Dalam artikel ini akan saya ulas serba sedikit mengenai
peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tahun 2014. Walaupun beberapa rancangan
di televisyen telah melakukan imbasan tahun 2014, saya tetap mahu menulis dan
menyatakan pandangan daripada perspektif sendiri.
Bagi saya, tahun 2014 adalah tahun yang dipenuhi duka
berbanding suka. Kerana 2014, kita telah melalui banyak peristiwa sedih dan
perit untuk diterima tetapi tetap tidak boleh dinafikan janji Allah bahawa
setiap yang terjadi itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Akan pergilah tahun
2014 ini dengan membawa kenangan dan cerita duka lara rakyat Malaysia dan akan
tertinggalnya ibrah yang patut dipelajari dan diteladani setiap daripada kita.
Dramatiknya tahun 2014 merekodkan sejarah dalam
kurun yang panjang dengan izin-Nya dan semoga peristiwa-peristiwa ini
menjadi batu lonjakan buat kita mencari dan menggunapakai kebenaran ke arah
kelangsungan hidup yang sempurna.
Peristiwa Pesawat
MH370
Tidak banyak yang boleh dikongsikan berkenaan
peristiwa pesawat ini kerana saya sendiri bukanlah seorang yang pernah berkecimpung
dalam bidang ini. Cumanya peristiwa kehilangan pesawat MH370 yang telah hilang sejak
9 bulan yang lalu masih menjadi persoalan, tanda tanya sekaligus masih berbekas
dalam denyut nadi rakyat Malaysia.
9 bulan lalu, dunia digemparkan dengan kehilangan
pesawat yang hingga kini masih belum ditemui. Media-media antarabangsa pada
waktu itu turut membuat liputan meluas dan perkara ini telah mendapat simpati pelbagai
pihak. Segala jentera berteknologi tinggi, tenaga serta masa telah dikerahkan
sehabisnya serta turut dibantu oleh negara-negara luar.
Dalam kekalutan peristiwa ini, muncul pelbagai teori daripada
ramai individu. Namun hingga kini, teori-teori itu hanya tinggal teori dan tidak ramai lagi
yang ingin mengulas mengenainya. Isu kehilangan pesawat ini juga menyelitkan elemen-elemen
politik yang menjadi bahan ejekan rakyat apabila wujud jalinan unik antara
kerajaan Malaysia dan China melalui binatang comel bernama panda.
Apa yang diharapkan sekarang adalah pesawat yang
terbang daripada Malaysia ke Beijing itu ditemui dan barulah teori-teori yang
dicetuskan boleh digunapakai. Khabarnya, misi pencarian MH370 akan tamat pada
bulan Mei 2015 dan kita hanya mampu menanti apa jua berita sambil tidak putus
berdoa dan mengharapkan yang terbaik.
MH17
Ketika negara mulai reda dengan kekecohan kehilangan
pesawat MH370, sekali lagi kita dikejutkan dengan peristiwa MH17 ditembak jatuh
di Ukraine. Peristiwa ini lebih tragis kerana pesawat ini jelas mengorbankan
kesemua penumpang yang berada di dalamnya. Sekali lagi, syarikat penerbangan
Malaysia Airlines (MAS) terpaksa akur dan tunduk dengan ujian yang paling
memberi kesan kepada mereka.
Kerana turut terkesan dengan peristiwa ini, aku telah
menulis sebuah puisi.
Pilu sekali bila mengenangkan nasib pesawat ini yang
masih belum terbela hingga kini. Tidak ada pihak yang tampil ke hadapan untuk
bertanggungjawab ke atas kejadian ini. Perkembangan terbaru menyaksikan usaha untuk
mencantumkan semula rangka pesawat yang musnah bagi dibuat kajian yang lebih
teliti.
QZ8501
Kira-kira seminggu sejak negara dilanda musibah
banjir, kita diuji lagi dengan hilangnya pesawat QZ8501, pesawat AirAsia
Indonesia yang perjalanannya dari Indonesia ke Singapura. Pesawat ini ditemui
dua hari kemudian di tengah lautan dengan keadaan yang menyayat hati. Syarikat
AirAsia Malaysia yang mempunyai saham sebanyak 49 peratus dalam syarikat
AirAsia Indonesia sememangnya amat terasa dengan kejadian ini dan dunia penerbangan
sekali lagi gempar tetapi kali ini melibatkan syarikat penerbangan AirAsia pula.
Bencana
Awal tahun 2014 menyaksikan kemarau berpanjangan
melanda negara. Empangan-empangan kering dan air terpaksa dicatu. Krisis air di
Selangor telah membataskan kehidupan harian manusia yang sememangnya bergantung
pada air. Ketika ini kita merintih dan meminta kepadaTuhan supaya diturunkan
hujan dan air dikembalikan.
Di awal tahun itu, tiada siapa sangka episod tahun 2014
akan berakhir dengan tragedi bencana banjir besar yang pada mulanya melanda
negeri-negeri Pantai Timur. Bencana ini kemudiannya melibatkan negeri-negeri Pantai
Barat seperti Kedah, Perak, Selangor dan Johor tetapi tidaklah seteruk bencana
di Pantai Timur terutama di Kelantan.
Kejadian ini turut mengingatkan kita pada peristiwa
dahsyat 10 tahun lalu yang turut berlaku pada akhir tahun; 26 Disember 2004
iaitu tsunami yang telah membadai sebahagian persisiran pantai di Malaysia.
Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama bermuhasabah atas kejadian ini. Sebagai
seorang pelajar dalam bidang kejuruteraan awam, aku merasakan sesuatu perlu dilakukan demi membendung atau mengurangkan impak
daripada bencana tersebut.
Buku-buku musnah akibat banjir |
Saat kritikal ini bukanlah saat untuk kita mencari
asbab Tuhan atau dengan kata lain mind reading Tuhan atas kenapa bencana ini
berlaku. Tidak perlu bagi kita untuk bergaduh dan berkata negeri hang buat banyak maksiatlah.
Ini akibat tak laksana hududlah dan macam-macam lagi pertuduhan melulu yang
dilemparkan. Perkara ini tidak berkesudahan. Jika dahulu semasa Johor banjir teruk, sesetengahnya
sibuk berkata orang-orang Johor sokong pemimpin tak betul. Sekarang ini pantai
timur banjir teruk, sesetengahnya sibuk pula kata Kelantan lambat laksana
hudud. Siapakah kita ini yang hendak meletakkan asbab kepada bencana ini? Dan masing-masing
tegar mempertahankan negeri masing-masing. Tidak berkesudahan jadinya.
Saat ini, persoalan pasti yang patut kita fikir dan risaukan ialah bagaimana manusia melayan alam. Desas desus kuat mengatakan punca bah ini disebabkan berleluasanya pembalakan haram dan tidak terkawal.
Di Cameron Highlands November lalu, dikatakan
penerokaan tanah secara haram yang berleluasa mengakibatkan tanah runtuh dan
banjir. Di sinilah peranan kita, terutama yang terlibat dalam bidang-bidang
berkaitan untuk mengenalpasti punca sebenar dan
membuat kajian berdasarkan statistik yang dikumpulkan. Setelah itu, kita
bentang kepada pemimpin kita yang turut lena selama ini supaya dapat menjalankan langkah seterusnya seperti langkah pencegahan banjir serta idea untuk memperbaiki sistem saliran sedia
ada. Penyalahgunaan kuasa, sikap tidak bertanggungjawab dan rasuah perlu kita
tentang habis-habisan. Bumi ini hanya akan sejahtera jika kita kembalikan
semula haknya.
Usah kita bergaduh perkara yang tidak pasti lagi.
Ketamakan itu yang patut kita risaukan dan muhasabah kembali.
Berita Palsu
Dalam kekecohan negara mengalami isu banjir, media
sosial tidak kurang kepohnya. Bermacam-macam berita palsu disebarkan tanpa usul
periksa dan sedikit sebanyak mencetuskan panik serta timbul sentimen politik. Hal-hal
yang melibatkan sentimen politik ini juga saya kurang pasti kesahihannya tetapi
jika benar ia terjadi, kita patut bertanya lagi. Tidak cukupkah musibah ini untuk
menyatupadukan kita atau paling tidak, merehatkan seketika daripada konflik
politik yang tidak berkesudahan?
Dalam hal penyebaran berita palsu, saya kira SKMM patut
diberikan pujian kerana tampil melaksanakan tindakan ke atas individu yang
menyebarkan berita palsu.
Landskap Politik
Konflik di Selangor
Di samping mengalami musibah dan bencana, negara juga
tidak lari daripada landskap politik yang memberi kejutan. Belum sampai
seminggu selepas kejadian MH17 ditembak jatuh, pimpinan negeri Selangor
bergolak dan menyaksikan MB Selangor pada waktu itu, Tan Sri Khalid dipaksa
untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan dibuang daripada Parti
Keadilan Rakyat. Keadaan ini sangat mengejutkan warga negeri Selangor kerana
Tan Sri Khalid telah sekian lama memerintah negeri Selangor iaitu sejak tahun 2008
lagi.
Walaubagaimanapun, Tan Sri Khalid tetap berkeras tidak
mahu melepaskan jawatannya sehinggalah sultan Selangor sendiri mengumumkan tiga
nama yang bakal dipilih sebagai MB Selangor yang baharu. Kemelut politik ini
berterusan dengan perancangan dan strategi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
dalam hasratnya untuk melaksanakan “Langkah Kajang”. Meskipun isterinya, Datin Seri
Wan Azizah memenangi pilihanraya mengejut di Kajang dan turut tercalon sebagai
MB Selangor, perkenan Sultan menentukan segalanya. Akhirnya, konflik
diselesaikan dengan pelantikan YB Azmin Ali sebagai MB Selangor.
Pelbagai respon diberikan oleh rakyat Selangor
berhubung hal ini. Ada yang mengatakan mereka sudah malas untuk terlibat dengan
politik kerana pemimpin yang dilantik hasil undian sewaktu pilihanraya, dibuang
begitu sahaja tanpa memberi penjelasan yang konkrit. Ada juga yang tidak
berpuas hati dengan tindakan Sultan Selangor yang seolah-olah menggagalkan
perancangan ‘Langkah Kajang’ yang dipercayai boleh mengukuhkan kuasa
pembangkang dalam negara.
Namun, segalanya sudah ditentukan. Hari demi hari
berlalu dan isu ini sepertinya sedikit sebanyak ditenggelamkan sedozen isu-isu
lain yang melanda negara.
Keberagamaan dalam banjir
Dalam al-Quran, Surah Ar-Rum, ayat 41, Allah telah
berfirman:
ظَهَرَ الفَسادُ فِى البَرِّ
وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِى النّاسِ لِيُذيقَهُم بَعضَ الَّذى عَمِلوا
لَعَلَّهُم يَرجِعونَ
Maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala
bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan
manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka
sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan,
supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Ayat
ini telah ditafsirkan sebahagian ilmuan pada bahagian tangan manusia itu bermaksud,
dosa, maksiat dan kesalahan manusia terhadap Allah. Namun, sebahagian ilmuan tersebut tidak
memperincikan kesalahan itu supaya kita sendiri mengambil pengajaran dan
bertindak atas daya usaha dari sudut saintifik dan bukan hanya semata-mata
memohon kepada Allah untuk menerima taubat dan mengampunkan kesalahan yang
dilakukan.
Tafsiran
tangan manusia itu sendiri membawa maksud yang lebih menjelaskan iaitulah
interaksi antara manusia dan alam serta bagaimana interaksi yang buruk boleh
mengakibatkan bencana itu terjadi. Hal ini yang sepatutnya difikirkan oleh
pimpinan ulama PAS di Kelantan dan bukan hanya mengajak manusia kepada Tuhan
tetapi soal kebajikan dan keselamatan rakyat diabaikan.
Kerana
itu, kita tidak dapat lari daripada kepentingan menguasai ilmu sains oleh ulama
seperti yang telah digariskan sendiri oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya
Tsaqafah Al-Daiyah. Di zaman seorang lagi ilmuwan Islam bernama Katip Celebi
juga telah dibuktikan betapa seorang ulama itu harus mempunyai ilmu dalam
bidang teknologi dan sains. Hal itu hampir mustahil untuk dilaksanakan di zaman
ini di mana wujud pengasingan ilmu antara sains dan agama dalam institusi pendidikan.
Hanya inisiatif kita sendiri yang boleh membawa kita keluar daripada kebebalan
ini.
Hal
yang sepatutnya disentuh, tidak harus ditutup dengan candu-candu agama yang
merugikan. Pembalakan tidak terkawal dan permukaan bumi yang ditarah menjadi
punca konkrit untuk dijadikan asbab kepada bencana ini. Kerana itu, Allah juga
mengingatkan kita untuk berfikir tentang kejadian-kejadian alam yang
sememangnya berkait rapat dengan kehidupan manusia.
Salah satu kawasan di Kelantan yang digondolkan |
Penutup
Tahun
2014 menyaksikan babak-babak kehidupan yang sebelum ini mungkin tidak pernah terjangkau
oleh akal kita yang terbatas. Pelbagai peristiwa menyayat hati telah merobek
jiwa tidak kurang meninggalkan kesan yang berbekas di hati kita buat
selamanya.
Mengenang
peristiwa 10 tahun lalu ketika tsunami membadai beberapa tempat, ibrahnya
mungkin boleh dilihat kepada apa yang berlaku selepas itu. Lihat sahaja betapa
ramai manusia yang akur, tunduk dan sujud kepada-Nya termasuk lambakan artis
yang berhijrah ke arah yang lebih baik. Majlis-majlis ilmu turut subur
berbanding sebelumnya. Namun, perspektif sebegitu wajar juga untuk dilihat pada
sisi lain.
Secara
peribadinya, saya agak terkesan dengan peristiwa sepanjang tahun 2014. Tidak
hanya sekadar musibah dan konflik yang melanda negara, pada saya sendiri pun terjadi
banyak hal hinggakan suatu masa saya melabel diri sendiri sebagai seorang
gagalis (seorang yang gagal dalam hidupnya). Akhirnya, pengalaman hidup sendiri mengajar saya bahawa betapa prasangka itu sebenarnya adalah sebuah falasi dalam
hidup. Dan apabila terperangkap dalam falasi sebegitu, kita akan lupa akan erti sebenar kehidupan.
Seringkali saya bertanya pada diri sendiri, “Jika begitu mudah kita meletakkan
diri kita sebagai seorang gagalis, maka apa gunanya kita diciptakan sebagai
seorang manusia yang serba serbi sempurna? Tambahan, Islam juga meletakkan
gelaran khalifah di bahu setiap umat Islam. Maka siapa lagi yang membuatkan
kita lemah kalau bukan diri kita sendiri?”
Moga
2015 ini akan hadirnya warna warni persis hadirnya pelangi yang membelah langit selepas hujan.
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)