Masyarakat Facebook
Kita sekarang boleh diumpamakan
seperti sebuah masyarakat yang mempunyai dua alam. Satu alam realiti di mana
pada alam ini kita bebas untuk ke sekolah, universiti, pejabat, bersiar-siar
dan sebagainya. Satu lagi alam adalah alam maya di mana hampir setiap orang di
bandar memasuki alam ini. Di alam maya sekarang, facebook telah menjadi trend
utama bagi masyarakat untuk menghuni di dalamnya.
Saya
mempunyai tafsiran yang berbeza dengan Mark Zuckerberg tentang istilah ‘Home’
di dalam facebook. Sebagai contoh, ‘Home’ yang terletak di atas sekali skrin bukanlah
rumah sebenar. Sebaliknya, rumah masyarakat facebook boleh dimasuki setelah
nama yang terletak di sudut atas skrin ditekan. Kerana jika ‘Home’ dijadikan
rumah kita, kita akan menjadi semakin sukar untuk mengenali semua orang. Maka di
dalam rumah kita yang sebenar ada simpanan. Kita menyimpan berbagai simpanan
dalam rumah kita seperti status, gambar, profil peribadi, nama-nama kawan kita
dan notes (agak jarang orang gunakan sekarang).
Manakala
perkataan ‘Home’ pula bagi saya adalah jalan-jalan di luar rumah kita. Di
jalan-jalan itu kita sering berjumpa dengan kawan-kawan kita. Kawan-kawan yang
kita jumpa itu pula membawa bermacam-macam jenis status. Ada status yang
dikarang sendiri dan ada status yang diambil daripada orang lain lalu dibawa
sekali. Pada saat kita berjalan-jalan, kita bebas membaca status sesiapa sahaja
tanpa pemilik status itu sedari dan kita cuma akan disedari bila kita mengusik
status itu dengan menekan butang ‘like’ atau kita komen status itu. Begitu juga
sebaliknya keadaan yang terjadi pada status kita.
Kadang-kadang,
orang komen status kita dengan baik. Tambah-tambah ‘baik’ lagi bila dia
letakkan ‘smiley’. Ada waktu lain, orang komen status kita dengan tidak baik. Kita
rasa seperti sudah diserang. ‘Tidak baik’ di sini mempunyai banyak maksud
bergantung kepada tahap penerimaan kita. Kita punya pilihan sama ada komen
semula dengan cara baik atau cara tidak baik juga. Jika kita tidak tahan pada
tekanan si pengomen, kita boleh ‘unfriend’ atau ‘block’ terus supaya kita dapat
berjalan-jalan dengan aman dan tenang atau kita tak perlu berjalan-jalan
langsung. Itu serba sedikit kisah facebook alam maya yang mungkin cuma akan
menjadi sejarah pada tahun 2113 nanti.
...
Katakan kita mempunyai satu
akaun facebook. Akaun itu kita gunakan sebagai wadah untuk menyampaikan sesuatu
ideologi atau orang-orang islamis selalu menyebutnya sebagai medan dakwah.
Kemudian ideologi atau dakwah itu kita sebarkan sehingga kita mempunyai
pengikut sendiri yang suka mengikuti post kita di facebook. Kemudian kita terus
selesa menyampaikan ideologi yang sama hingga kita tidak sedar ideologi
tersebut sedikit sebanyak dipengaruhi (secara tak langsung dikawal) oleh
pemikiran pengikut kita. Selepas itu, tiba-tiba muncul seseorang menegur
kesalahan ideologi yang kita bawakan. Pada masa itu, apakah yang selalunya akan
kita lakukan? Tidak semena-mena ada orang menegur post kita? Lalu kita pun
meletakkan si penegur itu bukan pengikut kita. Jika ada pengikut kita sendiri
yang menegur kita maka kita buang nama mereka daripada senarai nama
pengikut-pengikut kita. Betulkah begitu?
Kerana
itu, kita perlu mengenal pasti dengan jelas apakah teguran itu berbentuk
kritikan atau celaan kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang berbeza. Khuatir
jika sebenarnya kita menafikan hak kebebasan berfikir dan bersuara yang
sepatutnya perlu diraikan.
Saliran Banjir Pantai Timur
Musim tengkujuh yang berlaku
pada setiap tahun memang tidak melepaskan negeri-negeri pantai timur daripada
dilanda banjir. Jalan-jalan ditutup. Penduduk-penduduk dipindahkan ke kawasan
perlindungan. Akaun-akaun bank serta pusat pengumpulan sumbangan mangsa banjir mula
dilancarkan. Ini perkembangan positif terutama daripada badan-badan NGO yang
giat mendapatkan sukarelawan dan juga bantuan. Namun di sisi pemerintahan,
muncul pula dialog yang boleh jatuh syirik bilamana kuasa menggelapkan maksud
dan niat memberi pertolongan.
…
Jika banjir ditafsirkan sebagai bencana
semata-mata, saya fikir kita akan kurang menyediakan cara untuk menyelesaikan
masalah banjir. Apa yang kita boleh fikir demi menyelesaikan masalah ini
hanyalah dengan memberi bantuan.
Begitu sahajakah caranya kita
menangani masalah banjir? Bagaimana dengan sistem saliran dan perparitan?
Apakah ada usaha-usaha yang boleh kita lakukan demi mencegah banjir?
Sedang pemimpin-pemimpin lebih
sibuk membicarakan hal-hal yang tidak sepatutnya apabila mereka berkumpul. PAS tidak
habis-habis dengan isu golongan ulama dan profesionalnya. UMNO pula membincangkan
tentang pembanterasan Syiah. Mahasiswa jurusan kejuruteraan sivil pula masih
bertanya soalan sama di akhir kelas pengajian pengurusan pembinaan tentang
berapakah gaji yang bakal mereka perolehi apabila mereka bekerja nanti. Bila
ditanya soalan-soalan berkait sosial, mereka seolah-olah ditusuk duri yang
tajam. Kerana itu, jurutera kini masih belum keluar daripada kotak pemikiran yang
cuma mahu membina bangunan gah serta jenis binaan yang hebat-hebat. Maka siapa lagi
yang mahu memikirkan soal pembaikian sistem saliran dan perparitan? Sampai bilakah
masalah banjir cuma diselesaikan dengan cara memberi bantuan?
Bersambung…
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)