Thursday, 9 January 2014

Sapere Aude ! (IV)

Cuti mid sem hari itu saya berbual-bual dengan mak dan mak cik saya tentang masalah disiplin sekolah. Mak dan mak cik tidak menggunakan bahasa yang tinggi tetapi cukuplah saya memahami keadaan yang berlaku pada pelajar sekolah terutama anak-anak remaja sekarang.

Antara isi perbualan kami ialah kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak yang duduk dalam kelas corot. Masalah disiplin pelajar terlalu meruncing. Pernah satu kali, anak mak cik saya ini menunggu bas untuk ke sekolah. Sebelum bas sekolah sampai, sebuah bas awam yang menghala ke Kuala Lumpur melalui kawasan itu. Kawan-kawan anak mak cik saya ini bukannya menunggu bas sekolah lagi tetapi bersama pasangan masing-masing, mereka menaiki bas awam tersebut dan terus pergi ke Kuala Lumpur. Apa yang dibuat di Kuala Lumpur yang pastinya mereka bukan pergi perpustakaan negara atau berjalan-jalan mendapatkan orang gelandangan untuk diberi bantuan tetapi mereka menghabiskan masa di pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur.

Itu baru satu cerita. Cerita yang lain pula, ada seorang anak murid dengan beraninya membuat pengakuan pada gurunya. Anak murid itu menyatakan bahawa di dalam kelasnya sekarang, budak perempuan yang masih ada dara boleh dikira dengan jari. Guru itu pula pernah melihat sarang 'projek' anak muridnya melakukan maksiat di dalam kelas. Apakah kita tahu semua ini? Ini baru cerita yang saya dengar daripada mak dan mak cik saya yang merangkumi sekolah-sekolah dalam daerah kami. Belum lagi cerita sekolah-sekolah daripada satu Malaysia ini.

Mereka yang sudah terbiasa memasuki kelas pandai mungkin tidak pernah merasa atau mungkin juga pernah merasai situasi begini. Mereka yang duduk dalam kelas corot mungkin sudah terbiasa. Saya cuma ingin membawa kehidupan pada dimensi yang lain yang mungkin agak rare pada pandangan kita.

Anak-anak yang pandai terus menjadi pandai. Anak-anak yang bodoh terus dibiarkan menjadi bodoh. Beginikah sistem pendidikan mengajar kita? Jika kita ingin tahu sistem pendidikan kita sekarang ini benar-benar berjaya ataupun tidak, lihatlah fungsinya pada kehidupan manusia sekarang dan apa yang terjadi pada alam ini. Apakah dengan pendidikan sekarang, orang menjadi semakin pandai menyelesaikan masalah-masalah di muka bumi ini? Jika pendidikan hari ini berjaya, mengapakah lapisan ozon kita dari hari ke hari semakin menipis? Ais-ais di bahagian kutub pula makin mencair? Bagaimana keadaan ekonomi kita dan kaitannya dengan jenayah yang semakin berleluasa? Jurang antara orang atasan dan orang miskin pula? Apa yang boleh dikata? Jadi, adakah pendidikan kita hari ini sudah mencapai misinya ataupun kita tidak pernah terfikir pun misi pendidikan yang sebenarnya tetapi cuma menganggap pendidikan sebagai kayu ukur untuk mendapat gaji yang banyak?

Jurang golongan miskin dan kaya makin melebar
Hari-hari kita juga masih dipenuhi oleh kesia-siaan. Tidak kira saintis, jurutera, doktor, arkitek, juruteknik, pereka cipta dan lain-lain lagi jawatan yang berkaitan teknologi dan golongan profesional khususnya, perbincangan sehari-harian seolah-olah berputar isu bombastik. Bila berputar isu Syiah, semua berlagak pandai mahu ulas itu dan ini. Bila timbul isu Comango, liberal pula, sibuk sesatkan orang sana sini dengan hujah yang cetek. Bila orang suruh buat pembentangan tentang isu itu, jadi bacul dan penakut. Cuma harapkan ustaz-ustaz yang dijemput khas. Ke mana hala tuju kita sebenarnya?

Wacana-wacana kita kelihatan tidak seimbang. Negara luar sedang mempersiapkan senjata nuklear mereka dan teknologi coding. Hackers mereka semakin ramai. Kemudian, bila mereka menyerang negara Islam, kita meradang. Bila mereka berhenti serang, kita teruskan lagi perbalahan sesama kita. Hari-hari kita menanti bilalah model Ipad sekian sekian akan keluar. Model daripada Jepun dan Korea selalu kita harapkan tetapi kita masih kurang usaha menyiapkan dan mencipta model kita sendiri yang boleh menjadi kebanggaan kita pula pada orang-orang Korea dan Jepun.

 "What Most Schools Don't Teach"

Jika kita sibuk-sibuk mahu mengubah orang dewasa yang sudah keras kepala dan hati batu itu, mengapa kita tidak ambil pendekatan mengubah daripada bawah pula? Isu pendidikan jarang mahu ambil tahu sedangkan generasi bawah semakin hari semakin menuju kehancuran.

Kita tidak ada masa lagi untuk berkata, "Bukan semua orang berfikir seperti kamu." Jika itu yang dikata, jadi apa usaha yang kita lakukan? Duduk diam dalam bilik dan terus berfikir sendirian?

Mungkin kelihatan agak emosi di sini tetapi ia adalah apa yang terlintas di benak fikiran saya sendiri. Wacana-wacana intelektual kita sangat kurang lalu kita cuma mengharapkan barat untuk terus mengeluarkan idea dan produk-produk baru. Kita juga sangat kurang menulis dan membuat kajian perihal sains dan apakah kita masih boleh berbangga lagi dengan sistem pendidikan kita sekarang? Persoalan-persoalan ini sengaja saya tinggalkan agar kita terus berfikir dan berfikir. Mungkin isu pendidikan agak rare kerana jarang dibincangkan di pentas-pentas popular. Sama ada dalam motivasi pagi, Reset Minda hatta Pencetus Ummah (tak ada niat nak burukkan) sekalipun mungkin kita tidak pernah mendengarnya.

..........

Begitulah tujuan 'Sapere Aude' ini ditulis. Untuk mempersoalkan kembali apa-apa yang telah tersedia dan semoga ia tidak terhenti menjadi sekadar persoalan sahaja.

..........

"Apalah guna sekolah-sekolah didirikan jika tidak mengajar yang mana salah yang mana betul."

-Pramoedya Ananta Toer

No comments:

Post a Comment

Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...