Sunday, 24 August 2014
Empat
Kesedihan Haslina tidak dapat dibendung lagi. Lalu berguguranlah air matanya. Teman yang dikasihi, kini telah pergi. Teman sehidup semati sudah tidak ada lagi di pandangan mata. Kebahagiaan yang dikecapi bersama selama 6 tahun tidak disangka akan berakhir begini. Dalam keperitan hati yang teramat, tiba-tiba telefonnya berbunyi. Nombornya tidak dikenali.
“Puan Haslina?”
“Ya saya?” suara Haslina tersekat-sekat.
“Kami mendapat maklumat daripada suami puan mengatakan anak puan diculik. Kami harap puan bersabar ya. Kami juga menerima maklumat suami puan telah terlibat dalam kemalangan dan situasinya masih belum diketahui kerana pihak kami sedang bergegas ke tempat kejadian…”
Terjelepok Haslina. Telefonnya terlepas dari genggaman. Dahsyat sekali dunia ini mempermainkannya. Itu yang dia rasakan. Kepalanya pusing. Air matanya menderas lagi. Selepas diuji dengan kematian suaminya, dia diuji pula dengan kehilangan anaknya.
Sementara itu, tangan Nabil direntap kasar bila tiba di suatu lokasi. Suasana sepi. Tiada lagi bunyi kenderaan bising atau orang lalu lalang. Yang ada di hadapannya cuma sebuah banglo usang di tengah belantara. Hati Nabil masih kecamuk atas kejadian yang berlaku tadi. Soalan yang sama diulang-ulang tapi tiada siapa yang ingin menjawab.
“Ayahhh..Mana ayah saya?? Mana? Mana? Ayahhh…” air mata anak kecil ini tidak henti-henti mengalir. Pipinya basah. Rengekannya tidak dipeduli.
Dia terus dibawa memasuki banglo usang itu. Di dalamnya ada banyak bilik. Dia ditempatkan di salah satu bilik. Ada mata sayu memerhatikannya.
Siang berganti malam. Letih anak kecil itu merintih. Dia tertidur. Terbaring dia keseorangan di dalam bilik yang tebal habuknya itu. Kemudian, pintu bilik dikuak. Pemilik mata sayu tadi memberinya air.
“Bangun!” keras suaranya.
Terpisat-pisat Nabil sambil mengangkat tubuhnya yang lena tadi. Orang yang memberinya air itu adalah orang yang berdiri di hadapan banglo usang itu sewaktu ketibaannya tadi.
“Apa nombor telefon mak bapak kau?” tanya orang itu kasar tapi perlahan saja bunyinya.
“Kenapa? Apa yang pak cik nak buat dengan mak dan ayah saya? Mereka di mana?” Nabil mempersoal.
“Cepat bagi. Aku tak ada masa di sini. Aku nak lepaskan engkau.” penjahat itu berkata dalam nada berbisik.
Tercengang Nabil.
“Pak cik ini siapa? Bukankah pak cik juga salah seorang daripada orang-orang jahat yang culik saya tadi?” Nabil bertanya lagi.
“Engkau perlu percaya pada aku. Aku akan bawa engkau keluar dari tempat ini dan tak ada siapa yang tahu melainkan aku dan engkau.” orang itu memberi janji.
“Baiklah kalau itu yang pak cik mahu.” Nabil membuat keputusan setelah melihat orang itu begitu yakin dan bersungguh-sungguh sekali.
Nama orang itu Azad. Sebenarnya dia juga pernah mengalami nasib sama seperti Nabil sewaktu kecil dahulu. Dialah salah seorang budak yang dilatih untuk menjadi penjenayah. Dari kecil dia terlibat dengan sindiket pemerdagangan orang. Semasa kecil, dia juga pernah bekerja sebagai peminta sedekah, buruh paksa, dan dia juga dilatih dengan seni mempertahankan diri dan ilmu itu digunakan untuk kerja-kerja jenayah seperti merompak, menculik termasuklah membunuh. Sehingga sekarang, umurnya sudah mencecah 30 tahun dan banyak kali dia melakukan pembunuhan namun sering terlepas daripada ditangkap polis. Begitu juga dengan rakan-rakannya yang lain. Ilmu melindungi diri mereka sangat hebat berbanding kumpulan penjenayah lain.
Kumpulan penjenayah ini sudah bersarang sejak sekian lamanya di negara ini dan merupakan kumpulan penjenayah paling berpengalaman dan licik. Banyak kes polis yang dapat dilepasi tanpa dikesan. Aset dan harta yang dikumpul oleh kumpulan ini juga sudah berbilion ringgit. Sebahagian besar wang digunakan untuk membuka pusat judi dan pelacuran yang telah bertapak di serata dunia.
Namun pada hari itu, kumpulan penjenayah tersebut mengalami nasib yang agak kurang baik. Khairuddin sebenarnya sempat menghubungi pihak polis dan memberi maklumat tentang MPV Alphard yang diekorinya. Dia cuma sempat memberi lokasi dan nombor plat kenderaan sahaja sebelum tangannya yang memegang telefon ditembak oleh penjenayah yang sangat tinggi kemahiran menembaknya. Tapi selalunya, maklumat ringkas seperti itu sukar dikesan oleh pihak polis lebih-lebih lagi kumpulan penjenayah berpengalaman ini licik dalam memusnahkan bukti.
Mengenai Azad pula, dia ingin menutup cerita kehidupannya yang penuh tragis sejak kecil. Dia sudah tidak sanggup lagi terlibat dengan kumpulan ini. Hatinya meronta-ronta minta dilepaskan daripada kegelapan yang menyelubungi dirinya selama ini. Dia sudah tidak sanggup dipaksa lagi. Kehidupannya yang dipisahkan daripada keluarga sudah cukup membuat dirinya sengsara. Kalau pun dia ingin mencari keluarganya, dia sudah tidak ingat lagi akan wajah ibu dan bapanya. Namanya juga sudah ditukar sejak dia hilang daripada keluarganya.
Sebenarnya, Azad pernah berjumpa dengan keluarga Nabil di Cameron Highlands tahun lepas. Ketika itu, Khairuddin dan Haslina sedang membawa Nabil berjalan-jalan menikmati permandangan di ladang teh. Azad pula sewaktu itu berhenti di tepi jalan untuk menukar tayar kereta bagi menghapuskan bukti selepas lari daripada tempat dia melakukan jenayah di Tanah Rata.
Ketika itu, Azad tertarik melihat kebahagiaan keluarga Nabil. Dilihatnya ibu bapa Nabil begitu menyayanginya. Ia merupakan suatu pemandangan yang sangat jarang dilihat oleh Azad. Ya. Kebahagiaan berkeluarga yang suatu ketika dulu pernah dinikmatinya tetapi lenyap sekelip mata sewaktu dia kecil. Dia jadi teringin untuk mengecapi semula kebahagiaan itu jika diberi peluang. Dia terasa mahu menikmati ketenangan hidup dan hidup jauh daripada dosa-dosa yang pernah dilakukannya selama ini.
Azad juga mengenali Khairuddin kerana pernah terlibat dengan pembelian kereta di pusat penjualan kereta Khairuddin. Dia tahu Khairuddin seorang yang kaya raya dan perniagaannya juga semakin maju.
Entah kenapa, hatinya yang selama ini kecamuk begitu tenang sekali bila melihat keluarga Nabil. Perasaannya tidak dapat digambarkan lagi. Kehidupan yang gelap pekat sebelum ini tiba-tiba mencerah. Sejak itu, dia memasang cita-cita untuk lari. Lari daripada kumpulannya dan lari daripada kehidupan gelap yang dilaluinya selama ini.
Kalau dia lari daripada kumpulan ini, nasibnya akan sama seperti Raizo, watak utama dalam filem Ninja Assassin yang sentiasa diburu kerana belot terhadap kumpulannya sendiri. Tapi dia sudah ada perancangan. Dia sudah tahu tempat mana yang harus dia tuju jika dia melarikan diri. Dia juga sudah tahu bagaimana untuk mendapatkan wang untuk memulakan kehidupan baru.
“Anak kau ada pada aku. Aku perlukan wang tebusan 100 ribu kalau kau mahu dia. Nanti aku bagi tempat dan masa untuk berjumpa. Jangan beritahu polis! Buruk padahnya pada kau dan anak kau nanti.” Azad memberitahu maklumat kepada Haslina menerusi SMS.
Haslina buntu. Dia memikirkan bagaimana dia boleh mendapatkan wang sebanyak itu? Keesokan paginya dia sungguh terkejut bila mendapati akaun banknya mempunyai wang sejumlah RM250 ribu. Dia yakin pemberian itu adalah daripada Khairuddin. Mungkin dia sudah menghidu ajalnya sebelum kejadian semalam dan menyediakan wang yang banyak buat perbelanjaan harian Haslina dan Nabil.
Pagi itu juga, Haslina menceritakan segala-galanya pada Kak Imah dan suami Kak Imah, Abang Rosli yang juga seorang anggota polis. Dia meminta pendapat, perlukah dia melibatkan polis atau dia pergi bersendirian sahaja seperti yang diarahkan Azad? Dia takut jika itu adalah sekadar muslihat penjahat yang mencuri anaknya. Setelah berbincang, mereka mencapai kata sepakat untuk melibatkan pihak polis dalam hal ini.
Malam itu pun berlakulah saat yang mendebarkan buat Haslina. Apakah dia berjaya menemui kembali anaknya atau sebaliknya yang akan berlaku? Haslina mengetepikan kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi. Dia bermunajat tidak henti-henti mengharapkan supaya terbitnya sinar harapan untuk berjumpa dengan anaknya.
Langkah Azad juga sungguh licik. Dia berjaya membawa Nabil keluar daripada sarang persembunyian kumpulannya. Azad nekad. Denai-denai di hutan berjaya ditempuhinya dengan mudah dan dia cuba tidak melakukan kesilapan dalam meninggalkan jejak dan kesan yang boleh dihidu oleh ahli kumpulannya.
Tiba di suatu lokasi yang sunyi di sebuah pekan kecil, berlakulah pertemuan antara Azad dan Haslina. Haslina sudah siap-siap menjinjing sebuah bagasi yang terkandung wang 100 ribu di dalamnya. Nabil masih belum kelihatan kerana Azad menyembunyikannya dahulu. Pihak polis pula sudah siap-siap bersembunyi di kawasan yang berhampiran.
“Mana anak aku?” Haslina bersuara.
“Tunjuk duit. Aku akan bagi bila nampak duit.” Azad mengarah.
Haslina membuka bagasi yang dijinjingnya dengan hati-hati. Ditunjukkannya susunan wang yang banyak itu. Azad berpuas hati.
Sejurus selepas itu, tiba-tiba Azad mengesan sesuatu. Dia merasakan ada orang sedang memerhatikan gerak geri mereka.
“Perempuan sial! Berani kau bawa polis!” Azad menengking. Cepat-cepat dia mengeluarkan sepucuk pistol dari poketnya. Ditariknya Nabil daripada sebalik dinding tempat mereka berada. Diacukannya pistol ke arah Nabil.
“Nabilll!!!!” Haslina menjerit.
“Ibuuu!!!!” Nabil menyahut.
Haslina mendekati Nabil dan Azad.
“Jangan dekat!! Aku tembak budak ni!!” Azad memberi amaran.
“Tolong!! Tolong jangan apa-apakan dia!!” Haslina merayu.
Polis sudah mula bertindak di belakang mereka. Sebahagiannya keluar daripada tempat persembunyian. Setiap anggota polis yang ada semuanya sudah siap sedia dengan senjata masing-masing. Siren dibunyikan.
“Menyerah! Tempat ini sudah dikepung polis! Letakkan senjata!” kedengaran tegas suara salah seorang anggota polis memberi amaran kepada Azad.
Azad kelihatan kaku seketika. Dia tunduk seperti sedang berfikir.
“Kenapa? Kenapa kamu datang tempat ini?? Aku tidak mahu lagi buat kerja ini!!” kedengaran suara sebak Azad. Kelihatan air jernih daripada mata Azad berguguran. Dia seperti orang buntu. Dirasakan rancangannya telah gagal. Tangannya yang merenggut leher Nabil kelihatan melemah.
Sejurus itu, Nabil melepaskan diri daripada Azad menuju kepada ibunya. Azad tersentak. Naluri gelap yang diterimanya sejak kecil menguasai dirinya semula. Dia mengangkat senjatanya DAN…
BANNNGGGGG!!!!!!
BANNNGGGGG!!!!!!
Terdengar dua tembakan dilepaskan.
Di suatu sudut, kelihatan Haslina merangkul Nabil erat. Membuak-buak darah keluar daripada perut yang merangkul itu. Haslina terkena tembakan Azad.
Azad pula sudah tidak kuasa menanggung ini semua. Melutut dia di atas jalan. Tangan kirinya memegang tangan kanannya yang baru ditembusi peluru. Senjatanya telah pun jatuh. Dia tidak sanggup untuk mengambilnya semula.
“Kenapa?? Kenapa?? Kalaulah kamu semua tahu bagaimana aku inginkan kehidupan ini….” rintih Azad. Dia sudah pasrah.
Kelihatan dua orang anggota polis mendapatkan Azad. Digarinya kedua-dua tangan yang berdarah itu.
Haslina pula rebah. Nabil terkejut melihat keadaan ibunya.
“Ibuu!! Ibuu!!!” jerit Nabil.
“Nabill..” hanya itu yang mampu diucapkan Haslina sebelum dia memejamkan mata.
“Ibuu!! Ibuu!!!” jerit Nabil lagi.
Nabil tersedu-sedu di dalam ambulans yang membawa ibunya itu. Dia tidak pasti keadaan ibunya sekarang. Yang cuma dia tahu, ibunya sedang terseksa. Dia juga tertanya-tanya mana ayahnya.
Aduhai apalah nasib si kecil ini? Lepas menjadi yatim, ibunya pula mengalami kecelakaan…
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)