Saturday, 22 November 2014

Travelog: DBP dan NICE

“Aduh, jalan sesak!” monologku sendirian. Perlawanan Akhir Piala Malaysia menyaksikan JDT bertemu dengan Pahang akan berlaku malam nanti. Jalan menuju ke Kuala Lumpur melalui susur masuk ke Bukit Jalil begitu sesak dipenuhi kebanyakan penyokong perlawanan kemuncak tersebut. Jam baru menunjukkan sekitar 3.00 petang tetapi penyokong-penyokong sudah mula berpusu-pusu masuk ke Stadium Bukit Jalil walaupun perlawanannya diadakan pada sebelah malam.

Menyesal pula tidak menggunakan KTM pada awalnya atau alternatif lain menggunakan lebuhraya di Cheras. Dah terperangkap dalam kesesakan sebegini sememangnya tak mampu nak buat apa-apa. Kadang saya redha. Adakalanya timbul kehairanan atas kegilaan bola ini. Dari kecil, pengetahuan saya tentang bola amat terbatas sekali. Saya tidak tahu apa-apa tentang bola justeru tidak pernah berminat akannya. Kalau orang katakan strategi bola itu bagus, saya fikir strategi perlawanan chess itu lebih menarik. Entahlah. Otak jenis muzium mungkin selalu berfikir begini.

Kira-kira 45 minit kemudian, barulah kami terlepas daripada kesesakan itu. Hati saya masih belum tenang kerana destinasi pertama kami adalah di Dewan Bahasa dan Pustaka yang terletak berhampiran dengan Stadium Merdeka. Pentas Stadium Merdeka hari ini pula menyaksikan kedatangan ahli Running Man, rancangan variasi paling popular di Korea dan mungkin juga di Asia. Hatiku berdebar-debar. Bimbang akan menyusahkan ayah lagi jika terperangkap dalam kesesakan.

Walaupun saya juga salah seorang peminat Running Man, tetapi saya sendiri tidak sanggup mengeluarkan belanja beratus ringgit semata-mata untuk bertemu dengan artis kesayangan, melihat mereka secara dekat serta mengambil gambar ‘selfie’ dengan mereka sebagai kenang-kenangan. Bagi saya, cukuplah dengan hanya mengagumi rancangan mereka ini yang telah menarik ramai orang dari luar negara untuk mencintai negara mereka. Ekonomi Korea Selatan secara tidak langsung bertambah baik terutama dari segi pelancongan dan hiburan. Strategi hebat inilah yang patut kita contohi disamping keunikan rancangan variasi ini yang begitu natural dengan tidak menggunakan sebarang skrip seperti kebanyakan rancangan yang lain.

Dewan Bahasa dan Pustaka

Kami selamat tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka tanpa menghadapi masalah kesesakan lalu lintas. Fokusku beralih kepada pencarian buku bertajuk “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” oleh Za’ba. Keinginanku untuk mendapatkan buku ini adalah untuk melawan teori yang dipegang sebelum ini. Teori yang kebelakangan ini saya rasakan terlindung disebaliknya kepura-puraan yang tidak pasti.

Malangnya hasratku terbantut sekali lagi. Kedai buku DBP tutup pada hari Sabtu. Sebelum ini sudah cuba beli secara online. Tapi sistem jual beli online di website Dawama seolah terhenti dan tidak boleh digunakan. Rupanya syarikat Dawama sudah ditutup dan diambil alih syarikat DBP sendiri. Maka berlakulah juga perubahan dalam sistem jual beli ini. Pernah juga saya terbaca tentang konflik Dawama ini yang telah gagal untuk memasarkan buku-buku mereka dan telah mengakibatkan kerugian yang besar. Harapnya konflik pengedar buku ini tidak begitu kerap terjadi. Khuatir keadaan sebegini akan melambatkan lagi proses penyampaian ilmu kepada masyarakat yang secara puratanya masih lemah dalam pengkajian ilmu.

Moga hasrat saya untuk mendapatkan buku karangan Za’ba itu terkabul di lain hari.

Potret pendeta Za'ba,


National Invention Conference and Exhibition (NICE)

Cuma sedikit yang dapat saya kongsikan berkenaan pameran ini kerana kelihatannya ia kurang meriah mungkin kerana pamerannya tidak begitu gah. Lagi pula, banyak program lain diadakan pada tarikh yang sama.

Niat saya ke sini pula tidak lain hanya untuk mencari bahan-bahan yang boleh membantu projek kajian saya dalam bidang kejuruteraan awam itu. Walaupun apa yang saya temui tidaklah begitu membantu projek kajian tersebut, sekurang-kurangnya pameran ini sedikit sebanyak dapat membuka mata saya kepada teknologi yang lahir dari bumi Malaysia ini. Bermula dari pameran peringkat sekolah menengah hinggalah ke peringkat profesional yang melibatkan syarikat-syarikat tempatan, kesemua pameran ini telah menunjukkan daya usaha mereka tersendiri dalam mewujudkan inovasi yang mampu memberi kebaikan terhadap pembangunan negara.

Cukuplah kita mengambil contoh negara Korea Selatan yang telah membangun dengan pesatnya biarpun beberapa dekad yang lalu, taraf kemiskinan mereka sama sahaja seperti negara Afrika yang masih mengalami masalah kebuluran. Begitu juga negara Jepun yang telah menggegarkan dunia dengan  kehebatan teknologi yang mereka ada.

Beberapa hari lalu, saya tertarik dengan komen seorang yang bernama Sami Seddiki di Facebook sewaktu menonton klip video kereta api laju di Jepun.

“Some countries like Japan chose economic development, technology and inventions, other countries chose to create wars in order to gain territories all over the world, wasting a lot of resources to spill blood, that's why they will be left behind in many areas.”

Sistem ini bukan tidak boleh diubah dengan perbincangan dari sudut politik. Adakalanya, setiap daripada kita harus berperanan teguh dalam bidang yang diceburi. Jika setiap orang memainkan peranannya dalam bidang masing-masing, sudah pasti negara akan seimbang dari pelbagai aspek.

Tidaklah nanti daripada orang biasa hingga ke orang politik asyik melahirkan keluhan yang berpanjangan. Sedangkan banyak aspek lain tidak diseimbangkan. Walaubagaimanapun, kesedaran politik dan mengetahui isu-isu semasa juga perlu ada supaya kita tidak beraksi bebal, dangkal dan sentiasa ‘sado’ dalam gelanggang sendiri. 

Moga kesedaran ini menjadi kesedaran kita bersama. Khuatir jika sejarah kita 50 tahun akan datang ditulis hanya dengan catatan pergaduhan tetapi sedikit pula mencatatkan kemajuan yang membanggakan.

Baiknya budi si mata sepet

Nampaknya saya telah tersilap tengok jadual. Disangkakan pameran itu akan tamat pada waktu malam rupanya tamat pada jam 5 petang. Usai solat di Surau Ar-Rahman dalam bangunan PWTC itu, kami bergegas ke parking kereta dan nampaknya kereta telah pun berbaris panjang menuju ke pintu keluar. “Aduh, bazir masa lagi!” Saya mengomel sendirian. Bertubi-tubi kekesalan saya bila melihat stesen LRT yang betul-betul berada beberapa meter dari bangunan PWTC. Apa boleh buat? Kalau nak menyesal, perlu menyesal pada perancangan segera dan mengejut ini.

Dalam kesabaran menanti giiliran tiba di pintu keluar, tiba-tiba saya terasa seperti ada orang menutup penutup corong minyak kereta. Bila lihat ke belakang, ada seorang lelaki muda berbangsa Cina tersenyum sambil mengangkat tangan. Syukur. Masih ada lagi manusia yang prihatin sepertinya. Walaupun dia seorang berbangsa Cina dan bukan beragama Islam.

Secara realitinya, tidak ada seorang manusia pun boleh dijadikan mangsa kepada kejahatan bangsa yang diwar-warkan orang lain yang tidak pasti juga akan kesahihannya. Jika pandangan itu pandangan yang sebaliknya, maka penilaian kita terhadap manusia jauh menyimpang daripada prinsip keadilan yang dipegang oleh semua agama. Seperti yang berlaku dalam masyarakat, masih ramai yang tidak berpuas hati terhadap bangsa yang berlainan. Ada sahaja cerita buruk yang mahu dikongsikan bagi menyuntik rasis dalam urat nadi masyarakat. Walhal sejak awal lagi kita telah bergantung antara satu sama lain. Biarpun sejarah ketika zaman British menyaksikan wujudnya pembahagian tempat antara kaum, namun itu sebenarnya bukanlah penghalang untuk kita bersatu di zaman ini. Lagi pula, pembahagian itu sepatutnya sudah lama lenyap ditelan dekad yang berlalu pergi.

Kalau kita hanya mengatakan Malaysia ini asalnya tanah orang Melayu mengikut pandangan sejarah, mana pula keadilan kita untuk mengakui hakikat sejarah awal bahawa candi tertua milik orang beragama hindu terletak di Lembah Bujang? Celah mana lagi mahu kita sorok bahawa Puteri Hang Li Po itu berkahwin dengan keturunan raja Melayu sendiri?

Tepuk dada, tanya hati.

Sama ada kita mahu terus hidup dengan membanggakan kaum sendiri.

Kaum lain seolah seronok untuk dicaci.

Adapun yang perlu kita hayati;

Perbezaan warna kulit tidak pernah menjadi asbab kepada hukum alam untuk kita saling membenci.

Tuesday, 28 October 2014

Travelog: Masjid Negara dan Festival Zine

Cuaca petang itu kelihatan mendung. Kami yang berada dalam kereta hanya menanti apa yang berlaku. Selalunya perjalanan dari Kajang ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa kira-kira dua puluh minit dengan menaiki kereta. Itupun jika tidak ada kesesakan lalu lintas. Di bahagian kota Kuala Lumpur, langit sudah gelap. Saya kira Kuala Lumpur sudah pun dibasahi hujan lebat. 

Semasa kami menghampiri pusat bandaraya, hujan turun dengan lebatnya. Di ‘curb’ jalan, air menderas laju memasuki ruang saliran yang berada di bawah permukaan jalan. Titisan-titisan air yang jatuh daripada langit ditampung oleh laluan sungai dengan banyaknya. Teringat saya semasa melalui kawasan Kuala Lumpur cuti raya haji lalu, saya lihat beberapa kawasan di sekitar Puduraya telah sedikit banjir. Kalau keadaan cuaca seperti itu berlaku dalam tempoh lebih kurang dua jam, kemungkinan Kuala Lumpur untuk banjir agak tinggi.

Ayah terus memandu hingga melepasi tol terowong SMART. Setiap kali Kuala Lumpur hujan dan banjir, saya pasti teringat terowong SMART ini dan pelik akan fungsi terowong SMART ini yang tidak begitu disebarluaskan selepas ia dibina. Antara sebab dan fungsi penubuhan terowong SMART adalah untuk mengawal banjir di Kuala Lumpur selain mengurangkan kesesakan lalu lintas. Terowong akan ditutup buat sementara waktu ketika hujan lebat dan air hujan yang banyak akan disalirkan ke dalam terowong ini. Projek yang menelan kos berbillion ringgit itu masih tidak nampak fungsinya pada kebolehan mengawal banjir. 

Sewaktu banjir berlaku kalau tidak silap pada tahun lepas, saya mempersoalkan perkara ini sendirian dan tercari-cari laporan yang menyebut tentang terowong SMART tetapi ternyata tidak dikeluarkan oleh mana-mana pihak. Yang ada cuma laporan berkenaan musibah yang berlaku. Terowong entah ke mana, banjir entah ke mana. Kecewa dengan senario sebegitu.



Pelancong Asing di Masjid Negara

Ketika kami sampai di Masjid Negara, hujan masih turun tetapi tidak selebat seperti waktu kami di tengah jalan tadi. Selesai berwuduk, kami menaiki tangga untuk ke ruang solat yang terletak di bahagian atas masjid. Pandangan saya tertangkap seketika pada sekumpulan pelancong asing yang tercegat berdiri di hadapan tempat masuk masjid.



Kelihatan penjaga masjid itu cuba untuk memahamkan pelancong-pelancong itu bahawa masjid hanya akan dibuka kepada pelancong non-muslim pada pukul 5.30 petang dengan sebab orang muslim sedang bersolat Asar. Jam di dinding ketika itu baru pukul 4.43 petang. Kasihan saya melihat mereka terpaksa berdiri di situ demi menanti pukul 5.30 petang. Terdapat palang yang menghalang mereka untuk masuk ke dalam masjid dan saya sedih melihat palang itu begitu sedikit memberikan ruang kepada mereka untuk berteduh. Kaki mereka beralaskan lantai basah kerana titisan hujan yang melebat. Ada antara mereka yang berpayung. Entah di mana kemesraan kita menyambut tetamu non-muslim untuk mengenali ajaran Islam ini dengan lebih dekat. Agaknya sebelum masuk ke dalam masjid lagi persepsi mereka terhadap Islam sudah kelihatan kurang meyakinkan.


Seni bina yang patut dipuji



Masjid Negara mula dibina pada tahun 1963 dan dibuka pada tahun 1965. Bumbung birunya yang paling besar berbentuk seperti payung yang sedang kembang manakala bentuk di atas menaranya yang berwarna putih berbentuk seperti payung yang sedang menguncup. Memang tidak dinafikan, seni bina Masjid Negara adalah antara seni bina yang menarik kerana reka bentuknya banyak mengekalkan ciri-ciri reka bentuk tempatan dan bukannya timur tengah seperti kebiasaan yang kita dapat lihat pada kebanyakan masjid sekarang.

Terdapat beberapa arkitek yang telah mengkritik reka bentuk kebanyakan masjid di Malaysia yang gemar meniru reka bentuk timur tengah yang menggunakan kubah sebagai ciri bumbung paling utama. Sedangkan masjid-masjid di nusantara pada awalnya tidak menggunakan kubah sebagai elemen utama bagi sesebuah masjid.

Masjid Negara juga dapat dipuji dari aspek kesederhanaan reka bentuk bangunannya yang nampak tidak begitu mewah sesuai dengan keadaan negara yang baru mencapai kemerdekaan pada waktu itu. Ruang solatnya sudah cukup memuatkan hampir 15000 orang jemaah dalam satu masa. Biarpun mempunyai reka bentuk yang sederhana, Masjid Negara tetap mempunyai daya tarikan dan berhasil menarik pelancong dan pelawat daripada luar negara termasuklah lawatan daripada Presiden Amerika Syarikat sendiri, Barack Obama pada April 2014 yang lalu.


Dataran Underground

Langit yang menangis lebat sudah mula reda. Air-air yang menderas laju di tepi jalan pula mulai surut lalu mengalir ke saliran-saliran buatan manusia. Jarak antara Masjid Negara dan Dataran Merdeka tidaklah begitu jauh. Hanya beberapa minit dengan melalui beberapa buah bangunan seperti Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang lama, Pejabat Pos Besar Malaysia dan Balai Polis Bukit Aman.
Jalan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad ditutup kerana berlangsungnya festival UNESCO. Walaupun menetap di Kajang, Dataran Merdeka bukanlah tempat lepak atau tempat yang selalu saya lawati menyebabkan saya tercari-cari Dataran Underground yang dikatakan terletak di Dataran Merdeka itu sendiri. Ternyata, Dataran Underground letaknya betul-betul di bawah Dataran Merdeka.



Semasa memasuki Dataran Underground, gerak geri manusia-manusia di situ serba sedikit saya perhatikan. Entah inikah yang dikatakan gaya atau trend indie, saya juga tidak begitu pasti. Apapun, sebelum melangkah ke sini lagi saya sudah membayangkan dan bersedia dengan pemandangan seperti ini. Tidak kisahlah jika diulang kembali sejarah, zine itu sendiri berasal daripada kumpulan punk yang memperjuangkan muzik mereka.

Ketika sampai di situ, ada seorang wanita bersama beberapa ahli band lain sedang membuat persembahan di atas pentas. Saya kurang pasti apakah itu suatu persembahan Puisi Muzikal seperti yang pernah saya lihat daripada persembahan penulis puisi dan penyanyi bernama Fynn Jamal itu. Apa yang saya tahu, persembahan sebegitu tetap ada untuk program tersebut. Persembahan di atas pentas tidak begitu saya hiraukan kerana saya sendiri kurang berminat dengan cara penyampaian puisi dengan cara itu dan lebih gemar mendengarkan puisi gaya lama atau klasik yang pada saya lebih menyentuh perasaan.

Fokus saya terus kepada lambakan zine dan buku indie. Pergerakan amat terbatas kerana orang terlalu ramai. Bunyi kuat daripada pembesar suara dan alatan muzik sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi untuk membaca buku dan zine yang ada. Tanpa berlengah, saya hanya mencapai zine yang bagi saya cukup sederhana dan simple. Buku pula saya ambil yang betul-betul sudah menjadi target untuk dimiliki bertajuk ‘Alif Lam Lam Ha’.




Kritikan ke atas Buku Indie

Terdapat beberapa pihak serta individu telah mengkritik buku indie atas beberapa sebab seperti buku indie ini membawa fahaman liberal, dikatakan buku indie karya syok sendiri, tidak menjaga kesantunan bahasa serta menyanggahi adab dan budaya masyarakat timur.

Bagi saya sendiri, apa pun karya tidak berhak untuk di’ban’ lebih-lebih lagi maksudnya jelas untuk mengawal pembacaan masyarakat. Seni itu sendiri bersifat subjektif dan setiap pengkarya bebas untuk mengekspresikan pandangan mereka dalam apa bentuk sekalipun. Apapun, bukanlah semua kritikan perlu ditepis tetapi perlu ditapis untuk menambah baik karya yang sedia ada.

Berkenaan fahaman liberal yang dikatakan muncul dalam buku-buku indie, kita perlu fahami satu persatu isu yang dikeutarakan yang dikatakan liberal itu. Tiada panduan yang kukuh dan jelas untuk meletakkan apa-apa label sekiranya pandangan kita sendiri tidak berdasarkan kajian serta menimbang tara perbezaan-perbezaan yang berlaku. Makanya kita tidak seharusnya bertindak melabel mana-mana karya sewenang-wenangnya apatah lagi dengan label yang buruk jika kajian kita hanya mengambil kira satu pendapat atau satu pihak dan kita sendiri taksub dengan pendapat yang kita pegang itu. Label gelaran seperti liberal bukanlah sesuatu yang boleh dicampak sesuka hati tanpa hujah yang kukuh seperti dalam artikel ‘Alif Lam Lam Ha’ yang dikatakan mengambil mudah dalam mempertahankan kalimah Allah. Walhal ulama juga berbeza pendapat akan hal ini. Mana mungkin label liberal juga boleh dilemparkan pada ulama yang seakan turut bersamaan pendapatnya dengan artikel tersebut?

Kritikan yang mengatakan karya indie daripada kelompok alternatif ini adalah syok sendiri juga adalah suatu perkara yang perlu dibincangkan. Saya merasakan setiap karya walaupun dikatakan syok sendiri, tetap mempunyai nilai dan sedikit sebanyak memberi impak kepada pembaca. Saya sendiri bukanlah seorang peminat tegar karya indie tetapi saya tetap menghormati karya-karya yang ditulis oleh penulis yang mungkin sahaja tidak tidur malam demi menyiapkan karyanya.

Bukan semua buku indie boleh dihitamkan dengan pandangan yang buruk ke atas nama penerbit kerana ada buku indie yang memberi kesan mendalam kepada saya serta memberi input berguna dalam memahami hal-hal semasa dengan bahasa yang kekal santun tetapi menusuk seperti buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’, ‘Pedagogi Bahasa Tertindas’ dan ‘La Adri’. Kerana itu kita tidak boleh menghukum lenggok karya buku indie sekiranya kita cuma menilai sisi negatifnya sahaja.



Sesetengah pihak terutama generasi muda merasakan penulisan buku indie lebih santai dan dekat dengan jiwa mereka. Setakat beberapa buah buku indie yang saya miliki, saya gemar dengan gaya persembahannya yang santai tetapi penuh isi. Kulit hadapannya juga tidak kurang menarik (smart and simple) jika hendak dibandingkan dengan buku-buku daripada penerbit buku bukan indie lain selain kebanyakan bukunya bersaiz sederhana kecil dan ringan. Bukankah ini merupakan daya penarik kepada orang ramai untuk memupuk minat membaca yang kian terhakis?


Pokok pangkalnya, tidak kisahlah kita hendak memilih bahan bacaan yang mana-mana pun. Seorang pembaca yang berani tidak akan duduk dalam zon selesa dan tetap cliché kerana hal ini hanya akan menyekat pemikiran mereka untuk berfikir dengan fikiran yang lebih terbuka serta memandang dengan pandangan yang lebih luas. Jika hendak diharamkan buku-buku indie yang dikatakan liberal itu, mengapa awal-awal lagi tidak diharamkan buku-buku berbahasa Inggeris yang terang-terangan membawa pendekatan liberal? Nah. Di sini boleh dinilai betapa pembacaan itu tidak boleh dihadkan atas nama keaslian perjuangan. Penulisan tidak salah dalam mengawal pemikiran tetapi orang yang membaca itu patut disalahkan kerana malas berfikir ketika membaca.

Monday, 1 September 2014

Enam



Kawasan pedalaman Siam itu dilitupi kanvas kedamaian. Bunyi kicauan burung yang jelas kedengaran menjadi penghibur sewaktu siang. Seolah-olah di situ tidak pernah berlaku kekecohan. Cara hidupnya masih kolot di mana orang-orang perempuan masih ke sungai membawa baldi untuk menyental kain dan orang-orang lelaki pula sebahagiannya ke hutan mencari kayu api dan sebahagiannya lagi berburu bagi mendapatkan daging yang enak-enak untuk dijadikan santapan keluarga.

Di celah-celah kehidupan masyarakat kampung ini, wujud suatu keluarga yang berlainan pekerjaannya daripada penduduk lain. Ketua keluarga ini juga merupakan ketua kepada penduduk di sini. Dia juga rancak mengusahakan bisnesnya di bandar. Namanya Bung Utami. Dia orang Indonesia beragama Kristian. Semua orang menghormati keluarga ini kerana mereka umpama pelindung mereka. Mereka punya kemahiran berlawan yang tinggi. Kalau pergi berburu, tidak pernah sekali pun mereka pulang dengan tangan kosong.

Walaupun keluarga ini dikira pendatang asing yang telah menetap selama 12 tahun di sini, tapi keluarga ini jugalah keluarga yang paling digeruni. Mungkin kerana sikap diktator keluarga ini membuat penduduk kampung tidak berani untuk melawan mereka. Kebetulan semasa keluarga ini baru berpindah ke sini, ketua kampung ini sedang tenat. Akhirnya ketua kampung itu memberi kepercayaan kepada Bung Utami untuk memerintah kampung ini. Lagipun ciri-ciri yang ada pada Bung Utami sudah cukup malahan amat sempurna untuk melayakkannya menjadi ketua meskipun dia berbangsa Indonesia. Kegagahan Bung Utami diakui sendiri oleh pahlawan yang hebat di kampung itu. Jika berbuat apa-apa kesalahan, Bung Utami si ketua tidak teragak-agak untuk melaksanakan hukuman terus di hadapan mata penduduk kampung.

Anak-anak Bung ada 4 orang dan kesemuanya lelaki. Ke mana ibu mereka tiada siapa yang tahu dan berani untuk mempersoalkan. Anak-anak lelaki ini kesemuanya dilatih seni berlawan oleh Bung dan penjaga-penjaga mereka. Kebiasaannya, latihan mereka dilanjutkan sehingga lewat malam. Anak-anak yang seramai 4 orang itu pula semuanya bersifat pasif dan tidak banyak bergaul dengan orang. Sifat agresif mereka hanya terserlah bila menjalani latihan berlawan.

“Bukk! Bukk! Bukk! Pakk!”

Kelihatan seorang daripada anak-anak lelaki itu yang bernama Sheptian sedang menjalani latihan. Sudah 3 jam dia berada di situ, menumbuk-numbuk dan menyepak-nyepak gaya sparring ke sebuah tiang gemuk yang dililit tali yang terpacak teguh di situ. Anak itu akhirnya berhenti. Membuka kain nipis yang membaluti tangannya. Luka-luka berserta darah memenuhi tangannya. Peluh yang membasahi dahi dikesatnya dengan lengan kanannya yang turut bermandi peluh.  

“Itu sajakah yang mampu kau buat?!!”

Tiba-tiba dia terdengar suara jeritan daripada belakangnya. Dia tersentak cemas. Matanya bulat. Dia terlepas kain nipis yang membaluti tangannya tadi akibat terlalu terkejut. Dia kenal benar suara itu. Suara itu adalah suara bapanya yang bernama Bung itu. Cepat-cepat dia membetulkan semula posisi badannya dan kembali menumbuk dan menyepak tiang tadi. Hujan tidak semena-mena turun pada waktu itu dan membasahi badannya yang sejak dari tadi sudah sedia dibasahi peluhnya sendiri. Dia menumbuk, menyepak, menumbuk, kemudian menyepak lagi..hinggalah tubuh berusia 10 tahun itu rebah dalam hujan yang lebat itu.  

***

Pada suatu malam, anak yang bernama Sheptian itu lari sebentar daripada rumahnya. Memandangkan bapanya keluar ke pekan kerana ada urusan, dia mengambil peluang itu untuk berjalan-jalan di sekitar kampungnya. Walaupun malam semakin pekat, dia tetap dapat merasakan keseronokan bila berpeluang berjalan-jalan seorang diri. Walaupun kampungnya biasa-biasa sahaja dan tidak ada apa yang menarik serta cuma banyak dikelilingi pokok sahaja, hatinya tetap bahagia. Dia langsung tidak mengejutkan abang-abangnya yang sedang lena dibuai mimpi kerana dia pasti abang-abangnya akan melarang keras tindakannya.

Sedang dia berjalan-jalan, dia ternampak sebuah pondok kecil yang telah usang. Lampu limpahnya masih menyala. Di sebalik kain yang menjadi tirai pondok itu, dia terlihat seorang wanita Siam sedang memangku dan mendodoi anaknya yang sedang lena di atas ribanya. Sheptian tertarik dengan pemandangan yang dilihatnya. Dia berasa cemburu terhadap budak yang kelihatan sama usia dengannya yang sedang tidur itu kerana masih mempunyai ibu yang menjaganya. Sedangkan dia sendiri tidak tahu ke mana ibunya pergi selama ini. Dia cuma boleh mengharap belas bapanya yang baran itu dan abang-abangnya yang dua kali lima seperti bapanya. Lama dia berdiri di situ sehinggakan perempuan Siam itu perasan akan kehadirannya.

“Hai budak! Ke marilah!” wanita Siam itu memanggilnya.

Sheptian terkejut dan terharu. Timbul keraguan dalam hatinya. Dia betul-betul tidak percaya dengan peluang ini.

“Betulkah?” dia bermonolog sendirian. Hatinya berbunga-bunga.

Tidak lama dia berkeadaan seperti itu. Dia tidak ragu-ragu lagi. Apa salahnya jika dia merasa peluang ini daripada seorang wanita yang mungkin boleh dia gelarkan ibu selepas ini. Lagipun wanita itu kelihatan ikhlas menawarkan. Lalu dia pun melurulah ke arah wanita itu. Diletakkan kepalanya di atas riba wanita itu. Wanita itu tetap meneruskan dodoian buat anaknya dan Sheptian yang kehausan belaian seorang ibu. Lama kelamaan, Sheptian pun tertidurlah di atas pangkuan wanita Siam itu. Bahagia sungguh dia. Tidak pernah dia merasakan kebahagiaan yang tidak terperi seperti itu. Lenanya juga terasa berlainan berbanding lenanya di rumahnya sendiri.

***

Malam seterusnya, Sheptian tidak ke mana-mana. Bapanya tidak ada di rumah tapi masih ada di kawasan kampung itu. Oleh itu, dia tidak berani untuk keluar seperti malam semalam. Dia meneruskan latihannya seorang diri. Setelah penat berlatih, dia menuju ke dapur kerana dahaga.

Dalam perjalanannya ke dapur, dia terpandang bangsal usang di hujung kawasan rumahnya. Dari dulu dia tertanya-tanya apakah yang ada di dalam bangsal itu. Tapi bapanya melarang keras anak-anaknya daripada menghampiri bangsal tersebut. Jika sudah dilarang, bermakna tiada siapa boleh membantah. Kalau dilanggar juga larangan itu, alamatnya latihan yang lebih teruk akan dikenakan.

Sifat ingin tahu dan kepala batu Sheptian sedikit demi sedikit membawa langkahnya menghampiri bangsal usang yang sama sekali tidak punya sebarang cahaya itu. Bangsal itu cuma ada satu pintu kayu yang besar dan ia dikunci dengan sebuah mangga yang antik. Daun tingkapnya ada dua dan cerminnya menjadi legap akibat habuk yang menebal di situ. Semakin Sheptian menghampiri bangsal itu semakin telinganya yang cukup peka itu tidak mendengar apa-apa pergerakan. Senyap dan sunyi. Itu bermakna tindakannya juga makin selamat bila berkeadaan begitu. Dia menoleh beberapa kali ke kawasan sekelilingnya untuk memastikan tiada siapa yang memerhatikannya. Perasaan ingin tahunya membuak-buak bila dia sudah sampai di muka pintu bangsal itu. Dia meneliti setiap inci bangsal itu hinggalah pandangannya tertumpu pada daun tingkap yang agak rapuh itu. Tangannya menjalar ke beberapa sudut tingkap itu. Dia cuba menekan-nekan kayu tingkap itu hinggalah tiba-tiba tingkap yang rapuh itu terbuka dengan sendirinya. Rupa-rupanya kunci tingkap itu tidak boleh lagi mencengkam kayu yang telah rapuh itu. Tingkap itu dikuak sedikit oleh Sheptian. Dia meninjau keadaan dalam bangsal itu. Gelap. Diambilnya lighter yang terselit dalam tali yang melilit pinggangnya. Dinyalakannya dan melimpahlah cahaya di dalam bangsal itu.

Kelihatannya tidak ada apa yang begitu menarik dalam bangsal itu. Yang ada cuma barang-barang lusuh dan lama. Barang-barang yang tidak tersusun itu kelihatannya seperti memori lama yang sudah ditinggalkan dan tempoh ia ditinggalkan boleh dijangka dalam lebih kurang 5 tahun begitu.  Dia tertarik dengan barang-barang lama itu. Tidak puas hati dia dengan apa yang dilihatnya, dia menyusup masuk ke dalam bangsal itu bertemankan cahaya lighter yang ada di tangannya. Kebimbangan akan tindakannya yang boleh diketahui ditutup oleh keinginannya untuk tahu yang meluap-luap.

Bangsal yang berdindingkan dan berlantaikan kayu itu diterokanya dengan penuh hati-hati. Sawang-sawang dan sarang lelabah yang menghalangnya ditepisnya lembut. Dia membuka satu persatu almari yang berada di situ. Sehinggalah tiba dia pada sebuah almari yang mengandungi beg sekolah berwarna biru yang kelihatan masih elok. Dia seakan-akan masih ingat akan beg sekolah itu. Tanpa berlengah dia membuka zip beg itu dan kelihatan beberapa buku dan alat tulis yang juga masih kelihatan elok. Diperhatikannya segala barang-barang yang ada dalam beg itu satu persatu. Dia juga menyeluk poket kecil yang ada dalam beg itu dan ternyata ada sekeping foto yang gambarnya agak kekuningan. Ditenungnya dalam-dalam foto itu. Dia melihat dirinya ada dalam foto itu bersama 3 orang lagi insan yang kurang dikenalinya. Seorang lelaki bersama seorang perempuan yang sedang mendukungnya. Seorang lagi adalah budak lelaki kecil yang berdiri di tengah-tengah.

“Pakk!!” dentuman kuat kedengaran pada pintu bangsal itu. Sheptian tersentak dan lighter yang dipegang 
terlepas dari genggamannya. Tubuhnya mula menggigil.

“Pakkk!!!” akhirnya pintu itu terbuka luas. Cahaya dari luar sedikit sebanyak memasuki bahagian dalam bangsal itu. Sheptian yang masih tidak berganjak itu disuluh tepat oleh cahaya lampu suluh yang dipegang oleh bapanya yang bengis itu. Sheptian menyembunyikan tangan kanannya yang sedang memegang foto yang baru dijumpai tadi ke belakang tubuhnya.

“Apa kau buat hahh??!!” bapanya menengking. Sheptian diam seribu bahasa. Kepalanya tunduk.

Bapanya mengangkat tangan kanannya kasar. Dirampasnya foto yang berada di tangannya dan dilihatnya sepintas lalu.

“Itu..ii..ibuu saya?” tergagap-gagap Sheptian bertanya.

“Tidak! Ibu kau dah mati! Kau kena lupakan dia!” serentak itu bapanya mengoyak-ngoyakkan foto itu di hadapannya. Hancur luluh hatinya. Dia tersedu sedan menangis sambil mengutip cebisan foto itu.

Dia kemudiannya meluru ke pintu bangsal itu dan keluar darinya. Dia berlari menuju ke arah ladang getah di tepi bangsal itu sambil menangis semahu-mahunya. Tangannya masih kuat menggenggam cebisan foto yang dikoyakkan bapanya tadi. Sebelah tangannya lagi menyeka air matanya yang keluar tidak henti-henti. Dia sudah tidak peduli lagi. Hatinya yang remuk itu perlu dibawa lari jauh daripada hati bapanya yang penuh daki benci itu. Dia terus berlari dan berlari membawa hatinya yang pilu hinggalah dia rasa sudah tidak berdaya lagi lalu tersungkurlah dia ke atas lantai ladang yang gelap itu. Esakkannya makin kuat namun tidak ada siapa yang mendengarnya.

Sunday, 24 August 2014

Lima



Matanya celik. Haslina merenung sekeliling. Benarlah dia berada di hospital sekarang. Dilihatnya dalam bilik yang dia ditempati itu tiada sesiapa kecuali suaminya. Suaminya yang sedang memberi senyuman kepadanya. Senyuman penawar. Senyuman penguat. Haslina turut tersenyum jua. Tapi senyuman Haslina senyuman duka. Wajahnya terpalit kesedihan. Jauh di dalam senyuman itu, cahaya kebahagiaan yang sementara itu pun terbitlah.

Meski mata mereka bertemu, mereka tidak mengucapkan sepatah kata. Masing-masing melemparkan senyuman yang mempunyai cerita tersendiri. Lama dua insan ini terkaku. Seolah-olah mengimbau kembali kenangan yang lalu. Entah kenapa, Haslina sebak tetapi dia cuba menahan air matanya daripada gugur. Dia tidak mahu insan yang berada di hadapannya itu gusar. Biarlah senyuman orang di hadapannya itu senyuman ikhlas, yang bilamana dia melihatnya, kesakitan yang dirasakannya itu boleh beransur-ansur hilang. Bukan senyuman simpati yang boleh mengundang sedih hati.

Tapi mimpi takkan mampu selamanya hadir dalam alam realiti. Bayang suaminya hilang sedikit demi sedikit. Pada masa itulah gugur air matanya melihat orang yang dicintai itu pergi. Hatinya berat untuk melepaskan. Senyumannya makin lama makin pudar. Habis seluruh bayang hilang, dia termenung sendirian. Sebelum ini, hatinya bulat-bulat sudah redha. Tapi bila berlaku mimpi seperti ini, kesedihannya datang lagi kerana insan yang pergi itu seolah-olah telah membawa bersama separuh daripada jiwanya. 
Kehendak Ilahi, tiada siapa boleh sangka.  

Haslina memandang ke luar pintu. Tiada sesiapa. Dibawa pula pandangannya ke arah jendela. Gelap. Nampaknya hari sedang malam.

“Patutlah tak ada orang.” dia bermonolog sendirian.

Dia tidak mahu lagi melelapkan mata. Dia rasa sudah terlalu lama dia tidur. Dia cuba bangun.

“Arkk!” tiba-tiba dia terjerit kecil.

Tubuhnya tak mampu bangun. Ada kesakitan yang mencucuk bahagian perutnya ketika dia mahu bangun tadi. Dia merebahkan semula badannya. Tidak mahu dia memudaratkan tubuhnya sendiri. Kalau sakit, dia tak mahu memaksa-maksa. Mungkin ini ujian daripada-Nya supaya dia berehat sebentar daripada menghadapi kegilaan dunia.

Kekk!

Pintu bilik itu dikuak. Kemudian pintu itu tertutup kembali. Terkejut besar dia melihat susuk tubuh yang datang ke biliknya itu.  

“K..kaauu buat apa di sini?” nadanya cemas.

Dilihatnya tangan orang itu berbalut kain putih. Kejadian yang berlaku malam itu menerpa kembali ke dalam ingatannya. Wajah orang itu masih dia ingati dan orang itu adalah Azad.

“Kenapa? Aku tak boleh ada di sini? Kau takut?” orang itu membalasnya dengan pertanyaan lagi.

Remuk hatinya. Rasanya mahu dia menyiat-nyiat orang yang di hadapannya. Orang yang telah menyebabkan suaminya pergi. Orang yang telah memerangkap anaknya. Orang yang gilakan harta daripada wang tebusan. 
Hatinya meronta. Geram!

“Kau jahat!” dia meluahkan apa yang terbuku walau dia tahu tak sepatutnya dia berkata begitu. Sebelum ini, tak pernah dia mengherdik orang sebegitu. Entah kenapa, geram sekali dia dengan lelaki itu.

“Kenapa? Tak suka ada orang macam aku? Jahat? Hahaha!” cepat-cepat orang yang bernama Azad itu menyambung.

“Manusia. Bila dah senang dengan fantasi, diberi kesusahan, diuji apa yang tak pernah terbayang mata, gelabah! Pengecut! Hei perempuan! Kalau bukan sebab aku, kau takkan dapat tengok anak kau lagi! Aku yang bawa dia lari dari kumpulan aku! Beri pada kau! Supaya kau senang. Aku pun senang. Dapat duit, aku blah! Tapi engkau! Engkau yang panggil polis! Engkau khianat aku!” dia merenung tajam Haslina.

“Lepas ini, hidup aku akan dipenuhi kesusahan yang teruk lagi! Ini semua disebabkan engkau! Dahlah duit aku tak dapat. Aku jadi buruan. Nak saja aku bunuh kau! Tapi aku tak mahu! Kau patut rasa beruntung!” dia menghabiskan kata-kata terakhir.

Azad bergegas ke arah tingkap. Dikuaknya daun tingkap itu luas-luas. Dia mula memanjat. Kelihatannya dia sudah bersedia untuk lari dari situ.

“Tunggu!” Haslina tiba-tiba menghentikan apa yang berlaku.

Azad menoleh.

“Tunggu!”

Azad masih di situ. Tidak berganjak. Menanti kata-kata daripada yang menghenti. Haslina kembali menyambung percakapannya.

“Aku nak bercakap lagi dengan engkau!”

“Kata-kata selepas ini melalui tulisan. Kasi SMS. Aku kena pergi sekarang!”

Serentak itu, Azad terus hilang dari pandangan mata. Kelihatannya dia seperti telah terjun daripada bangunan itu. Haslina yakin. Penjahat seperti itu bukan calang-calang. Watak penjenayah hebat seperti dalam filem-filem aksi tak mustahil boleh wujud di alam realiti.

Kekk!

Pintu bilik itu dikuak lagi tepat-tepat setelah Azad hilang dari bayangan mata.  

“Eh Ina! Dah sedar kau? Syukur alhamdulillah.” Mak Imah terus menerpa Haslina yang terbaring. Dipeluknya Haslina. Nabil juga ada di situ.

“Mak Imah dengan Nabil pergi mana tadi?”

“Mak Imah pergi beli roti sikit untuk Nabil ni haa. Nabil sejak kau sakit tak lalu makan sangat. Jadi Mak Imah beli makanan yang ringan-ringan saja untuk dia. Asal makanan itu dia suka.”

“Lah..Nabil, kenapa Nabil tak makan?”

Nabil merenung wajah ibunya seketika. Betapa dia telah menunggu ibunya untuk bangun selama beberapa hari ini. Akhirnya dia sendiri yang mendapatkan ibunya.

“Nabil rindu ibu!” dipegang tangan ibunya. Dia mula menangis. Haslina juga menangis. Walaupun Nabil masih boleh melihat ibunya yang terbaring di atas katil, dia masih rindu bicara ibunya, ketawa ibunya, cerita-cerita ibunya. Sudah lama dia tidak mendengarnya. Sejak pagi sebelum dia diculik. Semasa dia diculik, dia malah merindui lagi. Namun, dalam jiwanya, masih terbuku suatu pertanyaan yang masih belum berjawab.

Mak Imah menutup jendela yang dibuka Azad tadi.

“Luasnya tingkap ini dibuka. Mak Imah tutup sikit ya. Hari macam nak hujan.”

Nurse tadi lalu. Ina yang minta bukakan. Nak rasa angin luar.” Haslina tak mahu Mak Imah tahu tentang kehadiran Azad tadi.

Nurse ni pun satu. Ina dah sedar tapi tak bagi tahu Mak Imah pun. Dia ingat Mak Imah ni tugu duduk dekat sini 3 hari 3 malam?”

“Agaknya ada kerja lainlah tu Mak Imah.” Haslina cuba menghilangkan curiga Mak Imah kalau-kalau ada.

“Lama juga saya tak sedarkan diri ya Mak Imah? Hmm..”

“Ibu..ayah mana?” terpacul akhirnya pertanyaan itu daripada mulut si anak kecil itu. Rupanya Nabil masih belum tahu. Walaupun Nabil ada bertanya pada Mak Imah, Mak Imah sendiri tidak mampu menjawabnya. Dia menyerahkan kepada Haslina persoalan itu.

Haslina diam seketika. Dia melihat wajah Nabil. Redup sahaja pandangan mata anaknya itu. Nabil masih mengharap jawapan. Haslina menghela nafas. Dia tabahkan hati dan menyusun kata satu persatu.

“Nabil, lepas ini cuma ada Nabil dan ibu saja. Nabil kena kuat. Nabil jangan risau. Lepas ini ayah takkan ada di dunia sahaja. Tapi di akhirat nanti insya Allah kita boleh jumpa ayah semula. Kita doa sama-sama ya sayang. Nabil, jadi anak yang baik ya.”

Haslina mengharap anaknya faham dengan apa yang cuba dia sampaikan. Hatinya juga terasa sebak tapi dia tidak mahu menangis di hadapan anaknya. Dia tahu kalau dia menangis, itu akan menambah kekecewaan di hati anaknya itu.

Nabil tidak berkata apa-apa. Dia diam. Wajahnya tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Dia seperti sedang berfikir. Entah apa yang difikirnya. Hanya Allah sahaja yang tahu.

“Nabil? Kita jumpa ayah di akhirat ya sayang. Nabil doa ya?” Haslina menggenggam erat tangan anaknya. Dia risau melihat anaknya begitu.

“Insya Allah bu..” ringkas sahaja jawapan Nabil. Tapi begitulah dia. Kadang kelakuannya bukan seperti anak-anak biasa. Pemikirannya terlihat lebih matang daripada kanak-kanak yang seusia dengannya.  Haslina ingin memeluk Nabil bagi menenangkan lagi anaknya itu. Tapi…

“Arkk!” abdomennya terasa sakit lagi bila dia cuba bangun.

“Ibu!” Nabil menjerit.

“Jangan bangun Ina. Luka kau tu belum elok lagi!” Mak Imah cuba melarang.

“Ya..ya..Mak Imah. Aduh! Agaknya peluru itu tembus dalam juga ya Mak Imah?”

“Ya. Tapi syukurlah kau masih selamat. Mak Imah dah cukup-cukup gembira tengok kau sedar tadi.”

“ADA PENJENAYAH LARI! ADA PENJENAYAH LARI!” tiba-tiba ada orang menjerit di luar bilik.

Nampaknya pihak hospital baru tersedar akan kehilangan Azad. Azad sungguh licik lari tanpa meninggalkan jejak. Tingkap bilik yang terkuak luas di bilik Haslina itu pun sebenarnya boleh menjadi bahan bukti. Tapi Haslina tidak mahu pihak polis tahu. Ada sesuatu yang membuatnya terhutang budi dengan Azad.

Pihak polis terus mencari Azad di sekeliling bangunan tapi bagi orang seperti Azad, carilah dia macam mana sekalipun. Dia tetap dapat lari tanpa ada orang dapat melihat bayangnya. Skilnya lebih hebat dari polis. Dia telah lebih dahulu melalui latihan yang lebih teruk daripada latihan yang anggota polis lalui.

***
Haslina merenung ke atas siling. Dilihatnya kipas di atas siling itu berpusing perlahan. Mak Imah yang memperlahankannya tadi kerana suhu malam itu sejuk sekali. Hujan di luar turun tak henti-henti. Haslina merasakan keadaan keluarganya begitulah sejak kebelakangan ini. Gelap, suram, sedihnya seperti awan yang menitiskan airnya yang banyak dan tak berhenti. Haslina terima semua ini. Dia tahu Allah tidak memberinya ujian yang tidak mampu dia tanggung. Dia pasti ada hikmah yang berlindung di sebalik semua ini.

Haslina mencapai beg tangannya di atas meja di tepi katilnya. Dia bertindak hati-hati supaya tidak terjatuh apa-apa barang yang boleh mengganggu anaknya yang sedang tidur di sisinya. Mak Imah yang tidur di atas kerusi juga tidak mahu dia kejutkan. Meskipun abdomennya masih sakit, dia cuba menahannya semampu boleh. Akhirnya, usahanya berbaloi.


Dia mendapatkan telefon bimbitnya dari dalam beg itu.


“Ish, susahnya nak mesej guna SMS ni! Nak call, takut dia marah pula.” getus hatinya.


Ditaipnya juga mesej yang hendak disampaikannya pada Azad.


Salam. Pertama sekali, aku ingin mengucap maaf atas keterlanjuran kata-kataku. Aku sebenarnya buntu dengan situasi yang berlaku. Aku tidak tahu apa yang engkau maksudkan dengan cuba menyelamatkan anak aku. Jika begitu murni niat kau, aku ucapkan berbanyak  terima kasih. Aku hargainya kerana dia satu-satunya anak yang aku ada.” Haslina cuba meringkaskan mesej yang ditulisnya.


Durr! Durr!


Telefon Azad bergetar bila mesej Haslina masuk. Azad terpisat-pisat membuka matanya dan melihat mesej yang diterimanya.


“Ahh..” dia mendengus dan tidur semula. Terasa malas dia hendak membalas mesej tersebut. Lebih-lebih lagi orang yang menghantar mesej itulah yang telah menyebabkan tangannya cedera dan kesakitannya masih dirasainya sampai sekarang.


“Kalau anak kau tak dapat jumpa kau, 20 tahun lagi dia jadi macam aku. Heh! Heh! Heh!” dalam keadaan separuh sedar, Azad mengomel dan ketawa terkekeh-kekeh.


Akhirnya Azad lena tidur dalam komuniti gelandangan di ibu kota. Adakalanya dia suka membawa diri ke kawasan gelandangan kerana banyak yang dapat dia belajar tentang erti kehidupan. Di situlah juga terdetik pada hati dia untuk melakukan perubahan dalam hidupnya. 




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...