Setiap kali
saya membuka facebook, macam-macam post daripada rakan-rakan fb yang saya
lihat. Lihat tak semestinya baca. Ada yang saya cuma baca di awalnya lalu saya scroll ke bawah lagi. Saya membuat kesimpulan tentang mengapakah saya tidak
berminat dengan sesetengah post yang saya baca. Pertamanya kerana post
diulang-ulang oleh orang yang sama. Balik-balik cerita tentang aurat, ikhtilat,
kahwin awal dan ukhuwah. Walaupun cara penyampaiannya berbeza-beza, tapi ia
tetap membincangkan perkara yang sama setiap hari.
Begitu juga puak-puak lainnya. Yang
membincangkan wahabinya, asy-syairahnya balik-balik bergaduh benda yang sama.
Yang sepatutnya boleh mengeluarkan hujah, digantikan pula dengan ayat-ayat
sindiran pelbagai bentuk. Nama sahaja pendakwah tetapi tetap menyibukkan diri
dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.
Di Malaysia, kita tidak ada fakulti falsafah di
universiti. Sedangkan 10 universiti terbaik dunia ada fakulti ini. Kerana itu
saya kira rakyat Malaysia selama ini cuma berfalsafah sesuka hati. Melalui
pandangan ini, kita sebenarnya masih belum keluar daripada kematangan
sebenar. Kita masih terpuruk di takuk lama dan takut untuk mendekati
ideologi-ideologi lain kerana sudah selesa dengan ideologi sendiri.
...
Masyarakat masih takut untuk
meramas buku. Kerana apabila berjumpa perkataan-perkataan yang jarang
digunakan, seolah-olah fikiran mereka terasa dihimpit. Mereka tidak suka
pemikiran mereka dihimpit kerana tujuan mereka hidup adalah untuk bahagia…dan
selesa. Tanpa sedar, disebalik kebahagiaan itu wujud ‘penderitaan’ bangsa lain
yang mencipta kebahagiaan itu untuk mereka. Bagi bangsa tersebut, ‘penderitaan’
itu merupakan kebahagiaan sebenar buat mereka.
Masyarakat juga sering mengamalkan
sikap berbaik sangka tak bertempat; “Tak apalah...” “Biar je lah…” tanpa sedar
semua itu hanya mematikan fikiran mereka untuk bertanya dan mempersoalkan; Kenapa?
Apakah? Bagaimanakah? Mereka disuntik dengan semangat pemikiran positif tanpa
sedar bahawa pemikiran negatif juga ada manfaatnya dan merupakan pemikiran
jenis kritikal.
Ber‘bahagia’lah masyarakat ini
dengan segala perkara ‘selesa’ yang telah disediakan oleh kelompok autoriti
supaya kelompok autoriti ini tidak lagi mendengar suara-suara rakyat jelata
membantah keputusan mereka. Rakyat jelata 'bahagia' ketawa berdekah-dekah
menonton maharaja lawak kononnya stress bekerja tanpa sedar harta mereka
semakin dikikis. Dan kelompok autoriti pula berdekah-dekah ketawanya kerana
semakin hari semakin banyak habuan yang mereka perolehi dan bertambahlah kuasa
veto yang ada pada mereka supaya dapat mengalahkan kuasa sapere aude rakyat
jelata.
Bersambung…
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)