Pada awal tahun yang lalu, kita dihebahkan dengan pengeluaran dan
pengagihan baucar buku 1 Malaysia bernilai RM200 kepada semua mahasiswa dan
mahasiswi yang sedang menuntut di semua IPTA dan IPTS di seluruh negara.
Pelajar yang berada di matrikulasi dan tingkatan enam juga tidak terkecuali.
Bagi yang bijak mengambil peluang, baucar tersebut digunakan untuk membeli
buku-buku teks dan buku-buku rujukan berdasarkan mata pelajaran yang diambil.
Ada pula yang menggunakannya untuk membeli buku-buku ilmiah yang lain. Selain
itu, terdapat juga sesetengah daripada mereka membeli alat tulis bagi membantu
proses pembelajaran mereka.
Walaubagaimanapun, ada pula sesetengah pelajar menebus beberapa item di
kedai buku yang tidak dapat ditebus dengan menggunakan baucar atas sebab item
tersebut sama sekali tidak membantu proses pembelajaran. Bila tidak dapat
ditebus, mulalah ada yang merungut. Itu baru isu tidak dapat tebus. Bagaimana pula pelajar yang menjual baucar
tersebut kepada orang lain?
Mungkin ada sesetengahnya memberi alasan bahawa RM200 itu terlalu banyak.
Harga buku-buku teks dan buku-buku rujukan mereka tidak sampai ke tahap itu,
akan tetapi, adakah konteks ilmu itu terbatas hanya pada pembelajaran di universiti
sahaja?
Jika kita perhatikan, masyarakat kita kini hampir semuanya celik huruf.
Amat sukar untuk ditemukan seorang pemuda yang tidak tahu membaca di zaman ini.
Seharusnya kita bersyukur dengan fenomena yang positif ini.
Sayangnya, budaya membaca umat Islam masih di tahap yang sangat rendah.
Mereka lebih suka menghabiskan masa dengan tv dan permainan daripada menelaah
buku. Budaya ini tentu sahaja tidak selari dengan tokoh-tokoh Islam kita
terdahulu.
Muhammad bin Hasan Al-Syaibani adalah seorang ulama fiqah yang juga pakar
dalam hadis. Beliau mempelajari fiqah dari Imam Abu Hanifah, dan ilmu hadis
dari pelbagai ulama antaranya dari Imam Malik bin Anas. Beliau menetap di
Madinah selama tiga tahun untuk mendengar sendiri kitab Al-Muwatta dari Imam
Malik.
Diceritakan bahawa Muhammad bin Hassan selalu menghabiskan malamnya dengan
menelaah buku. Beliau meletakkan buku-buku di sebelahnya. Apabila bosan dengan
suatu buku, beliau akan beralih kepada buku yang lain.
Di Baghdad, Khalifah Harun al-Rasyid mengangkatnya menjadi hakim di kota
Raqqah. Namun tidak lama setelah itu, beliau melepaskan jawatan ini agar dapat
menyebarkan ilmu sepenuh masa. Beliau sangat cerdas, sehingga Imam Syafie
berkata:
“Belum pernah aku berdebat dengan orang gemuk yang lebih cerdas
daripadanya.”
Demikian diriwayatkan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam kitab
beliau yang sangat menarik, iaitu Qimat al-Zaman ‘Indal-‘Ulama.
Kita boleh sahaja mengikuti cara yang dilakukan oleh Muhammad bin Hasan.
Tidak semestinya kita perlu menghabiskan satu buku pada satu-satu masa. Jika
sudah bosan, beralihlah pada buku yang lain pula.
Rasulullah ketika menerima wahyu yang yang pertama, diturunkan saranan
daripada Allah SWT agar membaca dan mengenal. Apabila ada usaha ke arah itu,
maka Allah SWT akan memberikan kepada kita ilmu dan kefahaman. Semuanya
termaktub dalam surah al-Alaq ayat 1 sehingga 5. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Bacalah (wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian
makhluk), Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan
Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia
mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)