Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik r.a., pembantu Rasulullah SAW,
Baginda bersabda:
لاَ
يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya: “Tidak beriman (secara sempurna) seseorang kamu hingga dia
mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”
(Riwayat al-Bukhari no.13, Muslim no.45 dan Ahmad no. 18076)
Para ulama berkata bahawa “tidak beriman” yang
dimaksudkan dalam hadis di atas ialah “iman tidak sempurna”, bukan tidak
beriman langsung. Maknanya seseorang itu tidak sempurna imannya apabila tidak
mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.
Abu Amr bin Shalah berkata:
“Perbuatan seperti itu terkadang dianggap sukar untuk dilaksanakan
seseorang. Sebenarnya tidak demikian, kerana apa yang dimaksudkan ialah iman
seseorang tidak sempurna sehingga dia mencintai kebaikan untuk saudaranya
sesama Muslim seperti mencintai kebaikan untuk dirinya sendiri.” [1]
Apa Sebenarnya Ukhuwah?
Ukhuwah adalah suatu proses mencipta dan memelihara ikatan antara
manusia yang berada dalam sesuatu kelompok yang tertentu. Sejarah banyak
membuktikan bahawa kejayaan sesuatu kaum itu banyak bergantung kepada kaum itu
sendiri. Cara mereka berinteraksi serta berkomunikasi antara satu sama lain
mempengaruhi hasil dan maslahat yang diberikan.
Ukhuwah yang kuat selalunya
terbina dalam kalangan organisasi-organisasi berpengaruh. Tidak hairanlah jika
organisasi-organisasi seperti ini mempunyai pengikut yang setia walaupun
organisasi mereka menghadapi banyak cabaran kerana awal-awal lagi mereka telah
meletakkan ukhuwah sebagai batu asas.
Kenapa Manusia Perlu Berukhuwah?
Suatu keutamaan yang mesti kita berikan perhatian adalah kewajipan yang
berkaitan dengan hak orang ramai yang sewajarnya kita dahulukan berbanding
dengan kewajipan yang berkaitan dengan hak individu. Sesungguhnya seseorang
individu tidak akan dapat mempertahankan dirinya tanpa orang ramai, dan dia
juga tidak dapat hidup bersendirian; kerana sesungguhnya manusia adalah makhluk
yang memiliki kecenderungan untuk berkumpulan; seperti yang dikatakan oleh para
ilmuwan Muslim terdahulu. Manusia adalah makhluk sosial sebagaimana dikatakan
ilmuwan moden. Seseorang akan mempunyai nilai yang kecil sekiranya dia
bersendirian, dan akan menjadi besar nilainya seandainya dia bersama-sama dalam
kumpulan orang ramai. Bahkan dia dianggap tiada ketika dia bersendirian, dan
barulah ia dianggap ada ketika dia bersama-sama dengan kumpulannya.
Atas dasar itu, kewajipan yang
berkaitan dengan hak orang ramai atau umat sewajarnya lebih diutamakan daripada
kewajipan yang berkaitan dengan hak individu.[2]
Manusia dan Ukhuwah
Sering meniti di bibir-bibir pemimpin sesebuah jemaah Islam perkataan
ukhuwah apabila fikiran meminta berbicara mengenainya bila jemaah dilihat tidak
bersatu atau sekadar mengisi ruang-ruang kosong di dalam sesebuah pertemuan.
Namun, sejauh mana perkataan ukhuwah itu wujud pada diri? Apakah ukhuwah ini
dirasakan terlalu berat dan payah hingga ahli-ahli jemaah beralih kepada jemaah
lain yang dirasakan lebih sesuai dan kena pada diri mereka?
Oleh itu, bila berbicara tentang konsep ukhuwah, saya lebih gemar untuk memperincikan
konsep ukhuwah itu satu-satu. Perkataan ukhuwah itu terlalu general
dan kurang dari segi contoh dan idea yang boleh dibawakan.
Apa yang cuba saya maksudkan di sini ialah ukhuwah itu di bawahnya
terdapat pelbagai ciri-ciri yang boleh diangkat seperti cara percakapan dan
tindak balas terhadap sesuatu perkara. Bila adanya pertemuan, secara
automatiknya telah berlaku ukhuwah dan apa yang perlu dipelihara selepas itu
adalah dari segi bagaimana cara kita berkomunikasi, memberi dan menerima sesuatu
pandangan, kemahiran mendengar dan adab-adab yang perlu dijaga sepanjang
pertemuan diadakan. Perkara-perkara ini seharusnya diangkat berbanding kita
hanya membicarakan ukhuwah itu secara zahir sahaja.
Ukhuwah juga selalu dikaitkan dengan kemanisan hubungan antara sahabat
tetapi apakah kita tahu, sepanjang ukhuwah itu apa yang telah kita lakukan? Adakah
ia sekadar kita berbual kosong, makan dan minum lalu ia terhenti begitu sahaja?
Manisnya ukhuwah itu adalah apabila terlihatnya situasi ‘give and take’.
Ada yang memberi dan ada yang menerima dan proses ini berulang alik sesama
ahli. Apa yang boleh diberikan adalah harapan, kata-kata semangat dan apa jua
bentuk perkongsian yang mampu mengisi kekosongan jiwa setiap daripada ahli.
Dengan itu, objektif ukhuwah lebih mudah tercapai.
Ukhuwah dan Jemaah
Dalam beberapa keadaan, kita tidak boleh memaksa seseorang untuk
bersama kita kerana setiap manusia dilahirkan berbeza dari segi pemikiran. Bahkan
golongan sahabat dan ulama juga banyak berlaku khilaf lalu membawa diri
masing-masing ke kelompok yang disenanginya. Ini semua disebabkan oleh
perbezaan pemikiran.
Kita mungkin berniat baik untuk menarik seseorang ke dalam jemaah kita
kerana merasakan jemaah kita mampu mengubah individu menjadi lebih baik hasil
islah, dakwah dan tarbiah yang jemaah kita laksanakan. Namun, tujuan utama kita bukanlah untuk menarik mana-mana individu ke
dalam jemaah tetapi adalah untuk menarik mereka kepada Allah, rasul-Nya dan
juga Islam. Apabila roh sudah terpisah daripada jasad, bukanlah jemaah yang
dapat menyelamatkan kita tetapi agamalah yang bakal menentukan perjalanan kita
selepas itu.
Rujukan
[1] Zahazan Mohamed, Muhammad
Zakaria, “Hadis 13: Ukhwah Islamiah” dalam Hadis 40 Imam Nawawi, m/s 67-
68, Telaga Biru Sdn. Bhd.
[2] Yusuf
al-Qaradhawi, “Keutamaan terhadap Hak Orang Ramai berbanding dengan Hak
Individu” dalam Fiqh Keutamaan, m/s 206-207, Blue-T Publication Sdn.
Bhd.
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)