"Mereka telah mencapai suatu kesimpulan bahawa eksperimen dan
pemerhatian adalah lebih baik dari apa yang diperolehi dari buku-buku langsung
mereka melepaskan diri dari menjadi murid kepada orang-orang Greek dan telah
melakukan sendiri eksperimen-eksperimen dalam bidang-bidang ilmiah."
Lalu orang Arab lebih menguasai bidang keilmuan itu sendiri berbanding
orang Greek dan itulah cahaya penerang bagi zaman kegemilangan Islam suatu
ketika dulu.
Namun, sisi-sisi kegelapan itu mula muncul setelah berlakunya kehilangan
satu persatu prinsip yang dibawa oleh seiap era pemerintahan Islam itu sendiri.
Kemudian berlakulah penyisihan manusia dari agama juga penyisihan manusia dengan
kajian amaliah dan ilmiah.
Agama diterima sebagai lafaz-lafaz atau ucapan-ucapan pusaka dan tradisi
yang beku. Sesetengah puak pula melahirkan sikap yang terlalu taksub dengan
pegangan beku itu menyebabkan pada sesetengah keadaan, berlakunya perbalahan
sehingga mengakibatkan bunuh-membunuh sesama sendiri. Akhirnya, agama iu
sendiri dipandang sebagai sesuatu yang kompleks disertai dengan pandangan tamak
haloba pada sisi kerajaan Islam.
Keruntuhan empayar Islam menyaksikan kuasa-kuasa lain selain Islam itu
sendiri bangkit dan membawa cebisan warisan yang ditinggalkan oleh kerajaan
Islam ke dalam sistem yang mereka terajui sendiri. Bangkitlah mereka sebagai kerajaan-kerajaan
agung seraya berlakulah pula penjajahan-penjajahan mereka ke atas negara-negara
Islam.
Meninjau kembali kepada sejarah mungkin boleh membuat kita tersedar kembali
atau mungkin juga boleh menyuntikkan sedikit sebanyak semangat terhadap
mencetuskan semula kegemilangan yang pernah dicipta oleh nenek moyang kita
dahulu.
Peranan Kita
Maka kita sekarang ini sebagai apa? Apakah kita ini sebagai generasi yang
membiarkan sahaja sejarah kegemilangan itu berlalu dan terus hanyut pada masa
ini dengan sistem terbaik yang dicipta oleh barat?
Keegoan dan ketaksuban telah menjatuhkan kita. Maka apakah pada saat ini
sifat-sifat itu masih bersarang di dalam diri kita? Hanya mereka yang tersedar
akan mampu menjawab pertanyaan ini.
Kita perlu membuka pandangan. Melihat pada seluas-luas dimensi. Sebab itu
pemerhatian dan pengkajian amat diperlukan jika kita ingin duduk dan merasai
kembali nikmat kegemilangan Islam suatu ketika dahulu.
Pemikiran-pemikiran
jumud dan beku haruslah dilenyapkan dari realiti. Kita ingin masyarakat Islam
melatih sendiri cara berfikir mengikut cara masing-masing tanpa keterikatan dan
penyekatan terhadap ilmu-ilmu.
Ilmu tidak akan berkembang sekiranya sikap egois itu masih ada. Egois itu sendiri
membunuh keinginan unuk bergerak lebih jauh dan terkehadapan dalam mencetuskan
idea-idea baharu. Urusan agama akan menjadi mudah kiranya agamawan itu sendiri
tidak memaksa orang untuk mengambil pendapatnya dan menolak pendapat-pendapat
lain.
Kepelbagaian pendapat akan membina suatu semangat baru pada masyarakat
untuk menggali ilmu sedalam-dalamnya sehingga bertemu pada nikmat kebebasan
yang terdapat pada Islam itu sendiri. Tidaklah yang tertindas akan
selama-lamanya tertindas.
Orang agamawan sekarang ini dipandang tinggi oleh orang bawahan. Segala
pendapat yang dikeluarkan dianggap betul dan tiada salahnya tanpa orang-orang
bawahan sedar yang berbicara itu bukanlah manusia yang maksum.
Oleh itu, ada hikmahnya agama ini datang pada zaman ini dengan membawa
bersama mazhab yang empat. Orang yang salah mengambil hikmahnya cuma akan terus
bersikap taksub dengan mazhabnya manakala orang yang menemui hikmahnya akan
meraikan perbezaan yang terdapat pada keempat-empat mazhab ini.
Memecahkan jurang ilmu akan membangkitkan semangat pengkajian dan
penelitian ilmu. Bayangkan sekiranya kuliah-kuliah agama tidak hanya disertai
oleh masyarakat awam tetapi disertai juga oleh agamawan-agamawan lain. Sekiranya
ulama-ulama tidak cuma memasukkan penghujahan unsur-unsur agama dalam pengucapan
mereka tetapi membawa juga penghujahan yang terbit daripada ideologi-ideologi
lain tidak kira datangnya ia dari mana-mana tempat atau mana-mana individu
sekalipun, pasti masyarakat awam dapat melihat Islam pada kerangka yang luas
dan menyeluruh.
Bayangkan juga kiranya masyarakat ini menjadikan ilmu itu sebagai keperluan
penting dalam hidup. Budaya membaca ada di mana-mana seperti yang berlaku di
negara-negara maju. Wacana-wacana ilmiah dijalankan di merata-rata tempat tidak
hanya di tempat-tempat tertentu yang bersifat eksklusif. Orang-orang miskin dan
kaya mendapat sumber ilmu tidak putus-putus. Ilmu juga tidak dijual beli dengan
harga yang mahal.
Budaya ilmu bukan sahaja patut diterapkan pada masyarakat awam tetapi pada
agamawan itu sendiri agar golongan agamawan tidak selalu berpuas hati dengan
apa yang telah mereka pelajari pada masa lalu. Perubahan demi perubahan perlu
dilakukan demikian juga sikap-sikap egois dan taksub perlu dibuang demi
mencapai kesatuan masyarakat Islam yang pernah memberi keuntungan pada kerajaan
Islam suatu masa dahulu.
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)