“Aduh, jalan sesak!” monologku sendirian. Perlawanan Akhir Piala Malaysia
menyaksikan JDT bertemu dengan Pahang akan berlaku malam nanti. Jalan menuju ke
Kuala Lumpur melalui susur masuk ke Bukit Jalil begitu sesak dipenuhi
kebanyakan penyokong perlawanan kemuncak tersebut. Jam baru menunjukkan sekitar
3.00 petang tetapi penyokong-penyokong sudah mula berpusu-pusu masuk ke Stadium
Bukit Jalil walaupun perlawanannya diadakan pada sebelah malam.
Menyesal pula tidak menggunakan KTM pada awalnya atau alternatif lain
menggunakan lebuhraya di Cheras. Dah terperangkap dalam kesesakan sebegini
sememangnya tak mampu nak buat apa-apa. Kadang saya redha. Adakalanya timbul
kehairanan atas kegilaan bola ini. Dari kecil, pengetahuan saya tentang bola
amat terbatas sekali. Saya tidak tahu apa-apa tentang bola justeru tidak pernah
berminat akannya. Kalau orang katakan strategi bola itu bagus, saya fikir
strategi perlawanan chess itu lebih menarik. Entahlah. Otak jenis muzium
mungkin selalu berfikir begini.
Kira-kira 45 minit kemudian, barulah kami terlepas daripada kesesakan itu.
Hati saya masih belum tenang kerana destinasi pertama kami adalah di Dewan
Bahasa dan Pustaka yang terletak berhampiran dengan Stadium Merdeka. Pentas
Stadium Merdeka hari ini pula menyaksikan kedatangan ahli Running Man,
rancangan variasi paling popular di Korea dan mungkin juga di Asia. Hatiku
berdebar-debar. Bimbang akan menyusahkan ayah lagi jika terperangkap dalam
kesesakan.
Walaupun saya juga salah seorang peminat Running Man, tetapi saya sendiri
tidak sanggup mengeluarkan belanja beratus ringgit semata-mata untuk bertemu
dengan artis kesayangan, melihat mereka secara dekat serta mengambil gambar ‘selfie’
dengan mereka sebagai kenang-kenangan. Bagi saya, cukuplah dengan hanya
mengagumi rancangan mereka ini yang telah menarik ramai orang dari luar negara
untuk mencintai negara mereka. Ekonomi Korea Selatan secara tidak langsung bertambah
baik terutama dari segi pelancongan dan hiburan. Strategi hebat inilah yang
patut kita contohi disamping keunikan rancangan variasi ini yang begitu natural
dengan tidak menggunakan sebarang skrip seperti kebanyakan rancangan yang lain.
Dewan Bahasa dan Pustaka
Kami selamat tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka tanpa menghadapi masalah
kesesakan lalu lintas. Fokusku beralih kepada pencarian buku bertajuk “Perangai
Bergantung Kepada Diri Sendiri” oleh Za’ba. Keinginanku untuk mendapatkan buku
ini adalah untuk melawan teori yang dipegang sebelum ini. Teori yang
kebelakangan ini saya rasakan terlindung disebaliknya kepura-puraan yang tidak
pasti.
Malangnya hasratku terbantut sekali lagi. Kedai buku DBP tutup pada hari
Sabtu. Sebelum ini sudah cuba beli secara online. Tapi sistem jual beli online
di website Dawama seolah terhenti dan tidak boleh digunakan. Rupanya syarikat
Dawama sudah ditutup dan diambil alih syarikat DBP sendiri. Maka berlakulah
juga perubahan dalam sistem jual beli ini. Pernah juga saya terbaca tentang
konflik Dawama ini yang telah gagal untuk memasarkan buku-buku mereka dan telah
mengakibatkan kerugian yang besar. Harapnya konflik pengedar buku ini tidak
begitu kerap terjadi. Khuatir keadaan sebegini akan melambatkan lagi proses
penyampaian ilmu kepada masyarakat yang secara puratanya masih lemah dalam pengkajian
ilmu.
Moga hasrat saya untuk mendapatkan buku karangan Za’ba itu terkabul di lain
hari.
Potret pendeta Za'ba, |
National Invention Conference and Exhibition (NICE)
Cuma sedikit yang dapat saya kongsikan berkenaan pameran ini kerana
kelihatannya ia kurang meriah mungkin kerana pamerannya tidak begitu gah. Lagi
pula, banyak program lain diadakan pada tarikh yang sama.
Niat saya ke sini pula tidak lain hanya untuk mencari bahan-bahan yang
boleh membantu projek kajian saya dalam bidang kejuruteraan awam itu. Walaupun
apa yang saya temui tidaklah begitu membantu projek kajian tersebut,
sekurang-kurangnya pameran ini sedikit sebanyak dapat membuka mata saya kepada
teknologi yang lahir dari bumi Malaysia ini. Bermula dari pameran peringkat
sekolah menengah hinggalah ke peringkat profesional yang melibatkan
syarikat-syarikat tempatan, kesemua pameran ini telah menunjukkan daya usaha
mereka tersendiri dalam mewujudkan inovasi yang mampu memberi kebaikan terhadap
pembangunan negara.
Cukuplah kita mengambil contoh negara Korea Selatan yang telah membangun
dengan pesatnya biarpun beberapa dekad yang lalu, taraf kemiskinan mereka sama
sahaja seperti negara Afrika yang masih mengalami masalah kebuluran. Begitu
juga negara Jepun yang telah menggegarkan dunia dengan kehebatan teknologi yang mereka ada.
Beberapa hari lalu, saya tertarik dengan komen seorang yang bernama Sami
Seddiki di Facebook sewaktu menonton klip video kereta api laju di Jepun.
“Some countries like
Japan chose economic development, technology and inventions, other countries
chose to create wars in order to gain territories all over the world, wasting a
lot of resources to spill blood, that's why they will be left behind in many
areas.”
Sistem ini bukan
tidak boleh diubah dengan perbincangan dari sudut politik. Adakalanya, setiap
daripada kita harus berperanan teguh dalam bidang yang diceburi. Jika setiap
orang memainkan peranannya dalam bidang masing-masing, sudah pasti negara akan seimbang dari pelbagai aspek.
Tidaklah nanti daripada orang biasa hingga
ke orang politik asyik melahirkan keluhan yang berpanjangan. Sedangkan banyak
aspek lain tidak diseimbangkan. Walaubagaimanapun, kesedaran politik dan
mengetahui isu-isu semasa juga perlu ada supaya kita tidak beraksi bebal,
dangkal dan sentiasa ‘sado’ dalam gelanggang sendiri.
Moga kesedaran ini menjadi kesedaran kita bersama. Khuatir jika sejarah kita 50 tahun akan datang ditulis hanya dengan catatan pergaduhan tetapi sedikit pula mencatatkan kemajuan yang membanggakan.
Baiknya budi
si mata sepet
Nampaknya saya telah
tersilap tengok jadual. Disangkakan pameran itu akan tamat pada waktu malam
rupanya tamat pada jam 5 petang. Usai solat di Surau Ar-Rahman dalam bangunan
PWTC itu, kami bergegas ke parking kereta dan nampaknya kereta telah pun berbaris
panjang menuju ke pintu keluar. “Aduh, bazir masa lagi!” Saya mengomel
sendirian. Bertubi-tubi kekesalan saya bila melihat stesen LRT yang
betul-betul berada beberapa meter dari bangunan PWTC. Apa boleh buat? Kalau nak
menyesal, perlu menyesal pada perancangan segera dan mengejut ini.
Dalam kesabaran
menanti giiliran tiba di pintu keluar, tiba-tiba saya terasa seperti ada orang
menutup penutup corong minyak kereta. Bila lihat ke belakang, ada seorang
lelaki muda berbangsa Cina tersenyum sambil mengangkat tangan. Syukur. Masih
ada lagi manusia yang prihatin sepertinya. Walaupun dia seorang berbangsa Cina
dan bukan beragama Islam.
Secara realitinya,
tidak ada seorang manusia pun boleh dijadikan mangsa kepada kejahatan bangsa
yang diwar-warkan orang lain yang tidak pasti juga akan kesahihannya. Jika
pandangan itu pandangan yang sebaliknya, maka penilaian kita terhadap manusia
jauh menyimpang daripada prinsip keadilan yang dipegang oleh semua agama.
Seperti yang berlaku dalam masyarakat, masih ramai yang tidak berpuas hati
terhadap bangsa yang berlainan. Ada sahaja cerita buruk yang mahu dikongsikan
bagi menyuntik rasis dalam urat nadi masyarakat. Walhal sejak awal lagi kita
telah bergantung antara satu sama lain. Biarpun sejarah ketika zaman British
menyaksikan wujudnya pembahagian tempat antara kaum, namun itu sebenarnya
bukanlah penghalang untuk kita bersatu di zaman ini. Lagi pula, pembahagian itu
sepatutnya sudah lama lenyap ditelan dekad yang berlalu pergi.
Kalau kita hanya
mengatakan Malaysia ini asalnya tanah orang Melayu mengikut pandangan sejarah,
mana pula keadilan kita untuk mengakui hakikat sejarah awal bahawa candi tertua
milik orang beragama hindu terletak di Lembah Bujang? Celah mana lagi mahu kita
sorok bahawa Puteri Hang Li Po itu berkahwin dengan keturunan raja Melayu
sendiri?
Tepuk dada, tanya hati.
Sama ada kita mahu terus hidup dengan membanggakan kaum sendiri.
Kaum lain seolah seronok untuk dicaci.
Adapun yang perlu kita hayati;
Perbezaan warna kulit tidak pernah menjadi asbab kepada hukum alam untuk kita saling membenci.
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)