Cuaca petang itu kelihatan mendung. Kami yang berada dalam
kereta hanya menanti apa yang berlaku. Selalunya perjalanan dari Kajang ke
Kuala Lumpur hanya mengambil masa kira-kira dua puluh minit dengan menaiki kereta. Itupun jika tidak ada kesesakan lalu lintas. Di
bahagian kota Kuala Lumpur, langit sudah gelap. Saya kira Kuala Lumpur sudah pun dibasahi hujan lebat.
Semasa kami menghampiri pusat bandaraya, hujan turun dengan lebatnya. Di ‘curb’ jalan, air menderas laju memasuki ruang saliran yang berada di bawah permukaan jalan. Titisan-titisan air yang jatuh daripada langit ditampung oleh laluan sungai dengan banyaknya. Teringat saya semasa melalui kawasan Kuala Lumpur cuti raya haji lalu, saya lihat beberapa kawasan di sekitar Puduraya telah sedikit banjir. Kalau keadaan cuaca seperti itu berlaku dalam tempoh lebih kurang dua jam, kemungkinan Kuala Lumpur untuk banjir agak tinggi.
Ayah terus
memandu hingga melepasi tol terowong SMART. Setiap kali Kuala Lumpur hujan dan banjir,
saya pasti teringat terowong SMART ini dan pelik akan fungsi terowong SMART ini yang tidak begitu
disebarluaskan selepas ia dibina. Antara sebab dan fungsi penubuhan terowong
SMART adalah untuk mengawal banjir di Kuala Lumpur selain mengurangkan
kesesakan lalu lintas. Terowong akan ditutup buat sementara waktu ketika hujan
lebat dan air hujan yang banyak akan disalirkan ke dalam terowong ini. Projek
yang menelan kos berbillion ringgit itu masih tidak nampak fungsinya pada kebolehan mengawal banjir.
Sewaktu
banjir berlaku kalau tidak silap pada tahun lepas, saya mempersoalkan perkara
ini sendirian dan tercari-cari laporan yang menyebut tentang terowong SMART tetapi
ternyata tidak dikeluarkan oleh mana-mana pihak. Yang ada cuma laporan
berkenaan musibah yang berlaku. Terowong entah ke mana, banjir entah ke mana. Kecewa
dengan senario sebegitu.
Pelancong
Asing di Masjid Negara
Ketika kami
sampai di Masjid Negara, hujan masih turun tetapi tidak selebat seperti waktu
kami di tengah jalan tadi. Selesai berwuduk, kami menaiki tangga untuk ke ruang
solat yang terletak di bahagian atas masjid. Pandangan saya tertangkap seketika
pada sekumpulan pelancong asing yang tercegat berdiri di hadapan tempat masuk
masjid.
Kelihatan
penjaga masjid itu cuba untuk memahamkan pelancong-pelancong itu bahawa masjid
hanya akan dibuka kepada pelancong non-muslim pada pukul 5.30 petang dengan
sebab orang muslim sedang bersolat Asar. Jam di dinding ketika itu baru pukul
4.43 petang. Kasihan saya melihat mereka terpaksa berdiri di situ demi menanti
pukul 5.30 petang. Terdapat palang yang menghalang mereka untuk masuk ke dalam
masjid dan saya sedih melihat palang itu begitu sedikit memberikan ruang kepada
mereka untuk berteduh. Kaki mereka beralaskan lantai basah kerana titisan hujan
yang melebat. Ada antara mereka yang berpayung. Entah di mana kemesraan kita
menyambut tetamu non-muslim untuk mengenali ajaran Islam ini dengan lebih
dekat. Agaknya sebelum masuk ke dalam masjid lagi persepsi mereka terhadap
Islam sudah kelihatan kurang meyakinkan.
Seni bina yang patut dipuji
Masjid
Negara mula dibina pada tahun 1963 dan dibuka pada tahun 1965. Bumbung birunya
yang paling besar berbentuk seperti payung yang sedang kembang manakala bentuk
di atas menaranya yang berwarna putih berbentuk seperti payung yang sedang
menguncup. Memang tidak dinafikan, seni bina Masjid Negara adalah antara seni
bina yang menarik kerana reka bentuknya banyak mengekalkan ciri-ciri reka
bentuk tempatan dan bukannya timur tengah seperti kebiasaan yang kita dapat
lihat pada kebanyakan masjid sekarang.
Terdapat
beberapa arkitek yang telah mengkritik reka bentuk kebanyakan masjid di
Malaysia yang gemar meniru reka bentuk timur tengah yang menggunakan kubah
sebagai ciri bumbung paling utama. Sedangkan masjid-masjid di nusantara pada
awalnya tidak menggunakan kubah sebagai elemen utama bagi sesebuah masjid.
Masjid
Negara juga dapat dipuji dari aspek kesederhanaan reka bentuk bangunannya yang
nampak tidak begitu mewah sesuai dengan keadaan negara yang baru mencapai
kemerdekaan pada waktu itu. Ruang solatnya sudah cukup memuatkan hampir 15000
orang jemaah dalam satu masa. Biarpun mempunyai reka bentuk yang sederhana,
Masjid Negara tetap mempunyai daya tarikan dan berhasil menarik pelancong dan
pelawat daripada luar negara termasuklah lawatan daripada Presiden Amerika
Syarikat sendiri, Barack Obama pada April 2014 yang lalu.
Dataran Underground
Langit yang
menangis lebat sudah mula reda. Air-air yang menderas laju di tepi jalan pula
mulai surut lalu mengalir ke saliran-saliran buatan manusia. Jarak antara
Masjid Negara dan Dataran Merdeka tidaklah begitu jauh. Hanya beberapa minit
dengan melalui beberapa buah bangunan seperti Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang
lama, Pejabat Pos Besar Malaysia dan Balai Polis Bukit Aman.
Jalan di
hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad ditutup kerana berlangsungnya festival
UNESCO. Walaupun menetap di Kajang, Dataran Merdeka bukanlah tempat lepak atau
tempat yang selalu saya lawati menyebabkan saya tercari-cari Dataran
Underground yang dikatakan terletak di Dataran Merdeka itu sendiri. Ternyata,
Dataran Underground letaknya betul-betul di bawah Dataran Merdeka.
Semasa memasuki
Dataran Underground, gerak geri manusia-manusia di situ serba sedikit saya
perhatikan. Entah inikah yang dikatakan gaya atau trend indie, saya juga tidak
begitu pasti. Apapun, sebelum melangkah ke sini lagi saya sudah membayangkan dan
bersedia dengan pemandangan seperti ini. Tidak kisahlah jika diulang kembali
sejarah, zine itu sendiri berasal daripada kumpulan punk yang memperjuangkan
muzik mereka.
Ketika
sampai di situ, ada seorang wanita bersama beberapa ahli band lain sedang
membuat persembahan di atas pentas. Saya kurang pasti apakah itu suatu persembahan
Puisi Muzikal seperti yang pernah saya lihat daripada persembahan penulis puisi
dan penyanyi bernama Fynn Jamal itu. Apa yang saya tahu, persembahan sebegitu
tetap ada untuk program tersebut. Persembahan di atas pentas tidak begitu saya
hiraukan kerana saya sendiri kurang berminat dengan cara penyampaian puisi dengan
cara itu dan lebih gemar mendengarkan puisi gaya lama atau klasik yang pada
saya lebih menyentuh perasaan.
Fokus saya
terus kepada lambakan zine dan buku indie. Pergerakan amat terbatas kerana
orang terlalu ramai. Bunyi kuat daripada pembesar suara dan alatan muzik
sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi untuk membaca buku dan zine yang ada.
Tanpa berlengah, saya hanya mencapai zine yang bagi saya cukup sederhana dan simple.
Buku pula saya ambil yang betul-betul sudah menjadi target untuk dimiliki bertajuk
‘Alif Lam Lam Ha’.
Kritikan ke atas Buku Indie
Terdapat
beberapa pihak serta individu telah mengkritik buku indie atas beberapa sebab
seperti buku indie ini membawa fahaman liberal, dikatakan buku indie karya syok
sendiri, tidak menjaga kesantunan bahasa serta menyanggahi adab dan budaya
masyarakat timur.
Bagi saya
sendiri, apa pun karya tidak berhak untuk di’ban’ lebih-lebih lagi maksudnya jelas
untuk mengawal pembacaan masyarakat. Seni itu sendiri bersifat subjektif dan
setiap pengkarya bebas untuk mengekspresikan pandangan mereka dalam apa bentuk
sekalipun. Apapun, bukanlah semua kritikan perlu ditepis tetapi perlu ditapis untuk menambah baik karya yang sedia ada.
Berkenaan
fahaman liberal yang dikatakan muncul dalam buku-buku indie, kita perlu fahami
satu persatu isu yang dikeutarakan yang dikatakan liberal itu. Tiada panduan
yang kukuh dan jelas untuk meletakkan apa-apa label sekiranya pandangan kita
sendiri tidak berdasarkan kajian serta menimbang tara perbezaan-perbezaan yang
berlaku. Makanya kita tidak seharusnya bertindak melabel mana-mana karya
sewenang-wenangnya apatah lagi dengan label yang buruk jika kajian kita hanya
mengambil kira satu pendapat atau satu pihak dan kita sendiri taksub dengan
pendapat yang kita pegang itu. Label gelaran seperti liberal bukanlah sesuatu
yang boleh dicampak sesuka hati tanpa hujah yang kukuh seperti dalam artikel ‘Alif
Lam Lam Ha’ yang dikatakan mengambil mudah dalam mempertahankan kalimah Allah.
Walhal ulama juga berbeza pendapat akan hal ini. Mana mungkin label liberal
juga boleh dilemparkan pada ulama yang seakan turut bersamaan pendapatnya
dengan artikel tersebut?
Kritikan
yang mengatakan karya indie daripada kelompok alternatif ini adalah syok
sendiri juga adalah suatu perkara yang perlu dibincangkan. Saya merasakan
setiap karya walaupun dikatakan syok sendiri, tetap mempunyai nilai dan sedikit
sebanyak memberi impak kepada pembaca. Saya sendiri bukanlah seorang peminat
tegar karya indie tetapi saya tetap menghormati karya-karya yang ditulis oleh
penulis yang mungkin sahaja tidak tidur malam demi menyiapkan karyanya.
Bukan semua
buku indie boleh dihitamkan dengan pandangan yang buruk ke atas nama penerbit
kerana ada buku indie yang memberi kesan mendalam kepada saya serta memberi
input berguna dalam memahami hal-hal semasa dengan bahasa yang kekal santun
tetapi menusuk seperti buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’, ‘Pedagogi
Bahasa Tertindas’ dan ‘La Adri’. Kerana itu kita tidak boleh menghukum lenggok
karya buku indie sekiranya kita cuma menilai sisi negatifnya sahaja.
Sesetengah
pihak terutama generasi muda merasakan penulisan buku indie lebih santai dan
dekat dengan jiwa mereka. Setakat beberapa buah buku indie yang saya miliki,
saya gemar dengan gaya persembahannya yang santai tetapi penuh isi. Kulit
hadapannya juga tidak kurang menarik (smart and simple) jika hendak
dibandingkan dengan buku-buku daripada penerbit buku bukan indie lain selain kebanyakan
bukunya bersaiz sederhana kecil dan ringan. Bukankah ini merupakan daya penarik
kepada orang ramai untuk memupuk minat membaca yang kian terhakis?
Pokok
pangkalnya, tidak kisahlah kita hendak memilih bahan bacaan yang mana-mana pun.
Seorang pembaca yang berani tidak akan duduk dalam zon selesa dan tetap cliché
kerana hal ini hanya akan menyekat pemikiran mereka untuk berfikir dengan
fikiran yang lebih terbuka serta memandang dengan pandangan yang lebih luas. Jika
hendak diharamkan buku-buku indie yang dikatakan liberal itu, mengapa awal-awal
lagi tidak diharamkan buku-buku berbahasa Inggeris yang terang-terangan membawa
pendekatan liberal? Nah. Di sini boleh dinilai betapa pembacaan itu tidak boleh
dihadkan atas nama keaslian perjuangan. Penulisan tidak salah dalam mengawal
pemikiran tetapi orang yang membaca itu patut disalahkan kerana malas berfikir ketika
membaca.