Kawasan
pedalaman Siam itu dilitupi kanvas kedamaian. Bunyi kicauan burung yang jelas
kedengaran menjadi penghibur sewaktu siang. Seolah-olah di situ tidak pernah berlaku kekecohan.
Cara hidupnya masih kolot di mana orang-orang perempuan masih ke sungai membawa
baldi untuk menyental kain dan orang-orang lelaki pula sebahagiannya ke hutan
mencari kayu api dan sebahagiannya lagi berburu bagi mendapatkan daging yang enak-enak
untuk dijadikan santapan keluarga.
Di
celah-celah kehidupan masyarakat kampung ini, wujud suatu keluarga yang
berlainan pekerjaannya daripada penduduk lain. Ketua keluarga ini juga
merupakan ketua kepada penduduk di sini. Dia juga rancak mengusahakan bisnesnya di bandar. Namanya Bung Utami. Dia orang
Indonesia beragama Kristian. Semua orang menghormati keluarga ini kerana mereka
umpama pelindung mereka. Mereka punya kemahiran berlawan yang tinggi. Kalau
pergi berburu, tidak pernah sekali pun mereka pulang dengan tangan kosong.
Walaupun
keluarga ini dikira pendatang asing yang telah menetap selama 12 tahun di sini,
tapi keluarga ini jugalah keluarga yang paling digeruni. Mungkin kerana sikap
diktator keluarga ini membuat penduduk kampung tidak berani untuk melawan
mereka. Kebetulan semasa keluarga ini baru berpindah ke sini, ketua kampung ini sedang tenat. Akhirnya ketua kampung itu memberi kepercayaan kepada Bung Utami untuk memerintah kampung ini. Lagipun ciri-ciri yang ada pada Bung Utami sudah cukup malahan amat sempurna untuk melayakkannya menjadi ketua meskipun dia berbangsa Indonesia. Kegagahan Bung Utami diakui sendiri oleh pahlawan yang hebat di kampung itu. Jika berbuat apa-apa kesalahan, Bung Utami si ketua tidak teragak-agak
untuk melaksanakan hukuman terus di hadapan mata penduduk kampung.
Anak-anak
Bung ada 4 orang dan kesemuanya lelaki. Ke mana ibu mereka tiada siapa yang
tahu dan berani untuk mempersoalkan. Anak-anak lelaki ini kesemuanya dilatih
seni berlawan oleh Bung dan penjaga-penjaga mereka. Kebiasaannya, latihan
mereka dilanjutkan sehingga lewat malam. Anak-anak yang seramai 4 orang itu
pula semuanya bersifat pasif dan tidak banyak bergaul dengan orang. Sifat
agresif mereka hanya terserlah bila menjalani latihan berlawan.
“Bukk!
Bukk! Bukk! Pakk!”
Kelihatan
seorang daripada anak-anak lelaki itu yang bernama Sheptian sedang menjalani
latihan. Sudah 3 jam dia berada di situ, menumbuk-numbuk dan menyepak-nyepak
gaya sparring ke sebuah tiang gemuk yang dililit tali yang terpacak
teguh di situ. Anak itu akhirnya berhenti. Membuka kain nipis yang membaluti
tangannya. Luka-luka berserta darah memenuhi tangannya. Peluh yang membasahi
dahi dikesatnya dengan lengan kanannya yang turut bermandi peluh.
“Itu
sajakah yang mampu kau buat?!!”
Tiba-tiba
dia terdengar suara jeritan daripada belakangnya. Dia tersentak cemas. Matanya
bulat. Dia terlepas kain nipis yang membaluti tangannya tadi akibat terlalu
terkejut. Dia kenal benar suara itu. Suara itu adalah suara bapanya yang
bernama Bung itu. Cepat-cepat dia membetulkan semula posisi badannya dan
kembali menumbuk dan menyepak tiang tadi. Hujan tidak semena-mena turun pada
waktu itu dan membasahi badannya yang sejak dari tadi sudah sedia dibasahi
peluhnya sendiri. Dia menumbuk, menyepak, menumbuk, kemudian menyepak lagi..hinggalah
tubuh berusia 10 tahun itu rebah dalam hujan yang lebat itu.
***
Pada suatu
malam, anak yang bernama Sheptian itu lari sebentar daripada rumahnya. Memandangkan
bapanya keluar ke pekan kerana ada urusan, dia mengambil peluang itu untuk
berjalan-jalan di sekitar kampungnya. Walaupun malam semakin pekat, dia tetap
dapat merasakan keseronokan bila berpeluang berjalan-jalan seorang diri.
Walaupun kampungnya biasa-biasa sahaja dan tidak ada apa yang menarik serta
cuma banyak dikelilingi pokok sahaja, hatinya tetap bahagia. Dia langsung tidak
mengejutkan abang-abangnya yang sedang lena dibuai mimpi kerana dia pasti
abang-abangnya akan melarang keras tindakannya.
Sedang dia
berjalan-jalan, dia ternampak sebuah pondok kecil yang telah usang. Lampu
limpahnya masih menyala. Di sebalik kain yang menjadi tirai pondok itu, dia
terlihat seorang wanita Siam sedang memangku dan mendodoi anaknya yang sedang
lena di atas ribanya. Sheptian tertarik dengan pemandangan yang dilihatnya. Dia
berasa cemburu terhadap budak yang kelihatan sama usia dengannya yang sedang tidur
itu kerana masih mempunyai ibu yang menjaganya. Sedangkan dia sendiri tidak
tahu ke mana ibunya pergi selama ini. Dia cuma boleh mengharap belas bapanya
yang baran itu dan abang-abangnya yang dua kali lima seperti bapanya. Lama dia
berdiri di situ sehinggakan perempuan Siam itu perasan akan kehadirannya.
“Hai budak!
Ke marilah!” wanita Siam itu memanggilnya.
Sheptian
terkejut dan terharu. Timbul keraguan dalam hatinya. Dia betul-betul tidak
percaya dengan peluang ini.
“Betulkah?”
dia bermonolog sendirian. Hatinya berbunga-bunga.
Tidak lama
dia berkeadaan seperti itu. Dia tidak ragu-ragu lagi. Apa salahnya jika dia
merasa peluang ini daripada seorang wanita yang mungkin boleh dia gelarkan ibu
selepas ini. Lagipun wanita itu kelihatan ikhlas menawarkan. Lalu dia pun
melurulah ke arah wanita itu. Diletakkan kepalanya di atas riba wanita itu.
Wanita itu tetap meneruskan dodoian buat anaknya dan Sheptian yang kehausan
belaian seorang ibu. Lama kelamaan, Sheptian pun tertidurlah di atas pangkuan
wanita Siam itu. Bahagia sungguh dia. Tidak pernah dia merasakan kebahagiaan
yang tidak terperi seperti itu. Lenanya juga terasa berlainan berbanding lenanya
di rumahnya sendiri.
***
Malam
seterusnya, Sheptian tidak ke mana-mana. Bapanya tidak ada di rumah tapi masih
ada di kawasan kampung itu. Oleh itu, dia tidak berani untuk keluar seperti
malam semalam. Dia meneruskan latihannya seorang diri. Setelah penat berlatih,
dia menuju ke dapur kerana dahaga.
Dalam
perjalanannya ke dapur, dia terpandang bangsal usang di hujung kawasan
rumahnya. Dari dulu dia tertanya-tanya apakah yang ada di dalam bangsal itu.
Tapi bapanya melarang keras anak-anaknya daripada menghampiri bangsal tersebut.
Jika sudah dilarang, bermakna tiada siapa boleh membantah. Kalau dilanggar juga
larangan itu, alamatnya latihan yang lebih teruk akan dikenakan.
Sifat ingin
tahu dan kepala batu Sheptian sedikit demi sedikit membawa langkahnya menghampiri
bangsal usang yang sama sekali tidak punya sebarang cahaya itu. Bangsal itu
cuma ada satu pintu kayu yang besar dan ia dikunci dengan sebuah mangga yang
antik. Daun tingkapnya ada dua dan cerminnya menjadi legap akibat habuk yang
menebal di situ. Semakin Sheptian menghampiri bangsal itu semakin telinganya
yang cukup peka itu tidak mendengar apa-apa pergerakan. Senyap dan sunyi. Itu
bermakna tindakannya juga makin selamat bila berkeadaan begitu. Dia menoleh
beberapa kali ke kawasan sekelilingnya untuk memastikan tiada siapa yang
memerhatikannya. Perasaan ingin tahunya membuak-buak bila dia sudah sampai di
muka pintu bangsal itu. Dia meneliti setiap inci bangsal itu hinggalah
pandangannya tertumpu pada daun tingkap yang agak rapuh itu. Tangannya menjalar
ke beberapa sudut tingkap itu. Dia cuba menekan-nekan kayu tingkap itu
hinggalah tiba-tiba tingkap yang rapuh itu terbuka dengan sendirinya.
Rupa-rupanya kunci tingkap itu tidak boleh lagi mencengkam kayu yang telah
rapuh itu. Tingkap itu dikuak sedikit oleh Sheptian. Dia meninjau keadaan dalam
bangsal itu. Gelap. Diambilnya lighter yang terselit dalam tali yang melilit
pinggangnya. Dinyalakannya dan melimpahlah cahaya di dalam bangsal itu.
Kelihatannya
tidak ada apa yang begitu menarik dalam bangsal itu. Yang ada cuma barang-barang
lusuh dan lama. Barang-barang yang tidak tersusun itu kelihatannya seperti
memori lama yang sudah ditinggalkan dan tempoh ia ditinggalkan boleh dijangka
dalam lebih kurang 5 tahun begitu. Dia
tertarik dengan barang-barang lama itu. Tidak puas hati dia dengan apa yang dilihatnya,
dia menyusup masuk ke dalam bangsal itu bertemankan cahaya lighter yang ada di
tangannya. Kebimbangan akan tindakannya yang boleh diketahui ditutup oleh
keinginannya untuk tahu yang meluap-luap.
Bangsal
yang berdindingkan dan berlantaikan kayu itu diterokanya dengan penuh
hati-hati. Sawang-sawang dan sarang lelabah yang menghalangnya ditepisnya
lembut. Dia membuka satu persatu almari yang berada di situ. Sehinggalah tiba
dia pada sebuah almari yang mengandungi beg sekolah berwarna biru yang
kelihatan masih elok. Dia seakan-akan masih ingat akan beg sekolah itu. Tanpa
berlengah dia membuka zip beg itu dan kelihatan beberapa buku dan alat tulis
yang juga masih kelihatan elok. Diperhatikannya segala barang-barang yang ada
dalam beg itu satu persatu. Dia juga menyeluk poket kecil yang ada dalam beg
itu dan ternyata ada sekeping foto yang gambarnya agak kekuningan. Ditenungnya
dalam-dalam foto itu. Dia melihat dirinya ada dalam foto itu bersama 3 orang
lagi insan yang kurang dikenalinya. Seorang lelaki bersama seorang perempuan
yang sedang mendukungnya. Seorang lagi adalah budak lelaki kecil yang berdiri
di tengah-tengah.
“Pakk!!”
dentuman kuat kedengaran pada pintu bangsal itu. Sheptian tersentak dan lighter
yang dipegang
terlepas dari genggamannya. Tubuhnya mula menggigil.
“Pakkk!!!”
akhirnya pintu itu terbuka luas. Cahaya dari luar sedikit sebanyak memasuki
bahagian dalam bangsal itu. Sheptian yang masih tidak berganjak itu disuluh
tepat oleh cahaya lampu suluh yang dipegang oleh bapanya yang bengis itu. Sheptian
menyembunyikan tangan kanannya yang sedang memegang foto yang baru dijumpai
tadi ke belakang tubuhnya.
“Apa kau
buat hahh??!!” bapanya menengking. Sheptian diam seribu bahasa. Kepalanya
tunduk.
Bapanya
mengangkat tangan kanannya kasar. Dirampasnya foto yang berada di tangannya dan
dilihatnya sepintas lalu.
“Itu..ii..ibuu
saya?” tergagap-gagap Sheptian bertanya.
“Tidak! Ibu
kau dah mati! Kau kena lupakan dia!” serentak itu bapanya mengoyak-ngoyakkan
foto itu di hadapannya. Hancur luluh hatinya. Dia tersedu sedan menangis sambil
mengutip cebisan foto itu.
Dia
kemudiannya meluru ke pintu bangsal itu dan keluar darinya. Dia berlari menuju
ke arah ladang getah di tepi bangsal itu sambil menangis semahu-mahunya.
Tangannya masih kuat menggenggam cebisan foto yang dikoyakkan bapanya tadi.
Sebelah tangannya lagi menyeka air matanya yang keluar tidak henti-henti. Dia
sudah tidak peduli lagi. Hatinya yang remuk itu perlu dibawa lari jauh daripada
hati bapanya yang penuh daki benci itu. Dia terus berlari dan berlari membawa hatinya yang pilu hinggalah dia rasa sudah tidak berdaya lagi lalu
tersungkurlah dia ke atas lantai ladang yang gelap itu. Esakkannya makin kuat
namun tidak ada siapa yang mendengarnya.
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)