Sekian lamanya! Akhirnya! Saya kembali menulis di blog. Aduh, tangan ini sebenarnya dah lama gatal nak menulis cuma masa dan kerja menghalang jari jemari ini untuk menaip dan meluahkannya di keyboard laptop. Memang sejak masuk sem, jadual tidak menentu. Kalau tidak sibuk dengan pelajaran, sibuk berbulatan gembira. IKRAM? Jenguk sekali sekala. Jawatan dah pun dilepaskan.
Kadang-kadang
dalam masa-masa yang sibuk itulah keluar idea dengan banyaknya. Tak sempat nak
tulis panjang-panjang, tulis dalam bentuk poin pun jadilah. Asalkan idea tak
hilang dan otak sentiasa menjalankan fungsinya. Ya. Kalau mahu jadi penulis,
menulislah. Kalau tak menulis, tetapi cuma banyak fikir sahaja, itu bukan
dikira penulis.
Ada masa,
saya langsung tak terfikir untuk menulis. Hanya minat untuk baca status di FB,
baca apa yang patut dan saya rasa itu sudah cukup. Ada masa, saya kembali
tersedar yang kita tidak sepatutnya terlalu berharap kepada hasil orang lain.
Kita patut menghasilkan bahan kita sendiri. Seperti moto ustaz Hasrizal, “Erti
hidup pada memberi,”. Kalaulah majoriti manusia mengharapkan hasil daripada
manoriti manusia yang ada, tidak akan majulah manusia itu kerana terlalu rigid
dan tidak pelbagai. Manusia tidak begitu kerana kita sememangnya diciptakan berbeza-beza.
Dalam melatih diri untuk menulis, saya cuba sedaya upaya mengurangkan tabiat ‘share’
di FB sebaliknya melatih tabiat ‘post’ kecuali apabila perkara yang ingin saya ‘share’
itu saya rasakan begitu penting dan ada manfaatnya untuk sahabat-sahabat di FB.
Sewaktu bersekolah
dulu, ibu saya yang banyak melatih saya dari segi penulisan karangan. Saya suka
saat-saat apabila sudah selesai menulis sesebuah karangan, ibu saya akan baca
semula apa yang saya tulis dan perbetulkan apa yang salah. Bila tidak tahu akan
maksud sesuatu perkataan, saya akan langsung bertanya kepada ibu dan biasanya beliau dapat menjawabnya. Di sekolah pula, kebanyakan guru-guru bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris saya agak ‘strict’ dari segi bahasa. Pantang ada kesalahan
sedikit sahaja, terus ditegur dan diperbetulkan. Begitulah norma kehidupan yang
membentuk minat saya untuk menulis.
Bagi saya,
menulis ini banyak cabarannya. Seorang penulis akan menghadapi risiko untuk
tulisannya dikritik. Bila apa yang ditulis tersalah atau ada yang tidak puas
hati dengan fakta yang dikemukakan, ia boleh sahaja di ‘printscreen’kan , terus
post di wall FB dan dijadikan bahan ketawa. Tulisan juga tiada suara. Selalu
sahaja orang tersalah erti akan apa yang mahu dikatakan.
Untuk
menulis, saya merasakan bahawa seorang penulis itu perlu mempunyai identiti
sendiri. Seboleh-bolehnya mereka perlu mengelak daripada menggunakan lenggok
bahasa daripada penulis lain kecuali dari segi penulisan ilmiah yang
menggunakan sumber rujukan. Seperti juga dalam nyanyian. Kebanyakan penyanyi
baru yang meniru suara penyanyi yang sudah popular tidak mudah menarik hati
peminat lalu kerjayanya itu terhenti di tengah jalan.
Apapun,
menulis adalah suatu aktiviti berbentuk bebas. Kita bebas menulis apa sahaja
yang kita mahu. Saya pula selalu menulis berdasarkan apa yang pernah terlintas
dalam fikiran dan saya perasan kelemahan saya adalah pada kegagalan menyusun
idea dengan baik. Daripada awal sehingga akhir, saya tidak pernah menggunakan
sebarang teknik susunan idea. Jadi, idea saya dalam penulisan selalu bercampur
aduk. Apa sahaja yang saya fikir, itulah yang saya tulis.
Nasib dalam
penulisan pula tidak menentu. Ada yang bernasib baik seperti Rebecca Bloomwood
dalam Confession Of Shopaholic yang karyanya dianggap genius walaupun apa yang
ditulis itu bertentangan dengan dirinya sendiri. Jika sesuatu karya itu
dihantar kepada sesebuah syarikat penerbitan, belum tentu karya itu akan
diterima tetapi bila karya itu dibawa kepada syarikat lain, ia mungkin diterima
lalu berjaya dibukukan. Karya J.K. Rowling, Harry Potter and the
Philosopher’s Stone telah ditolak sebanyak 14 kali sebelum dibukukan lalu menjadi bestseller bertahun-tahun
lamanya.
Namun, bidang
penulisan bukanlah suatu bidang yang sukar untuk diceburi. Ada asas menulis
karangan di sekolah juga sudah cukup untuk mengembangkan potensi seseorang
untuk menjadi penulis. Semua pekerjaan yang manusia lakukan juga memerlukan
penulisan untuk membukukan segala fakta, teknik dan aplikasi. Jika seseorang
mengejek anda kerana menulis, bermakna dia juga telah mengejek tulisan-tulisan
yang sudah dibaca sejak dari kanak-kanak lagi. Tiada tulisan, mustahil
seseorang akan menamatkan alam persekolahannya, memasuki alam universiti
seterusnya meneruskan kehidupan di alam pekerjaan. Tiada tulisan, bermakna
tiada bidang juga yang akan terhasil.
Menulis itu
biarlah untuk kebaikan ummah. Menulis harus ada isi dan fakta. Sambil menulis,
sambil itu juga kita perlu banyak membaca. Bila tidak membaca, selalu sahaja
kita lihat tulisan itu kosong dari segi isi dan makna. Sebab itu ada orang menulis
sambil dibuai perasaan dek terpengaruh dengan novel-novel jiwang yang sebenarnya
banyak membuang masa dan membunuh daya fikir. Dari segi kosa kata, saya tidak
nafikan novel-novel seperti itu banyak membantu. Cuma bila terlalu melayan
perasaan, kita mudah dikawal emosi dan selalu mengetepikan fungsi akal yang
membantu kita untuk berfikir rasional dalam situasi-situasi getir.
Walau apa
yang kita lakukan, ia perlu bermula dengan tujuan dan berakhir dengan harapan.
Begitu juga dengan penulisan. Sebelum menulis, kita perlu tanya pada diri
sendiri, “Apa tujuanku menulis perkara ini?”. “Apakah ia akan memberi manfaat
kepada orang lain?” Jika jawapannya lebih membawa keburukan, fikirkan dan
lakukanlah perkara lain yang lebih baik dan lebih berbaloi. Jika jawapannya lebih
kepada kebaikan, ayuh, teruskanlah!
Saya juga
masih merangkak dalam bidang ini. Mohon doa sahabat-sahabat agar diri ini terus
istiqamah.
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)