Keruntuhan Highland Towers yang telah berlaku pada 11 Disember 1993
merupakan sejarah terburuk tragedi bangunan runtuh setelah Malaysia mencapai
kemerdekaan. Seramai 48 orang telah terkorban dalam tragedi yang berlaku berhampiran
dengan Bukit Antarabangsa yang turut mengalami tragedi yang lebih kurang sama
15 tahun selepas itu iaitu pada tahun 2008. Keruntuhan melibatkan satu blok
bangunan daripada tiga blok bangunan Highland Towers, Taman Hillview, Ulu
Kelang, Selangor di mana ketiga-tiganya mempunyai 12 tingkat setiap satunya.
Susulan tragedi ini,
ramailah pihak yang menuding jari antara satu sama lain tidak kurang juga yang
mengemukakan bermacam-macam ideologi tentang bagaimana keruntuhan itu boleh
berlaku. Situasi salah menyalahkan ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan pihak
pemaju Highland Towers bahkan penduduk yang mendiami bangunan ‘malang’ itu
turut disalahkan kerana tidak mematuhi notis yang dikeluarkan sebelum kejadian.
Pandangan dari udara keruntuhan Highland Towers pada 1993 |
Ia sudah berlaku 20
tahun lepas namun tragedi ini masih meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat
Malaysia bukan sahaja kerana munculnya filem genre seram ‘Highland Towers’ di
pawagam tetapi beberapa pihak terutama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat
turut mengingati peristiwa ini pada 11 Disember 2013 lalu yang menandakan
genaplah 20 tahun kejadian ini berlaku. Kronologi peristiwa keruntuhan ini
tidak lepas daripada menunjukkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pihak
pemaju sejak bermulanya Highland Towers ini dibina sekitar tahun 1975 dan 1978.
Selepas tiga tahun
kejadian ini berlaku, Bekas Presiden
Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Henry Lee Inn Seong, memberitahu Mahkamah
Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri Highland Towers yang
runtuh itu, Wong Tin Sang, tidak
mempunyai kelayakan bagi merangka pelan bangunan setinggi 12 tingkat. Beliau
menyatakan bahawa pelukis pelan itu hanya mempunyai kelayakan untuk merangka
pelan bangunan tidak melebihi 300 meter persegi atau 3,000 kaki persegi atau
tidak melebihi dua tingkat. Pembinaan Highland Towers ini juga telah mencabuli
Akta Pemuliharaan Tanah dan Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana melebihi
kecerunan 18 darjah di kawasan lereng bukit yang merupakan kawasan sensitif
alam sekitar.
Keruntuhan
pangsapuri ini turut dikatakan berpunca daripada kerja-kerja pembinaan rumah
yang terletak di belakang bangunan Highland Towers. Kawasan pembinaan itu
adalah di Bukit Antarabangsa di mana kerja-kerja pembinaan dimulakan sejak
tahun 1991 dan telah mengakibatkan struktur tanah menjadi longgar disebabkan
penebangan pokok. Ketiadaan akar tunjang yang selama ini menampung dan menerima
taburan hujan yang lebat dan bertindak sebagai pemangkin kepada tanah
menyebabkan air mudah menyerap masuk ke dalam rongga-rongga tanah. Apabila
tidak ada tanaman tutup bumi, air meresap ke dalam tanah dan menjadi pelincir
kepada gelongsoran tanah dan bangunan di atasnya dan punca terbesar kejadian
ini berlaku juga adalah disebabkan hujan yang turun 10 hari berturut-turut
ketika musim tengkujuh yang berlaku pada hujung tahun ketika itu.
Prinsip kekuatan sesebuah bangunan adalah bergantung pada ricihan atau shear sama ada pada struktur bangunan ataupun struktur tanah dan bukannya atas tekanan yang dikenakan terhadap bangunan. Keruntuhan Highland Towers adalah contoh terbaik bagi membuktikan prinsip ini di mana punca keruntuhannya adalah disebabkan ricihan yang lemah pada struktur tanah. Selain itu, perlu diingat bahawa musuh utama bagi sesebuah binaan adalah kandungan air yang berada di bawah tanah kerana air yang bercampur tanah boleh menolak asas binaan lalu menyebabkan ia jatuh serta merta. Kerana itu, pemantauan berkala amat perlu dilakukan bagi memastikan struktur tanah sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
Prinsip kekuatan sesebuah bangunan adalah bergantung pada ricihan atau shear sama ada pada struktur bangunan ataupun struktur tanah dan bukannya atas tekanan yang dikenakan terhadap bangunan. Keruntuhan Highland Towers adalah contoh terbaik bagi membuktikan prinsip ini di mana punca keruntuhannya adalah disebabkan ricihan yang lemah pada struktur tanah. Selain itu, perlu diingat bahawa musuh utama bagi sesebuah binaan adalah kandungan air yang berada di bawah tanah kerana air yang bercampur tanah boleh menolak asas binaan lalu menyebabkan ia jatuh serta merta. Kerana itu, pemantauan berkala amat perlu dilakukan bagi memastikan struktur tanah sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
Tanda-tanda
retakan dan air mengalir daripada tembok penahan di belakang apartment tersebut
telah diperhatikan beberapa hari sebelum kejadian dan Majlis Perbandaran Ampang
Jaya telah mengeluarkan notis berpindah kepada penghuni Blok 2 dan Blok 3,
namun mereka sendiri memohon perintah Mahkamah Shah Alam untuk mengenepikan
notis tersebut walaupun telah terlihat tanda-tanda ketara seperti rekahan
jalanraya di sekitar blok tersebut akibat gelinciran yang berlaku. Aliran air yang
banyak di dalam tanah kerana hujan 10 hari berturut-turut menyebabkan tanah di
bawah bangunan bertukar menjadi lumpur sekaligus mengakibatkan struktur tanahnya menjadi lemah. Akhirnya, lumpur yang terhasil menolak tembok penahan di
belakang Blok 1 hingga ia pecah lalu menolak juga dasar bangunan blok tersebut
hingga ia tumbang. Berat lumpur ketika itu dikatakan bersamaan dengan berat 200
kapal terbang Boeing 747. Perunding jurutera geoteknikal, Prof Noel Edward
Simons juga menyalahkan rekabentuk tembok penahan tersebut yang tidak sempurna.
Pakar
geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ibrahim Komoo
menyatakan tanah di kawasan Highland Tower bukanlah terdiri dari batu yang kuat
tetapi terdiri dari tanah yang bercampur pasir. Ini termasuklah kawasan perumahan di Bukit
Antarabangsa, Taman Tun Abdul Razak, Taman Hillview dan Bukit Indah. Gaya hidup
mewah penduduk di kawasan itu yang sukakan kediaman di lereng bukit menyebabkan
mereka tidak sedar atau ada juga yang buat-buat tidak tahu akan korupsi yang berlaku dalam
kalangan pihak pemaju. Akibat permintaan tinggi oleh penduduk elit ini, pihak
pemaju sebagai golongan kapitalis mengambil kesempatan dan cuma mementingkan
keuntungan besar yang boleh diperoleh hasil dari pembinaan perumahan di
lereng-lereng bukit.
Kerajaan
negeri Selangor pada ketika itu pula sedar akan hal ini tetapi tidak berupaya membatalkan
kontrak pembangunan yang telah diberikan kepada pihak pemaju kerana ia membabitkan
implikasi undang-undang. Pemaju yang kerugian dari segi kos tanah, kos arkitek
dan bahan binaan pasti akan menyaman pihak berkuasa jika pembatalan kontrak itu
dilaksanakan. Mereka juga melobi ahli politik agar menekan pegawai daerah,
pegawai pejabat tanah dan sebagainya sehingga mereka lupa bahana yang bakal
menimpa antara 10 ke 20 tahun lagi.
Selepas
kejadian ini berlaku, penghuni Blok 2 dan Blok 3 yang dahulunya telah menentang
amaran awal dan notis yang diberikan oleh majlis perbandaran dengan angkuhnya
memfailkan saman terhadap 10 pihak berdasarkan bukti gambar yang diambil oleh
salah seorang penduduk di situ, Bruce Aaron Mitchell. Walaubagaimanapun,
akhirnya mahkamah memutuskan majlis perbandaran dilindungi daripada tindakan
undang-undang disebabkan pematuhan ke atas Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Bagi pihak yang lain pula, kes mereka diselesaikan di luar mahkamah apabila
AmFinance (pemilik AmBank dan pemilik hartanah) bersetuju membayar RM52 juta
kepada plaintif.
Gambar yang sempat diambil oleh penduduk ketika keruntuhan berlaku |
Blok
2 dan Blok 3 diisytiharkan ditutup oleh pihak berkuasa berikutan kemungkinan
tinggi kedua-dua blok itu untuk runtuh pada bila-bila masa. Namun sehingga
tahun 2013 ini, kedua-dua blok bangunan ini tetap berdiri utuh tanpa ada
penghuni tetap. Hal ini menunjukkan bahawa pakar geoteknik tetap tidak dapat
meramalkan dengan tepat akan lokasi dan masa sesuatu tanah runtuh akan berlaku.
Walaubagaimanapun,
blok-blok ini tetap dikunjungi oleh pelaku maksiat dan menjadi sarang
penjenayah disebabkan keadaannya sekarang yang telah ditumbuhi semak samun.
Highland Towers kini sudah tidak gah dengan segala kemewahan sepertimana 20
tahun yang lalu bahkan ia telah menjadi bangunan tinggal yang buruk dan usang.
Highland Towers kini |
Sesungguhnya
kejadian ini telah menjadi sejarah gelap dalam kerangka bidang geoteknik,
arkitek dan kejuruteraan secara amnya. Disebabkan ketamakan dan keangkuhan
manusia, bangunan yang dahulunya berdiri megah ini tidak dapat bertahan lama
dan tumbang menyembah bumi akhirnya. Semoga penulisan ini dapat menjelaskan
nilai-nilai yang sepatutnya diambil berat oleh individu-individu yang terlibat
dengan kerja-kerja pembinaan sekaligus memberi iktibar terhadap semua pihak
dalam mengawal ego dan sifat bermegah-megahan yang melampau kerana kehidupan
ini sukar untuk diramalkan manusia melainkan Tuhan sahajalah yang tahu akan
nasib yang bakal menimpa sesuatu kaum.
...
Sebagai generasi yang lahir pada tahun 1993, tragedi keruntuhan Highland Towers pada tahun tersebut tidak mungkin melekat pada kotak ingatan melainkan jika saya sendiri berada di tempat kejadian atau ada antara keluarga saya terlibat dengan kemalangan tersebut. Oleh itu, tulisan ini mungkin agak ketinggalan zaman bagi pak cik dan mak cik yang terlebih dahulu merasai bahang isu ini 20 tahun yang lalu.
Tulisan ini sebenarnya adalah tugasan yang diberikan oleh pensyarah saya, Cik Nurol Huda bagi subjek Pengurusan Pembinaan. Saya kira mana-mana tugasan berbentuk tulisan tidak sepatutnya dibazirkan dengan hanya menganggapnya sebagai assignment lalu diperap dalam laci pensyarah.
Peristiwa runtuhnya Highland Towers adalah sejarah yang paling menggerunkan dunia geoteknik, arkitek dan kejuruteraan di Malaysia kerana ia mencatatkan angka kematian yang paling ramai. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada kejadian ini.
Senarai kejadian tanah runtuh dan bilangan mangsa sehingga tahun 2011 |
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)