‘Jantan
Kita’. Ya, inilah persepsi kita. Bahawa yang jantan itu ialah pada yang
‘pantang dicabar’. Pada ‘harimau yang tidur jangan diganggu’. Itulah ukuran
kejantanan kita.
Hebat Nabi s.a.w. bukan begitu. Sirahnya
nyata berbeza.
Ketika seorang lelaki datang kepada Baginda
s.a.w. meminta izin untuk menjadi Muslim yang berzina, apakah anda kira
Rasulullah s.a.w. tidak terguris dengan permintaan kurang ajar begitu?
Semasa seorang Badwi datang ke masjid,
menjadi tetamu biadab yang kencing di dinding rumah Allah itu, apakah anda kira
Rasulullah tiada sifat marah?
Tidak mampu marah adalah bacul, pasif ala si
Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan! Biarkan! Pasif!
Baginda s.a.w. tidak marah bukan kerana
tidak mampu marah. Baginda itu seorang yang amat ekspresif. Khutbahnya pernah
memerahkan mata kerana begitu memaksudkan apa yang dikata.
Baginda s.a.w. itu gagah…gagah tulen iaitu
pada keupayaan diri mengawal marah.
Sahabat melenting dan mahu membelasah si
Badwi itu, namun Baginda menegah.
“Biar dia habiskan urusannya!” kata Baginda
tenang.
Lantas Baginda s.a.w. meminta air dan
Baginda sendiri membersihkannya.
Itulah jiwa kuat yang tulen.
Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang
bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!
Kita mengukur jantan diri dan hebat berjuang
kalau kita pandai mengamuk. Tetapi Baginda s.a.w. mengajar bahawa yang gagah
itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah.
Renungkan
pesanan Nabi s.a.w.:
“Bukanlah
dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi, yang dikatakan gagah
itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah.”
(Riwayat
Muttafaq ‘alaih)
Marah itu
perlu, sesekali ia memang perlu. Tapi kalau sentiasa marah dan penuh bangkangan,
hingga setiap patah kata hanya mengungkapkan kemarahan dan ketidaksetujuan…ia
tidak tepat dengan contoh Baginda Junjungan.
Rasulullah s.a.w. pernah marah, tetapi
marahnya diredakan dengan bermesyuarat dengan Sahabat, mencari yang terbaik
pada tindakan. Sebab MARAH itu EMOSI. Apabila kita EMOSIONAL, kita TIDAK
RASIONAL. Bertindak secara tidak rasional itulah yang sering mengundang
sesalan.
“Wahai
orang-orang yang beriman, jika datang seorang fasiq kepadamu membawa satu
berita, siasatlah terlebih dahulu. Agar jangan nanti kamu bertindak ke atas
suatu kaum dengan kejahilan. Lantas semua itu akan mengheret kamu kepada
penyesalan atas apa yang kamu lakukan.”
(Al-Hujurat
49:6)
Bagaimana mahu menyiasat? Bagaimana mahu
bertindak dengan tepat? Andai terlalu mudah melenting dan sentiasa membalas
berita dengan tindakan tanpa usul periksa.
Apa yang dituntut bukan hanya menyatakan
ketidaksetujuan dan penentangan, tetapi harus berusaha mengubahnya. Sirah
mengajar kita bahawa jarang benar perubahan dapat dilakukan jika kita hanya
tahu marah dan menuding salah.
Lihat sahaja kerenah orang Makkah dalam
Perjanjian Hudaibiyah. Siapa yang tidak marah dengan permintaan mereka? Sewenang-wenangnya
kelihatan seperti Win-Lose situation.
“Kalau orang Makkah lari ke Madinah, dia
mesti dipulangkan ke Makkah semula. Jika orang Madinah datang ke Makkah, dia
tidak perlu dipulangkan ke Madinah…” Orang Makkah dengan sombong meminta. Panas
telinga.
“Mana boleh tulis ‘Rasulullah’. Kalau tertulis
‘Rasulullah’ maknanya kami mengiktiraf kamu dan kenalah kami ikut kamu. Tulis ‘Muhammad
bin Abdullah’, sudah!” Ego orang Makkah di depan Baginda Rasulullah s.a.w..
Rasulullah s.a.w. ada segala sebab untuk
bersikap defensif. Gelaran ‘Rasulullah’
bukan anugerah sultan atau mana-mana raja Arab. Ia kurniaan Allah s.a.w.. Tiada
sebab untuk tidak bertegas mempertahankannya.
Letakkan diri kita di kasut Sahabat yang
hadir ke perjanjian itu…mahunya tidak marah?
Namun, bijaksana dan gagahnya Rasulullah
s.a.w. mengawal diri daripada marah, tersinggung dan rasa dihina, membolehkan
Baginda memandang jauh, penuh rasional dan akhirnya mampu memisahkan antara
kepentingan substance dan form. Perjanjian Hudabiyah berjaya menawarkan
apa yang paling penting bagi sebuah dakwah dan perjuangan, iaitu genjatan
senjata! Bersetuju menjaga keamanan. Inilah yang diperlukan oleh dakwah. Keamanan
itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Baginda untuk berdakwah, bukan hanya di sekitar
Makkah dan Madinah, malah utusan sampai ke seluruh empayar dan maharaja yang
ada. Dakwah jadi efektif hasil keamanan. Keamanan dicapai hasil kebijaksanaan
Rasulullah s.a.w. yang mengutamakan substance berbanding form.
Pernah
sekali, seorang anak muda datang kepada Baginda s.a.w. bertanyakan tentang
kebarangkalian yang ada untuk dirinya dibenarkan berzina.
Zina itu bukanlah sesuatu yang terlalu sulit
untuk difahami akan keburukannya. Segala sebab itu ada untuk pertanyaan itu dibalas
dengan kemarahan oleh Baginda s.a.w.. malah riwayat di atas menceritakan,
bagaimana orang ramai yang ada ketika itu menyerbu anak muda berkenaan,
memarahinya dengan ungkapan “Mah, mah!” iaitu suatu sebutan kemarahan
yang keras terhadap kelancangan mulut seorang anak muda yang meminta izin
berzina daripada Nabi s.a.w.. Namun, Baginda itu orangnya penuh hikmah. Berhikmah
dalam erti memberikan reaksi yang tepat dengan keperluan. Diajarnya anak muda
itu dengan apa yang disebut hari ini sebagai The Golden Rules iaitu “treat
others as you would like to be treated” yakni “layanlah orang lain
sebagaimana kamu mahu orang lain melayan kamu”.
Pemuda itu dibawa mendekati Baginda s.a.w.
“Wahai
pemuda,” sapa Nabi
s.a.w. lemah lembut, “apakah kamu suka kalau perbuatan zina itu dilakukan
orang lain terhadap ibumu?”
“Tidak, ya
Rasulullah. Demi Allah yang menjadikan aku sebagai tebusanmu, saya tidak ingin
itu terjadi,” jawabnya.
“Begitu
juga kebanyakan manusia, tidak menyukai atau menginginkan perbuatan zina itu
dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Nabi s.a.w..
“Apakah
kamu senang zina itu dilakukan terhapadap ana-anak perempuanmu kelak?” tanya Baginda selanjutnya.
“Sama
sekali aku tidak menginginkan hal itu terjadi, ya Rasulullah. Demi Allah,
bermimpi pun saya tidak ingin.”
“Begitu
pula kebanyakan manusia, mereka tidak senang kalau sampai perbuatan zina itu
terjadi pada anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu senang kalau zina itu
dilakukan terhadap adik-beradik perempuanmu?”
“Tidak, ya
Rasulullah. Demi Allah saya tidak senang.”
“Begitu
juga dengan orang lain, sama dengan kamu, tidak senang kalau zina itu dilakukan
terhadap adik-beradik perempuan mereka. Apakah kamu kamu ingin itu terjadi pada
ibu-ibu saudaramu?”
“Tidak, ya
Rasulullah. Demi Allah tidak.”
“Kebanyakan
manusia juga tidak ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudara mereka.”
Nabi s.a.w. kemudian meletakkan tangan
Baginda pada tubuh pemuda itu dan mendoakannya: “Ya Allah, bersihkanlah
hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini.”
Kalaulah anak muda yang bermulut lancang itu
dibalas dengan lempang atas nama dakwah, apakah kebaikan yang terhasil
daripadanya?
Mengawal diri, menahan diri dalam kemarahan,
dan menterjemahkan tindak balas dalam bentuk dakwah yang lebih empati,
khasiatnya sungguh besar dalam mengubah kemungkaran kepada peluang makruf.
Hal inilah yang perlu kita teladani. Suatu
kejayaan besar, terbit daripada kejayaan menguruskan perkara yang amat asas
iaitu keupayaan mengawal diri, proaktif dan tidak cepat melatah. Pendakwah perlu
bersungguh-sungguh menghayati mesej ini. Masyarakat sudah tahu dengan jelas apa
yang kita tidak suka. Tetapi mereka belum nampak apa yang kita ada dan sejauh
mana kita upaya. Bahasa dakwah kita harus banyak yang bersifat menerang dan
berdamping. Memujuk bukan mengutuk. Bahasa rahmah dan bukan amarah.
Jantan dan gagah di sisi Islam itu lebih
halus dan berkuasa daripada yang disangka!
Kawal diri, kamulah si gagah itu!
(Dipetik
dari ‘Transformasi Ramadan’ karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. www.saifulislam.com)