalu. Entah kenapa, Haslina sebak
tetapi dia cuba menahan air matanya daripada gugur. Dia tidak mahu insan yang
berada di hadapannya itu gusar. Biarlah senyuman orang di hadapannya itu
senyuman ikhlas, yang bilamana dia melihatnya, kesakitan yang dirasakannya itu
boleh beransur-ansur hilang. Bukan senyuman simpati yang boleh mengundang sedih
hati.
Tapi mimpi
takkan mampu selamanya hadir dalam alam realiti. Bayang suaminya hilang sedikit demi sedikit. Pada masa itulah gugur air matanya melihat
orang yang dicintai itu pergi. Hatinya berat untuk melepaskan. Senyumannya
makin lama makin pudar. Habis seluruh bayang hilang, dia termenung sendirian.
Sebelum ini, hatinya bulat-bulat sudah redha. Tapi bila berlaku mimpi seperti
ini, kesedihannya datang lagi kerana insan yang pergi itu seolah-olah telah
membawa bersama separuh daripada jiwanya.
Kehendak
Ilahi, tiada siapa boleh sangka.
Haslina memandang
ke luar pintu. Tiada sesiapa. Dibawa pula pandangannya ke arah jendela. Gelap.
Nampaknya hari sedang malam.
“Patutlah
tak ada orang.” dia bermonolog sendirian.
Dia tidak
mahu lagi melelapkan mata. Dia rasa sudah terlalu lama dia tidur. Dia cuba
bangun.
“Arkk!” tiba-tiba dia terjerit
kecil.
Tubuhnya
tak mampu bangun. Ada kesakitan yang mencucuk bahagian perutnya ketika dia
mahu bangun tadi. Dia merebahkan semula badannya. Tidak mahu dia memudaratkan
tubuhnya sendiri. Kalau sakit, dia tak mahu memaksa-maksa. Mungkin ini ujian daripada-Nya
supaya dia berehat sebentar daripada menghadapi kegilaan dunia.
Kekk!
Pintu bilik
itu dikuak. Kemudian pintu itu tertutup kembali. Terkejut besar dia
melihat susuk tubuh yang datang ke biliknya itu.
“K..kaauu
buat apa di sini?” nadanya cemas.
Dilihatnya
tangan orang itu berbalut kain putih. Kejadian yang berlaku malam itu menerpa kembali
ke dalam ingatannya. Wajah orang itu masih dia ingati dan orang itu adalah
Azad.
“Kenapa?
Aku tak boleh ada di sini? Kau takut?” orang itu membalasnya dengan pertanyaan
lagi.
Remuk
hatinya. Rasanya mahu dia menyiat-nyiat orang yang di hadapannya. Orang yang telah
menyebabkan suaminya pergi. Orang yang telah memerangkap anaknya. Orang yang
gilakan harta daripada wang tebusan.
Hatinya meronta. Geram!
“Kau
jahat!” dia meluahkan apa yang terbuku walau dia tahu tak sepatutnya dia berkata
begitu. Sebelum ini, tak pernah dia mengherdik orang sebegitu. Entah kenapa,
geram sekali dia dengan lelaki itu.
“Kenapa?
Tak suka ada orang macam aku? Jahat? Hahaha!” cepat-cepat orang yang bernama
Azad itu menyambung.
“Manusia.
Bila dah senang dengan fantasi, diberi kesusahan, diuji apa yang tak pernah
terbayang mata, gelabah! Pengecut! Hei perempuan! Kalau bukan sebab aku,
kau takkan dapat tengok anak kau lagi! Aku yang bawa dia lari dari kumpulan
aku! Beri pada kau! Supaya kau senang. Aku pun senang. Dapat duit, aku blah!
Tapi engkau! Engkau yang panggil polis! Engkau khianat aku!” dia merenung tajam
Haslina.
“Lepas ini,
hidup aku akan dipenuhi kesusahan yang teruk lagi! Ini semua disebabkan engkau!
Dahlah duit aku tak dapat. Aku jadi buruan. Nak saja aku bunuh kau! Tapi aku
tak mahu! Kau patut rasa beruntung!” dia menghabiskan kata-kata terakhir.
Azad bergegas ke arah tingkap. Dikuaknya daun tingkap itu luas-luas. Dia mula
memanjat. Kelihatannya dia sudah bersedia untuk lari dari situ.
“Tunggu!”
Haslina tiba-tiba menghentikan apa yang berlaku.
Azad
menoleh.
“Tunggu!”
Azad masih
di situ. Tidak berganjak. Menanti kata-kata daripada yang menghenti. Haslina kembali menyambung percakapannya.
“Aku nak bercakap lagi dengan engkau!”
“Kata-kata selepas
ini melalui tulisan. Kasi SMS. Aku kena pergi sekarang!”
Serentak
itu, Azad terus hilang dari pandangan mata. Kelihatannya dia seperti telah terjun
daripada bangunan itu. Haslina yakin. Penjahat seperti itu bukan calang-calang. Watak penjenayah hebat seperti dalam filem-filem aksi tak mustahil boleh wujud di
alam realiti.
Kekk!
Pintu bilik
itu dikuak lagi tepat-tepat setelah Azad hilang dari bayangan mata.
“Eh Ina!
Dah sedar kau? Syukur alhamdulillah.” Mak Imah terus menerpa Haslina yang
terbaring. Dipeluknya Haslina. Nabil juga ada di situ.
“Mak Imah
dengan Nabil pergi mana tadi?”
“Mak Imah
pergi beli roti sikit untuk Nabil ni haa. Nabil sejak kau sakit tak lalu makan
sangat. Jadi Mak Imah beli makanan yang ringan-ringan saja untuk dia. Asal
makanan itu dia suka.”
“Lah..Nabil,
kenapa Nabil tak makan?”
Nabil
merenung wajah ibunya seketika. Betapa dia telah menunggu ibunya untuk bangun
selama beberapa hari ini. Akhirnya dia sendiri yang mendapatkan ibunya.
“Nabil
rindu ibu!” dipegang tangan ibunya. Dia mula menangis. Haslina juga menangis. Walaupun
Nabil masih boleh melihat ibunya yang terbaring di atas katil, dia masih rindu
bicara ibunya, ketawa ibunya, cerita-cerita ibunya. Sudah lama dia tidak
mendengarnya. Sejak pagi sebelum dia diculik. Semasa dia diculik, dia malah
merindui lagi. Namun, dalam jiwanya, masih terbuku suatu pertanyaan yang masih belum berjawab.
Mak Imah
menutup jendela yang dibuka Azad tadi.
“Luasnya
tingkap ini dibuka. Mak Imah tutup sikit ya. Hari macam nak hujan.”
“Nurse
tadi lalu. Ina yang minta bukakan. Nak rasa angin luar.” Haslina tak mahu Mak
Imah tahu tentang kehadiran Azad tadi.
“Nurse
ni pun satu. Ina dah sedar tapi tak bagi tahu Mak Imah pun. Dia ingat Mak Imah
ni tugu duduk dekat sini 3 hari 3 malam?”
“Agaknya
ada kerja lainlah tu Mak Imah.” Haslina cuba menghilangkan curiga Mak Imah
kalau-kalau ada.
“Lama juga
saya tak sedarkan diri ya Mak Imah? Hmm..”
“Ibu..ayah
mana?” terpacul akhirnya pertanyaan itu daripada mulut si anak kecil itu.
Rupanya Nabil masih belum tahu. Walaupun Nabil ada bertanya pada Mak Imah, Mak Imah sendiri tidak mampu menjawabnya. Dia menyerahkan kepada Haslina persoalan itu.
Haslina diam
seketika. Dia melihat wajah Nabil. Redup sahaja pandangan mata anaknya itu.
Nabil masih mengharap jawapan. Haslina menghela nafas. Dia tabahkan hati dan
menyusun kata satu persatu.
“Nabil,
lepas ini cuma ada Nabil dan ibu saja. Nabil kena kuat. Nabil jangan risau. Lepas ini ayah takkan ada di dunia sahaja. Tapi di akhirat
nanti insya Allah kita boleh jumpa ayah semula. Kita doa sama-sama ya sayang.
Nabil, jadi anak yang baik ya.”
Haslina
mengharap anaknya faham dengan apa yang cuba dia sampaikan. Hatinya juga terasa
sebak tapi dia tidak mahu menangis di hadapan anaknya. Dia tahu kalau dia
menangis, itu akan menambah kekecewaan di hati anaknya itu.
Nabil tidak
berkata apa-apa. Dia diam. Wajahnya tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Dia seperti
sedang berfikir. Entah apa yang difikirnya. Hanya Allah sahaja yang tahu.
“Nabil? Kita jumpa ayah di akhirat ya sayang. Nabil doa ya?” Haslina
menggenggam erat tangan anaknya. Dia risau melihat anaknya begitu.
“Insya
Allah bu..” ringkas sahaja jawapan Nabil. Tapi begitulah dia. Kadang
kelakuannya bukan seperti anak-anak biasa. Pemikirannya terlihat lebih matang
daripada kanak-kanak yang seusia dengannya.
Haslina ingin memeluk Nabil bagi menenangkan lagi anaknya itu. Tapi…
“Arkk!”
abdomennya terasa sakit lagi bila dia cuba bangun.
“Ibu!”
Nabil menjerit.
“Jangan
bangun Ina. Luka kau tu belum elok lagi!” Mak Imah cuba melarang.
“Ya..ya..Mak
Imah. Aduh! Agaknya peluru itu tembus dalam juga ya Mak Imah?”
“Ya. Tapi
syukurlah kau masih selamat. Mak Imah dah cukup-cukup gembira tengok kau sedar tadi.”
“ADA
PENJENAYAH LARI! ADA PENJENAYAH LARI!” tiba-tiba ada orang menjerit di luar
bilik.
Nampaknya
pihak hospital baru tersedar akan kehilangan Azad. Azad sungguh licik lari
tanpa meninggalkan jejak. Tingkap bilik yang terkuak luas di bilik Haslina itu
pun sebenarnya boleh menjadi bahan bukti. Tapi Haslina tidak mahu pihak polis
tahu. Ada sesuatu yang membuatnya terhutang budi dengan Azad.
Pihak polis terus mencari Azad di sekeliling bangunan tapi bagi orang
seperti Azad, carilah dia macam mana sekalipun. Dia tetap dapat lari tanpa ada
orang dapat melihat bayangnya. Skilnya lebih hebat dari polis. Dia telah lebih
dahulu melalui latihan yang lebih teruk daripada latihan yang anggota polis
lalui.
***
Haslina
merenung ke atas siling. Dilihatnya kipas di atas siling itu berpusing
perlahan. Mak Imah yang memperlahankannya tadi kerana suhu malam itu sejuk
sekali. Hujan di luar turun tak henti-henti. Haslina merasakan keadaan
keluarganya begitulah sejak kebelakangan ini. Gelap, suram, sedihnya seperti awan
yang menitiskan airnya yang banyak dan tak berhenti. Haslina terima semua ini.
Dia tahu Allah tidak memberinya ujian yang tidak mampu dia tanggung. Dia pasti
ada hikmah yang berlindung di sebalik semua ini.
Haslina
mencapai beg tangannya di atas meja di tepi katilnya. Dia bertindak hati-hati
supaya tidak terjatuh apa-apa barang yang boleh mengganggu anaknya yang sedang
tidur di sisinya. Mak Imah yang tidur di atas kerusi juga tidak mahu dia
kejutkan. Meskipun abdomennya masih sakit, dia cuba menahannya semampu boleh.
Akhirnya, usahanya berbaloi.
Dia
mendapatkan telefon bimbitnya dari dalam beg itu.
“Ish, susahnya
nak mesej guna SMS ni! Nak call, takut dia marah pula.” getus hatinya.
Ditaipnya
juga mesej yang hendak disampaikannya pada Azad.
“Salam. Pertama sekali, aku ingin mengucap maaf atas
keterlanjuran kata-kataku. Aku sebenarnya buntu dengan situasi yang berlaku.
Aku tidak tahu apa yang engkau maksudkan dengan cuba menyelamatkan anak aku.
Jika begitu murni niat kau, aku ucapkan berbanyak terima kasih. Aku hargainya kerana dia
satu-satunya anak yang aku ada.” Haslina cuba meringkaskan mesej yang
ditulisnya.
Durr! Durr!
Telefon
Azad bergetar bila mesej Haslina masuk. Azad terpisat-pisat membuka matanya dan
melihat mesej yang diterimanya.
“Ahh..” dia
mendengus dan tidur semula. Terasa malas dia hendak membalas mesej tersebut.
Lebih-lebih lagi orang yang menghantar mesej itulah yang telah menyebabkan
tangannya cedera dan kesakitannya masih dirasainya sampai sekarang.
“Kalau anak
kau tak dapat jumpa kau, 20 tahun lagi dia jadi macam aku. Heh! Heh! Heh!” dalam
keadaan separuh sedar, Azad mengomel dan ketawa terkekeh-kekeh.
Akhirnya Azad
lena tidur dalam komuniti gelandangan di ibu kota. Adakalanya dia suka membawa diri ke kawasan gelandangan kerana banyak yang dapat dia belajar
tentang erti kehidupan. Di situlah juga terdetik pada hati dia untuk melakukan
perubahan dalam hidupnya.
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)