Showing posts with label universiti. Show all posts
Showing posts with label universiti. Show all posts

Thursday, 9 January 2014

Sapere Aude ! (IV)

Cuti mid sem hari itu saya berbual-bual dengan mak dan mak cik saya tentang masalah disiplin sekolah. Mak dan mak cik tidak menggunakan bahasa yang tinggi tetapi cukuplah saya memahami keadaan yang berlaku pada pelajar sekolah terutama anak-anak remaja sekarang.

Antara isi perbualan kami ialah kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak yang duduk dalam kelas corot. Masalah disiplin pelajar terlalu meruncing. Pernah satu kali, anak mak cik saya ini menunggu bas untuk ke sekolah. Sebelum bas sekolah sampai, sebuah bas awam yang menghala ke Kuala Lumpur melalui kawasan itu. Kawan-kawan anak mak cik saya ini bukannya menunggu bas sekolah lagi tetapi bersama pasangan masing-masing, mereka menaiki bas awam tersebut dan terus pergi ke Kuala Lumpur. Apa yang dibuat di Kuala Lumpur yang pastinya mereka bukan pergi perpustakaan negara atau berjalan-jalan mendapatkan orang gelandangan untuk diberi bantuan tetapi mereka menghabiskan masa di pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur.

Itu baru satu cerita. Cerita yang lain pula, ada seorang anak murid dengan beraninya membuat pengakuan pada gurunya. Anak murid itu menyatakan bahawa di dalam kelasnya sekarang, budak perempuan yang masih ada dara boleh dikira dengan jari. Guru itu pula pernah melihat sarang 'projek' anak muridnya melakukan maksiat di dalam kelas. Apakah kita tahu semua ini? Ini baru cerita yang saya dengar daripada mak dan mak cik saya yang merangkumi sekolah-sekolah dalam daerah kami. Belum lagi cerita sekolah-sekolah daripada satu Malaysia ini.

Mereka yang sudah terbiasa memasuki kelas pandai mungkin tidak pernah merasa atau mungkin juga pernah merasai situasi begini. Mereka yang duduk dalam kelas corot mungkin sudah terbiasa. Saya cuma ingin membawa kehidupan pada dimensi yang lain yang mungkin agak rare pada pandangan kita.

Anak-anak yang pandai terus menjadi pandai. Anak-anak yang bodoh terus dibiarkan menjadi bodoh. Beginikah sistem pendidikan mengajar kita? Jika kita ingin tahu sistem pendidikan kita sekarang ini benar-benar berjaya ataupun tidak, lihatlah fungsinya pada kehidupan manusia sekarang dan apa yang terjadi pada alam ini. Apakah dengan pendidikan sekarang, orang menjadi semakin pandai menyelesaikan masalah-masalah di muka bumi ini? Jika pendidikan hari ini berjaya, mengapakah lapisan ozon kita dari hari ke hari semakin menipis? Ais-ais di bahagian kutub pula makin mencair? Bagaimana keadaan ekonomi kita dan kaitannya dengan jenayah yang semakin berleluasa? Jurang antara orang atasan dan orang miskin pula? Apa yang boleh dikata? Jadi, adakah pendidikan kita hari ini sudah mencapai misinya ataupun kita tidak pernah terfikir pun misi pendidikan yang sebenarnya tetapi cuma menganggap pendidikan sebagai kayu ukur untuk mendapat gaji yang banyak?

Jurang golongan miskin dan kaya makin melebar
Hari-hari kita juga masih dipenuhi oleh kesia-siaan. Tidak kira saintis, jurutera, doktor, arkitek, juruteknik, pereka cipta dan lain-lain lagi jawatan yang berkaitan teknologi dan golongan profesional khususnya, perbincangan sehari-harian seolah-olah berputar isu bombastik. Bila berputar isu Syiah, semua berlagak pandai mahu ulas itu dan ini. Bila timbul isu Comango, liberal pula, sibuk sesatkan orang sana sini dengan hujah yang cetek. Bila orang suruh buat pembentangan tentang isu itu, jadi bacul dan penakut. Cuma harapkan ustaz-ustaz yang dijemput khas. Ke mana hala tuju kita sebenarnya?

Wacana-wacana kita kelihatan tidak seimbang. Negara luar sedang mempersiapkan senjata nuklear mereka dan teknologi coding. Hackers mereka semakin ramai. Kemudian, bila mereka menyerang negara Islam, kita meradang. Bila mereka berhenti serang, kita teruskan lagi perbalahan sesama kita. Hari-hari kita menanti bilalah model Ipad sekian sekian akan keluar. Model daripada Jepun dan Korea selalu kita harapkan tetapi kita masih kurang usaha menyiapkan dan mencipta model kita sendiri yang boleh menjadi kebanggaan kita pula pada orang-orang Korea dan Jepun.

 "What Most Schools Don't Teach"

Jika kita sibuk-sibuk mahu mengubah orang dewasa yang sudah keras kepala dan hati batu itu, mengapa kita tidak ambil pendekatan mengubah daripada bawah pula? Isu pendidikan jarang mahu ambil tahu sedangkan generasi bawah semakin hari semakin menuju kehancuran.

Kita tidak ada masa lagi untuk berkata, "Bukan semua orang berfikir seperti kamu." Jika itu yang dikata, jadi apa usaha yang kita lakukan? Duduk diam dalam bilik dan terus berfikir sendirian?

Mungkin kelihatan agak emosi di sini tetapi ia adalah apa yang terlintas di benak fikiran saya sendiri. Wacana-wacana intelektual kita sangat kurang lalu kita cuma mengharapkan barat untuk terus mengeluarkan idea dan produk-produk baru. Kita juga sangat kurang menulis dan membuat kajian perihal sains dan apakah kita masih boleh berbangga lagi dengan sistem pendidikan kita sekarang? Persoalan-persoalan ini sengaja saya tinggalkan agar kita terus berfikir dan berfikir. Mungkin isu pendidikan agak rare kerana jarang dibincangkan di pentas-pentas popular. Sama ada dalam motivasi pagi, Reset Minda hatta Pencetus Ummah (tak ada niat nak burukkan) sekalipun mungkin kita tidak pernah mendengarnya.

..........

Begitulah tujuan 'Sapere Aude' ini ditulis. Untuk mempersoalkan kembali apa-apa yang telah tersedia dan semoga ia tidak terhenti menjadi sekadar persoalan sahaja.

..........

"Apalah guna sekolah-sekolah didirikan jika tidak mengajar yang mana salah yang mana betul."

-Pramoedya Ananta Toer

Thursday, 26 December 2013

Krisis Pendidikan Mencemaskan: 'Pembunuh Senyap' Potensi Individu



"Kita ada krisis pendidikan yang mencemaskan."

Itu antara kata-kata yang dilontarkan oleh Dato Dr Siddiq Fadzil sewaktu ucaptama beliau di Konvensyen Pendidikan TFTN Kali Kedua, 21 Disember yang lalu. Saya kira kata-kata beliau ini sudah cukup menyedarkan kita akan perlunya kita berbuat sesuatu dengan sistem pendidikan sedia ada. Kata-kata ini bukan keluar daripada seorang yang terlibat dalam bidang pendidikan cuma selama 10 atau 20 tahun bahkan lebih 50 tahun lamanya. 


Kata-kata jujur ini merobek perasaan untuk terus mengenalpasti apakah yang selama ini diperkatakan di berita-berita di televisyen atau di dada-dada akhbar adalah pembohongan semata-mata bilamana setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, hal-hal yang menyenangkan selalu didendangkan buat halwa telinga rakyat jelata. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang perlu dikhuatirkan mengenai sistem pendidikan di negara ini.


Saban tahun ramai ibu bapa yang meraikan kejayaan anak-anak mereka apabila keputusan peperiksaan diumumkan. Anak-anak yang berjaya diberi bermacam-macam bentuk penghargaan termasuk dibawa bercuti, dibelikan hadiah dan sebagainya. Dalam menyambut kegembiraan itu, kita lupa apakah nasib pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik yang berada di kelas corot. Mereka terus disisihkan. Kita masih menutup mata dengan menganggap bahawa kes mereka adalah kes terpencil walhal tanggapan itu sendiri adalah satu tanggapan kejam buat anak-anak tersebut yang sebenarnya mempunyai impian untuk berjaya dalam hidup. Jika kita memandang kes mereka sebagai kes terpencil, apakah kita masih boleh menganggap yang demikian apabila tinjauan oleh YB Nurul Izzah Anwar di sebuah sekolah rendah di bandar menemukan 40 orang pelajar darjah 6 yang masih belum mampu untuk membaca?


Ibu bapa masih tidak sedar akan potensi anak-anak mereka sebaliknya terus menghukum dan menghukum tanpa memahami realiti sistem pendidikan yang semakin menjerut anak-anak tersebut. Guru-guru di sekolah pula masih sibuk membuat kerja-kerja perkeranian sehingga tidak ada masa memikirkan nasib anak-anak kelas bawah yang masih tidak tahu membaca. Mahasiswa pula masih terlibat dengan program-program di dalam kampus sahaja yang membawa corak lama. Jauh sekali untuk melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti oleh badan-badan non-partisan yang lebih bersifat independen dalam mendepani realiti sebenar. Tenaga muda mereka yang sepatutnya digembleng untuk membantu anak-anak seperti ini tidak digunakan sebaliknya mereka masih sibuk berebut tempat parking di dalam kampus.


Jika ditanya kepada anak-anak yang ponteng tentang apakah sebab mereka ponteng ke sekolah, mungkin mereka enggan dan segan untuk memberikan jawapan secara jujur tetapi jauh di benak fikiran mereka, terlakar monolog bahawa, “Sekolah tidak ada kasih sayang. Kasih sayang cuma untuk anak-anak yang pandai!” 




Jurang Pendidikan


Negara telah memperuntukkan perbelanjaan bagi sektor pendidikan berbillion-billion ringgit setiap tahun. Bagi tahun 2014 ini, negara melabur sejumlah RM 54.6 bilion atau 21% daripada keseluruhan peruntukan belanjawan negara bagi sektor tersebut. Namun apakah natijahnya daripada pelaburan itu sekiranya ia masih tidak dapat menyelesaikan jurang perbezaan yang sangat ketara antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar? Apakah peruntukan sebesar itu cuma digunakan untuk menjayakan projek besar-besaran ataupun menambah gaji perkhidmatan sahaja?


Jurang pendidikan antara gender juga semakin melebar dalam lima tahun kebelakangan ini berdasarkan rumusan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sehingga ada pihak yang mengatakan bahawa sistem pendidikan yang digunapakai sekarang ini adalah “Sistem Pendidikan Perempuan”. 


Anak-anak terus diasak untuk menjadi doktor dan jurutera kerana memandang kepada kekayaan dan kemegahan. Apakah keadaan ekonomi negara kini begitu meruncing hinggakan anak-anak dihantar ke sekolah dan universiti bagi menghasilkan duit? Adakah sekolah dan universiti sekarang adalah kilang menghasilkan duit? Jika ketirisan ekonomi pada tahun 2013 ini telah mengundang pertambahan jenayah yang melibatkan senjata api, apakah ia juga mengundang tindakan kita untuk menjadi ‘pembunuh senyap’ terhadap potensi anak-anak yang mempunyai prestasi corot?


Di sekolah, anak-anak mempunyai peluang yang tipis dalam mengenalpasti bakat mereka. Bidang yang ditawarkan di sekolah adakalanya terlalu terhad hingga membawa kecelaruan kepada anak-anak yang kurang menonjol dari segi penghafalan teori. Kesannya boleh dilihat sampai ke peringkat universiti di mana walaupun keputusan SPM mereka memberangsangkan (tetapi tidak terlalu cemerlang), mereka masih keliru memilih bidang yang mereka benar-benar berkemampuan untuk mengambilnya. 


Bidang sastera terutamanya masih dipinggirkan di sekolah-sekolah dan kelas-kelasnya ditempatkan murid yang kurang pandai dalam akademik dan dalam bidang sains. Penekanan bidang sastera dan falsafah juga jelas dipinggirkan bilamana tidak ada satupun universiti di negara kita yang mempunyai jabatan atau fakulti falsafah sedangkan fakulti falsafah telah dibuktikan kehebatannya apabila berada di 10 buah universiti terbaik di dunia.


Rugilah jika negara mengabaikan bakat-bakat besar yang terpendam pada generasi ini sebaliknya terus-menerus hanya memberi keistimewaan kepada mereka yang mencebur bidang sains dan teknologi. 


Sir Ken Robinson dalam memulakan syarahannya berkata bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai bakat asli yang sungguh besar. Pendapat ini disokong oleh kajian George Land pada tahun 1968, yang mana beliau memberikan sebuah ujian kreativiti NASA kepada 1,600 kanak-kanak 5 tahun. Ujian itu mendapati bahawa 98 peratus daripada kanak-kanak yang diuji menunjukkan tahap kreativiti yang genius.


Ken Robinson seterusnya telah mengatakan bahawa sistem pendidikan yang terlalu rigid dan sempit, dengan aspek kesenian, kemanusian dan program pendidikan fizikal yang semakin ditinggalkan, serta budaya obsesif terhadap ujian-ujian dan peperiksaan telah menyebabkan kadar kreativiti kepada murid-murid semakin menurun dengan kadar yang amat mengejutkan.


Dalam ujian George Land tadi, apabila ujian yang sama diberikan kepada kumpulan kanak-kanak yang sama apabila mereka berumur 10 dan 15 tahun, kadar kreativiti telah menurun, dengan hanya 30 peratus dan 12 peratus berada di tahap kreativiti genius.



Mendepani Realiti


24 Disember lalu, laporan Bank Dunia mencatatkan bahawa sistem pendidikan Malaysia yang berpusat dalam mengawal pengambilan dan rancangan perbelanjaan menyumbang kepada prestasi buruk pelajar dalam pengajian mereka. 

"Sekitar 65% daripada pengambilan guru dilakukan oleh kerajaan dan bukannya sekolah itu sendiri, berbanding dengan hanya 5% di Korea Selatan, di mana sekolah-sekolah awam mempunyai lebih autonomi," kata laman berita The Wall Street Journal yang memetik laporan Bank Dunia.


Kongkongan daripada kerajaan menyebabkan guru-guru terpaksa tunduk pada citarasa kerajaan dalam membentuk pelajar bukan guru-guru sendiri yang semestinya lebih tahu hal ehwal pelajar yang merangka pelan pengajaran buat anak-anak murid. Sekalipun sistem yang digunapakai dilihat efektif pada negara-negara luar, ia tidak semestinya sesuai dengan situasi dan keadaan murid-murid di negara ini.


Walaubagaimanapun, berdasarkan analisis daripada Pejabat Parlimen Lembah Pantai menunjukkan pelajar Tingkatan 3 Malaysia setaraf dengan pelajar Darjah 5 dari Singapura dan Korea Selatan. Berbanding dengan Vietnam pula, pelajar Malaysia lebih kurang 2.5 tahun di belakang pelajar Vietnam dalam Matematik dan 2.8 tahun di belakang dalam Sains. Perbandingan keseluruhan di antara pelajar Malaysia dengan Singapura, Korea dan China pula menunjukkan pelajar Malaysia terkebelakang sebanyak 4 tahun.


Keterbelakangan ini membuatkan pelajar-pelajar Malaysia agak ‘tenggelam’ apabila melanjutkan pelajaran di luar negara di peringkat universiti. Seolah-olah apa yang dipelajari di sekolah tidak banyak membantu mereka dalam meneruskan pembelajaran. 


Kita masih memandang pendidikan sebagai hasil. Bukannya sebagai proses. Sekolah bukan lagi tempat untuk mencipta pekerjaan sebaliknya mengemis pekerjaan. Realitinya, pendidikan sekarang hanyalah untuk menjana pendapatan tetapi tidak menjana idea. Hasilnya lahirlah manusia-manusia mesin dan ‘burung-burung kakak tua’ yang cuma tahu menghafal dan mengulang idea lama tanpa ada pembaharuan mengikut situasi zaman yang semakin mencabar ini.


Apa yang perlu kita lakukan?

Usaha kesukarelawanan yang dilakukan oleh TFTN sememangnya amatlah diperlukan buat generasi ini. Anak-anak muda dan golongan mahasiswa perlu mengambil bahagian dalam hal ini agar dapat mengecilkan jurang pendidikan. Namun, dalam bidang kesukarelawanan kita perlu akur dengan pendapat Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon yang mengatakan bahawa semangat kesukarelawanan di Malaysia masih kurang terutama dalam kalangan orang Melayu sendiri. 


Saya kira orang Melayu harus bersederhana dalam membantu golongan-golongan tertindas di negara luar sebaliknya lebih mengutamakan nasib bangsa mereka di negara sendiri. Tidak ada gunanya jika kita terus-terusan melaung pembebasan Palestin dan Syria jika anak-anak di negara ini masih terdampar di tepi-tepi jalan dengan pakaian yang comot serta compang camping. Bahkan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi juga telah menjelaskan keutamaan membela keluarga terdekat berbanding yang jauh dalam kitab Fiqh Keutamaan yang dikarangnya. Dan sebenarnya, tanpa merujuk kitab keutamaan juga, akal kemanusiaan yang ada pada kita sepatutnya dapat menilai dengan cepat akan kesusahan orang yang perlu kita sebagai manusia yang punya kasih sayang membantu dan menyelamatkan mereka daripada kebinasaan.

          Pelaksanaan sistem pula haruslah lebih autonomi supaya guru-guru dapat membuat pilihan terhadap anak-anak murid mereka. Guru-guru juga perlulah menerapkan nilai kasih sayang dalam pengajaran terhadap anak murid. Bukan kerana gaji. 

          Saya teringat akan kisah Joy Lobo dalam filem 3 Idiots yang membuat hati terasa sebak bila mengenangkan nasib yang dialaminya. Joy Lobo telah membunuh dirinya sendiri kerana tidak tahan akan tekanan hidup di mana potensi dan cita-citanya dibunuh begitu sahaja oleh pensyarahnya. Kerana itu berhentilah menjadi ‘pembunuh senyap’ terhadap potensi individu. Berhentilah sekejap daripada bersaing dan tolehlah ke belakang untuk melihat dan menolong nasib mereka yang keciciran. Dengarlah luahan hati anak-anak yang mempunyai nasib seperti Joy Lobo ini.

Give me some sunshine
Give me some rain
Give me another chance
I wanna grow up once again


Rujukan:

http://www.nurulizzah.com/site/2013/12/21/21-disember-2013-ucapan-di-konvensyen-pendidikan-ke-2-tftn/

http://zulfikrizamir.com/2013/12/mazhab-cinta-dalam-pendidikan/

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/laporan-bank-dunia-dedah-prestasi-pelajar-malaysia-merosot-akibat-sistem-be

Catatan Konvensyen Pendidikan TFTN Kali Kedua

Isi diskusi Bulatan Gembira 10

*Artikel ini telah tersiar di The Malaysian Insider pada 26 Disember 2013.
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/krisis-pendidikan-pembunuh-senyap-potensi-individu-nur-fadhilah-zaharin

Saturday, 16 November 2013

Mahasiswa, Gerakan dan Keilmuan (II)

Jika dilihat episod gerakan mahasiswa pada lingkungan 60-an dan 70-an, tidaklah ia menunjukkan mahasiswa bergerak bersama pemimpin mahasiswa yang sememangnya bersifat radikal itu ramai dan berada dalam kelompok majoriti. Itu adalah fitrah dan lumrah kelompok manusia pada setiap zaman. Bukan semua orang bersifat kritikal dalam menentang kerana tahap kesedaran bagi setiap orang berbeza akibat pengalaman yang dilalui juga berbeza.

Dalam era tersebut, sebenarnya gerakan radikal tidak terlalu didominasi oleh setiap anggota mahasiswa tetapi yang terlibat adalah sebahagiannya sahaja. Walaubagaimanapun, kita tidaklah menyokong tindakan orang-orang yang mengambil sikap AKUTIDAKPEDULISME terhadap isu-isu yang berlaku.

Sunday, 10 November 2013

Mahasiswa, Gerakan dan Keilmuan (I)

Universiti pada era 60-an dan 70-an telah menyaksikan beberapa ideologi serta pegangan dicetuskan oleh mahasiswa yang masih berada pada kuantiti yang sedikit ketika itu. Universiti-universiti terawal di Malaysia seperti Universiti Malaya (UM) telah menghasilkan mahasiswa yang radikal dari sudut perjuangan melalui gerakan-gerakan yang mereka terajui seperti Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Nama-nama seperti Syed Hamid Ali dan Anwar Ibrahim telah mewarnai arena kebangkitan mahasiswa pada lingkungan dekad tersebut.
  
    Pelbagai usul cadangan, bantahan dan tidak kurang juga tindakan yang dilakukan oleh mahasiswa ketika itu telah banyak mengubah corak pemerintahan negara sekaligus memberi kesedaran kepada orang awam agar tidak terus dipergunakan malah bangkit mengkritik pemerintahan sekiranya ada cacat cela yang memberi kesan ke atas hak mereka yang tidak terbela.

Saturday, 26 October 2013

Pemberian Baucar Buku 1 Malaysia dan Situasi yang Berlaku

Saya pernah menulis artikel yang lebih kurang sama seperti artikel ini 8 bulan yang lalu. Tujuannya sedikit berbeza. Memandangkan hari ini baru dibentangkan isi-isi bajet tersebut, saya berfikir lagi mengenai hal ini kerana melihat sedikit ketidakwajaran pemberian baucar buku ini kepada pelajar itu sendiri.


Mungkin ramai yang sibuk memperkatakan tentang isu GST, gula, bantuan yang diterima dan lain-lain tetapi memandangkan isu ini isu yang berlegar di sekeliling saya sendiri, saya rasa ia patut diutarakan bilamana saya melihat situasinya tidak berubah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...