Alhamdulillah.
Selesai menonton filem "Perempuan Berkalung Sorban" yang telah
disyorkan oleh sahabat saya saudari Sashareena berdasarkan artikel Dr MAZA dalam
websitenya. Sebagai seorang perempuan, menonton filem ini sangat
menyentuh dan membuat hati menangis bila melihat satu persatu babak yang telah berjaya dimainkan wataknya oleh Revalina S. Temat
sebagai heroin dengan menggunakan nama Annisa. Kalaulah filem ini
disebarluaskan, pasti dapat membuka satu persatu penghadang yang mungkin
menutupi pandangan kita selama ini.
Filem ini pada asasnya
membawa motif pencerahan sama seperti filem "Sang Pencerah", "Sang
Murabbi" dan "Laskar Pelangi". Cuma dalam filem ini ditekankan tentang
hak-hak wanita yang selama ini disalahfaham oleh sebahagian masyarakat
termasuk golongan agama sendiri. Melalui filem ini, tidaklah dapat kita
lihat perbezaan pendapat antara ulama seperti perbezaan antara ulama
jalur salafi dan asyairah. Apa yang akan dapat kita lihat adalah
perbezaan antara persoalan-persoalan yang dikemukakan Annisa berdasarkan
ilmu dan pemahaman yang pernah dia pelajari dengan hujah yang dibawa
oleh golongan agama dari pesantren al-Huda yang merupakan pesantren
keluarganya sendiri. Filem ini dilihat cuba membawa mesej yang agak
ringkas tetapi berkesan supaya masyarakat lebih memahami dan menghayati
apa yang ingin disampaikan.
Satu nilai menarik yang dapat saya
perolehi daripada filem ini adalah semangat mempersoalkan dan ingin
tahu yang terdapat pada Annisa. Annisa merupakan seorang anak yang
cerdas pemikiran dan selalu bertanya serta membanding pendapat. Dia juga
berani untuk melawan pemikiran mindstream masyarakatnya yang selama ini
'dikawal' oleh golongan agamawan di pesantren. Pengalaman-pengalaman yang terjadi dalam hidupnya membuat
dia lebih kental untuk bangkit serta membetulkan salah faham tentang hak
wanita dalam erti kata kebebasan.
Semasa Annisa berkhidmat di pesantren tersebut, budaya ilmu dan pengkajian menjadi subur dalam kalangan santri walaupun ia berlaku secara senyap-senyap. Keterbukaan dan kesediaan untuk melihat pada perspektif yang lebih luas terhasil apabila pelbagai jenis karya dan buku-buku dinikmati oleh warga pesantren tersebut. Lalu semua santri ingin merasai kebebasan seperti yang telah dirasakan oleh Annisa yang sememangnya menjadi hak milik setiap wanita melalui keadilan yang terpancar dalam Islam itu sendiri.
Saya gemar kepada filem-filem yang direct to the point seperti filem PBS ini. Tiada adegan termenung lama-lama seperti yang selalu terdapat dalam filem-filem Melayu. Adegan suspennya sungguh bermakna dan menyerlahkan lagi plot penceritaan. Filem ini digenrekan sebagai filem Islami tetapi gambaran-gambaran Islami yang selalunya ada dalam filem Islam yang lain seperti adegan orang berteleku di atas sejadah agak kurang dan ini sebenarnya menampilkan sedikit kelainan. Ya, sememangnya solat itu wajib bagi setiap orang Islam tetapi bukan semestinya setiap filem perlu ada adegan seperti itu kerana apa yang penting untuk sebuah filem yang cuma mampu ditayang selama dua jam adalah mesej yang ingin disampaikan.
Filem ini diakhirnya nampak seolah-olah tergantung dan saya lihat filem-filem bermotifkan pencerahan memang selalunya begitu. Tergantung. Watak abang kepada Annisa dan agamawan di pesantren itu seolah-olah hilang dan tidak ditunjukkan secara jelas tentang penerimaan mereka terhadap apa yang dibawa oleh Annisa. Begitu juga yang terjadi kepada filem Sang Pencerah di mana golongan agamawan yang menyelisihi pendapat dengan Kiyai Ahmad Dahalan terlihat hilang pada penghujung cerita. Bagi saya, inilah realiti sebenar yang harus diterima. Bahawa di dalam masyarakat kita sekarang memang wujud dua kelompok yang masih berselisih pendapat.
Apapun, saya tetap ingin memetik nasihat daripada Dr
MAZA tentang filem ini, "Jangan tonton dengan emosi atau anggapan ia
serangan terhadap Islam, tetapi anggaplah ia sebuah kritik sosial yang
diperlukan dalam sesetengah masyarakat." Mungkin beberapa adegan dalam
filem ini agak mengecewakan jika diteliti daripada sudut pergaulan dan
ia memang harus dibaiki tetapi itu bukanlah bermakna isi dan kandungan
filem ini perlu ditolak kerana kekurangan tersebut. Kalaupun adegan-adegan panas itu tiada, filem ini mungkin agak gagal menyampaikan mesej sebenar yang mahu disampaikan.
Filem ini
rupanya sudah agak lama ditayangkan iaitu pada tahun 2009 tetapi di
Malaysia mungkin tidak popular dan saya juga baru tahu kewujudan filem
ini beberapa jam yang lalu. Cuma apa yang saya lihat, di negara kita
masih kurang lagi filem-filem sebegini. Hiburan masih sekadar hiburan.
Tidak seperti Indonesia, hiburan mereka hiburan yang ada isi. Tidak ragu
juga untuk dikatakan artis yang terlibat dengan filem ini lebih terdedah kepada pengetahuan berbanding artis Malaysia yang sekadar berubah dengan memakai tudung
lalu mendapat penghargaan dan sanjungan bila menyampaikan 'ceramah' di
masjid dan universiti. Walaupun begitu, filem-filem mereka juga tidak
lepas untuk dikritik sama juga tidak lepas juga untuk filem kita
dikritik seperti yang berlaku pada filem seperti "Tanda Putera" baru-baru ini.
Nasihat saya, tonton dan lihatlah filem ini dengan mata hati.
Bandingkan dan teliti segala apa yang berlaku tanpa mengikut emosi serta
terburu-buru dalam membuat kesimpulan. Juga bersikap adillah dalam
menilai kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan... Cadangan penambahbaikan... Idea dan lontaran pendapat... Terima kasih :)
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)