Sebelum ini, mungkin ada di antara para pembaca yang sering diperlihat atau diperdengarkan dengan kalimah 'La Tahzan' yang membawa maksud jangan bersedih. Kalimah La Tahzan
lebih dikenali umum melalui sebuah buku yang juga bertajuk La Tahzan karya Dr.
Aidh bin Abdullah Al-Qarni.
Di kesempatan ini, bukanlah kalimah La Tahzan yang ingin saya
ketengahkan tetapi saya ingin sekali mengetengahkan kalimah La Taghdhob yang
membawa maksud 'Jangan Marah'. Walaupun perbahasan mengenai tajuk 'Jangan
Marah' turut terdapat dalam buku La Tahzan yang telah disebutkan, saya tertarik untuk memanjangkan perbahasan mengenai
tajuk ini kerana sifat ini adalah pencetus kepada sifat-sifat lain seperti
hasad dengki, iri hati dan sebagainya yang boleh menimbulkan perpecahan dalam
umat kini. Sebagaimana sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan
daripada Abu Hurairah r.a., bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah:
Berilah wasiat kepadaku. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Jangan marah." Beliau mengulanginya beberapa kali dan
bersabda:"Jangan marah."
(Riwayat Ahmad no. 8729, al-Bukhari no. 5765 dan al-Tirmizi no. 2020)
Jika kita mendengar perkataan marah, ia membawa suatu nilai yang negatif
berdasarkan ciri yang terdapat pada perkataan tersebut. Apabila seseorang itu
marah, orang yang berada di sekelilingnya akan merasakan ketidaktenteraman hati
dan perasaan akibat suasana berkecamuk yang ditimbulkan oleh perasaan marah
tersebut. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang bijak mengawal emosi dan sentiasa tenang, kebiasaannya mereka tidak begitu terkesan terhadap perasaan
marah yang dibawa oleh insan lain.
Marah. Mengapa marah? Di dalam Islam, marah yang terpuji hanyalah marah
yang bertujuan untuk mencari keredhaan Allah SWT, membela agama Allah dan
membela kehormatan seseorang Muslim yang dihina atau direndah-rendahkan
manakala marah selain yang disebutkan seperti marah kerana ujian yang
ditimpakan Allah, marah disebabkan perkara yang remeh temeh dan marah kerana
tidak dapat menerima kebenaran adalah marah yang dicela dan mengundang
kemurkaan Allah SWT.
Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.ha., beliau berkata:
“Rasulullah SAW tidak pernah memukul seorang pun, termasuk isteri atau
khadamnya, kecuali dalam berjihad fi sabilillah. Tidak pernah baginda disakiti,
lalu menyimpan dendam kepada orang yang menyakitinya, kecuali jika ada aturan
Allah yang dilanggar, maka baginda akan marah kerana Allah.”
(Riwayat Muslim no. 2328)
Setiap penyakit yang diciptakan Allah pasti ada ubatnya. Apa pula ubat bagi
penyakit marah? Jauhilah akhlak yang tercela seperti bangga diri, menghina
orang lain, banyak bercanda, suka perdebatan dan sebagainya.
Tukarlah sifat
bangga diri kepada rendah diri kerana kita hanyalah hamba di muka bumi ini.
Tukarlah sikap suka menghina orang lain kepada suka memaafkan dan berlemah
lembut dengan orang lain kerana semua manusia mempunyai kelebihan dan
kekurangan diri masing-masing. Tukarlah sifat suka bercanda kepada sifat suka
mencari kebenaran kerana pabila suka bercanda, gurauan yang terhasil tidak
semua dapat menerimanya. Tukarlah juga sifat suka perdebatan kepada sifat suka
mengkaji kerana bila kita sering berdebat, fakta yang disampaikan lebih kepada
emosi dan bukannya ke arah kebenaran.
Didiklah diri dengan akhlak mulia seperti sabar, lemah lembut, tidak
tergesa-gesa dalam segala hal dan sebagainya. Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a., beliau berkata Rasulullah SAW
pernah bersabda kepada Asyajj’ Abdul Qais yang bermaksud:
“Sesungguhnya pada dirimu ada dua perkara yang Allah cintai, iaitu
kecerdasan dan sikap tidak tergesa-gesa.”
(Riwayat Muslim no.17)
Jika kita tersedar ketika sedang marah berhentilah berbicara kerana kita
boleh mengawal emosi dan nafsu sekiranya berdiam diri.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang hebat itu bukanlah orang yang dapat membantingkan diri dengan
kuat. Orang yang hebat adalah orang yang mampu mengendalikan nafsunya ketika
marah.”
(Riwayat al-Bukhari no. 6114 dan Muslim no.2609)
Selain itu, ubahlah posisi tubuh daripada berdiri kepada duduk atau
daripada duduk kepada berbaring. Berwuduklah sekiranya perasaan marah masih
ada. Insya Allah, anda akan lebih tenang.
No comments:
Post a Comment
Perlukan kritikan...
Cadangan penambahbaikan...
Idea dan lontaran pendapat...
Terima kasih :)